TERKINI :

Thursday, August 4, 2016

Komplot Jatuhkan Najib - Kambing hitam terbaru akan dikorbankan

Ku Seman
(Peringatan: Ini bukan rencana politik)


Saya fikir Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun tidak mempunyai keberanian untuk bertindak sebelum mendapat isyarat daripada Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Najib Razak. Saya sama sekali tidak fikir sikap pemimpin bawahan UMNO berani melangkau ketua. Mereka sanggup mempertahankan ketua tetapi tidak sanggup mempertahankan kebenaran.

Semalam Khairul dengan diiringi beberapa juaknya telah membuat laporan polis terhadap tiga bekas pegawai tinggi kerajaan kononnya berkomplot dengan pihak luar untuk menggulingkan Najib. Mereka yang dituduh oleh Khairul ialah bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail, bekas Gabenor Bank Negara Zeti Aziz dan Ketua Persuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamad.

Khairul bukan sahaja mendapat isyarat daripada Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin tetapi yang lebih signifikan ialah isyarat daripada Najib. Ini kerana mereka bertiga menganggotai pasukan yang menyiasat 1MDB tetapi kemudianya dibubarkan. Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar yang kelihatan "mesra" arus perdana tidak termasuk dalam senarai laporan polis.

Tentu kita masih ingat budak yang sama juga yang mendesak kerajaan menarik balik kemudahan yang dinikmati Tun Dr. Mahathir di Yayasan Perdana kerana kerana mengkritik Najib. Tidak lama selepas itu "Majlis Tertinggi" mengambil ketetapan menutup Yayasan Perdana. Siapa yang menguasai keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kalau bukan Amerika. Siapa yang menguasai keputusan MT kalau bukan Presiden. Maaflah saya tidak fikir MT berani menyanggah arahan Najib.

Perkara ini (laporan polis) adalah suatu yang terancang. Buktinya sebaik sahaja Pemuda UMNO membuat laporan polis cybertrooper pro Najib dengan cepat memuat naik komen-komen yang menyokong tindakan itu dan mencaci ketiga-tiga pegawai tinggi berkenaan.

Ini pasti akan disusul kemudian dengan reaksi daripada pemimpin-pemimpin UMNO yang menyeru supaya pihak berkuasa membuat siasatan ke atas ketiga-tiga tokoh ini. Tidak cukup pemimpin tinggi UMNO komen juga akan datang daripada "entah siapa-siapa" asalkan menyokong tindakan Pemuda UMNO.

Ironinya, ketiga-tiga pegawai tinggi yang dituduh oleh Pemuda UMNO sebagai dalang mengguling Najib sudah terbukti individu yang berintegriti tinggi. Tetapi ketiga-tiga jabatan yang mereka terajui telah dikacau oleh tangan-tangan ghaib; pertukaran aneh Peguam Negara, pemindahan paling tidak masuk akal dua pengarah SPRM yang menyiasat 1MDB dan serangan kepada Zeti.

Saya juga mempunyai kebimbangan bahawa ketiga-tiga mangsa politik kotor ini dikenakan tindakan di bawah undang-undang yang menafikan peluang mengemukakan bukti. Saya selari dengan kebimbangan peguam Syahredzan Johan sekiranya mereka bertiga akan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), yang membolehkan penahanan awal sehingga 28 hari tanpa bicara. Kita jangan lupa bahawa tuduhan ini adalah berat.

Pada Rabu lalu Najib telah menjadi tumpuan dunia apabila Jabaran Kehakiman Amerika (DOJ) mengambil tindakan menyita aset dua rakyat Malaysia, Riza Aziz (anak tiri Najib) dan Jho Lo seorang Cina dari Malaysia serta dua individu yang bernilai lebih AS1 bilion. Mereka dituduh mengambil wang daripada 1MDB, syarikat pelaburan negara yang terlibat dalam skandal kewangan.

Pada umumnya pendirian UMNO ialah menafikan keempat-empat tertuduh melarikan wang milik 1MDB. Ini dapat dilihat pada reaksi pemimpin-pemimpin tinggi UMNO yang cuba menyalahkan DOJ dan yang paling kelakar berhujah mempertikaikan kewibawaan Peguam Negara Amerika Loretta Lynch. Kemudian mereka mengalih tumpuan kononnya Amerika mencampuri hal ehwal negara ini. Mereka tidak terangkan kepada rakyat bahawa Amerika hanya mengambil tindakan perbuatan yang diakukan di Amerika bukan di Malaysia.

Pemimpin-pemimpin tinggi UMNO juga tidak menerangkan kepada rakyat tindakan mereka melindungi Riza Aziz dan Jho Lo, seolah-olah dari awal lagi kedua-dua ini dianiaya oleh Amerika. Amerika bukanlah baik tetapi dalam isu ini UMNO sepatutnya berterima kasih kepada Amerika kerana berusaha memulangkan wang yang dicuri.

Kepada rakan-rakan yang memperjuangkan kebenaran, saudara-saudara perlu menerangkan kepada rakyat bahawa ketiga-tiga tokoh yang dituduh mempunyai rekod integriti yang tidak boleh dinafikan lagi. Mereka adalah kambing hitam terbaru dalam episod drama 1MDB. Adakah kita rela melihat mereka yang menjunjung integriti ini teraniaya? Adakah kita lebih bersimpati kepada Riza Aziz dan Jho Lo berbanding Gani Patail, Abu Kassim dan Zeti Aziz?

Cerita Kelantan - Tanah yang jadi rebutan dibeli dengan duit parti?

CERITA KELANTAN
 
 
Sambung kembali cerita injuksi mahkamah yang dibuat oleh Abdul Fatah Haron terhadap syarikat Galeri Tani SB yang tercatat nama Mustapa Ali dan Abdul Halim Abdul Rahman bersama beberapa nama lain sebagai pemegang sahamnya.

Sebelum dicerita atau dikupas apa sebenarnya yang berlaku, saya hendak cerita sejarah tanah yang menjadi rebutan itu seperti mana maklumat yang terlatar ke telinga saya.

Seperti mana disebut sebelum ini tanah itu terletak di pinggir lebuh raya (jalan besar) Pasir Mas - Rantau Panjang. Keluasannya kira-kira 200 ekar. Tanah ini asalnya tanah rezeb kerajaan, yang setengahnya dijadikan kawasan padang rumput. Banyak yang berminat dan terliur dengan tanah itu yang nilai semasa kini mencecah RM130,000 ke atas sehektar.

https://1.bp.blogspot.com/-fnooUAgQzpM/V565DCb_API/AAAAAAAAdc4/aTR4mSxfeRo-apmzKPtiA6fV64wXyLTegCLcB/s1600/Cutting%2B2.png
 Print skrin tulisan saya dalam blog tahun 2011.
Di awal lebuh raya itu wujud sekitar tahun 1986, mereka yang tidak bertanah membina rumah kediaman dan juga bangsal untuk berniaga di sepanjang lebuh raya berkenaan terutama berdekatan dengan Bandar Baharu Pasir Mas kini. Bagaimana pun rumah itu diperintah dirobohkan oleh Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM). Saya sempat melaporkan kejadian itu dalam akhbar beberapa kali sehingga menimbulkan kontroversi.

Laporan saya itu tidak disenangi oleh seorang pegawai tinggi pejabat Tanah dan Jajahan itu sehingga saya pernah dipanggil ke Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas. Surat berkepala majlis itu di salinan ke pengetahuan Istana Kelantan. Saya tidak tahu apakah wajar surat itu disalin ke Istana, atau ia sengaja untuk mengugut saya agar berhati-hati dan menghentikan terus pembongkaran tentang berjouis atau Jin Tanah, yang memiliki tanah.

Pada tarikh dan masa ditetapkan saya hadir ke pejabat berkenaan. Malangnya pada hari yang ditetapkan itu juga pegawai berkenaan diarah bertukar ke Pejabat Tanah Kota Bharu. Jadi panggilan itu terlupus begitu sahaja tanpa saya sempat berdepan dengan pegawai berkenaan. Sesekali apabila saya bertembung dengan pegawai berkenaan, yang berkepala besar, sama ada di aiprort atau kedai makan, teringin juga saya bertanya hal itu, tetapi tidak jadi. Biarkanlah.

Berbalik kepada nasib rakyat marhein yang rumah atau bangsal niaga mereka diroboh tadi, ironi, rumah mereka tidak bertanah dan hanya meminta sejuring tanah untuk dijadikan kediaman dan mencari rezeki dimusnahkan. Sebaliknya mereka yang sudah kaya, mempunyai tanah berhektar diluluskan permohonan mereka dengan hanya menyebut "sim silabim" sahaja. Ada seorang pegawai Tanah dan Jajahan katanya memiliki ratusan hektar tanah di sepajang lebuh raya berkenaan dengan berselindung di sebalik nama waris warahnya? Cis.

Elok juga kalau SPRM menyiasat perkara ini agar keadilan dan kebenaran dapat ditegakkan.

Saya juga pernah melaporkan dalam blog ini, kisah dua beradik yang mewarisi tanah diterokai oleh orang tuanya yang ditanam dengan pokok getah sudah 30 tahun tetapi akhirnya terlepas dari milikan mereka. Mereka bergantung hidup kepada tanaman berkenaan. Pemilik atau peneroka asalnya sudah tiada, maka dipusakan kepada anak-anaknya.

Beberapa kali mereka memohon untuk memilikinya seperti mana kebanyakan orang lain lakukan, tetapi gagal.

Apabila Pas memerintah Kelantan 1990, mereka anak peneroka itu membuat permohonan sekali lagi dan berusaha meminta bantuan wakil rakyat. Mereka mengira Kerajaan Pas lebih prihatin dan peka dengan kesusahan rakyat. Wakil rakyat itu ada menjanji untuk menyelesaikannya, tetapi akhirnya terlepas begitu sahaja. Menyedihkan, apabila mereka menyemak status permohonan itu di pejabat tanah Pasir Mas, tanah milik mereka sudah atas nama orang lain. Sekali lagi cis dan kini ditambah dengan berdebah.

Berbalik kepada tanah menjadi rebutan atau injuksi oleh pemimpin Pas terhadap pemimpin Pas lain tadi;  Tanah ini diluluskan kepada beberapa individu menerusi sebuah syarikat. Ia diluluskan sekitar akhir tahun 80-an, di zaman pemerintahan BN di Kelantan. Dipercayai individu berkenaan ada hubung kait dengan bekas TMB Hussein Ahmad. Sebab itu setengah mazhab berpendapat tanah berkenaan "milik' Hussein Ahmad.

Tanah itu kemudian digadai kepada sebuah bank perdagangan dengan nilai gadaian sebanyak RM180,000. Malangnya wang hasil gadaian itu disalahguna menyebabkan projek yang dirancangkan seperti mana proposal kepada bank tidak dilaksanakan. Pemimjam tidak menjelaskan wang pinjaman berkenaan menyebabkan bank terpaksa mengeluarkan notis lelolongan awam. Bank terpaksa menjual bagi mendapatkan wangnya.

Menurut seorang bekas pegawai eksekutif Pas Kelantan yang pernah beberapa tahun mendiami Pejabat Pas di Jalan Dato' Pati Kota Bharu, mengakui dia tahu serba sedikit mengenai sejarah tanah berkenaan, terutamanya macam mana tanah itu akhirnya jatuh kepada pemimpin Pas, Mustapa Ali, Abdul Halim Abdul Rahman dan seorang lagi Wan Othman Wan Yusuf.

Ceritanya begini. Apabila dia membaca notis lelongan itu dia ke bank berkenaan untuk mendapat butiran lanjut. Tujuannya hendak membeli tanah berkenaan daripada bank itu. Kedatangan pegawai ini ke bank inilah memecahkan cerita sebenar, bagaimana Mustapa Ali dan Abdul Halim menjadi pemilik kepada tanah berkenaan menerusi syarikat bernama Gelari Tani Sdn. Bdh. Bersambung. [wm.kl.10:49 am 01/08/16]
 

Umno Kelantan ghairah & bernafsu mahu tawan negeri disebabkan mereka lemah sekarang selepas ketiadaan 2 tokoh penting

 
KOTA BHARU: UMNO Negeri Kelantan sedang ghairah dan bernafsu untuk merampas semula negeri tersebut daripada PAS.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menegaskan kerajaan negeri sekarang lemah selepas ketiadaan dua tokoh penting dalam pentadbiran sebelum ini, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Husam Musa.

"Selama 26 tahun, kalau nak cakap soal bersedia saya yakin kita (UMNO Kelantan) jauh lebih bersedia kerana kemelut dalaman PAS terlalu parah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Keselamatan Makanan di RTC Tunjung, di sini, hari ini.

Kelesuan akibat daripada perpecahan PAS negeri itu sedikit sebanyak telah mengikis keyakinan rakyat termasuk isu pemecatan Husam yang dilihat orang kepercayaan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz.

Tambahnya, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dilihat gagal meneruskan legasi kepimpinan Nik Abdul Aziz.

Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, UMNO Kelantan diterajui Datuk Seri Mustapa Mohamed sudah bersedia dengan pelan penyelesaian kepada masalah-masalah rakyat yang gagal ditangani oleh pentadbiran sekarang.

Antara masalah yang masih membelenggu masyarakat Kelantan ialah isu pengurusan dan bekalan air bersih, infrastruktur jalan raya, isu tanah dan sebagainya.

"Kita bernafsu dan bertenaga untuk bela rakyat, kita bernafsu dan bertenaga bukan untuk menipu rakyat, kalau bubar hari ini kita bersedia kalau rakyat bagi kepercayaan kita akan memerintah," ujarnya.
Baru-baru ini, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob menolak gesaan Ahmad Jazlan supaya membubarkan DUN lebih awal.

Menurut Ahmad Yakob, kerajaan PAS Kelantan masih kuat dan mampu meneruskan pentadbiran.

Pemuda Amanah buat lapoan polis terhadap Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan

 Pemuda Amanah mendesak mendesak supaya kertas siasatan dibuka di bawah seksyen 182 Kanun Keseksaan dan Khairul Azwan disiasat di bawah seksyen tersebut.
Pemuda Amanah Negeri Perak hari ini membuat laporan polis terhadap Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berhubung dakwaannya tiga individu iaitu Bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail, Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Bekas Pegawai SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang didakwa terlibat dalam komplot menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Pemangku Timbalan Ketua Pemuda Amanah Perak, Hasnul Zulkarnain bersama Setiausaha, Safarizal Saleh dan Pengarah Komunikasi, Muhammad Faeez Azahar membuat laloran polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini Hasnul berkata, laporan polis yang dibuat oleh Khairul Azwan adalah jelas merupakan satu tindakan jenayah dan beliau boleh dituduh di bawah seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu ke atas bekas tiga penjawat awam tersebut.

"Oleh itu, kita mendesak supaya kertas siasatan dibuka di bawah seksyen 182 Kanun Keseksaan dan Khairul Azwan disiasat di bawah seksyen tersebut.

"Kita juga percaya bahawa laporan polis dan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Khairul Azwan berhubung dengan komplot menggulingkan Perdana Menteri oleh tiga bekas penjawat awam tersebut merupakan satu fitnah jenayah di bawah seksyen 499 Kanun Keseksaan," katanya kepada media.

Hasnul menjelaskan, tindakan Khairul Azwan tersebut jelas telah mencemarkan nama baik negara dan tiga bekas penjawat awam tersebut ketika mereka menjalankan tugas mereka sebagai Peguam Negara, Pesuruhjaya SPRM dan Gabenor Bank Negara.

Oleh itu, ujarnya, tindakan pihak yang mencemar nama baik ketiga-tiga individu tersebut harus ditentang dan diambil tindakan tegas oleh kerajaan.

"Kita mendesak supaya Pendakwa Raya membuat laporan di bawah seksyen 131 Kanun Tatacara Jenayah terhadap Khairul Azwan kerana fitnah jenayah yang beliau laporkan.

"Laporan di bawah seksyen 131 ini penting bagi membersihkan nama ketiga-tiga bekas penjawat awam tersebut daripada pihak yang tidak bertanggungjawab," jelasnya.

Parti baru Mahathir: ROS lulus atau Najib tolak?



Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual mengemukakan permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mendapatkan kelulusan menubuhkan sebuah parti politik baru.

Bekas timbalan perdana menteri itu bakal menerajui parti baru berkenaan sebagai presiden manakala bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula akan berperanan sebagai pengerusi.

Komposisi parti itu dijangka berasaskan kaum Melayu dan disebut-sebut sebagai menggantikan Umno yang diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang menurut Mahathir tidak lagi mampu diselamatkan.

Adalah difahamkan bahawa mereka di sebalik parti baru itu juga bersedia mengghadapi kemungkinan ROS menolak permohonan tersebut.

Sekiranya ini berlaku, kem Mahathir mendakwa Najib ‘goyang’ dengan penyertaan mereka semula ke gelanggang politik.

Sebaliknya, jika ROS memberi kelulusan tanpa sebarang masalah, ini dikatakan memberi isyarat keyakinan perdana menteri untuk berdepan dengan bekas mentor yang kini menjadi seteru politiknya.

Sumber yang rapat dengan parti baru itu memberitahu Malaysiakini, mereka mempunyai "pelan B" jika permohonan ditolak.

"Kami akan gunakan platform yang sedia ada, sebuah parti yang sudah berdaftar dengan ROS," katanya, tetapi enggan mengulas lanjut.

Walau bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak tidak menjangka sebarang halangan sekiranya permohonan itu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

"Jika semuanya teratur, tidak ada sebab untuk tidak mendaftarkan parti politik baru itu.

"Secara peribadi, saya mengalu-alukan persaingan politik. Ia adalah sihat untuk sistem demokrasi kita," katanya kepada Malaysiakini.

Turut bersetuju dengan pendirian itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memberi jaminan, kelulusan segera akan diberikan jika syarat-syarat dipenuhi.

"Jika ada parti baru yang mahu diwujudkan, saya sebagai menteri dalam negeri akan meluluskannya kerana kita sebuah negara yang mengamalkan demokrasi," katanya ketika berucap pada majlis kesyukuran dan jamuan Hari Raya Aidilfitri Umno/BN negeri Perak di Kuala Kangsar malam semalam.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan turut mengalu-alukan parti baru itu, tetapi percaya tindakan itu akan melemahkan pembangkang selanjutnya.

"Ini adalah satu proses demokrasi yang sihat. Bagi BN, kami bersedia untuk sebarang kemungkinan," katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...