TERKINI :

Monday, August 8, 2016

Salah sendiri Najib tertekan, kata pembangkang

Khairil Ashraf / FMT

PETALING JAYA: Datuk Abdul Rahman Dahlan diingatkan supaya tidak menjadi ‘ahli politik kesiangan’ dengan menyalahkan pembangkang sebagai punca Datuk Seri Najib Razak tertekan.

Sebaliknya, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, Najib menjadi perdana menteri paling tertekan di dunia disebabkan tindakan beliau sendiri.

“Ahli politik kesiangan ini sudah siang pun tidak sedar, bermimpi lagi.

“Penyakit itu dicari Datuk Najib sendiri. Layaklah dia mendapat penyakit itu. Sampai ke hari ini dia tidak boleh menjawab secara tuntas isu berkaitan 1MDB. Dan tentang fitnah yang dilemparkan pembangkang, itu paling lucu bagi saya.

“Kerana apa? Kerana Datuk Rahman Dahlan sendiri tidak kenal ke Tun Dr Mahathir Mohamad? Tidak kenal ke Tan Sri Muhyiddin Yassin? Tidak kenal ke Datuk Seri Shafie Apdal? Juga Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) yang mereka daripada Umno sendiri mendedahkan penyelewengan 1MDB itu,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Abdul Rahman dalam mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Sepang pada Sabtu lalu menyifatkan Najib adalah perdana menteri paling tertekan di dunia kerana sering dihujani kenyataan berbentuk fitnah dan tuduhan liar daripada pembangkang.

Beliau mendakwa pembangkang sudah tewas dan cuba meraih modal politik dengan melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap Najib, “bermula hari beliau mengambil alih” jawatan perdana menteri, pada 2009.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad pula berkata, Najib perlu bersikap telus dalam pentadbirannya dan beliau boleh menyaman sesiapa sahaja yang memfitnahnya.

“Dia ada kuasa semua…peguam negara bawah dia, ketua polis negara bawah dia, samanlah kalau tuduhan itu menimbulkan fitnah. Itu yang sepatutnya dilakukan.

“Tak timbul tertekan atau tidak. Kebetulan zaman hari ini zaman media sosial. Maknanya orang-orang Umno ini bawa masalah semua berpunca daripada kepimpinan Umno yang uruskan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, pembangkang bertanggungjawab memantau serta menegur kesilapan kerajaan dan perkara itu tidak berlaku kepada Najib sahaja, sebaliknya perdana menteri lain turut dikritik pembangkang.

Beliau berkata, Najib tertekan sebenarnya bukan disebabkan pembangkang, sebaliknya ia berpunca daripada laporan media antarabangsa.

“Tak ada kena-mengena dengan pembangkang pun. Yang dia kena serang Wall Street Journal. Yang dedahkan semua ini media-media antarabangsa. Apa kena-mengena dengan pembangkang?

“Pembangkang ini kritik kerajaan. Mahathir pun kena teruk, Pak Lah pun kena teruk. Itu biasalah. Pembangkang ini memang kerja kita untuk memantau, kritik kerajaan kalau didapati benda yang tak betul,” tegasnya.

AC Mizal, isteri saman Utusan RM25 juta

Penyanyi dan pengacara Datuk Mizal Zaini atau dikenali sebagai AC Mizal bersama isterinya Datin Emylia Rosnaida Abdul Hamid dan dua lagi memfailkan saman fitnah terhadap Utusan Melayu (M) Sdn Bhd dan tiga yang lain, menuntut ganti rugi RM25 juta.

AC Mizal yang juga Presiden Peace Yall Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan operasi saluran radio penyiaran internet swasta, memfailkan saman itu melalui Tetuan Shahrir & Co pada 30 Mac lepas.

Plaintif dalam saman itu ialah AC Mizal, 45, Emylia Rosnaida, 43, yang juga naib presiden syarikat itu, Rashidi Ishak, 43, ketua pegawai eksekutif syarikat itu dan Peace Yall Sdn Bhd.

Mereka menamakan wartawan hiburan Utusan Melayu, Syed Musaddad Syed Mahdi, bekas Pengarang Mingguan Malaysia Ku Seman Ku Hussein, Ketua Pengarang Utusan Melayu Datuk Abdul Aziz Ishak dan Utusan Melayu sebagai defendan pertama hingga keempat.

Mengikut pernyataan tuntutan, kesemua plaintif mendakwa Syed Musaddad melalui sisipan Pancaindera yang diterbitkan bersama-sama dengan Mingguan Malaysia membuat andaian fitnah terhadap plaintif-plaintif di dalam artikel berjudul Peace Yall FM Tak Bayar Gaji.

Mereka mendakwa perkataan-perkataan dalam artikel itu menggambarkan kesemua plaintif merupakan majikan, presiden syarikat, ahli perniagaan, ahli masyarakat atau individu yang tidak bertanggungjawab, cuai, dan lalai terhadap pekerja mereka.

Kesemua plaintif mendakwa perkataan itu juga boleh menggambarkan mereka mempunyai reputasi kewangan atau perniagaan yang teruk dan tidak boleh dipercayai, sedang menanggung beban hutang atau kewangan yang teruk hingga tidak mampu untuk membayar gaji pekerja.

Mereka mendakwa reputasi dan nama baik mereka selaku ahli perniagaan dan penggiat bidang seni telah terjejas teruk.

Mereka menuntut ganti rugi am bagi memfitnah sebanyak RM15 juta dan ganti rugi teruk RM10 juta, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Peguam Ahmad Shahrir Baharuddin yang mewakili kesemua plaintif ketika ditemui pemberita selepas prosiding di dalam kamar hakim Abu Bakar Jais hari ini, memaklumkan mahkamah menyarankan kedua-dua pihak supaya menyelesaikan kes saman fitnah itu melalui proses mediasi.

Katanya mahkamah menetapkan esok untuk pengurusan kes berkenaan. Turut hadir pada prosiding itu ialah peguam Ooi She Yi yang mewakili kesemua defendan.

- Bernama

Hanya parti macam Umno boleh lawan Umno

Oleh Nor Miswary Ramli

mahathir51
Rupa-rupanya, bukan semua yang meyakini demokrasi sejujurnya.

Ini sebermulanya apabila Tun Dr Mahathir Mohamad disebut-sebut bernafsu semula menubuh parti baharu yang hanya boleh disertai oleh orang Melayu/Bumiputera sahaja.

Mulanya kita dihidang dengan kritikan tidak membina dari pihak Umno, tetapi kini turut tumpang selori mengkritik datang juga daripada bebarapa pihak blok pembangkang.

Kenapa kita tidak boleh melihat dari kaca mata yang lebih luas, lebih berkesan dan lebih bermanafaat? Biarpun cerita ini belum boleh dibuktikan kesahihannya, ada tokoh wartawan yang mengesahkannya di media.

Saya termasuk dalam senarai mereka yang tidak menandatangani Deklarasi Rakyat (DR) atau menyetujui gerakan politik “Selamatkan Malaysia” yang diusahakan Dr Mahathir dan beberapa pimpinan parti dalam blok Pakatan Harapan (PH).

Bukan niat memperkecilkan usaha beliau dan beberapa pemimpin parti pembangkang yang lain. Saya cuma melihat ianya tidak lebih daripada kaedah politik yang tidak praktikal yang tidak seharusnya disertai parti komponen PH yang sepatutnya menumpukan usaha memasarkan jenama Pakatan Harapan yang kebetulan baru sahaja ditubuhkan ketika itu.

Malah gerakan yang tidak pula dipimpin oleh mana-mana pemimpin PH ini dilihat rakyat sebagai satu kelemahan PH.

Mereka menyimpulkan yang PH sudah tewas ketika mendepani BN lalu berputus asa di tengah jalan, dan Dr Mahathir menyambut dan kemudiannya menyambungnya. Persepsi ini menjadi sangat buruk ke atas PH di mata rakyat. Akibatnya berlaku sedikit gejolak kecil sesama parti dan pimpinan dalam PH.

Memang sudah dijangkakan kebimbangan gerakan ini boleh merubah batu asas perjuangan politik blok pembangkang dan boleh memperlahankan momentum PH yang sepatutnya diangkat melebihi DR dan gerakan “Selamatkan Malaysia” ini.

Mujurlah warkah Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara sama berkongsi kebimbangan tersebut dan ianya sedikit sebanyak meredakan penulis.

Sekutu baharu Pakatan Harapan?

Tetapi apabila Dr Mahathir mula menyusun langkah baru bersama pemimpin Umno terbuang, mahu menubuh parti baharu. Ia satu langkah agresif yang wajar dan perlu disegerakan.

Biarpun secara prinsip ideologi politik parti yang mahu beliau asaskan itu berbeza atau tidak mencapai nafsu blok pembangkang, namun ia seharus dilihat sebagai sebahagian elemen yang ada baiknya juga untuk PH.

Bukankah kita jujur mahu menjulang prinsip demokrasi yang memberikan hak buat mereka untuk menyampaikan hajat perjuangan politik mereka.

Amanah yang ditubuhkan cuba medakap sasaran semua bangsa sambil mengangkat nilai Islam yang membawa rahmat buat sekelian alam.

Ia sebagai sasaran yang meluas melangkaui idea politik parti PAS yang pernah mereka anggotainya dulu. Mereka mungkin akan mewaklili kerusi PH yang lebih seimbang ataupun lebih sedikit nisbah Melayu/Islam yang menerima konsep Islam yang lebih universal, dan bukannya Islam yang terhad dan lebih jumud.

Ketika DAP dan PKR yang tentunya akan diberi kerusi majmuk yang majoritinya bukan Melayu/Islam, sudah tentu parti baharu Dr Mahthir ini boleh mengisi kekosongan kerusi majoriti atau hampir keseluruhan Melayu/Islam yang sebelumnya hanya dimenangi Umno melalui BN.

Parti ini jika keberatan, tidak perlu menganggotai PR, mereka boleh sekadar mengikat satu persefahaman politik yang lebih dinamis yang mungkin hanya untuk mengalahkan Datuk Seri Najib Razak dan menarik minat ahli Umno menyertai ataupun mengundi mereka. Telahan ini mudah untuk kita perolehi jika kita menyedari sejak gerakan “Selamatkan Malaysia” melalui kempen tandatangan Deklarasi Rakyat.

Ahli Umno ini, biarpun setinggi gunung pun benci mereka kepada Najib, mereka sekali-sekali tidak meredhai dan menyenangi parti politik pembangkang yang lain. Menolak Najib dan menyertai DAP misalnya adalah premis paling tidak munasabah bagi mereka ini. Biarpun ramai yang tentunya menolak faham ini, tetapi mereka hanya percaya dengan sistem parti politik yang serupa dengan Umno itu sahajalah untuk menumbangkan Umno.

PH akan mempunyai lebih alternatif

Masakan tidak, kalau begitu Dr Mahathir atau beberapa Umno pimpinan terbuang yang lain tidak perlulah bersusah payah menubuhkan parti baharu jika cita-cita mereka sama dengan parti dalam PH.

Anwar yang dipecat daripada Umno pernah juga dihebohkan akan menyertai PAS sewaktu era reformasi dulu. Ramai yang menjangkakan begitu. Namun, Anwar tidak melakukannya.

Beliau menyedari golongan yang mendokongnya datang dari pelbagai latar belakang, kepercayaan agama dan berbeza bangsa. Beliau mahukan agenda yang berbeza daripada PAS, walaupun PAS antara parti yang awal-awal memperlihatkan simpati dan sokongan kepadanya seusai beliau dipecat.

Ini sebenarnya tidak sukar diduga, kerana sejak Anwar keluar dari Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang sama-sama beliau asaskan, ketika itu pun beliau sudah tidak memilih PAS.

Dr Mahthir sedar situasi ini dan pengalaman politiknya memandu beliau untuk mengetahui siapa dan golongan mana yang ada menyokongnya.

Dan apa yang Dr Mahathir lakukan ini, iaitu menubuh parti baharu dengan keahlian Melayu/Bumiputera sahaja, bukanlah sesuatu yang diluar kebiasaan perjuangannya.

Dr Mahathir pernah cuba melakukannya dulu apablia menubuhkan semula Umno Baru pada 13 Februari 1988. Jadi, biarpun ideologi tidak seperti DAP atau PKR, yang tidak terhad kepada sesuatu kaum atau agama sahaja, ia sebenarnya akan memberi sedikit sebanyak kelebihan kepada PH sebenarnya.

Parti Dr Mahathir ini boleh mempunyai persefahaman politik semasa pilihanraya dan juga boleh juga terkeluar dan bergerak secara berseorangan jika sampai maksud perjuangan mereka.

Parti baharu beliau ini tidak akan terikat dengan mana-mana ideologi parti yang besekutu dalam PH.

Parti baharu ini tidak akan mampu mecabar kedudukan parti yang lebih bersifat “multiracial” ini.

Rakyat akan mempunyai lebih pilihan dan PH akan mempunyai lebih alternatif untuk mengatur strategi dalam usaha menumbangkan Umno/BN.

Kita harus jelas, PH bukan menentang Umno/BN ini semata-mata disebabkan ideologi parti mereka yang berasaskan satu kaum. Mereka ditentang disebabkan menyalahguna kedudukan di tampuk kuasa, boros dalam mengurus perbelanjaan negara dan tidak amanah dalam mengurus harta awam sehingga membebankan rakyat. Inilah tunjang paling asas kenapa Umno/BN ini perlu ditentang, dan bukanlah semata-mata faktor parti mereka yang memperjuangkan satu-satu kaum sahaja.

Mengurus dan menyalurkan sokongan

Tindakan menubuhkan parti baharu ini boleh menyalurkan para simpati dan pendokong pemimpin terbuang Umno ini ke platform yang lebih menguntungkan, baik untuk PH dan mereka sendiri.

Berbanding dengan sekadar Deklarasi Rakyat misalnya, belah bahagi antara kelompok penyokong dan penentangnya akan terus wujud kerana hala tujunya agak kabur dan dilihat tidak berkesan.

Biarpun lebih sejuta tandatangan diperolehi, PRN Sarawak, PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar memberi jawapan awal akan keberkesanannya. Malah boleh disebut disini, kegagalan ini disebabkan oleh pendokong Dr Mahathir atau Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hanya mengimani parti yang berasaskan satu kaum menyerupai Umno sahajalah yang mampu menewaskan Najib dan Umno/BN.

Maka, bila ia dikiritik beberapa pimpinan Umno, ia petanda jelas yang pemimpin Umno ini berasa sedikit gusar. Mereka menyedari ada sebuah parti yang mirip Umno akan ditubuhkan untuk menyaingi mereka.

Namun, pemimpin blok pembangkang tidak seharusnya terikut-ikut untuk turut sama mengkritik dan kelihatan gagal pula membaca perubahan politik ini.

Dari awal kita tahu Dr Mahathir, Muhyiddin ataupun Datuk Seri Mukhriz Mahathir meyakini perubahan masih boleh dilakukan di dalam Umno hanya jika Najib diturunkan. Legasi Umno dan segala sifat suci perjuangannya harus mereka bela dan masih boleh dipertahankan jika pemimpin seperti mereka mengetuainya.

Mereka tidak pernah meyakini PH boleh melakukannya malah dengan sifat “multiracial” parti di dalamnya, dan jika kita semak kenyataan mereka ketika masih di dalam Umno ataupun ketika memegang jawatan kerajaan, mereka tidak pernah beriktikad kemampuan PH untuk melakukannya.

Oleh itu, jangan abaikan fakta ini. Mereka kini keluar dan ada antara mereka yang dibuang dari Umno, dan dengan parti baharu yang ampuh mirip Umno sahajalah yang mereka percaya untuk mejatuhkan Najib dan menawan hati ahli Umno di dalamnya.

Umno yang diketuai presiden sekarang bukanlah parti asal sebagaimana yang diasaskan pada tahun 1946 dulu. Najib hanya mengetuai sebuah parti baharu yang pernah ditubuhkan semula oleh Dr Mahathir, dan Dr Mahathir mahu mendapatkan ia semula melalui parti baharunya itu.

Nor Miswary Ramli seorang pembaca FMT.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Pua keluar mesyuarat PAC, bantah Hasan lindungi PM dan 1MDB

Minderjeet Kaur \ August 8, 2016

Pua berkata, beliau malu menjadi sebahagian anggota PAC yang didakwanya cuba melindungi perdana menteri dan 1MDB.

tony-pua_1mdb_pac_600
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua hari ini meninggalkan mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebagai bantahan terhadap keengganan Datuk Hasan Arifin membuka semula siasatan 1MDB.

“Saya amat malu sebagai sebahagian PAC yang menjadi begitu lemah, cuba sembunyikan (kes 1MDB). Saya tidak boleh berada dalam mesyuarat itu dan berpura-pura melakukan kerja saya apabila skandal terbesar di Malaysia tidak dibincangkan.

“Biar kami panggil perdana menteri (untuk disoal siasat). Jika dia tidak bersalah, biar PAC lindungi nama baik perdana menteri,” kata Setiausaha Publisiti DAP itu di luar bangunan Parlimen.

Tegasnya, ada penting untuk membuka semula siasatan terhadap 1MDB, khasnya selepas saman sivil yang difailkan DoJ AS bagi menyita AS$3.5 bilion yang didakwa digelapkan daripada syarikat milik Kementerian Kewangan Malaysia itu.

Pua berkata, beliau menyuarakan tiga permintaan dalam mesyuarat PAC.

Pertama, mendapatkan penjelasan berhubung laporan terbaru Wall Street Journal yang Good Star Limited adalah milik ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low.

“Saya tanya beliau jika laporan itu tulen. Saya tanya beliau (Hasan) mengenai surat Bank Negara yang ditujukan kepada semua ahli PAC menyatakan Good Star Limited adalah milik Jho Low,” katanya.

Pua berkata, kegagalan pengerusi PAC memberi jawapan berhubung laporan dan surat Bank Negara itu menunjukkan Hasan cuba “melindungi orang di sebalik 1MDB.”

Isu kedua yang dibangkitkan Pua ialah memohon kebenaran membuka semula laporan siasatan 1MDB berdasarkan laporan DoJ menyatakan seorang individu sebagai Malaysian Official 1 dan AS$781 juta dimasukkan dalam akaun peribadi MO1.

“Sebab itu saya menggesa kes ini dibuka semula. Kita perlu memanggil Najib untuk mengetahui apa yang diperkatakan itu adalah benar atau palsu,” katanya sambil menambah PAC perlu melindungi Najib daripada DoJ, jika perdana menteri boleh membuktikan beliau tidak bersalah.

Permintaan ketiga Pua ialah menyiasat laporan mendakwa SRC International mengambil RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

“Sepanjang mesyuarat, pengerusi asyik kata kami sudah lakukan bahagian kami. Kami sudah tutup kes ini.

“Macam mana itu boleh berlaku khasnya dengan pendedahan terbaru itu,” katanya yang kecewa tiga permintaan itu ditolak Hasan.

PAS nafi laporan Sarawak Report berkaitan pimpinan mereka ada menerima wang RM90juta

Sarawak Report menfitnah PAS

Nampaknya agenda untuk terus-menerus mengaitkan PAS dengan Umno terus berlaku.

Hari ini, Sarawak Report berbohong kononnya pimpinan tertinggi PAS menerima RM9o juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tidak pasti apa matlamat fitnah laporan Sarawak Report ini selain hendak menggaitkan PAS dengan Umno.

Apapun, PAS akan mengambil tindakan undang-undang ke atas laporan tersebut yang mempunyai niat jahat dan mencemar nama baik parti dan dasar Islam yang menjadi teras kepada perjuangan PAS.

PAS ingin menegaskan bahawa berita tersebut adalah palsu dan berniat jahat.

Tindakan menfitnah PAS ini menjejaskan dengan teruk kepercayaan orang ramai kepada semua laporan mereka selama ini.

Selaras dengan sabda Rasulullah SAW bermaksud, "Sesungguhnya fitnah itu sedang tidur, Allah melaknat sesiapa yang mengejutkannya" - saya menggesa agar orang ramai agar menjauhi fitnah dan elak menyebarkan sebarang berita yang berbentuk fitnah, terutamanya laporan Sarawak Report terbaru ini.

Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
8 Ogos 2016

Umno kurang popular di kalangan anak muda

Wartawan Sinar Harian
8 Ogos 2016

SHAH ALAM - Parti baru yang bakal dipimpin oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tidak sekuat Umno namun ia mampu melemahkan parti Melayu itu dengan menarik sebahagian pimpinan cawangan selepas ini.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, pengundi muda yang terdedah dengan dunia siber sebahagian besarnya mula hilang sokongan pada Umno khususnya di kawasan bandar.

“Kedudukan Umno jelas kurang popular di kalangan pengundi muda mungkin menjadi penyebab utama mengapa Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin memberikan peringatan kepada ahli pemuda.

“Ini menunjukkan bahawa Khairy seorang pemimpin peka di mana Umno sedang berdepan defisit sokongan dan semua pihak tidak harus mengabaikan apa sahaja bahaya yang mungkin wujud,” katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, Khairy mengingatkan Pemuda Umno supaya tidak mengambil mudah penubuhan parti baharu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dengan beranggapan parti kecil itu tidak akan bertahan lama.

Dalam pada itu, Md Shukri berkata, golongan berpendidikan tinggi serta profesional juga dilihat semakin jauh dari Umno malah gejala peminggiran oleh generasi muda amat merbahaya kepada pergerakan pemuda sebagai benteng pelapis parti berkenaan.

“Kewujudan lebih ramai pemuda yang tidak berparti adalah petanda bahawa kekuatan Umno bila-bila masa boleh tergugat jika langkah proaktif membina kesetiaan ahli tidak tercapai.

“Beberapa buah negeri yang dikuasai Umno mungkin akan terlepas kepada pembangkang jika gesaan Khairy tidak diambil peduli,” katanya.

Tambahnya, Umno tidak seharusnya mengambil kira soal kerusi di Dewan Rakyat namun perlu memberikan perhatian serius kepada pergerakan akar umbi.

“Lompat parti secara tidak rasmi oleh ahli Umno kepada parti baharu boleh mengganggu jentera dan kekuatan di cawangan serta Pusat Daerah Mengundi (PDM),” katanya.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...