TERKINI :

Sunday, September 4, 2016

HUSAM | Jahil.. Jahat... Rare : Stay cool please !!!

JAHIL - JAHAT - RARE:  STAY COOL PLEASE !!!

Politik Islam atau apa sahaja, harus bermula dengan mendidik jiwa kita sendiri.

Salah satu ancaman jiwa murni adalah nafsu ammarah kita.

Kita sebenarnya dibelenggu oleh nafsu kita jika gagal mengawalnya, terjajah, terkepung - sebelum musuh politik kita menawan kita.

Tidak semestinya kita akan berjaya menewaskan musuh kita, jika kita tewas kepada nafsu ammarah kita. Melayari hidup politik dengan perseteruan, persengketaan dan kesempitan dada setiap masa.

Saya sedar, keputusan saya menyertai Parti Islam Amanah telah memarakkan serangan peribadi yang semakin sengit.

Saya menasihati diri saya untuk memerima realiti politik Malaysia yang penuh dgn perseteruan bersifat peribadi dan kalah menjadi abu.

Hatta bagi yang melaungkan mereka membawa panji Islam yang murni dan politik matang lagi sejahtera, tidak terlepas dari kerasnya menembus larangan agama.

Saya suka menasihatkan penyokong atau peminat saya untuk kekal COOL.

COOL adalah indah. Tanda kematangan.
Bekal kejayaan.

Tidak satu pun yang dilakukan oleh makhluk di muka bumi ke atas makhluk lain yang tidak akan dibalas.

Kambing tidak bertanduk yg dianiayai oleh kambing yg bertanduk di atas muka bumi, keduanya akan dihidupkan semula di akhirat dan diberikan tanduk utk membalas tandukan yang ia terima di dunia dahulu. Kata Nabi s.a.w.

Sejak agak lama, serangan ke atas saya oleh teman bekas wadah perjuangan saya adalah bersifat peribadi, tanpa fakta, tikaman belakang, bertopeng, semborono dan jauh dari akhlak mulia yg kita kenali.

Usah berikan perhatian terlalu banyak.

Insya-Allah kita tumpukan kepada usaha merangka pelan menjadikan Kelantan sebagai model berkerajaan Islam yang moden, makmur, maju, berkebajikan, telus, berakauntabiliti, memelihara akhlak dan mensyukuri semua anugerah Allah untuk Kelantan dengan sebaik-baiknya.

Dalam rangka itu, mari bersama kita mengembangkan Parti Islam Amanah untuk muncul berketrampilan.

Sedikit sebanyak bakat kerdil yang ada pada saya selama memaju dan mempertahankan Pas selama ini, Insya-Allah saya akan gunakan untuk Amanah, sekalipun kita hanya mungkin berjaya sepuluh atau dua puluh tahun akan datang.

Namun, kemenangan esok Insya-Allah masih dalam jangkauan.

Kita memunculkan diri menjadi cerminan untuk PAS bersaing meningkatkan prestasi dirinya sebagai parti dan kerajaan Islam di bawah konsep fastabiqul khairat.

Atau kita menjadi angkatan yang selalu disebut oleh Al Qur'an, 'wayas tabdil qauman ghairakum'- Allah menjadikan kita angkatan baru menggantikan angkatan lama atas sebab mereka telah hilang kelayakan melangsungkan keunggulan generasi bertaqwa yang cemerlang.

Semoga Allah memberkati perjuangan dan kehidupan kita.

Husam Musa
1 Zulhijjah 1437
3 September 2016

Kisah filem Madu Tiga dan Keegoan Parti Pembangkang

Filem-filem P.Ramlee memang penuh dengan pengajaran, tauladan, dan kritikan sinis. Apa yang di tunjukkan dalam filem Madu Tiga ini adalah isteri-isteri Jamil ini bersatu tenaga bergabung memecah tembelang dan sekali gus memberi pengajaran pada Jamil supaya jangan mempermainkan perasaan wanita.

Pada mulanya, isteri-isteri Jamil ini tidak bersatu dan bergaduh sesama sendiri. Keadaan ini membuatkan Jamil terus bebas menipu kiri dan kanan dengan pelbagai cara, strategi & taktik. Sikap isteri-isteri beliau ini yang penuh ego dan pentingkan diri sendiri tanpa menghiraukan kesannya telah menyebabkan kerugian pada diri sendiri dan ia memberi kelebihan kepada Jamil yang licik itu.

Pada babak akhir dalam filem Madu Tiga ini menunjukkan sikap isteri ketiga Jamil, iaitu Rohani lakonan Sarimah yang mengatakan untuk apa kita bergaduh ? Yang salah adalah Jamil, bukan kita.

Maka ketiga-tiga isteri Jamil itu mula bersahabat dan berpakat antara satu sama lain mengetepikan perasaan ego dan perbezaan masing-masing, menyebabkan Jamil akhirnya terperangkap akibat pembohongan yang dilakukannya selama ini.

Berikut apa yang telah ditunjukkan oleh P.Ramlee maka mestilah ia dijadikan contoh kepada parti-parti pembangkang yang mestilah & perlulah bergabung tenaga, bersatu, dan berpakat supaya mudah menumpaskan kezaliman BN yang sifatnya seperti Jamil, kaki temberang !.

Walaupun kamu semua ada perbezaan dan rasa tidak puas hati antara kamu, walaupun betapa peritnya rasa dihati seperti mana isteri-isteri Jamil, lupakanlah kisah lalu, lupakanlah ego masing-masing, abaikanlah perkara-perkara remeh dan carilah titik persamaan demi selamatkan Malaysia.

Kamu semua sudah tahu apa kesannya jika parti-parti pembangkang bersengketa diantara satu sama lain, hanya kerugian dan pengabaian hak-hak rakyat.

Apabila parti pembangkang bergabung tenaga, bersatu, dan berpakat maka kelicikan 'Jamil' dapat ditundukkan seperti mana pengakhiran filem Madu Tiga tersebut. Sama rata, sama rasa.

MOHD AZIM,
seorang marhaen yang memerhati.

Peruntukan dipotong, penyelidik tiada dana kaji virus Zika

zika-research

PETALING JAYA: Satu kajian yang dijalankan ke atas tikus baru-baru ini menunjukkan sel otak orang dewasa juga berisiko mengalami kerosakan, namun penyelidik tempatan hanya mampu menunggu hasil kajian dari luar negara kerana mendakwa kekurangan dana untuk menjalankan penyelidikan sendiri.

Bulan lalu, Science News melaporkan penemuan saintis di The Rockefeller University dan Institut Alergi dan Imunologi La Jolla mencadangkan sel otak orang dewasa yang mempunyai sistem imun lemah mungkin lebih mudah terdedah kepada jangkitan virus Zika yang dikaitkan dengan kemerosotan kognitif dalam otak seperti kemurungan dan penyakit Alzheimer.

Pakar virologi dari Universiti Malaya, Prof Dr Sazaly Abu Bakar yang dipetik The Star Online berkata, banyak virus yang menjangkiti otak tikus tidak menjangkiti otak manusia kerana manusia mempunyai sawar darah otak berbeza.

Sehubungan itu, beliau berkata, lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk menentukan sama ada virus Zika cenderung menjangkiti otak manusia, bagaimanapun penyelidik tempatan tidak dapat berbuat demikian apabila pembiayaan dipotong secara drastik.

"Kerajaan tidak patut menghentikan pembiayaan untuk penyelidikan dalam penyakit berjangkit. Ketika ini, kami hanya boleh bergantung kepada kajian dari negara lain dan ini tidak baik kerana ia menjadikan kita lemah dan tidak bersiap siaga," katanya.

Dr Sazaly berkata, sejak kes mikrosefali dikaitkan dengan virus Zika pada akhir tahun lalu, hampir tiada penyelidikan yang dilakukan untuk membolehkan penduduk negara ini bersedia menentang virus itu.

"Peralatan diagnostik makmal yang sesuai untuk kegunaan persekitaran kami perlu dibangunkan dan dinilai," katanya yang menyeru perdana menteri mengkaji penambahan dana penyelidikan menerusi cadangan bajet 2017.

Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (Akademik dan Antarabangsa), Prof Awang Bulgiba Awang Mahmud dalam satu bengkel mengenai denggi baru-baru ini berkata, dana penyelidikan yang diperuntukkan kepada universiti dipotong sebanyak 60%.

"Tahun lalu, kami membelanjakan lebih RM100 juta untuk menjalankan penyelidikan dan tahun ini hanya RM40 juta, pengurangan lebih 60%. Untuk 2017, saya rasa ia tidak akan jadi lebih baik," katanya sambil menambah, dana penyelidikan dikurangkan kerana ramai menganggap ia tidak penting.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Asma Ismail berkata, penyelidik di universiti mempunyai kapasiti dan keupayaan menjalankan penyelidikan mengenai virus Zika.

"Kami mengalu-alukan cadangan untuk penyelidikan sedemikian dan sentiasa bersedia membantu Kementerian Kesihatan dalam usaha menangani isu ini. Kini, kami mempunyai universiti yang menjalankan penyelidikan mengenai virus denggi dan nyamuk yang merupakan vektor utama virus Zika," katanya.

Khamis lalu, Malaysia mencatatkan kes virus Zika pertama apabila seorang wanita dari Klang disahkan positif virus itu, selepas pulang dari Singapura pada 21 Ogos lalu.

Semalam, kes kedua jangkitan Zika disahkan apabila seorang lelaki berusia 61 tahun dari Likas, Sabah menjadi kes pertama jangkitan tempatan.

Warga emas itu juga adalah mangsa pertama jangkitan tempatan Zika yang meninggal dunia pada jam 5.30 petang semalam, akibat komplikasi jantung.


LTA bantah cadangan roboh replika helang, Langkawi

Roboh: Agensi terlibat perlu duduk berbincang

LANGKAWI - Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) hari ini membantah sebarang cadangan merobohkan replika raksaksa helang di sini ekoran pendapat seorang pakar agama Islam yang menyifatkan mercu tanda seperti itu sebagai haram.

Yang dipertua LTA, Zainuddin Kadir berkata replika setinggi 12 meter yang terletak di Dataran Lang di sini telah menjadi tarikan pelancongan utama sejak lebih 20 tahun lalu dan menarik ribuan pengunjung dalam tempoh berkenaan.

"Ia telah menjadi ikon kepada Langkawi bagi tempoh yang agak lama dan bukannya menjadi tempat penyembahan atau aktiviti yang bertentangan dengan agama," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau mengulas laporan media dalam talian baru-baru ini yang memetik Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim sebagai berkata memasang replika helang sebagai mercu tanda adalah haram kerana ia menyerupai bentuk haiwan hidup.

Laporan itu menyebut, Zamri telah menerima surat rasmi daripada pihak berkuasa tempatan yang tidak dinamakannya yang bertanyakan hukum membuat replika burung helang untuk tempat berkaitan binatang itu.

Zainuddin yang mendakwa mewakili lebih 8,000 orang anggota LTA berkata beliau telah menghantar surat kepada Zamri untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut berhubung perkara ini.

"Saya masih lagi menunggu jawapan dan bersedia untuk berdialog secara terbuka dengan beliau berhubung perkara ini, jika perlu," katanya.

Menurutnya apa-apa tindakan susulan yang akan dibuat oleh pihak berkuasa berhubung perkara ini perlu mengambil kira kebajikan komuniti Langkawi yang sebahagian besarnya bergantung kepada pelancongan untuk menjana pendapatan.

Semalam, Pejabat Mufti Kedah menyatakan akan berbincang dengan majlis jawatankuasa fatwa terlebih dahulu jika terdapat gesaan supaya tugu helang di Langkawi dirobohkan atas faktor haram dari sudut agama.

Timbalan Mufti Kedah, Sheikh Marwazi Dziyauddin berkata selepas perbincangan rasmi, perkara itu akan dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya tindakan susulan diambil. - Bernama

Mufti - P Pinang tak haramkan Pokemon

Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor

GEORGETOWN - Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor memaklumkan permainan Pokemon Go! tidak haram.

Itulah yang diputuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 22 Ogos lalu.

"Keputusan ini akan disahkan dalam mesyuarat jawatankuasa yang sama pada pertengahan Oktober akan datang," katanya kepada Sinar Harian.

Wan Salim berkata, keputusan tersebut dibuat setelah ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang tidak menemui nas yang jelas menyatakan hukum haram bagi permainan tersebut.

"Menurut kaedah feqah, hukum asal sesuatu perbuatan itu ialah harus selagi tidak ditemui nas yang mengharamkannya secara jelas.

"Dalam keadaan ini kita hanya boleh membandingkan aspek kemanfaatan dan kemudaratannya sahaja, yang manakah lebih berat atau lebih banyak. Jika manfaatnya lebih daripada mudaratnya maka ia diharuskan, begitulah sebaliknya," katanya.

Beliau menambah, melalui isu permainan Pokemon Go!, jabatan mendapati mudaratnya melebihi manfaat.

"Oleh kerana itu kita menasihatkan umat Islam menjauhinya namun kita tidak memutuskan sebagai haram kerana boleh dituduh mengharamkan sesuatu tanpa bersandar kepada nas yang jelas.

"Kita tidak berhak berbuat demikian kecuali jika para ulamak bersepakat menentukan hukum haramnya maka kita akan akur dengan keputusan bersama ini. Dalam isu ini tiada kesepakatan atau ijmak yg dicapai antara kaum muslimin," katanya.

Walaupun begitu Wan Salim menegaskan supaya umat Islam tidak melibatkan diri dengan permainan ini.

"Memang ia tidak diputuskan haram, namun umat Islam perlu menjauhinya kerana bimbang akan melalaikan seseorang.

"Ia termasuk lalai daripada nenunaikan tanggungjawab kepada keluarga, tugas rasmi dan agama," katanya.

Mahfuz: Kenyataan KPN dalam isu MO1 pelik

Mahfuz Omar

SHAH ALAM – Tindakan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menyifatkan dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam isu Malaysian Official 1 (MO1) sebagai kenyataan politik adalah sesuatu yang sangat menghairankan.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sebaliknya perlu mengambil langkah menyiasat tentang dakwaan tersebut memandangkan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini dikaitkan dengan MO1.

"Sesuatu yang sangat menghairankan 1Malaysia bila menyatakan polis tidak mahu campur tangan berhubung dengan dakwaan Abdul Rahman Menteri yang Najib adalah MO1 dalam saman sivil  Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan 1MDB.

"Lebih pelik apabila Khalid menganggap dakwaan tersebut sebagai kenyataan politik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 1 September lalu, Abdul Rahman menjelaskan semula kenyataannya kepada BBC News, berhubung isu MO1.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rahman Dahlan perjelas kenyataannya dalam BBC]

Katanya, walaupun istilah MO1 yang digunakan oleh DOJ merujuk kepada Perdana Menteri namun itu tidak bermakna Najib bersalah.

Menurutnya, ramai lagi yang dirujuk oleh DOJ, bagaimanapun, tiada seorang pun termasuk MO1 dinamakan sebagai subjek penyiasatan.

Sementara itu, kelmarin Khalid mengeluarkan kenyataan berkata, pihaknya tidak campur tangan berhubung dakwaan seorang menteri kononnya Najib merupakan individu yang dinamakan sebagai Malaysian Official 1 dalam saman sivil yang dikemukakan DOJ Amerika Syarikat (AS) berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

[ARTIKEL BERKAITAN: PDRM tidak campur tangan isu Malaysian Official 1]

Khalid berkata, apa juga tindakan mahkamah yang dibuat di AS adalah tindakan sivil dan pihaknya tidak akan campur tangan dalam kenyataan politik tersebut.

Caj telco, di mana hak pengguna?

Caj telco, di mana hak kami

DALAM pada isu harga barangan hangat diperkatakan kini, terdapat juga harga lain yang harus dipantau pihak berkuasa kerana ia turut membabitkan wang poket rakyat. Harga lain itu adalah 'harga tersembunyi' syarikat telekomunikasi (telco) di negara ini yang boleh dikatakan berada di tahap melampau dan amat misteri.

Pada Februari tahun 2014, Menteri Komunikasi dan Multimedia pada waktu itu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pernah mengeluarkan kenyataan supaya syarikat telekomunikasi di negara ini menurunkan caj penggunaan telefon dan yang paling menarik perhatian apabila beliau menyebut syarikat-syarikat gergasi ini 'untung besar'.

Berapa besar keuntungan syarikat telekomunikasi seperti yang dimaksudkan Ahmad Shabery? Sudah pasti keuntungan mereka setiap tahun mencecah jumlah bilion ringgit!

Masalah membabitkan caj telco ini sebenarnya sudah lama membelenggu fikiran rakyat Malaysia dan ia sukar dipantau oleh pengguna sendiri.

Jika dahulu rungutan yang sering didengari adalah "sedar-sedar kredit kena telan padahal tak banyak panggilan atau mesej dibuat", kini antara yang popular adalah "kejap je kuota internet perlu ditambah nilai kerana sudah melepasi had dilanggan". Jadi di mana ukuran yang perlu diikuti oleh syarikat telco ini?

Jika timbang berat ada ukurannya, kelajuan ada sukatannya, di mana pula ukuran bagi minit dan data untuk telco yang kita gunakan yang boleh dipantau sendiri oleh pengguna?

Jika ukuran ini tiada, maka pihak berwajib perlu mewujudkannya kerana rakyat terasa amat terbeban dengan caj-caj pelik-pelik dan dan plan yang sukar difahami oleh pengguna sendiri.

Jadi mahu tidak mahu kita sebagai pengguna seolah-olah reda sahaja. Ini belum lagi mengenai mutu perkhidmatan yang tidak konsisten. Walaupun kita tidak berjaya menghubungi seseorang dan talian terputus, namun caj tetap dimasukkan dalam bil!

Sampai bila rakyat Malaysia akan menghadapi permasalahan ini? Ikuti laporan khas SOROT minggu ini mengenai misteri caj yang dikenakan telco.

PPIM terima aduan caj melampau syarikat telco

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan ada menerima pelbagai bentuk aduan daripada orang ramai yang melaporkan perasaan terkilan mereka terhadap syarikat pembekal telekomunikasi mudah alih ini.

Dalam dunia teknologi di hujung jari hari ini, pastinya telefon bimbit dan internet menjadi salah satu keperluan asas dan bukan lagi sekadar keinginan.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan mendedahkan tujuh dakwaan berkaitan penipuan yang dilakukan syarikat telco yang diadukan oleh pengguna kepada persatuannya.

Bermula daripada khidmat perantauan antarabangsa, sehinggalah kepada kehilangan baki kredit tanpa sebab yang munasabah, ia didedahkan PPIM berkenaan caj-caj melampau yang dikenakan terhadap pengguna telefon bimbit.


Zika: Kedah lipat ganda basmi pembiakan Aedes

Zika

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan melipatgandakan aktiviti menghapus pembiakan nyamuk Aedes di Negeri Jelapang Padi itu bagi mencegah virus Zika.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, kempen kesedaran anti-Aedes juga akan dipertingkatkan dalam kalangan rakyat untuk membasmi nyamuk Aedes.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah berkesan dalam mencegah virus Zika di negeri itu.

"Saya telah berbincang dengan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail untuk mengadakan mesyuarat peringkat negeri secepat mungkin bagi membincangkan langkah-langkah perlu untuk mencegah virus ini," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Buat masa ini katanya, kerajaan negeri mengambil langkah berjaga-jaga sebagaimana yang disarankan Kementerian Kesihatan.

Katanya, tiada kes Zika dikesan di Kedah, setakat ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan seorang lelaki berusia 61 tahun di Sabah merupakan kes jangkitan virus Zika tempatan pertama dikesan di negara ini. - Bernama


GST punca harga barang naik, orang miskin tidak mampu beli makanan berkhasiat

 elitmway_gst_600
KUALA LUMPUR: Pemborong dan peruncit menyalahkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015 sebagai punca kenaikan harga barangan sehingga menyebabkan golongan miskin tidak mampu membeli makanan berkhasiat.

Pegawai komunikasi Elitway Sdn Bhd yang membekalkan bahan makanan mentah dan kering, Hanafi Talib berkata, pengguna tidak boleh menyalahkan pemborong kerana harga barangan mengalami kenaikan bermula di peringkat pengilang lagi.

“Sejak pelaksanaan GST, semua barang memang naik harga. Kami sebagai pemborong memang boleh claim (tuntut balik), jadi tidak terkesan sangat. Kesannya memang pada pengguna.

“Contohnya tepung. Kami ambil dari pengilang sekotak berharga RM13, pemborong jual RM13.20. Untung 20 sen sahaja. Kalau ikutkan, kami hendak bayar kos penghantaran termasuk minyak, tol dan gaji pekerja lagi, apa yang kami untung?

“Berniaga zaman sekarang dah tak macam dulu. Segalanya memang sudah naik,” katanya yang ‘lali’ dengan rungutan peruncit dan pengguna ketika dihubungi FMT hari ini.

Hanafi berkata, ‘perkhidmatan orang tengah’ yang meraih keuntungan besar juga tidak wujud lagi sekarang dan beliau tidak menyalahkan pengilang dalam isu kenaikan harga barangan.

“Bagi sektor ayam dan daging, itu kena tanya penternak. Mereka bagi alasan dedak pun dah naik harga. Harga ayam sejak Hari Raya Aidilfitri belum turun lagi,” katanya yang masih menunggu penurunan harga ayam diumumkan kerajaan.

Mohd Annuar Mohd Saman yang mewakili peruncit Desa Subang juga bersetuju pelaksanaan GST adalah punca kenaikan ketara harga bahan mentah, khasnya makanan berkhasiat.

“Untuk penjualan makanan berkhasiat, sebelum ada GST pun dah mahal, apa lagi selepasnya,” katanya sambil menambah hanya individu berkemampuan boleh membeli makanan organik.

Beliau turut menggesa kerajaan melakukan pemantauan berterusan untuk menghalang pemborong dan pembekal menaikkan harga bahan mentah sesuka hati.

Selasa lalu, Institut Kajian Khazanah (KRI) dalam laporan terbaharu keadaan isi rumah yang dipetik Astro Awani menunjukkan makanan kekal sebahagian besar perbelanjaan kebanyakan keluarga dengan kadar kenaikan harga makanan berada di tahap membimbangkan.

Keadaan itu menyebabkan lebih banyak isi rumah berpendapatan rendah tidak lagi mampu membeli makanan khasiat disebabkan kos makanan yang semakin tinggi, di mana harga makanan laut dan ikan meningkat sehingga 30.9%, produk tenusu serta telur 23% manakala daging pula naik sehingga 18.7%.

Kaji selidik mengenai keselamatan makanan di kalangan isi rumah berpendapatan rendah di Kuala Lumpur menunjukkan lebih 65% keluarga menghadapi masalah untuk mendapatkan makanan berkhasiat.

Menurut laporan itu, sebuah isi rumah dengan lima ahli keluarga minimum akan membelanjakan RM25.21 hingga RM38.45 setiap hari untuk mendapatkan diet berkhasiat.

Elak terjebak beli lembu seludup untuk ibadah korban

Elak terjebak beli lembu seludup untuk ibadah korban
ALOR SETAR - Umat Islam dinasihatkan meneliti latar belakang pembekal lembu bagi mengelak menggunakan lembu yang dicuri atau diseludup untuk tujuan ibadah korban sempena sambutan Aidil Adha.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, ini kerana ia boleh menjejaskan kesucian ibadah itu tanpa disedari.

“Mencuri apa sahaja barang pun sudah menjadi suatu kesalahan dan tidak dibenarkan mengikut undang-undang negara. Saya ingin berpesan kepada masyarakat, supaya berhati-hati ketika membeli lembu untuk dikorbankan agar ibadah itu dilakukan secara sempurna dan suci dan diterima ALLAH SWT,” katanya, selepas majlis penyerahan lembu korban sempena Hari Raya Aidil Adha, disempurnakan oleh Exco kerajaan negeri, Datuk Aminuddin Omar.

Menurutnya, urusan jual beli lembu korban juga perlu dititik beratkan agar tidak terjebak dalam kes penyeludupan lembu dari negara jiran.

“Lakukan ibadah itu secara betul kerana dalam Islam sekalipun duit yang tidak suci sumbernya dilarang digunakan bagi tujuan ibadah,” katanya.

Sheikh Muhamad Baderudin berkata, lembu yang dicuri atau dibawa masuk secara haram dari segi undang-undang negara adalah perkara yang tidak diredai dan perkara itu dianggap salah.

“Eloklah jaga tata tertib ibadah kita agar tidak terjejas, ingin saya nasihatkan jika mahu beribadah lakukan dengan ikhlas dan suci untuk rahmat ALLAH SWT,” katanya.

Pada majlis itu, kerajaan negeri mengagihkan 517 ekor lembu korban kepada 56 agensi, jabatan kerajaan dan NGO seluruh Kedah.

Aminuddin berkata, bekalan lembu korban yang dibekalkan oleh Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah Sdn. Bhd. (KLPK) di negeri ini sudah kehabisan, menyebabkan bekalan tambahan dibawa masuk dari luar Kedah untuk tampung permintaan.

“Walaupun bekalan habis dijual kepada orang ramai untuk ibadah korban, namun belum ada laporan kemasukan lembu diseludup ke Kedah dari negara jiran, pada masa sama Jabatan Veterinar sentiasa kawal selia situasi elak ia berlaku,” katanya.

Menurutnya, antara langkah diambil KLPK adalah membawa bekalan dari Pahang dan negeri berdekatan, termasuk pembekal lembu persendirian turut melakukan inisiatif sama.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...