TERKINI :

Saturday, July 30, 2016

Muhyiddin simpati pada Anwar, tapi samar tentang pembebasannya

Alyaa Alhadjri & Zikri Kamarulzaman
30 Jul 2016, petang 3:22 (Dikemaskini 30 Jul 2016, petang 3:48)

Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyatakan simpati dengan usaha-usaha untuk membebaskan mantan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bersama presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sisinya, Muhyiddin ditanya sama ada beliau akan menyokong pembebasan Anwar memandangkan beliau kini bekerjasama dengan pembangkang.

"Ada pihak katakan boleh ke Anwar dibebaskan. Dalam persekitaran situasi politik sekarang saya tak dapat melihat itu boleh berlaku.

"Lepas pilihan raya mungkin dengan pendirian dengan PKR, kita dah duduk semeja jadi sebahagian rakan. Apa-apa pun keputusan kita kongsi bersama.

"Saya harap anda faham apa yang saya cuba katakan," katanya.

Bercakap pada sidang akhbar pertamanya dengan Wan Azizah dan pemimpin PKR lain di Subang Jaya hari ini, Muhyiddin menegaskan bahawa beliau bersimpati dengan Anwar dan bimbang dengan tahap kesihatannya.

"Masa dia dipecat kerajaan, menteri yang jumpa beliau seorang-seorang ialah saya.

"Saya bersimpati, saya faham kerana saya tahu (keadaan Anwar). Yang penting sekarang soal kebajikan dan kesihatan (Anwar).

"Saya selalu tanya Kak Wan how is he (anwar) doing," katanya.

Muhyiddin sertai PKR jelajah isu 1MDB

Bekas Timbalan Presiden Umno Muhyiddin Yassin telah bergabung dengan PKR untuk memulakan siri jelajah seluruh negara bagi menjelaskan skandal 1MDB secara mudah kepada orang ramai.

Dalam penampilan dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Muhyiddin berkata mereka akan menumpukan usaha di kawasan bandar dan luar bandar.

"Saya kira mungkin isu 1MDB kalau tak diberi penjelasan secara meluas dalam bahasa agak mudah rakyat sampai bila pun tak tau kesan dan impak ke atas negara," kata bekas timbalan perdana menteri itu.

Ditanya kemudian jika kerjasama ini bermakna beliau akan menyertai PKR, Muhyiddin berkata ia bukan satu isu dan beliau akan menyokong inisiatif PKR tanpa mengira parti mana yang disertainya.

Muhyiddin akhirnya dipecat daripada Umno bulan lalu selepas mengkritik Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1MDB.

Beliau dijangka mengetuai sebuah parti baru, yang terdiri daripada 'pemberontak' Umno termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sementara itu berkata Umno mempunyai agenda untuk menipu rakyat Malaysia dalam isu 1MDB.

Beliau berkata penerangan bergerak itu akan bermula tidak lama lagi, walaupun tidak diberitahu secara spesifik pada sidang akhbar di Subang Jaya hari ini.

Shafie Afdal Yakin BN kalah dua negeri PRU depan

JAMILAH HAMZAH

KULIM - "Kali ini saya penuh yakin Umno-BN akan kalah di peringkat Negeri Kedah pada PRU akan datang, Insya-ALLAH,"demikian kata bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal  pada program Bicara Isu Semasa Selamatkan Malaysia di Karangan, malam tadi.

Malah, beliau berkata Sabah juga akan mengikut jejak langkah negeri ini yang akan bertukar kerajaan pada PRU depan.

"Dulu saya pernah jadi pengerusi perhubungan Umno di Kedah saya sudah jelajah kampung-kampung di sini,  saya penuh yakin kita akan ambil balik dari BN, bukan setakat Kedah Insya ALLAH dengan kudrat yang kita ada akan ambil alih Sabah daripada BN.

"Payung Umno sudah rosak bukan lagi melindungi bangsa melindungi agama tapi perjuangan untuk melindungi Datuk (Seri) Najib Razak," ktanya.

Beliau juga menyeru supaya rakyat tidak mensia-siakan kuasa yang ada untuk  membuang undi pada nanti.

"Saya sedar rakyat tak ada duit tapi saya sedar kuasa yang ada pada rakyat digeruni ditakui oleh pimpinan termasuk  Najib.

"Bila menjelang pilihan raya saja pemimpin tak boleh tidur pusing kampung bagi bantuan sehingga jam dua atau tiga pagi, kenapa sebab nak dapat undi daripada anda semua,"katanya.

Katanya lagi, untuk membela nasib bangsa Melayu dan agama rakyat perlu memilih dan mengundi parti baharu yang bakal ditubuhkan tidak lama lagi.

"Terjemahkan kehadiran kepada pilihan raya ini, jangan jual kuasa undi gunakan untuk anak bangsa kita nanti kerana parti ini akan membela anak bangsa dan agama kita,"katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie juga turut menerangkan selepas melepaskan jawatan di dalam Umno membolehkannya kembali berjuang untuk rakyat, agama dan bangsa.

"Ketika saya digantung, saya rasa bersama dengan Unmo saya tak boleh bernafas, jadi bila saya keluar Umno baru boleh bernafas.

"Bukan setakat itu saya juga rujuk kepada seorang ulama yang ada di Masjid Nabawi ketika mengerjakan Umrah, saya jelaskn semua kepadanya yang berlaku slps itu ulama beritahu pada saya kemungkaran dan kezaliman perlu dibanteras,"katanya.

Muhriz Pelawa ahli Umno sertai parti baharu

MOHAMAD FAKHRI MOHD

KODIANG – Semua ahli Umno dipelawa untuk menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan tidak lama lagi untuk menyelamatkan Malaysia.

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata,  beliau akan pastikan parti itu ditadbir dengan penuh integriti dan kewibawaan.

“Saya bagi jaminan parti baharu yang nak ditubuhkan ini akan pastikan tegakkan syiar Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan majukan tanah air yang kita cintakan ini. Parti dulu tidak lagi memperjuangkannya.

“Kita jangan bagi ruang langsung kepada salah guna kuasa oleh mana-mana pihak, tidak timbul masalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam parti baharu ini,” katanya pada ucapan sempena majlis rumah terbuka Aidilfitri Adun Ayer Hitam di Dataran Haji Salleh Lebai Junus, di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis itu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Menteri, Datuk Mohd Shafie Apdal; Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.

Menurutnya, walaupun penubuhan parti baharu itu terpaksa ditangguhkan, namun ia tetap akan direalisasikan dalam sedikit masa lagi.

“Maklumlah kita akan hadapi sedikit kekangan oleh pihak-pihak tertentu, tapi kami tetap nak tubuh parti. Silap-silap (mungkin) Tun Mahathir sendiri yang akan pergi bertemu dengan ROS (Pendaftar Pertubuhan) untuk serah borang tubuh parti baharu.

“Saya nak minta kalau boleh bila dah ditubuhkan parti, biarlah di Kedah kita bermula di Jerlun. Kawan-kawan di luar Jerlun, sampaikan kepada kawan-kawan lain. Kalau nak jadi ahli ada satu syarat, hanya kepada ahli-ahli Umno saja, jangan jadi ahli dua parti,” katanya.

Mukhriz berkata, semua ahli Umno perlu meninggalkan parti itu sekiranya sayangkan agama, bangsa dan tanah air.

“Saya tahu ini satu keputusan cukup besar. Saya sendiri pun bila dah kena pecat terduduk juga sebab sayang (parti). Tapi bila sampai tahap dah macam ini, saya ingat tak boleh berbuat apa dan terpaksa bergerak dalam pentas baru.

“Yang akan mempelopori parti baharu ini bermula dengan Tun Mahathir sendiri, Tan Sri Muhyiddin dan saya sendiri bersama rakan-rakan yang akan sertai kami,” katanya.

Bola Kedah : Sudah tiba masanya JURULATIH direhatkan..

Dengan keputusan seri lagi malam ini sudah tiba masanya TAN CHENG HOE berehat atau direhatkan... Kedah kena cari JURULATIH yang baru untuk mempelbagaikan semula rentak tactikal dan versi permainan... dilihat sekarang tactikal TCH seperti dah tepu dan gagal direalisasikan di atas padang....

walaupun dengan pemain yang boleh dikatakan 85% serba lengkap maka sekarang terletak pada tactikal pula untuk merencanakan corak permainan Kedah... namun itu semakin kurang diterjemahkan diatas padang dengan corak TCH ini....

Nak dikatakan corak tiki taka hendak diterapkan...sejak bila TCH belajaq rentak ini...bilamasa beliau pergi berkelana di Sepanyol sana... apa yg ada hanyalah peninggalan sisa2 bekas pemangku jurulatih kedah musim lepas iaitu Ramon Marcotte...

Jadi berehatlah duhai TCH....bukalah mata wahai pengurusan KFA.....

Mahkamah Tinggi batal keputusan UM terhadap lima siswa

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membatalkan keputusan lembaga disiplin Universiti Malaya mengenakan denda atau menggantung lima pelajarnya kerana menganjurkan dan menyertai perhimpunan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, dua tahun lalu.

Mereka ialah bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol dan ahli jawatankuasanya Safwan Shamsuddin, Adam Fistivil Wilfrid, Haw Yu Hong dan Khairol Najib Hashim.

Hakim Mohd Yazid Mustafa, dalam membenarkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan lembaga itu, memutuskan bahawa prosiding tatatertib tidak dijalankan mengikut Kaedah-Kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar) 1997.

Ia juga memutuskan bahawa apabila lembaga disiplin UM bertemu dengan lembaga rayuan, ia dilakukan tanpa kehadiran pelajar berkenaan.

Kelima-lima mereka diwakili peguam New Sin Yew.

Universiti itu menggantung Fahmi selama dua semester dan denda RM600, manakala Safwan digantung selama satu semester dan didenda. Sementara pelajar lain hanya dikenakan denda.

Exco Kedah - Ketum tidak diiktiraf bidang perubatan

Wartawan Sinar Harian

ALOR SETAR – Rakyat Kedah disarankan supaya lebih berhati-hati dalam isu cadangan tanaman pokok ketum di seluruh negara kononnya untuk memenuhi permintaan pasaran luar negara.

Exco Kesihatan, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, ia kerana isu pokok ketum masih dalam proses pindaan daripada Akta Racun kepada Akta Dadah Berbahaya.

“Saya ada dengar pihak Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) cadang tanam dan eksport pokok ketum, tapi kita tak tahu negara mana yang nak terima. Adakah Malaysia benarkan untuk tanam sebab perundangan itu pun belum selesai.

“Kita masih dalam proses pindaan Akta. Apabila Risda buat cadangan itu ia seolah-olah bercanggah dengan kerajaan. Tahun lepas kita nak letak ia dalam Akta Dadah Berbahaya, tapi tergendala sebab ada pihak kata ia mempunyai kesan kesihatan,” katanya.

Menurutnya, pihak Risda sepatutnya membuat kajian terperinci terlebih dahulu mengenai kesan dan kebaikan pokok ketum kepada manusia sebelum membuat cadangan untuk mengeksport ke luar negara.

“Kita sedia maklum ketum ini memudaratkan kesihatan, tapi kalau mengambilnya dengan dos atau kuantiti yang terlalu sedikit ia boleh memberi tenaga dan boleh hilangkan sakit badan.

“Tapi kalau diambil dengan dos atau kuantiti yang banyak, ia boleh menyebabkan kesan kepada kulit menjadi kehitaman, letih, kesan kepada otak dan organ dalaman,” katanya.

Yong Kong berkata, daun ketum juga tidak pernah diiktiraf dalam bidang perubatan untuk merawat penyakit.

“Cuma ia dikatakan boleh menyembuhkan penyakit tertentu. Bagaimanapun, hasil kajian tidak membuktikan ia boleh merawat penyakit, termasuk kanser.

“Ada beberapa kawasan di utara Kedah yang dikenal pasti mempunyai tanaman pokok ketum, tapi pihak berkuasa telah menasihatkan supaya tukar tanaman itu kepada tanaman lain,” katanya.

Polis pantau facebook yang sebar kebencian dan kekecohan dikalangan penyokong


GEORGETOWN - Polis akan memantau beberapa laman sosial termasuk akaun Facebook yang menyebarkan kebencian sehingga menimbulkan kekecohan dalam kalangan penyokong bola sepak negeri ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Mior Faridalatrash Wahid berkata, tindakan itu dibuat berikutan insiden bas penyokong Kedah dilempar batu di Jalan Datuk Keramat, di sini, yang dikatakan dirancang dan disebar lebih awal di laman Facebook.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan ketenteraman awam dan akan memastikan budaya ganas atau samseng bola sepak tidak berlaku di negeri ini.

"Sekarang ini kami pantau semua termasuk beberapa akaun Facebook yang dikenal pasti menyebarkan kebencian dalam kalangan penyokong bola sepak dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Selasa lepas, bas yang membawa penyokong Kedah dilempar batu oleh sekumpulan lelaki bermotosikal dipercayai penyokong Pulau Pinang selepas perlawanan Liga Super antara kedua-dua pasukan itu yang menyaksikan Pulau Pinang menewaskan Kedah 3-2.

Berikutan itu, polis menahan enam lelaki yang disyaki terlibat semalam, dan kesemua mereka yang berusia antara 16 dan 40 tahun itu direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan. - Bernama

Jawapan Kerajaan Negeri Pas Kelantan berkenaan hasil lawatan ke Krabi

LAWATAN KELANTAN-KRABI MENGHASILKAN HUBUNGAN POSITIF.
Oleh : Mohamad Sahrulnizam Mat Rashid
Pegawai Khas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan

Rombongan Kerajaan Negeri Kelantan ke Wilayah Krabi, Thailand pada hari ini diteruskan dengan mengadakan kunjung hormat ke atas Yang Dipertua Majlis Agama Islam Krabi. Disamping berseminar berkaitan pengurusan tanah, delegasi kerajaan turut mengadakan lawatan ke Majlis Agama Islam disini bagi meninjau pengurusan Masjid dan pengurusan hal ehwal agama Islam di Krabi.

Didalam sesi perbincangan dua hala, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Krabi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pimpinan dan delegasi Kerajaan Kelantan kerana sudi hadir ke Pejabat Majlis Agama Islam Krabi. Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat lebih 200 buah Masjid diseluruh wilayah Krabi yang diselia oleh Majlis Agama Islam disini. Berbeza dengan wilayah lain di Thailand, pengurusan Masjid disini lebih kehadapan dengan menjadikan teknologi diatas talian (IT) sebagai medium menyampaikan informasi dan maklumat berkaitan Islam kepada orang ramai malah keberkesanan sistem yang digunakan ini telah dijadikan contoh oleh wilayah-wilayah lain di Thailand. Majlis Agama Islam Krabi juga telah diberikan mandat oleh Kerajaan Thailand untuk membangunkan industri halal.

Bagi perancangan masa hadapan juga, Majlis Agama Islam Krabi sedang dalam proses untuk menghantar pelajar-pelajar Islam di wilayah ini bagi mendalami ilmu agama di pondok-pondok di Negeri Kelatan disamping membina rangkaian strategik didalam pembangunan ilmu agama diantara Kelantan-Krabi.

Dalam pada itu, Dato' Mohd Amar Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata pihak kerajaan sangat berbesar hati  dan bersedia untuk mengadakan kerjasama dengan Majlis Agama Islam Krabi  bersama-sama Jabatan Agama Islam Kelantan untuk membina jaringan terutamanya melibatkan pertukaran pelajar yang ingin mendalami ilmu agama diantara kedua wilayah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Dato' Mohd Nassuruddin Daud turut diberikan penghormatan untuk menyampaikan kuliah agama di Pondok An-Harul U-Loom, Koh Klang, iaitu sebuah institusi pemulihan dadah yang terdapat di wilayah Krabi.

Rombongan Kerajaan Negeri Kelantan ke Wilayah Krabi tidak hanya mengadakan seminar dan perbincangan berkaitan hal ehwal tanah, tetapi disertakan dengan pelbagai program rasmi bagi membina hubungan dan jaringan antara Negeri Kelantan dan Wilayah Krabi. Antara aspek dan sektor yang menjadi perhatian selama lawatan adalah pembangunan Islam, pelancongan, pembangunan hub halal, pemerkasaan institusi pondok dan pengajian agama serta pengurusan majlis agama Islam yang terdapat disini.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...