TERKINI :

Friday, August 12, 2016

PAS & UMNO nak bersatu... teruskanlah, tiada siapa yang menghalang anda..!!!

Ulasan GreenBoc

Siapa pulak yang halang PAS-UMNO untuk bersatu? Malah kita amat mengalu-alukan tindakan PAS untuk bersatu dengan UMNO bukan sahaja dalam isu RU355 malah, bersatu terus pun tak mengapa seperti yang diwarwarkan oleh Presiden PAS dahulu dengan gagasan Kerajaan perpaduan (Unity Governement).

Yang anehnya macai PAS yang berhempas pulas menafikan dakwaan wujudnya UG.

Walaupun kita pernah menyatakan bahawa Hudud dan RU355 hanyalah helah dan umpan UMNO untuk memisahkan PAS dari parti pembangkang yang lain dan untuk memusnahkan Pakatan Rakyat, tapi PAS, kerana kebodohan bersiasah, masih percaya kepada UMNO.

Walaupun PAS berpendirian bahawa parti mereka di bawah kepimpinan ulama, tetapi ulama tidak semestinya pandai mentadbir negara. Lihat sahaja bagaimana PAS hanya berupaya memerintah Terengganu cuma sepenggal.

Apbila kita membawa hal itu, melompat pula para macai PAS menyatakan bahawa PAS tewas kerana SPR tidak adil.

Dah jika kamu tahu SPR tidak adil, mengapa kamu bersekongkol dengan kerajaan UMNO BN? Mengapa tak turut sama di dalam himpunan BERSIH 4.0 dahulu yang mahukan pilihanraya bersih dan adil?

Masih hendak perjuangkan hudud. Apakah hanya itu semata-mata perjuangan PAS?

Nak keredhaan Allah pula jadi alasan. Kalau nak keredhaan Allah semata-mata maka lebih baik dari badan dakwah, bukan parti politik. Perjuangan parti politik hanya mendapat keredhaan Allah jika menentang pemerintahan yang zalim, bukan bersekongkol dengannya.

Itu yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.

“Jihad yang paling afdhal adalah dengan berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim.”
[Riwayat at-Tirmidzi no. 2174, Abu Daud no. 4344 dan an-Nasa’ie no. 7834]

Kemudian beralih pula alasan dengan POLITIK MATANG. Jika politik matang jadi sandaran, tak berlaku peperangan diantara Rasulullah dengan kumpulan Quraisy di Mekah. Rasulullah boleh sahaja menerima pelawaan Abu Jahal dan Abu Lahab yang snaggup memberi dedak yang besar kepada Rasulullah saw.

Tetapi semua jenis dedak yang berupa pangkat, harta kekayaan dan jawatan-jawatan tersebut ditolak mentah oleh Rasulullah saw.

Mengapa Rasulullah saw menolak "POLITIK MATANG" (menurut tafsiran PAS), malah memilih untuk berperang dengan kaum Quraisy itu?

Sebabnya Rasulullah saw tahu kaum Quraisy itu mempunyai agenda tipu muslihat dengan dedak-dedaknya itu.

Kalau nak bersatu dengan UMNO. Teruskanlah. Ia lebih baik kerana akan lebih jelas diantara mereka yang benar-benar menentang kezaliman daripada mereka yang berpura-pura menentangnya tetapi sebenarnya bersekongkol untuk mempertahankan kezaliman tersebut.

Kenapa 30ribu pengundi dalam negeri Perak telah dipindahkan alamat & pusat mengundi tanpa notis dari SPR.

KENYATAAN MEDIA PAKATAN HARAPAN

Pakatan Harapan khuatir berlaku penipuan besar-besaran dalam penghijrahan pengundi di 10 DUN Negeri Perak

1. Pakatan Harapan Perak merujuk kepada penwartaan senarai pengundi-pengundi terbaru penggal suku kedua yang diwartakan oleh SPR pada 29/4/2016.

2. Pakatan Harapan setelah meminta bantuan dari badan pemantau pilihanraya Bersih 2.0 telah mendapati bahawa terdapat sejumlah 30,173 pengundi dalam negeri Perak telah dipindahkan alamat dan pusat pengundi mereka TANPA menerima notis dari SPR.

3. Jumlah tersebut adalah jumlah paling besar jika dibanding dengan negeri-negeri yang lain. Seramai 118,784 orang seluruh negara telah mengalami nasib yang sama dengan Perak menjadi negeri yang mempunyai pindaan & hijrah jumlah pengundi yang paling tinggi seramai 30,173 orang atau sebanyak 25.4% dari jumlah tersebut.

4. Pakatan Harapan mendapati bahawa kawasan yang mengalami penghijrahan pengundi terbesar berlaku di 10 kerusi Marginal yang mampu menentukan keputusan PRU-14 di negeri ini. 10 kerusi DUN tersebut mengalami secara purata penghijrahan pengundi seramai 1,814 orang di setiap DUN, satu keadaan yang cukup luar biasa.

5. Pakatan Harapan juga mendapati dalam 4 kerusi DUN, penghijrahan pengundi adalah lebih tinggi dari keputusan majoriti pada PRU-13 dan ini adalah satu perubahan yang amat terkejut. Keempat-empat kerusi DUN ini adalah DUN Selinsing, Changkat Jering, Pasir Panjang dan Changkat Jong.

6. Selaras dengan prinsip ketelusan & keadilan, Pakatan Harapan menggesa SPR dengan segera memaklumkan kepada pengundi sendiri jika alamat atau pusat mengundi mereka telah ditukar.

Pengundi sendiri yang dipindah tempat mengundi tanpa notis boleh dianggap satu penipuan dan penyelewengan yang secara sengaja untuk memihak kepada Barisan Nasional. Tindakan sedemikian merupakan pengkhianatan kepada sistem demokrasi negara kita.

7. Sekiranya SPR gagal memberi penjelasan yang telus dan memainkan peranan berkecuali, Pakatan Harapan terpaksa membuat laporan polis dalam tempoh terdekat supaya memelihara sistem demokrasi berparlimen supaya suara rakyat sebenar dijaga.

Tarikh : 9/8/2016

YB Dato Seri Nizar Bin Jamaluddin
Ketua Pembangkang DUN Perak

YB Tuan Nga Kor Ming(DAP)
Pengerusi DAP Perak

YB Senator Dr Muhammad Manuty(PKR)
Pengerusi PKR Perak

Tn Haji Asmuni Awi(AMANAH)
Pengerusi Amanah Negeri Perak

Mengesan kemana hilangnya 4 tokoh pembangkang yang pernah menggegar persada politik negara...

Dari politik ke ladang tomato: Mengesan 4 bekas pemimpin pembangkang
Aedi Asri

PETALING JAYA: Menceburi bidang politik tiada had umur. Ada yang bermula bila mencecah usia 40-an, tetapi meninggalkan kesan mendalam walaupun cuma beberapa tahun di pesada politik.

Ia juga tidak ada umur persaraan. Kadang-kadang, secara rasminya bersara atau dipaksa bersara, namun nama mereka sentiasa muncul dan dikaitkan dalam pelbagai permainan politik. Contoh terbaik ialah Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersara pada 2003, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sekali lagi dipenjarakan menyebabkan kehilangan jawatan ketua pembangkang.

Tetapi ada juga yang muncul buat seketika, menunggangi gelombang politik, hanya untuk tercicir sehingga tidak kedengaran lagi.

Di mana mereka sekarang? FMT cuba mengesan beberapa watak politik yang sebelum ini memenuhi ruang media, tetapi kini seakan hilang terus.

Gobalakrishnan dan ladang tomato

Sekiranya ada ensiklopedia mengenai era reformasi pada 1990-an dulu, nama N. Gobalakrishnan pasti mendapat catatan. Bekas ahli politik MIC ini muncul lewat 1998, dan bergerak aktif dalam PKR sebelum memenangi kerusi Parlimen Padang Serai pada PRU 2008.

Pernah menjadi naib presiden PKR, Gobala membuat pengumuman keluar parti pada 29 Januari 2011 atas alasan “bosan” dengan Anwar dan Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali yang didakwanya mengawal 100% parti itu.

Ketika dihubungi FMT, Gobalakrishnan memaklumkan yang beliau kini terlibat dalam bidang pertanian, dan memiliki 6 ekar ladang tomato di Cameron Highlands yang hasilnya turut dipasarkan ke Singapura.

“Ini adalah perniagaan yang mendatangkan pulangan yang baik. Di sini ada 50 ekar tanah yang boleh diusahakan, tetapi masih belum ada pelabur yang dapat membantu saya,” katanya yang berulang-alik setiap minggu dari tempat tinggalnya di Kulim, Kedah.

Bagi beliau, pembangkang berpecah kerana tidak ikhlas dalam perjuangan.

“Keadaan akan jadi lebih baik jika Anwar di luar (penjara). Beliau dan Najib patut bekerjasama, negara perlukan mereka,” katanya, yang masih menaruh harapan kepada Anwar.

Menurut Gobala, Anwar mampu menangani ancaman IS kerana pengaruhnya di kalangan pemimpin Islam dunia yang lain.

Hasan Ali bersama tabligh

Penceramah agama dan motivasi sepanjang era 90-an ini mula lebih terkenal selepas menyertai PAS pada zaman reformasi 1998.

Kini, Datuk Hasan Mohamed Ali kembali menumpukan perhatian kepada perniagaan, empat tahun selepas beliau dipecat oleh PAS kerana tidak mematuhi dasar parti.

Jawatan politik terakhir beliau ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, dan disebut-sebut menjadi menteri besar Selangor sekiranya Pakatan Rakyat merampas negeri itu daripada BN pada pilihan raya 2008. Bagaimanapun, ia tidak menjadi, dan Hasan dilantik exco agama sehinggalah pemecatan beliau.

Beliau juga kini giat dengan kumpulan dakwah Jemaah Tabligh, yang menurutnya ditinggalkan sementara ketika terlibat aktif dalam politik.

“Ia sesuatu yang saya lakukan 25 tahun lalu. Ia terhenti sekejap kerana sibuk dengan politik, maka sekarang saya perbaharui semula.

“Saya tidak rindukan politik, dan tidak fikir akan kembali (bergiat aktif),” katanya kepada FMT.

Zulkifli Noordin

Siapa yang dapat melupakan gambar Datuk Zulkifli Noordin dicium seorang pemuda India berbaju Barisan Nasional ketika hari pencalonan PRU 2013.

Zulkifli ketika itu dilantik Najib bagi melawan “musuhnya” Khalid Samad, penyandang kerusi Parlimen Shah Alam.

Tidak lama sebelum itu, beliau mengundang kontroversi apabila rakaman ceramahnya menghina agama Hindu tersebar secara meluas.

Peguam syariah ini pernah menyertai panel peguambela Anwar ketika dipecat dahulu.

Beliau juga aktif terlibat dalam melawan kes murtad, dan ketika masih berada dalam PKR mengundang kontroversi kerana pendiriannya yang tidak selari dengan polisi parti pelbagai kaum itu.

Pada 2010, Zulkifli dipecat selepas pertelingkahan terbuka dengan Khalid dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Namun, beliau masih cuba menampilkan dirinya dalam politik semasa dengan komen menyindir pembangkang dan memuji pentadbiran Najib.

Ezam Mohd Nor

Beliau barangkali antara ahli politik paling menonjol ketika zaman reformasi.

Ezam, salah seorang pengasas PKR, ibarat bintang yang kehabisan sinar sebelum waktunya.

Beliau dan Azmin merupakan tokoh paling rapat dengan Anwar, malah Ezam menggalas jolokan “klon Anwar” dengan bangga.

Ada banyak cakap-cakap di sebalik keluarnya Ezam daripada lingkungan pembangkang, namun sebab rasmi yang direkodkan adalah perjuangannya tidak lagi sehaluan dengan Anwar dan Azmin. Beliau dilantik senator sejurus selepas kembali kepada Umno.

“Ezam Kotak”, begitulah jolokan terhadap beliau kerana mendakwa memiliki 6 kotak menyimpan dokumen salah laku pemimpin negara. Beliau kemudian menafikan perkara itu dan berkata ia berada dalam simpanan Anwar.

April lalu, Ezam menafikan khabar angin yang beliau akan menyertai semula PKR. Kini menetap di Indonesia untuk menumpukan perhatiannya dengan NGO Hisbah Centre for Reform.

Beliau juga masih mengulas isu politik. Antaranya, beliau mengkritik penggunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi menutup laporan akhir siasatan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.

Najib dan misteri Selasa tak kunjung tiba

Shazni Munir Mohd Ithnin

Semalam genap lima kali Selasa dari janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyaman akhbar The Wall Street Journal. Bermakna, "Selasa" dijanjikan beliau sudah sebulan berlalu.

Dan Najib kelihatan masih 'buat bodoh' dengan janjinya seolah-olah rakyat masih hidup dalam gua dan tak tahu apa-apa tentang kes dan isu melibatkan pentadbiran beliau.

Daripada pendedahan WSJ hinggalah tindakan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS terhadap aktiviti penggubahan wang haram membabitkan seseorang dikenali hanya sebagai Malaysian Official 1 (MO1) dan konco-konconya, "Selasa" dijanjikan Najib masih tidak kunjung tiba.

Mungkin "Selasa" itu sebenarnya tidak wujud dalam kalendar Malaysia. Mungkin. Atau Najib menunggu "Selasa" lain yang tidak ada dalam fahaman kita sebagai satu daripada tujuh hari yang ada dalam seminggu.

Baiklah, mungkin kadang-kadang kita - sebagai rakyat - terlalu kasar, terburu-buru dan tidak sabar. Kalau ditanya elok-elok dan bersopan santun, mungkin perdana menteri akan memberi jawapan dengan baik.

Mari kita cuba bertanya dengan penuh budi bahasa: "Wahai perdana menteri yang disayangi, setelah lima kali Selasa berlalu, sejujurnya berapa lama lagi "Selasa" yang mahu ditunggu Datuk Seri untuk mengambil tindakan terhadap WSJ dan pihak-pihak lain yang mengaitkan Datuk Seri dalam jenayah 1MDB?"

Setelah bersopan-santun begitu dan Najib masih tidak menjawab, janganlah pula kita marah.

Rakyat tidak akan marah

Sebetulnya memang Najib tidak akan mengambil tindakan undang-undang pun. Najib cukup cerdik untuk tahu bahawa tindakan undang-undang di peringkat antarabangsa tidak hanya akan mengalahkan beliau, bahkan berisiko besar untuk mendedahkan kes-kes lain yang mungkin masih tersimpan kemas ketika ini.

Sebagai pemimpin utama sebuah parti yang telah berjaya memenangi 13 kali pilihan raya umum dengan sekian banyak 'silap mata', Najib cukup tahu apa yang boleh dan tidak boleh dibuat sebagai pemimpin.

Jika setakat berjanji kemudian 'buat bodoh' dan akhirnya membuat penafian, beliau percaya penuh bahawa rakyat negara ini tidak akan marah.

Bahkan marah-marah rakyat ketika ini hanyalah 'marah-marah kucing' yang akhirnya diyakini akan cair dengan pujukan BR1M bernilai RM1,000 menjelang pilihan raya.

Setakat pung-pang pung-pang bising kedai mamak, kita boleh saja tersenyum hingga ke telinga apabila mendapat bonus sebulan gaji daripada kerajaan.

Kemudian ada pula projek khas menafikan bahawa Najib bukanlan MO1, sebaliknya meyakinkan rakyat, wujud komplot amat terancang sedang berjalan untuk menjatuhkan beliau.

Najib cukup tahu bahawa politikus seperti Khairul Azwan Harun mudah untuk dipergunakan.

Buat laporan polis, kemudian jawab apa-apa saja depan wartawan dan bertabah untuk mendengar maki hamun berbakul-bakul daripada orang ramai sebagai seorang macai.

Mudah sungguh kerja pelapis-pelapis muda dalam Umno. Bak kata ketua mereka, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, tidak mengapa menjadi balaci atau macai demi "Kebersamaan dengan presiden." Hidup Melayu!

Calar imej, legasi bapa

Hal besar yang perlu difikirkan adalah, berapa lama lagi Najib mampu bertahan dengan stail kepimpinan seperti ini? Adakah beliau tahu bahawa hari demi hari orang ramai hanya berbincang, bila dan bagaimana untuk menurunkan Najib?

Adakah selepas ini Najib mahu menggunakan pula terma-terma Islamik seperti "bughah terhadap ulil amri' untuk menghalalkan tindak balasnya terhadap rakyat, sementelah beroleh kuasa cukup besar di tangannya melalui Akta Majlis Keselamatan Negara yang sempurna diwartakan?

Bapanya, almarhum Tun Razak Hussein - dengan pelbagai jasa besar kepada negara - merupakan tokoh pemimpin yang pernah bernadi di sanubari rakyat.

Najib sendiri acap kali menyebut-nyebut nama dan legasi bapanya, seolah-olah ingin membina persepsi bahawa beliau mengikut jejak bapanya.

Namun dengan segala macam skandal, pembohongan dan penafian ini, tidakkah beliau terfikir bahawa tindak-tanduk itu bukan saja mencalarkan imej dirinya, bahkan almarhum bapanya yang dibanggakan sebagai Bapa Perpaduan?

Melebihi sepenggal kepimpinan beliau, malangnya Najib ketika ini hanya boleh berbangga sebagai perdana menteri paling tidak digemari dalam sejarah panjang Malaysia.

Tidak hanya dibenci, majoriti rakyat bahkan malu untuk dikaitkan dengan dirinya, lebih-lebih lagi isterinya, Rosmah Mansur. Jika sebelum skandal 1MDB beliau hanya merupakan liabiliti kepada Umno dengan adanya bayang-bayang First Lady of Malaysia yang cukup berpengaruh dalam kerajaan, kini Najib secara pasti merupakan liabiliti kepada rakyat serta peradaban negara.

Najib dan "Selasa" misteri dan entah bagaimana bentuknya itu adalah simbol hubungan gagal antara pemimpin dan rakyat. Amat menyedihkan apabila rasa hilang kepercayaan itu menjejaskan kebanggaan rakyat terhadap negara berdaulat ini.

Maka buatlah sesuatu duhai rakyat. Sebelum negara ini 'mati' dan 'dikapankan' terus, sementara masih ada rnyawa-nyawa ikan ini, bertindaklah segera memberikan bantuan pernafasan CPR kepada watan tercinta.

Jika itupun masih susah dan lambat-lambat untuk mengorak langkah, maka terimalah salam takziah awal daripadaku.

Belasungkawa rakyat Malaysia!

#TangkapMO1 #27Ogos #KL

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN ialah naib ketua pemuda Parti Amanah Negara

'Jika BERSATU rasis, boleh saya masuk MCA, MIC?'

Syed Saddiq Abdul Rahman membangkitkan sama ada beliau boleh menyertai MCA dan MIC selepas parti-parti itu menuduh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai perkauman.

Bekas juara debat Asia itu antara jawatankuasa penaja BERSATU yang didaftarkan di Pendaftar Pertubuhan (ROS) di Putrajaya pada Selasa.

“Umno memperalatkan MCA dan MIC yang tidak berfungsi dan tidak berkuasa untuk mengaitkan parti ini rasis kerana berasaskan kaum.

“Saya hendak tanya MIC dan MCA, bolehkah saya sebagai orang Melayu, masuk parti kamu?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Syed Saddiq mempertahankan pendirian BERSATU bahawa ia tidak sepenuhnya berasaskan kaum kerana parti untuk bumiputera itu juga menerima anggota bersekutu bukan bumiputera.

Beliau membangkitkan cadangan Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon berkaitan mekasnisme sama dua bulan lalu demi menjadikan parti itu lebih rencam kaum, tetapi BERSATU telah mendahuluinya.

“Kami yang buat dulu. Mereka (MCA) cakap tidak serupa bikin. Jangan lupa, perlembagaan (parti) kami berasaskan reformasi dan kita melihat ke arah gabungan dengan parti-parti pembangkang lain.

“Saya secara peribadi cabar MCA dan MIC melakukan tindakan sama jika mereka benar-benar ambil berat berkaitan peralihan perlahan-lahan untuk keluar daripada politik berasaskan kaum.

“MCA sudah cadangkannya. Kotakan kata-kata,” katanya.

Bekas timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam secara rasmi mendaftarkan BERSATU untuk menyaingi wadah politik lamanya Umno.

ROS akan membuat keputusan sama ada meluluskan pendaftaran itu.

Setakat ini, Umno menentang penggunaan nama BERSATU atas alasan ia sering digunakan dan mendatangkan kekeliruan masyarakat.

Pemimpin-pemimpin BERSATU mungkin mengambil alih parti sedia ada jika pendaftaran mereka ditolak.

SINAR HARIAN

‘Apa salah Pas, Umno bersatu’ - Nik Mohamad Abduh

SHAH ALAM – “Sekiranya DAP dan MCA boleh bersatu (menentang RUU 355), apa salah Pas dan Umno bersatu juga dalam isu yang sama, tegas Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau menyifatkan perkara itu adalah berita baik yang ditunggu-tunggu setelah dahulunya Umno menentang, tetapi kini turut bersama menyokong pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 atau RUU Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah).

Nik Mohamad Abduh berkata, Pas dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam telah sepakat untuk menyeru seluruh ahli parlimen Muslim agar menyokong RUU355 ini.

“Ia adalah hari besar untuk Islam di Malaysia. Jika ada ahli parlimen bukan Islam turut menyokong, maka ia adalah bonus besar buat penyatuan dan kesejahteraan negara yang wajar dirayakan juga.

“Seperti saya tekankan di atas, sebagaimana Umno memerlukan masa untuk memahami, MCA dan DAP lagi-lagilah memerlukan masa,” katanya menerusi catatan terbaharu di laman sosial Facebooknya, semalam.

Kenyataan itu berikutan tindakan MCA dan DAP yang dilihat bersatu hati menentang RUU355 yang dijelaskan oleh Nik Mohamad Abduh bertujuan memperkasakan kedudukan mahkamah syariah dalam sistem perundangan negara.

“Secara mudah, kedua-dua parti dominasi non Muslim itu mempunyai dua matlamat yang sama iaitu memastikan berkembangnya arus sekular yang menolak peranan ugama dalam politik negara dan keduanya, saling berebut undi non Muslim.

“Dengan membesarkan isu pelaksanaan hukum hudud melalui RUU355 ini, mereka cuba menggambarkan masa depan Malaysia yang gelap jika ianya diluluskan,” ujarnya.

Malah, Ahli Parlimen Pasir Mas itu membidas DAP dan MCA pastinya akan bersatu sekiranya melibatkan soal hak dan tuntutan golongan LGBT.

“Saya tidak fikir pula jika hak dan tuntutan golongan LGBT diterima dalam negara, kedua-dua parti ini akan bersatu hati menentangnya.

“Dalam erti, memperkasakan perundangan Islam dalam negara adalah lebih bahaya dan menggelapkan masa depan negara berbanding kehadiran LGBT yang sedang berkembang menghancurkan dunia barat kini.

“Apa pun, saya memilih untuk melihatnya sebagai kejahilan yang perlu dilunakkan dengan proses pemahaman yang menagih sedikit masa yang lebih,” katanya.

Nik Mohamad Abduh berkata, pemerkasaan sistem Islam yang menyeluruh dalam negara asalnya adalah perjuangan Pas yang tidak dikongsi oleh mana-mana parti politik sebelum ini.

“Dalam sistem perundangan Islam yang diimplementasikan melalui mahkamah syariah, titik-titik kelemahan adalah amat ketara. Pas sentiasa menyeru kepada islah yang menyeluruh. RUU355 adalah sebahagian daripadanya.

“Tujuan adalah jelas. Ia agar mahkamah syariah menjadi sebahagian daripada institusi dalam negara yang mendidik umat Islam agar hidup berguna sebagai hamba Allah dan menjadi warga negara yang baik.

“Hukuman agama nilainya adalah pada keberkesanan dan kejayaan mendidik dan mencegah kejahatan,” katanya.

Beliau berkata, Pas sentiasa mencadangkan dialog dan perbincangan yang sejahtera dan terbuka.

SINAR HARIAN





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...