TERKINI :

Thursday, August 25, 2016

Antara Agamawan vs Agamawan, Antara Wahabi vs Aswaja..!!

AGAMAWAN VS AGAMAWAN

Oleh: Dr Tanaka Mustafa

1) Melihat kepada perkembangan Wahabi vs Aswaja, saya dapat simpulkan bahawa 'geng wahabi' semakin berani menunjukkan belang mereka secara terbuka, manakala 'geng Aswaja' pula kerap menunjukkan ketidakmatangan dalam isu yang dibangkitkan mereka sendiri.

2) Sesiapa yang pro-Aswaja, pasti sudah ada mental-block terhadap apa sahaja yang datang daripada geng wahabi. Hatta hujah pelik-pelik Presiden Aswaja pun masih diangguk-angguk walaupun remaja sekolah pun boleh tersengih dengan hujahannya.

3) Sesiapa yang pro-Wahabi pula, pasti memandang sinis terhadap apa sahaja yang datang dari geng Aswaja. Hatta pemakaian rida' pun dipandang sinis dan diperolok-olok. Kalau ada apa-apa yang boleh mereka troll Aswaja, berminggu-minggu replay troll. Terbaru adalah troll thesis.

4) Saya berpandangan kedua-dua blok ini perlu menghentikan amalan memecahbelahkan umat. Jadilah kumpulan yang mendamaikan umat. Golongan yang mendamaikan umat yang bertelagah disukai oleh Allah dan Rasul. Tak kira yang mendamaikan itu wahabi atau Aswaja.

5) Jika Aswaja mendamaikan umat, tidak mencari perbalahan, maka Aswaja dikasihi Allah dan Rasul. Begitu juga Wahabi, jika Wahabi berusaha mendamaikan umat, maka Wahabi juga dikasihi Allah dan Rasul.

6) Polemik merepek ini semakin rancak sejak akhir-akhir ini. Ketahuilah, walaupun ramai yang berdiri teguh di belakang Aswaja,  tidak bermakna Wahabi itu sedikit. Saban hari program Wahabi mendapat sambutan golongan yang profesional, skeptikal dan logikal.

7) Jika Aswaja dan Presidennya masih menggunakan method menyerang umpama singa, saya yakin orang awam akan menyokong wahabi. Yang tinggal hanya golongan taksub dengan Aswaja sahaja. Saya tidak membuat kenyataan tanpa asas, bahkan saya mengendur sedikit berbicara bab politik untuk melihat sejauhmana isu Wahabi vs Aswaja inisedang berlaku.

8 ) Aswaja tidak memandang dari posisi bird view untuk melihat secara keseluruhan. Hanya menyinga dalam kelompok Aswaja dan memandang dari dalam kelompok. Anda tidak akan dapat melihat isu dengan lebih jauh melainkan terbatas kepada sentimen ujub dengan kekuatan sendiri. Jika anda keluar dan melihat dengan cara lebih luas, anda pasti yakin yang anda perlu mengubah strategi.

9) Ubah strategi? Strategi apa? Ubah cara berfikir. Cara berfikir sangat penting dan sememangnya sukar diubah. Ia memerlukan latihan. Contohnya, anda merigidkan pemikiran anda ke atas tuduhan bahawa Ibnu Taimiyah punca terrorisme.

10) Sampai ke sudah anda tidak akan menjumpai pendapat yang baik Ibnu Taimiyah, Segala hujah yang anda cari akan beroreintasikan Ibnu taimyah membawa keganasan. Walhal jika anda ubah cara berfikir, kaji dahulu pendapat yang anda kata ganas itu dari sudut waqi' semasa pendapat itu ditulis, bagaimana keadaannya, atau apa maksud sebenar dan sebagainya.

11) Apa bagusnya anda mencari pendapat-pendapat orang yang tidak sebulu dengannya yang mengkafirkannya? Jika mahu tahu hal seseorang, tanyalah orang-orang yang rapat dengannya, sahabat-sahabatnya, bukan mencari dalil dari musuhnya.

12) Jika saya mahu tahu peribadi TGNA, saya akan tanya orang PAS, bukan tanya orang MCA. Jika mahu kenal Husam Musa, saya akan tanya Ust Che Ibrahim, bukan tanya Ust Mokhtar Senik. Jika saya mahu tahu hal Ust Nasharuddin Mat Isa, saya akan tanya Ust Nik Abduh, bukan tanya Khalid Samad.

13) Begitulah halnya Ibnu Taimiyah. carilah pendapat yang menyokong beliau dan tulisan murid-murid beliau mengenainya untuk anda kenal seseorang. Anda akan kenal antara sahabat yang baik dan pengikut yang taksub dalam kalangan mereka.

14) Wahabi pula secara moralnya sudah memenangi hati orang awam dalam banyak siri isu-isu yang berbangkit. Aswaja takkan mahu mengakui, ataupun Aswaja memang tak tahu hal ini kerana ujub dengan kekuatan sendiri.

15) Saya tidak ambil pot mengenai perbahasan antara Wahabi dan Aswaja, kerana ia tidak berkesudahan. Yang saya ambil pot adalah sikap dalam berbeza pendapat. Kedua-duanya sama sahaja, tidak beradab. Saya membuat general conclusion, bukan bermaksud semua orang begitu. tetapi majoritinya, kedua-dua belah pihak mempunyai spesies yang kurang beradab yang ramai.

16) Sindir menyindir secara terbuka, disambut dengan gelak ketawa dan merendah-rendahkan orang yang disindir dalam forum ataupun seminar, adalah level tidak beradab yang dirasakan OK, walhal itu adalah tidak beradap. Lebih-lebih lagi memaki dan menistai orang secara terbuka.

17) Ingatlah wahai Wahabi dan Aswaja. Walaupun kedua-dua pihak anda rasa bagus masing-masing, anda adalah golongan agamawan secara am difahami oleh orang awam, muslim dan bukan muslim. Lebih-lebih lagi non-Muslim tidak memandang Wahabi vs Aswaja, tetapi Agamawan vs Agamawan. Muslim vs Muslim.

18) Tak nampak lagi kah?

Sekian

Husam doa Najib hidup 100 tahun untuk bayar hutang 1MDB

MK | Adun Salor Datuk Husam Musa hari ini secara sinis mendoakan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak diberi umur panjang dan dapat mentadbir negara sehingga 100 tahun akan datang.

"Apa salahnya kita mengharapkan beliau panjang umur. Terus mentadbir Malaysia untuk seratus tahun akan datang.

"Itulah caranya untuk menjadikan Umno dan Malaysia terus kukuh - mengikut ukuran Najib," kata Husam dalam cacatan di Facebooknya.

Husam mendakwa sebelum ini terdapat laporan mengenai pembelian hormon antipenuaan yang tercanggih dan mahal menggunakan dana 1MDB.

"Saya seronok jika beliau hidup lama untuk membolehkan Najib melunaskan hutang-hutang negara yang telah dilakukan sebelum ini bila tiba tempoh matang hutang-hutang itu, termasuk hutang-hutang 1MDB," katanya.

Tambahnya, hutang yang paling hampir matang mengikut laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) adalah pada tahun 2022 berjumlah RM19 bilion, termasuk kadar faedah.

"Syabas. Pada waktu itu, umur Najib adalah 69 tahun. Masih muda. Pada umur beliau 70 tahun iaitu setahun kemudian, beliau kena menguruskan pembayaran hutang 1MDB sebanyak RM 15.7 bilion lagi," katanya.

Bon pertama dikeluarkan 1MDB berjumlah RM5 bilion pula akan matang pada tahun 2039, kata Husam.

Memetik laporan PAC, Husam berkata negara perlu membayar sebanyak RM13.63 bilion iaitu RM5 bilion untuk bayaran pokok dan RM8.625 bilion lagi untuk bayaran keuntungan pada tahun 2039.

"Padahal, jumlah bersih yang diperolehi oleh 1MDB dari bon ini hanya RM 4.3 bilion kerana pelbagai yuran yang dikenakan adalah tertinggi. Ini kelebihan cara Najib. Jangan bimbang, 2039 adalah dua tahun selepas PRU18 dengan andaian setiap lima tahun PRU akan diadakan," katanya.

Selain itu, katanya, negara juga perlu menjelaskan tanggungan besar yang lain.

"Mengikut Laporan PAC, 1MDB terhutang kepada rakan kongsinya IPIC sebanyak AS$1 bilion atau RM4 bilion. Namun kini, IPIC mendakwa Malaysia terhutang kepadanya sebanyak AS$6.5 bilion atau RM26 bilion!

"Ini kerana bayaran yang dibuat oleh 1MDB tersalah masuk ke dalam akaun syarikat yang namanya serupa dengan anak syarikat IPIC tetapi entitinya berbeza! Aabar dua serupa. Hebat, hanya Malaysia Boleh," katanya.

Tun M mohon maaf di atas tindakan lalu

SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf atas pindaan perlembagaan yang menyebabkan kelulusan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi menjadi keperluan untuk menjadikan suatu akta sebagai undang-undang.

Bagaimanapun, kata bekas Perdana Menteri itu, pindaan tersebut tidak meliputi semua undang-undang kerana terdapat Akta Parlimen yang masih perlu mendapat persetujuan dan tandatangan baginda.

“Saya dengan penuh ikhlas memohon maaf kerana membuat pindaan tersebut yang terbuka kepada tafsiran berbeza. Pindaan itu tidak melucutkan lebih 30 perkara lain di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Sebenarnya terdapat lebih 30 prosiding yang tersenarai dalam perlembagaan yang memerlukan persetujuan Yang di-Pertuan Agong, sebahagian daripadanya tanpa mendapatkan nasihat perdana menteri,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan, semalam.

Mahathir berkata, hak dan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk isytiharkan darurat tidak terjejas dan keistimewaan itu dikekalkan kerana implikasinya amat serius.

“Fasal (1) Perkara 150, Proklamasi Darurat menyatakan ‘Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka baginda boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

“Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir akan berlaku,” katanya.

Katanya, perkara dan fasal itu menyatakan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk isytihar darurat kekal terletak hanya pada baginda dan tidak boleh dipertikaikan.

“Tiada disebut dalam kes ini, Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat perdana menteri. Yang di-Pertuan Agong juga boleh memasyhurkan ordinan yang mempunyai kuasa sama dengan Akta Parlimen.

“Dengan kuasa ini yang kekal di tangan Yang di-Pertuan Agong tidak terdapat apa-apa keperluan bagi mana-mana undang-undang lain untuk membolehkan kerajaan menggantung undang-undang bagi menangani masalah keselamatan,” tegasnya.

Menurut Mahathir, Akta MKN yang diluluskan di Dewan Rakyat itu telah menghina peruntukan Perkara 38 (4) yang menyatakan tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

“Jelas sekali Akta MKN ini menceroboh kedudukan istimewa Majlis Raja-Raja dan bertentangan dengan hak Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat. Persetujuan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong masih diperlukan untuk meluluskan akta ini sebagai undang-undang.

Katanya, di bawah Fasal (3) Perkara 40, baginda boleh bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang bukan daripada jemaah menteri untuk jalankan mana-mana fungsinya, selain menurut budi bicaranya.

“Pengisytiharan darurat adalah perkara yang ditentukan perlembagaan sebagai atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Apabila Akta MKN pindahkan kuasa Yang di-Pertuan Agong kepada perdana menteri sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan, keperluan baginda laksanakan hak untuk memutuskan darurat tidak lagi bermakna.

“Secara dasarnya MKN telah merampas kuasa dan hak Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan perkara ini, sedangkan persetujuan baginda dan Majlis Raja-Raja perlu diperolehi dahulu.
 
“Apabila kerajaan ketepikan permintaan raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong supaya Akta MKN diperhalusi dan disemak semula, maka jelas pindaan tersebut tidak mematuhi perlembagaan. Oleh itu Akta MKN tidak boleh dimeterai sebagai undang-undang,” jelasnya.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong masih mempunyai bidang kuasa untuk menasihati Mahkamah Persekutuan tentang apa-apa soal dan kesan mana-mana peruntukan perlembagaan yang berbangkit atau mungkin berbangkit.

“Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.

“Peruntukan ini memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk merujuk ke Mahkamah Persekutuan jika terdapat kesangsian terhadap kesahihan ataupun ketidaksahihan Akta MKN yang tidak pun mendapat persetujuan serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong,” ulasnya.

Katanya, pelantikan perdana menteri juga merupakan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang individu yang mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, namun calon itu tidak semestinya diterima oleh baginda.

“Berdasarkan peruntukan sama di Terengganu, Perlis dan Selangor, calon yang dikemukakan parti menang ditolak dan raja-raja membuat keputusan menerima calon lain. Mereka ini dilantik sebagai menteri besar dan diterima Majlis Mesyuarat Negeri.

“Jelas, baginda mempunyai hak melantik perdana menteri atas budi bicara. Jika semasa persidangan, Dewan Rakyat menolak lantikan itu, calon tersebut terpaksa berhenti daripada jadi perdana menteri. Yang di-Pertuan Agong akan menamakan calon baharu,” ujarnya.

Pelantikan Ketua Audit Negara juga merupakan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Ketua Audit Negara hendaklah melaksanakan apa-apa tugas lain dan menjalankan apa-apa kuasa sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang Persekutuan berhubung dengan akaun bagi persekutuan dan negeri-negeri.

“Manakala berhubung dengan akaun bagi pihak-pihak berkuasa awam lain dan badan yang dinyatakan melalui perintah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata lagi, Ketua Audit Negara perlu mengemukakan laporan-laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong supaya ia boleh dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat.

“Perdana Menteri, Datuk Sri Najib telah memerintahkan Ketua Audit Negara untuk mengaudit akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Laporan yang sepatutnya dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebaliknya dihantar kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” jelasnya.

Beliau berkata, tindakan kepimpinan Najib yang menyerahkan laporan PAC dan Ketua Audit Negara kepada Peguam Negara yang kemudiannya diisytiharkan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi bertentangan dengan peruntukan perlembagaan

“Amat jelas kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib bukan sahaja mengabaikan peruntukan perlembagaan, tetapi bertindak bertentangan dengannya, dengan memberi laporan tersebut kepada Peguam Negara. Ia kemudian diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi,” katanya.

Ku Li beri amaran jangan pandang rendah BERSATU

Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini mengingatkan pemimpin Umno supaya tidak mengambil mudah serta memperlekehkan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Katanya, semua pihak, khususnya Umno perlu memandang serius penubuhan parti baru itu kerana ia dianggotai mereka yang berpengaruh serta pernah berada dalam Umno.

Menurut ahli parlimen Gua Musang itu, ini lebih-lebih lagi dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengasas parti berkenaan.

"Kedua-dua pemimpin ini mempunyai pengaruh, berpengalaman dan kita tidak boleh memandang rendah terhadap mereka," katanya yang dipetik oleh Berita Harian Online.

Bagaimanapun, Tengku Razaleigh berkata, beliau tidak pasti sama ada parti baru itu akan mendapat sokongan rakyat.

"Saya sendiri tidak dapat membuat penilaian mengenai perkara itu kerana ia parti baru tapi yang pasti Umno perlu memberi perhatian serius," katanya kepada pemberita selepas perasmian penutup Kem Kecemerlangan Perdana Parlimen Gua Musang.

Muhyiddin pada 9 Ogos lalu mendaftarkan BERSATU yang menyasarkan untuk bertanding melawan Umno pada pilihan raya umum akan datang.

Bagiamanpun, BERSATU menerima kecaman pelbagai pihak apabila parti itu mengumumkan keahliannya hanya dibuka kepada masyarakat bumiputera dan kaum pribumi di Sabah dan Sarawak.

Namun pemimpin dan penyokongnya mempertahankan parti itu dengan berkata imej sedemikian penting untuknya berdepan dengan Umno di kubu majoriti Melayu.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...