TERKINI :

Thursday, August 18, 2016

NAJIB TETAP YANG TERHEBAT, TAK PERLU BANDINGKAN DIRINYA DENGAN TUN M

Shahbudin Husin,


Sudah beberapa kali Najib Razak mengkritik dasar atau pendekatan kepimpinan Tun Mahathir Mohamad sambil membandingkan dengan apa yang dilakukannya sekarang. Tujuannya tidak lain ialah untuk menonjolkan dirinya lebih baik berbanding bekas Perdana Menteri selama 22 tahun ini.

Ketika melancarkan sebuah model baru Proton tidak lama selepas Tun Mahathir berundur dari syarikat kereta nasional itu, Najib mengambil kesempatan menempelak kononnya sering berlaku campurtangan politik dalam syarikat tersebut, tetapi ia kini telah berakhir di era kepimpinannya.

Walaupun diketahui umum Tun Mahathir memandang jauh ke hadapan berkenaan pengangkutan awam dengan memperkenalkan LRT, ERL, komuter, memperkenalkan sistem bas dan lain-lain, manakala Najib hanya melakukan sambungan saja, beliau tetap menyalahkan bekas Perdana Menteri itu atas dakwaan tidak menyediakan pengangkutan awam yang mapan walaupun berkuasa selama 22 tahun.
 
Najib seolah-olah, dengan hanya pengenalan MRT yang dibawanya, mahu seluruh kebaikan dan pujian berkaitan pengangkutan awam sertus-peratus ditumpukan kepadanya seorang diri saja.

Apabila tambang ERL dari pusat bandar ke KLIA dinaikkan dari RM35 kepada RM55, Najib tidak melihat ia sebagai kegagalan pentadbirannya melakukan rundingan, tetapi lebih menyalahkan era kepimpinan Tun Mahathir yang memetrai perjanjian pada 1997 dahulu.

Najib juga  "masuk bakul angkat sendiri"  kepada masyarakat India dengan mengatakan sumbangan yang dilakukannya kepada komuniti itu lebih banyak berbanding Tun Mahathir.

Hari ini, sekali lagi Najib membandingkan kebaikan dirinya berbanding Tun Mahathir berhubung dasar luar.

Kata Najib, dasar luar Tun Mahathir sengaja berbentuk konfrontasi bertujuan untuk meraih populariti peribadi, pendek akal dan merugikan diri sendiri berbanding pendekatannya yang mementingkan kerjasama dan bukan persengketaan serta meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan peribadi.

Dalam beberapa ucapan lain, Najib juga kerap meletakkan dirinya lebih baik berbanding Tun Mahathir seperti berkaitan sistem pemilihan UMNO yang kononnya lebih terbuka, menghapuskan beberapa akta dan sebagainya.

Apa sebenarnya masalah Najib sehingga beliau begitu kerap cuba membandingkan dirinya dengan Tun Mahathir?

Kenapa beliau tidak pernah membandingkan dirinya lebih baik berbanding pendahulunya yang sebenar iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi atau bapanya sendiri, Tun Razak?

Mengapa Tun Mahathir saja yang kerap dijadikan perbandingan?

Kenapa nama dan kelibat Tun Mahathir begitu alergik dan seolah-olah melekat dalam pemikirannya?

Apakah Najib secara diam-diam sedang memasang impian mahu menjadi Perdana Menteri lebih daripada 22 tahun?

Sebenarnya adalah perbuatan sia-sia bagi Najib membandingkan dirinya dengan Tun Mahathir. Tidak perlu pergi terlalu jauh, jika dibandingkan dalam tempoh tujuh pertama menjadi Perdana Menteri saja, Najib sudah terbukti "lebih hebat"  dan meninggalkan Tun Mahathir ketinggalan di belakangnya.

Apa pencapaian Tun Mahathir ketika tujuh tahun pertama menjadi Perdana Menteri?
 
Sudah tentu ramai yang lupa dengan pencapaiannya.

Tetapi, seawal tujuh tahun menjadi Perdana Menteri, bermacam-macam "rekod" dan "pencapaian gemilang" telah berjaya digapai oleh Najib.

Antaranya, hutang tertinggi negara, pembaziran dan kemewahan di mana-mana, kenduri kahwin anak perempuannya yang gilang-gemilang yang tidak pernah berlaku sebelum ini, isterinya yang didedahkan dengan pelbagai barang mewah, perhiasan mahal, percutian, penggunaan jet yang tiada tolok bandingnya serta bermacam-macam gegak gempita lainnya.

Tidak sekadar itu, Najib juga mencipta "rekod" sebagai penerima derma terbesar dunia - dulu, kini dan selamanya dan melalui 1MDB serta persahabatannya dengan Jho Low, nama Malaysia terus melonjak, tidak saja di dalam negara dengan hutang besar dalam tempoh yang singkat dan perbualan rakyat mengenainya, malah di persada antarabangsa turut berlaku liputan media berterusan sepanjang masa serta lapan negara terpaksa membuka kertas siasatan mereka.

Di Amerika, melalui tindakan yang diambil oleh Jabatan Kehakiman AS dengan bantuan FBI, nama Malaysia terus menjadi bualan dan beralih dari sebuah negara demokrasi kepada ungkapan baru iaitu kleptokrasi.

"Kehebatan" dan "kegemilangan" ini pasti akan berterusan, dikenang dan menjadi sebutan lebih lama berbanding orangramai mengingati jasa-jasa Tun Mahathir selama 22 tahun. Tiada mana-mana pemimpin lain yang mampu menandinginya, baik Tun Mahathir atau sesiapa jua. Itu baru tujuh tahun pertama saja, bayangkan betapa gemilangnya Malaysia jika Najib berpeluang berkuasa lebih 22 tahun lamanya.

Lalu, tidak perlu sama sekali Najib membuang masa membanding-bandingkan dirinya dengan Tun Mahathir. Beliau tetap yang "terhebat" dan "tiada duanya" bagi Malaysia. (SH 18/08/2016).

Pemimpin UMNO diserang histeria dengan kewujudan parti baru 'BERSATU'

Kenyataan Media

*PEMIMPIN UMNO DISERANG HISTERIA*


1. Minggu pertama Ogos 2016 bermula lah *pemimpin Umno di berbagai peringkat diserang histeria*.Yang peliknya sebelum ini histeria menyerang pelajar pelajar sekolah yang tinggal di asrama.Tetapi kini histeria melanda orang tua tok wan,opah,abah mak,abang dan kakak kepada murid sekolah. *Serangan histeria yang melanda pimpinan Umno ini berlaku dalam majlis perasmian mesyuarat agung pemuda,wanita,puteri dan Umno bahagian*.

2.Histeria yang menyerang pemimpin politik agak berbeza dengan yang melanda pelajar sekolah.Kalau pelajar di serang histeria boleh panggil bomoh syifa' dapatlah dipulih. *Tapi bila histeria menyerang pimpinan parti politik Umno membuatkan 1 Malaysia dan orang lain pun tak boleh tidur lena*.Punca serangan histeria ke atas pimpinan Umno adalah kerana gangguan mental dan emosi yang sukar dikawal dengan kewujudan parti baru *BERSATU*.Ini disebabkan tubuh dan dalaman pimpinan Umno itu lemah maka makhluk halus akan tumpang dalam badan dia.

3.Parti Bersatu belum mohon pendaftaran pimpinan Umno dah meracau dan menjerit jerit di rasuk hantu.Bersatu parti orang kecewa ,tak jejas Umno,Amerika nak bunuh Melayu,pengkhianat Melayu,bersekongkol dengan Dap dan kita kena setia serta pertahan institusi Presiden Umno.Lepas Bersatu mohon pendaftaran, pimpinan Umno kena serang histeria kali kedua lagi teruk.Halang campur tangan asing (1MDB),waspada taktik baru penjajahan minda,tolak cubaan cabar kedaulatan negara, parti serpihan tak gugat Umno, *ahli Umno yang terlibat dengan bersatu sila keluar dari umno atau akan dipecat daripada Umno* dan macam macam lagi.

4.Kepada orang melayu saya nak mengigatkan supaya *setiap jumaat,sabtu dan ahad dalam tempoh tiga bulan ini jauhi lah majlis anjuran Umno*.Dibimbangi penyakit histeria akan terus menyerang pimpinan Umno dan boleh membahayakan keselamatan kita semua. Jauhilah dari pimpinan Umno yang sedang di rasuk dan akan membahayakan orang lain. *Azanlah tiga kali di telinga kiri pimpinan Umno untuk lemahkan kekuatan makhluk halus jin yang ada dan menganggu dalam tubuhnya*.

5.Kemudian ambil sebotol air minuman dan buka penutupnya kemudian *pegang ubun ubun pimpinan Umno tersebut dan bacakan ayat kursi sebanyak 7 kali dan hembus ke arah ubun ubun pimpinan umno terbabit dan air minuman tersebut insyaallah dia akan sedar dari hilang ingatan,menjerit dan mericau tak ketahuan*.Dan kita juga banyak banyaklah baca surah yasin dan ayat kursi sebagai pendinding dari histetia yang menyerang pimpinan Umno.

‪#‎JauhiUmno‬
‪#‎HindariHisteriaUmno‬
‪#‎SelamatkanMalaysia‬.

*DATO'HJ MAHFUZ HJ OMAR*
Ahli Parlimen Pokok Sena
2.30pm Taman Al-Walid Alor Setar
16 Ogos 2016/13 Zulkaedah 1437H

SUMBER : KLIK SINI

“Najib mempergunakan Jho Low, atau Jho Low mempergunakan Najib?”

 
KUALA LUMPUR, 16 OGOS: “Najib mempergunakan Jho Low, atau Jho Low mempergunakan Najib?”

Demikian persoalan yang dibangkitkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan ahli perniagaan, Low Taek Jho yang didakwa telah melakukan pengubahan wang haram terhadap dana syarikat milik negara, 1MDB.

Menurut Kit Siang, persoalan yang sedang bermain di fikiran rakyat itu sehingga kini tidak terjawab meskipun siasatan telah pun dilakukan oleh pelbagai agensi kerajaan.

“Adakah Parlimen ketika bersidang pada Oktober nanti akan mendengar jawapan persoalan itu dari mulut Najib sendiri, sekurang-kurangnya ketika ucapan pembentangan Bajet 2017 oleh beliau nanti?” Soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dalam satu kenyataan sebelum ini meminta Najib menjelaskan hubunganya dengan Jho Low dalam skandal 1MDB yang kini menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa.

Bulan lalu, Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta Lynch mengumumkan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat memfailkan saman sivil bagi merampas semula aset berkaitan 1MDB yang bernilai lebih AS$1 bilion kerana terlibat dengan pengubahan wang haram.

Selain Jho Low, dokumen itu turut menamakan anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz, ahli perniagaan dari Malaysia, Tan Kim Loong dan dua pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

Turut dinamakan dalam dokumen itu ialah “Malaysia Official 1” yang didakwa menerima jutaan dolar AS hasil penyelewengan dana 1MDB. “MO1” walaupun tidak dinamakan, ia dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri.

“MO1” didakwa menerima AS$ 731 juta melalui pelbagai transaksi yang bermula daripada syarikat Good Star Limited yang dimiliki Jho Low.

Mengulas lanjut, Kit Siang justeru berkata, pendedahan DOJ tersebut menimbulkan persoalan sama ada Najib atau Jho Low yang menjadi benefisiari utama dalam skandal 1MDB itu.

“Sehingga jawapan yang memuaskan diterima, ia akan terus menjadi soalan utama di fikiran semua rakyat Malaysia,” katanya. – Roketkini.com

'Pelik, kenapa Pas ajak rakyat tolak Pakatan Harapan?'



SHAH ALAM - Tindakan Pas menubuhkan Gagasan Sejahtera (Gagasan) dan mengajak rakyat agar menolak Pakatan Harapan tidak akan memberi kelebihan kepada pembangkang.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Anuar Tahir berkata, Pas sepatutnya memikirkan kepentingan rakyat, bukannya organisasi mereka.

“Jika Pas sarankan rakyat tolak BN, tak mengapa. Tapi kita hairan mengapa perlu Pas ajak rakyat tolak Pakatan Harapan.

“Sikap Pas yang sebegini akan memberi kesan tidak baik kepada pembangkang secara keseluruhannya. Kalau betul-betul Pas sayangkan rakyat dan inginkan perubahan, lupakan kepentingan diri dan organisasi,” katanya, semalam.

Sabtu lalu, Pas mengumumkan pembentukan blok pakatan pembangkang baharu bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang dikenali sebagai Gagasan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dengan kewujudan Gagasan, rakyat tidak terikat dengan dua jalur pilihan politik sahaja.

“Justeru rakyat tidak perlu lagi terikat dengan dua pilihan jalur politik sedia ada yang mana satunya terbukti membawa budaya korup, kronisme, nepotisme serta kegagalan menguruskan pentadbiran negara iaitu Blok Umno/BN.

“(Dan) satu lagi jalur politik (Pakatan Harapan) yang menekankan budaya politik emosi, politiking melampau, permusuhan dan kemarahan membuta tuli dalam kalangan rakyat,” katanya.

Anuar berkata, walaupun Pas bersikap demikian, Amanah tidak akan menutup pintu untuk bekerjasama dengan parti itu terutamanya menjelang PRU14.

“Sebagai orang politik, kita kena amalkan sikap yang positif. Bukan bermakna kita tiada jalan untuk berdamai.

“Jika Pas tidak mahu berbincang dengan Amanah atau DAP, mereka boleh berunding dengan pihak lain. Kita tidak akan tutup pintu sebaliknya terbuka untuk bekerjasama asalkan membawa kepentingan rakyat,” katanya.

Melayu takkan hilang kuasa, yang lenyap hanya UMNO dan rasuahnya

melayu tak hilang

Imaginasi melampau Melayu hilang kuasa jika UMNO tewas pilihanraya adalah palsu. Orang Melayu tidak akan hilang kuasa seperti yang dimomokkan media dan cybertrooper UMNO.

Momokan itu dibuat untuk menanamkan ketakutan dalam minda Melayu supaya terus bersama parti itu walau apa jua keadaan sekalipun; membuatkan kita buta, bahawa rasuah mampu melenyapkan sejarah bangsa yang unggul.

Suka saya memetik kata-kata Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said. Kata beliau, tidak masuk akal mendakwa orang Melayu dan agama Islam di Malaysia terancam, memandangkan sudah hampir 60 tahun negara dikuasai UMNOyang kononnya mempertahankan Melayu.

“Kata-kata bahawa orang Melayu dan Islam kini sedang terancam sukar masuk otak saya. Sejak merdeka, Perdana Menteri semuanya Melayu, Timbalan Perdana Menteri semuanya Melayu, Menteri Dalam Negeri semuanya Melayu, malah Menteri Besar kebanyakannya Melayu,” kata Pak Samad.

Polemik Melayu hilang kuasa ditimbulkan bagi menutup segala kemelut politik, ekonomi dan sosial yang semakin gila. Selain skandal rasuah dan penyelewengan kritikal melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seperti isu 1MDB dan derma RM4.2 bilion, perkara lainnya melibatkan isu penggangguran mahasiswa, kelembapan ekonomi negara, penghakisan Tanah Rezab Melayu, isu Tabung Haji, isu wang simpanan pekerja KWSP, pemborosan kerajaan dan sebagainya.

Ketakutan ‘Melayu hilang kuasa’ dicipta untuk menakutkan orang Melayu dan mengalih perhatian rakyat daripada keadaan kritikal rasuah negara sehinggakan, mereka yang mengkritik kepimpinan UMNO dilabel sebagai mengkritik malah mengkhianati orang ‘Melayu’.

Kalau mengikut Ahli Parlimen Raub Datuk Mohd Ariff Sabri, tujuan UMNO terus membajai semua ketakutan yang dicipta itu adalah untuk lari daripada masalah utama yang dihadapi rakyat dan negara ini.

“Jangan nak lari dari masalah utama. Kita sekarang berhadapan dengan bagaimana kantung wang negara dirompak. Adakah kita mahu negara kita ditadbir orang sebegini? Saya Melayu dan akan terus kritik kepimpinan Najib. Saya tidak akan benarkan UMNO mendefinisikan keMelayuan saya,” katanya dalam satu temubual.

Sejak kecil dilatih takut hantu, bila dewasa takut kerajaan?

Momok ketakutan ini sudah ditanam sejak kecil dengan ketakutan-ketakutan yang tidak nyata dan remeh. Sejak kecil kita ‘dilatih’ untuk takut dengan hantu dan jembalang. Bila dewasa kita dilatih untuk takut dengan kerajaan dan segala kemungkinan yang samar, malah tidak benar sama sekali.

Realiti depan mata bagaimanapun memberi gambaran jelas bahawa UMNO gagal memimpin sebuah negara yang dihormati dan disegani kerana kualiti dan pencapaiannya. Akhirnya yang menjadi kambing hitam dalam hampir segala hal bersangkutan ‘Melayu’ dan ‘Islam’ dibebankan ke atas bahu DAP.

Menegaskan kenyataannya, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dalam suatu forum dahulu ada berkata, DAP tegas dan menjunjung kedudukan dan hak istimewa orang Melayu serta kedudukan agama Islam seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya adalah mustahil kuasa Melayu boleh hilang lantaran faktor demografi, undang-undang serta daulat Raja-raja Melayu.

“Masyarakat Melayu adalah masyarakat terbesar, dan semakin berkembang. Manakala masyarakat Cina hanya 25 peratus (daripada keseluruhan populasi) dan (jumlahnya) semakin mengecil,” katanya menjawab kerisauan kononnya Melayu semakin hilang kuasa.

Melayu takkan hilang kuasa, yang hilang kuasa ialah UMNO

Realitinya, orang Melayu tidak akan pernah hilang kuasa politik mereka walau apa pun yang berlaku kepada Najib dan UMNO dalam pilihanraya umum akan datang. Malah, bagi Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, beliau berpandangan jika UMNO tewas dalam pilihanraya akan datang, mereka akan mampu merubah sikap dan bermuhasabah menjadi parti yang lebih baik untuk bangsa dan negara.

Melayu tidak akan hilang kuasa walaupun Umno disingkirkan, kerana:

1. Pada tahun 1970, populasi Malaysia terdiri daripada 44.32 peratus Melayu, 34.34 peratus Cina, 8.99 peratus India, 11.89 peratus Bumiputera bukan Melayu dan 0.67 peratus etnik lain.

2. Pada 2010 pula, populasi kaum Melayu meningkat kepada 55.07 peratus, Cina berkurangan kepada 24.34 peratus, India mencatat penurunan kepada 7.35 peratus, Bumiputera bukan Melayu kekal pada 11.94 peratus manakala 1.3 peratus etnik lain.

3. Malah, pada Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu, 52.63 peratus pengundi merupakan kaum Melayu, 29.68 peratus kaum Cina, 7.31 peratus India, 8.96 peratus Bumiputera bukan Melayu dan 1.43 peratus etnik lain.

4. Daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, 114 merupakan kerusi majoriti Melayu yang mewakili 70 peratus kerusi, 22 kerusi majoriti Cina (13 peratus) dan 29 bilangan kerusi campuran. Tidak ada satu pun kerusi majoriti India.

Semua faktor ini menunjukkan penguasaan orang Melayu yang memberangsangkan dalam politik Malaysia – realiti demografi berhubung populasi negara, bilangan pengundi dan kawasan parlimen – dan mengapa kaum Melayu tidak akan pernah hilang kuasa politik mereka walaupun UMNO tewas dalam pilihanraya umum akan datang.

Yang pasti, jika UMNO tidak hilang kuasa, wang negaralah yang akan terus menghilang ke kantung pemimpin tamak dan boros. – Roketkini.com

TMJ dedah hasil pertemuan dengan PM


SHAH ALAM – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan bahawa beliau telah menyuarakan kebimbangannya terhadap situasi politik negara secara keseluruhan khususnya melibatkan negeri Johor dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Menurut Tunku Ismail, selain melontarkan suara mengenai peluang generasi muda berbakat untuk memainkan peranan lebih besar dalam membina negara ini, beliau turut bertanyakan kepada Perdana Menteri mengenai dasar dan prinsip diamalkan oleh kerajaan.

“Ini adalah antara isu-isu yang saya sampaikan kepada Perdana Menteri selain daripada isu-isu semasa lain di negara ini.

“Datuk Seri Najib turut berkongsi pandangan dan pendapat beliau kepada saya malah saya turut menyuarakan bukan sahaja kebimbangan tetapi juga suara rakyat,”katanya menerusi wawancara khas yang dimuat naik ke dalam laman Facebook Johor Southern Tiger semalam.

Tunku Ismail berkata, apabila berdepan masalah, beliau lebih gemar berterus terang dan menangani kesulitan yang hadapi dengan seberapa segera.

Ujarnya, beliau tidak suka untuk menyembunyikan masalah seperti sesetengah pemimpin tertentu yang hanya mahu bercuti percuma atau melobi projek-projek tertentu.

“Apabila saya menghadapi masalah, kelebihan saya adalah mampu untuk berhadapan dan membincangkan masalah tersebut serta mengendalikannya secara 'gentlemen'.

“Saya tidak bersembunyi di sebalik komputer dan hanya menulis di laman Facebook kerana saya bukannya seorang pengecut, yang membaling batu sembunyikan tangan,”katanya.

Tambah Tunku Ismail, beliau melakukan semua ini atas satu tujuan untuk memastikan Malaysia mencapai sebuah negara maju di samping memperjelaskan lagi pendiriannya terhadap pendidikan dan gejala rasuah.

“Saya akan terus bersuara serta memberi pandangan kepada pemimpin-pemimpin negara ini demi kepentingan rakyat.

“Selain itu, perbualan peribadi antara Datuk Seri Najib dan saya adalah antara kami sahaja. Bukan urusan orang lain,”katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...