TERKINI :

Thursday, July 28, 2016

Statistik jenayah menakutkan, tetapi Malaysia masih aman

Dr-P-Sundramoorthy1
PETALING JAYA: Kes tembakan yang kerap berlaku dalam negara ini menunjukkan penjenayah semakin kejam dan tidak gentar berdepan hukuman berat, termasuk gantung sampai mati.

Pakar Kriminologi di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr P Sundramoorthy berkata, penembak upahan juga semakin berani sehingga sanggup membunuh di khalayak ramai tanpa mengira masa dan tempat.

Bagaimanapun, tegasnya, jika dibandingkan daripada sudut ekonomi dan kejadian jenayah di negara lain, kadar jenayah di Malaysia tetap rendah dan masih boleh dikategorikan sebagai negara aman.

“Tetapi, apabila melihat statistik jenayah ia tetap menakutkan kerana apabila penjenayah menggunakan senjata seperti parang, mereka akan lakukan dengan kejam sehingga potong tangan.

“Apabila menggunakan senjata api, ia bukannya berniat mahu mencederakan, tetapi lebih bermotifkan membunuh,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Semalam, seorang lelaki ditembak mati di hadapan pusat beli-belah Setapak Central di Danau Kota, selepas 10 daripada 18 das tembakan yang dilepaskan dua daripada empat lelaki bermotosikal terkena kepala, dada dan paha mangsa.

Siasatan awal polis mendapati mangsa pernah terbabit dalam kegiatan kongsi gelap dan polis sedang menyiasat latar belakang serta perniagaan pinjaman wangnya adalah perniagaan sah atau sebaliknya.

Ini adalah kes tembakan kedua dalam tempoh sebulan selepas seorang ejen hartanah wanita ditembak mati dua lelaki bermotosikal dari jarak dekat, ketika memandu di Taman OUG, Jalan Klang Lama, pada 6 Julai lalu, manakala anak perempuan mangsa berusia lapan tahun yang duduk disebelahnya turut cedera terkena tembakan.

Sundramoorthy berkata, jika diselidik latar belakang, kebanyakan mangsa terbabit didapati mempunyai kaitan dengan penjenayah.

“Bila kita lihat, mangsa sendiri terlibat dalam kes jenayah, tidak semua tetapi kebanyakan.

“Malah, trend terkini juga tidak lagi menggunakan parang dan senjata tajam, tetapi menggunakan senjata api,” katanya.

Adun DAP bebas tuduhan sebut "Umno Celaka"


Adun Seri Delima, RSN Rayer hari ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan menyebut kata-kata menghasut pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Ibrahim Osman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir pendakwaan.

Ibrahim dalam penghakimannya berkata, perkataan ‘Umno celaka’ yang disebut wakil rakyat DAP itu dalam persidangan Dun bukan satu kecenderungan menghasut.

“Mahkamah mendapati ucapan tertuduh tidak merujuk mana-mana kaum atau segolongan orang, malah secara jelas hanya merujuk kepada individu-individu secara spesifik, iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Shabudin Yahaya.

“Umno adalah sebuah parti politik yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan sama seperti pertubuhan lain, seperti DAP, Pas, PKR dan lain-lain. Kenyataan terhadap sesebuah parti politik itu tidak boleh disifatkan sebagai perkataan kepada sesuatu kaum tertentu atau golongan yang tertentu.

“Mahkamah berpandangan kenyataan terhadap sesuatu kaum mestilah jelas ataupun tersurat, bukannya secara tersirat. Jika mahkamah ini menerima sesebuah parti politik sebagai khusus untuk kaum yang tertentu, perkara sedemikian sudah tentu akan memberi kesan negatif dan boleh membawa implikasi tidak sihat,” katanya.

Pada 27 Ogos 2014, Rayer mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut kata-kata menghasut itu ketika sesi perbahasan dalam DUN Pulau Pinang pada jam 9.30 pagi 20 Mei 2014.

Wakil rakyat itu menghadapi pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Saw Sim dan Farah Aimy Zainul Anwar, manakala Rayer diwakili barisan peguam diketuai Gobind Singh Deo.

'Pemuda Umno membodek NAJIB yang keterlaluan'


SHAH ALAM - Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib menyifatkan tindakan Pemuda Umno sebagai mencemar nama institusi itu yang dihormati dari segi peranan, integriti, dan tanggungjawabnya kepada negara.

"Tindakan ini satu paparan tidak baik oleh golongan muda, ia kelihatan seperti membodek secara keterlaluan, lagipun mereka berprofil tinggi, dikagumi dari segi kepimpinan, malah ketokohannya turut diakui masyarakat antarabangsa," katanya.

Menurutnya, campur tangan orang politik dalam situasi itu bukan memberi 'kemanisan' kepada parti, tetapi menyemarakkan lagi persepsi negatif masyarakat terhadap Umno dan BN.

"Ia merugikan imej parti, juga menyemarakkan lagi isu 1MDB. Tindakan biarlah beradab, ini yang dikatakan berani tidak bertempat," katanya.

Kronologi Sebenar Konsert Selena Gomez...dari mula sampai jadi...

1. Exco Slgr lulus pada Rabu 13/7. Unanimously, tanpa bantahan, walau ada yg bertanya soalan. Dlm Exco ada 3 wakil Pas. Alasan lulus sbb semua 6 agensi federal dah lulus, termasuk mereka setuju dgn etika pakaian Jakim / Puspal tetapkan.

2. Hari yg sama, SUK Slgr serah ke MBSA. Hari yg sama MBSA buat meeting pegawai utk ketetapan. Dato Bandar kata, tak blh tolak, sbb 6 agensi pusat, 2 agensi negera dah lulus. Jabatan MBSA cdgkan syarat tambahan.

3. Khamis 14/7 MBSA panggil all ketua whip Pas/Pkr/Dap dan explain situasi. Tiada bantahan dan setuju dgn syarat. Hari sama MBSA panggil penganjur, mereka setuju dgn semua syarat. Letaj bond USD5 juta.

4. Isnin 18/7 MBSA luluskan.

5. Isnin tu juga baru Pas bising.

6. Rabu Mesyuarat Ahli Majlis (AM), baru Ahli Majlis Pas buat bising. Datuk Bandar kata, keputusan dah dibuat dan semua syarat dah diberikan, sbb tiada bantahan mana2 party sblm ini.

7. Hari yg sama Pas demo depan SUK. Wakil SUK sebut, dia hanya ambil maklum sbb kelulusan dah diberikan oleh Exco dan MBSA.

Masa concert mmg MBSA lantik pemantau dari MBSA dari AM Pkr/Dap. AM Pas x mahu jadi pemantau, pasukan penguatkuasa pun ramai.

So kalau Pas kata itu hasil kejayaan mereka, ikut kronologi mmg satu pembohongan yg ketara...

Cukup lah itu hanya satu joke oleh Khiril dan lain2 pemuda yg malu dgn kegagalan AM Pas hadir meeting, dan gagal lasanakan tugasan mereka....

W'alam

Negara macam koboi, kata PAS selepas insiden tembak

KUALA LUMPUR: PAS mempersoalkan langkah polis membanteras jenayah selepas empat lelaki menembak mati seorang pemandu kereta dekat Jalan Genting Klang di khalayak awam semalam.

“Adakah negara ini sudah menjadi negara koboi di mana jenayah boleh dilakukan di khalayak ramai tanpa bimbang apa-apa tindakan terhadap pelaku?” soal Pemuda PAS dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian 3.35 petang yang dirakamkan menerusi kamera litar tertutup itu, empat penembak yang tiba dengan dua motorsikal melepaskan tembakan ke arah tingkap hadapan dan belakang sebuah kereta Honda Accord, melepaskan 18 tembakan yang membunuh pemandu berbangsa India itu.

Ini adalah kes kedua dalam tempoh sebulan, selepas seorang ejen hartanah wanita berusia 32 tahun mati ditembak ketika beliau memandu di Taman OUG, Jalan Klang Lama, 6 Julai lalu.

Pemuda PAS turut mempersoalkan bagaimana peluru dan senjata api “boleh lolos dengan begitu mudah” ke tangan penjenayah.

“Apakah ia berpunca dari kelemahan pengawalan di sempadan negara sehingga mengakibatkan senjata api mudah diseludupi dengan berleluasa?” soalnya.

Mangsa semalam merupakan seorang pengurup wang, dan baru dua minggu membeli kereta setelah mendapati ada pihak mengekorinya.

“Dia tukar kereta setelah mendapati ada pihak tertentu memantau pergerakannya,” kata rakan mangsa dipetik Bernama.

“Saya jumpa mangsa sebulan lepas di sebuah hotel di Jalan Ipoh dan dia tidak mengadu tentang apa-apa masalah (ketika itu). Kelakuan dia seperti biasa,” katanya.

Polis tidak menolak insiden itu mungkin ada kaitan dengan penglibatan mangsa dengan kumpulan jenayah.

Antara kejadian kes tembak yang berlaku seluruh negara sepanjang 2016

Berikut adalah kronologi kes tembak yang berlaku di seluruh negara bermula awal tahun ini (2016):

25 Januari: Seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tembakan, dipercayai ditembak dari jarak dekat di Jalan Jinjang pada pukul 2.10 petang. Mangsa dikenali sebagai S. Surya Kumar, 41, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di tempat duduk pemandu kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton.

11 Februari: Seorang ahli perniagaan maut ditembak dari jarak dekat di hadapan sebuah kedai motosikal berkuasa tinggi di Jalan Datuk Keramat pada pukul 3.30 pagi. Syed Amen Jainul Abdin yang merupakan pemilik restoran nasi kandar dan kedai mencuci kenderaan ditemukan berlumuran darah dalam kereta yang dipandunya.

28 Februari: Seorang pengawal keselamatan maut manakala seorang pemandu lori cedera parah selepas ditembak suspek yang menaiki sebuah motosikal dalam kejadian pukul 4.40 pagi berhadapan sebuah stesyen minyak Petron, Jalan Semenyih Kajang. Mangsa yang berumur 45 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.

25 Mac: Seorang pengawal peribadi kepada ahli perniagaan cedera parah selepas ditembak dua lelaki yang menaiki dua kereta berasingan di bulatan berhampiran pekan Charterfield, Pusat Komersial KLIA di Sepang dalam kejadian pukul 8.45
malam. Ketika kejadian, pengawal peribadi berkenaan memandu kereta jenis Mercedes Benz menuju ke terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 dan didatangi dua lelaki yang melepaskan beberapa das tembakan.

15 April: Dua lelaki terbunuh selepas ditembak dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal di Jalan Kolam, dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi. Mangsa yang maut dikenali sebagai Hii Lam King, 36, dan Ting Wen Hou, 23, kedua-duanya berasal
dari Sibu, Sarawak namun menetap di Sabah. Ketika kejadian, Hii yang memandu kenderaan pacuan empat roda dikatakan dalam perjalanan balik dari menghantar anaknya ke sekolah.

20 April: Seorang lelaki maut ditembak polis, sementara teman wanitanya bersama dua lagi rakan mereka ditahan di Jalan Kilang 51/A, di Kuala Lumpur pada awal pagi. Keempat-empat individu terbabit dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun dan curi kenderaan di sekitar Lembah Klang. Semasa pemeriksaan itu, lelaki yang memandu kereta Proton Perdana itu cuba melarikan diri dan merempuh kenderaan polis termasuk anggota bermotosikal. Anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah pemandu terbabit bagi mempertahankan diri menyebabkan dia terbunuh di tempat kejadian.

21 Jun: Dua lelaki 30 dan 34 tahun yang memandu kereta berasingan cedera ditembak dari jarak dekat di persimpangan jalan besar Sunway Batu Caves, ketika sedang menunggu di persimpangan lampu isyarat pada pukul 12 tengah hari. Setiausaha PKR Cawangan Miri, Bill Kayong, 43, ditembak ketika berada di dalam kenderaan pikap Toyota Hilux di persimpangan lampu isyarat di Lutong, Miri pada pukul 8.30 pagi. Calon PKR di kawasan Bekenu pada pilihan raya negeri 7 Mei lalu itu meninggal dunia di tempat kejadian.

29 Jun: Seorang suspek utama kes tembak dua lelaki di Sunway Batu Caves pada 21 Jun, ditembak mati oleh polis di kawasan perumahan USJ 11/1D pada pukul 12.10 tengah hari. Ketika polis memperkenalkan diri, suspek berusia 37 tahun itu cuba mengacukan pistol ke arah anggota menyebabkan polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan yang mengenai badan suspek.

Seorang pengurus besar syarikat swasta berusia 40 tahun cedera parah ditembak individu yang menaiki motosikal ketika memandu kereta di Lebuhraya Utara Selatan dekat Desa Petaling pada pukul 8.40 pagi.

6 Julai: Seorang ejen hartanah wanita berusia 32 tahun maut di tempat kejadian manakala seorang anaknya cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka ditembak dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang di Jalan Hujan Emas 4, Taman OUG. Setakat ini polis telah menahan sembilan suspek berhubung kes itu.

9 Julai: Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tembakan di bahagian kepalanya di Teluk Kulat, Pulau Banding, Perak. Polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat Khairul Azizan Zaidi, 29, pada 7.20 pagi daripada seorang lelaki berumur 24 tahun yang juga rakan mangsa.

11 Julai: Seorang peniaga nyaris maut apabila dipercayai diserang dua penjenayah yang melepaskan beberapa das tembakan dalam kejadian di hadapan rumahnya di Taman Seri Fajar, dekat Batu Pahat pada pukul 10 malam.

13 Julai: Empat sekeluarga mati ditembak, dipercayai oleh anggota keluarga sendiri menggunakan senjata tidak berlesen, di sebuah kilang pemprosesan ayam di kawasan perindustrian Batu Maung Pulau Pinang pada pukul 2.55 pagi. Polis turut
menemukan 11 kelongsong peluru di tempat kejadian.

14 Julai: Polis menembak mati suspek tunggal kes tembakan, Chung Chun Wah, 32, yang dikehendaki kerana membunuh empat sekeluarga di Batu Maung awal pagi 13 Julai, selepas insiden berbalas tembakan antara suspek dan polis berhampiran pasar Air Itam kira-kira pukul 7 malam.

26 Julai: Tiga lelaki berusia lingkungan 51 dan 58 tahun nyaris maut apabila kenderaan Toyota Fortuner yang dinaiki mereka ditembak kumpulan lelaki tidak dikenali dalam kejadian cubaan samun di susur Lebuh Raya Elite menghala ke Putrajaya pada pukul 9.30 pagi. Ketika kejadian ketiga-tiga lelaki itu sedang dalam perjalanan menghantar seorang lagi rakan mereka bersama sejumlah wang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), Sepang.

27 Julai: Seorang lelaki berusia 43 tahun maut ditembak di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota/Jalan Genting Klang di sini ketika memandu kereta jenis Honda Accord dalam kejadian pukul 3.35 petang.

- Bernama





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...