PEREBUTAN TANAH (Bhg4)
Hendak
sambung cerita perebutan tanah di pinggir Lebuh Raya Rantau Panjang -
Pasir Mas, antara tiga orang pemimpin parti agama (Pas). Ceritanya makin
menarik dan berbagai versi mengenai kisah tanah berkenaan. Yang
jelasnya, tanah itu kini sedang dibangunkan dengan projek perumahan
mampu milik dikendalikan oleh syarikat perumahan 1 Malaysia (PR1MA).
Latar belakang mengenai tanah berkenaan rasanya sudah sedia maklum, cuma
untuk mengesahkan mana satu versi yang benar. Saya mendapat maklumat
dari berbagai-bagai pihak dan membuat analisa mengenainya. Terbaharu
versi daripada salah seorang yang terlibat dengan "skandal" itu.
Individu berkenaan menelefon saya sendiri pada19 Ogos jam 3:38 minit
petang dan membuat penjelasan dari sudut matanya untuk membela dirinya.
Katanya; "kalau setakat Husam sahaja bercakap fasal tanah berkenaan saya
tidak ambil kisah, tetapi bila anta (MSO) tulis dalam blog saya kena
bagi penjelasan sedikit untuk tidak mengelirukan pembaca, tulisan anta
ada wibawa," katanya. "Dan enta kena tulis hak yang sebenar," ujarnya
lagi. Saya memang menanti "kedatangan" individu atau mana-mana individu
terlibat dalam perebutan tanah berkenaan sekurang-kurangnya saya dapat
cerita sebenar di sebalik perebutan itu.
Dalam kes seumpama ini (yang boleh menjejaskan kredibiliti parti
dianggotai individu bekenaan (Pas) dan menjadi persoalan rakyat),
versi-versi berbeza daripada pihak mana yang kita perolehi. Tiga pihak
yang menjadi sorotan dalam isu itu secara langsung ialah
Abdul Fatah Haron, Mustapa Ali dan
Abdul Halim Abdul Rahman. Untuk pengetahuan Abdul Halim dan Abdul Fatah pernah berkolaborasi dalam apa disebut
Hikayat Tiga Abdul awal tahun 1990an dulu bagi menyingkirkan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai MB Kelantan.
Individu yang menghubungi saya itu menjelaskan apa yang kononnya benar,
sekaligus memberi pencerahan terhadap apa yang dilaporkan. Individu itu
terpanggil untuk menghubungi saya kerana dalam catatan sebelum ini
memberi gambaran dalam kasus itu dia diburukkan oleh pihak lain. Saya
sedia dan sangat berbesar hati atas kerjasamanya kerana itulah yang saya
harapkan.
Beliau telah menjelaskan latar belakang kasus (kes) tanah berkenaan.
Dalam penjelasannya ada perbezaan dengan cerita yang diketahui sebelum
ini. Misalnya nilai tanah itu yang dibayar kepada pihak bank bernilai
RM1 juta, bukan RM180,000 seperti mana didakwa oleh seorang hartahanah
yang juga bekas wakil rakyat Pas Kelantan.
Menurutnya memang pada mulanya tanah itu "diperega" (nilai) RM100,000
sahaja. Bagai mana pun selepas pihaknya membayar, tuan asal tanah itu
tidak berpuas hati menyebabkan dibuat penilaian semula. Hasilnya
ditambah sebanyak RM900 ribu menjadikan jumlah RM1 juta.
(Dari versi terbaharu harga itu dinaikan kerana tawaran pertama dibuat
tidak mengikut prosuder yang betul, di mana lelongan itu tidak melalui
bahagian tander pejabat penilaian kerajaan atau penilai bertauliah. Jadi
apabila ia dibuat penilaan oleh Pejabat Penilaian Kerajaan
(bertauliah), itulah nilai tanah itu tambah menjadi RM1 juta).
Gara-gara itu, menurut individu berkenaan, pembeli itu, Abdul Halim,
Mustapa Ali dan Wan Othman, terpaksa mencari duit tambahan RM900 ribu.
Untuk dapatkan duit ini menimbulkan masalah kerana masing-masing ketika
itu, kata individu berkenaan orang Pas semua "sesak" (tidak ada pitis).
Bagaimana pun kerana "sayang" kalau tanah itu terlepas, mereka (pembeli
tanah itu) berusaha mendapatkan wang RM900 ribu.
Kata individu berkenaan Abdul Halim menjual kilang batu batanya di Bukit
Panau, dia sendiri menjual tanah untuk mengenapkan RM900 ribu?
Betulkah kerana isu kilang bata Abdul Halim itu telah menjadi isu
kontroversi yang menyebabkan ia diselamatkan agar tidak memberi impak
kepada kedudukannya sebagai wakil rakyat dan juga TMB?
Tidak diberitakan pula Allahyarham Wan Othman menjual apa? Mungkin dia
mengeluarkan wang simpanannya sendiri kerana Wan Othman dikenali sebagai
orang berada.
Dalam versi individu berkenaan tidak timbul cerita wang atau pembelian
tanah itu menggunakan wang parti? Apabila saya tekan tanya apakah parti
tidak terlibat mengeluarkan wang seperti mana menurut satu perawi,
individu berkenaan mulanya berkata "tidak", kemudian menjawab semula
dengan mengatakan adalah sikit-sikit.
Sekali lagi diulangi di sini sekiranya pembelian itu tidak melibatkan wang parti, terutamanya wang
Harakah,
elok kalau para pembeli tanah berkenaan membuat pengistyharan bahawa
pembelian tanah itu bernilai RM1 juta menggunakan wang masing-masing.
Seperti mana disebut sebelum ini penjelasan penting bagi tidak mengeliru
dan menimbulkan syak wasangka di kalangan orang ramai yang pembelian
tanah itu menggunakan wang parti tetapi akhirnya dimiliki oleh individu.
Bagi saya timbul sedikit kepelikan kalau benar tanah itu dibayar dengan
wang sendiri, kenapa selepas sebahagian tanah itu, (kira-kira 200 ekar)
dijual kepada Perbadanan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC) kenapa sedikit
wang diberikan kepada parti. Menurut individu berkenaan sebanyak RM500
ribu diberikan kepada Pas Kelantan, wang itu diberikan terus kepada Nik
Abdul Aziz sebagai Pesuruhjaya Pas Kelantan. Apakah pemberian wang RM500
ribu itu kerana pembelian tanah itu menggunakan wang parti?
Apakah pemberian itu menandakan begitu baik dan zuhudnya pemimpin Pas?
Sementara dari versi lain pula berpendapat dan mengesahkan memang wang
penjualan tanah berkenaan diberikan kepada Pas untuk perbelanjaan
pilihan raya untuk tahun 2008? Menurut sumber berkenaan yang pernah
berkhidmat di Ibu Pejabat Pas Kota Bharu, sebahagian tanah itu dijual
untuk buat belanja pilihan raya pada tahun berkenaan?
Mengenai kedudukan Abdul Fatah Haron berkaitan tanah itu, individu
berkenaan menjelaskan Fatah tidak terlibat mengeluarkan wang walaupun
satu sen pun. Kerja Fatah katanya hanya menguruskan pembelian tanah
berkenaan dan termasuk urusan-urusan lain.
Individu itu menjelaskan demikian apabila ditimbulkan persoalan kenapa
Abdul Fatah membuat injuksi ke atas tanah berkenaan? Apakah dia
mempunyai lokus standi? Jelasnya lagi, Fatah tidak pun berhak mendapat
apa-apa, sebaliknya orang yang lebih berhak untuk mempersoalkan mengenai
tanah berkenaaan ialah orang bernama Muhammad Ibrahim. "Pak Mat inilah
yang layak mempertikaikannya?" katanya. Siapa dia Muhammad Ibrahim ini?
Tunggu nanti kita akan cuba menemuinya.
Individu berkenaan menempelak Abdul Fatah dalam hal tanah berkenaan
tidak lebih dan tidak kurang sebagai broker sahaja. Dan bila ditanya apa
jadi dengan injuksi dibuat Fatah itu, individu berkenaan berkata ia
akan dijawab dan "afidavit" balasan sedang diproses.
Bersambung.
[wm.kl. 8:15 am 05/09/16]