TERKINI :

Wednesday, July 27, 2016

Antara Ifrat dan Tafrit, PAS dan Umno

ALANG IBN SHUKRIMUN | 25 Julai 2016.

SUDAH setahun PAS sejak kepimpinan baru pasca muktamar lepas memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) kepada rakyat. Ia sebagai transformasi dari amalan politik Malaysia sebelum ini yang lebih kepada politik kepartian, politik kebencian, perkauman, persepsi, populis, pragmatis dan seumpamanya.

Secara lebih mudah, BPMS diperkenalkan untuk merubah cara orang PAS sebagai parti pembangkang dalam berpolitik menghadapi pihak Umno-BN yang menjadi kerajaan.

Jika dahulu tugas pembangkang yang dikenali adalah membangkang semua yang kerajaan lakukan, tapi dengan BPMS ia tidak lagi seringkas itu. Bukan semua perkara perlu dibangkang terutama dalam perkara yang memberi manfaat untuk rakyat.

Namun adat benda baru, pasti sukar untuk mencapai kesempurnaan sebagaimana yang digaris. Sepanjang setahun membawa budaya BPMS ini, apa yang saya perhatikan terdapat kalangan penggerak PAS yang tersilap faham maksud BPMS. Ada yang memahami dengan melebih-lebih (ifrat) dan ada yang terlalu cuai (tafrid). Saya kemukakan contoh:

IFRAT: terlebih-lebih memahami BPMS. Mereka menganggap BPMS bermaksud berbaik dengan Umno tanpa apa-apa sempadan. Sampai lupa PAS dan Umno masih lagi dua entiti yang berbeza dasar dan prinsip.

Sampai ada yang terus bersama Umno baik dan buruknya, menyokong Umno buta tuli walaupun dalam bab kemudaratan atas alasan sama akidah. Bekerjasama tanpa batas syariat, undang-undang, akhlak dan maruah

TAFRIT: terlalu cuai dan longgar. Mereka menganggap BMPS adalah baik dengan semua orang termasuk berlainan akidah malah musuh Islam.

Ada yang mengguna alasan BPMS untuk berbaik semula dengan pihak yang sudah terang memusuhi Islam dan pihak yang pernah mengkhianati perjuangan. Masih menganggap PAS kerdil, tidak boleh bergerak tanpa bergabung dengan parti-parti lain.

BPMS: Jalan tengah antara kedua ifrat dan tafrit. Tidak cuai dan tidak berlebih. Sebaliknya istiqamah atas agenda PAS yang sudah dirangka tanpa terpengaruh dengan agenda mana-mana pihak.

Menjadikan Islam sebagai matlamat utama dan selamanya walau terpaksa melawan persepsi awam. Berpegang pada prinsip bukan pragmatik walau terpaksa berundur dari takhta.

PAS telah memperkenal Wawasan Induk Negara (WIN) sebagai agenda. PAS telah memilih untuk membentuk blok ketiga. PAS sudah memiliki rakan politik baru. PAS mahu gerakkan kuasa NGO dan NGI.

Sepatutnya agenda inilah yang ditumpukan. Bukan mengikut mana-mana agenda pihak lain sama ada Umno lama, Umno baru mahupun PH. Istiqamah di atas keputusan yang telah disyurakan. – HARAKAHDAILY 25/7/2016

Jika NAJIB tidak rasa MALU, tidak MALUKAH kita terus berketuakannya..???

Shahbudin Husin,


Dua orang rakan baru balik dari luar negara. Seorang berada di Jakarta dan seorang lagi di London ketika Jabatan Kehakiman AS membuat pengumuman untuk menyita harta-harta berkaitan wang 1MDB yang dipercayai telah diselewengkan.

Mereka hanya menonton berita mengenai perkara itu melalui televisyen di bilik hotel masing-masing.

Apabila kedua-duanya turun ke lobi hotel tidak lama kemudian bagi urusan seterusnya, buat pertama kali meraka berasa malu sebagai rakyat Malaysia ketika berada di luar negara. Masing-masing berasakan seperti banyak mata sedang memerhati kepada mereka.

Malaysia tidak lagi menjadi bahan berita kerana membuat pelaburan ekonomi yang besar, memberi bantuan kemanusiaan, menolong negara-negara miskin yang kesusahan atau atas kejayaan cemerlang sesuatu bidang, tetapi buat julung kalinya kerana sejumlah harta dalam skala rasaksa (ini yang disebut dalam media Indonesia) bakal dirampas kerana dipercayai daripada hasil curi.

Sebagai ketua kerajaan, apakah Najib Razak tidak malu dengan nasib negara sekarang?

Jika diimbas seketika detik-detik sejak meletusnya isu berkaitan 1MDB ini, Najib boleh dikira pemimpin paling selamba atau paling "sardin" dalam dunia. Keselambaan dan "kesardinannya" mengalahkan selambanya ikan sardin dalam tin.

Didedahkan dengan pelbagai isu yang menghenyak namanya, nama keluarga dan nama keturunannya sebagai anak Tun Razak yang disanjung ramai, Najib seolah-olah tidak berasa apa-apa dengan semua itu.

Jika dia mahu berjubah putih, dia akan memakainya tanpa memikirkan banyak selut kotor telah dikaitkan dengannya selama ini dan diperkatakan oleh seluruh rakyat dan dunia.

Jika dia mahu bercakap soal yang baik-baik seperti berjimat cermat, belanja berhemah, tidak membazir, jangan makan rasuah, jangan salah guna duit rakyat atau lain-lainnya, dia juga mampu berbuat selamba dan "sardin" tanpa melihat kelakuan diri dan keluarganya sendiri.

Begitu juga, dengan selamba dan "sardinnya" dia boleh mengatakan nama-nama yang disebut dalam kertas mahkamah Jabatan Kehakiman AS perlu membersihkan nama masing-masing, seolah-olah Malaysian Official 1 yang turut disebut dan memiliki segala ciri-ciri dirinya adalah bukan dirinya.

Tetapi, sampai kita sebagai rakyat harus menanggung semua rasa malu kerana berketuakan Najib sedangkan tuan punya badan tidak berasa apa-apa dan hanya "sardin" saja dengannya?

Sesuatu yang harus kita sedari juga ialah selagi ada Najib, Malaysia tidak akan aman dari segala pandangan buruk pihak lain kerana beliau sudah umpama "bangkai gajah" yang tidak mampu ditutup dan dilindungi lagi segala onar dan kecurangannya.

Cepat atau lambat, sebelum atau ketika pilihanraya, menyingkirkan Najib haruslah menjadi keutamaan jika kita semua mahu benar-benar aman dan damai hidup di negara ini serta kembali bangga bila berada di luar negara. (SH 27/07/2016).

Akhirnya Khairul Hafiz atasi rekod pecut 100m Watson yang berusia 17 tahun

Akhirnya Khairul Hafiz atasi rekod Watson

Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan berjaya pecahkan rekod 100 meter kebangsaan pada saingan akhir Sukma 2016, di Kuching hari ini.

Khairu Hafiz yang mewakili negeri kelahirannya, Melaka dilaporkan menamatkan larian di tempat pertama dengan catatan masa 10.19 saat.

Rekod itu sekali gus mengatasi pencapaian dan rekod 17 tahun milik Watson Nyambek yang dicipta pada 1998 dengan catatan masa 10.30 saat.

Campur tangan asing atau tidak mahu campur tangan?

Oleh Nor Miswary Ramli

court-dojs
Dalam pelbagai kemahiran rakyat Malaysia yang menakjubkan, terutama orang Melayu – kemahiran mengalih pandangan daripada isu utama adalah sesuatu yang paling sukar disangkal.

Orang Melayu terutamanya, begitu pandai mengalih pandangan kepada isu pokok yang sepatutnya diambil perhatian melebihi awan larat yang melingkari isu tersebut. Lihat saja akhbar tabloid tempatan yang lebih berminat melaporkan dan menyiarkan tajuk berita di muka hadapan dengan topik ‘panas’ yang jauh menyimpang permasalahan sebenar, yang sepatutnya menyedarkan rakyat Malaysia apa berlaku serta kesannya ke atas setiap daripada kita.

Rakyat Malaysia mudah teralih pandangan mereka daripada isu sebenar yang lebih menjejaskan nama negara dan rakyat secara khususnya.

Saman sivil mengikut bidang kuasa

Apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengambil tindakan saman sivil dengan niat mendapatkan semula harta atau yang didakwa dilakukan secara salah di dalam negara mereka melalui sebuah syarikat pelaburan ditubuhkan kerajaan Malaysia, maka sudah tentunya mereka berhak dan wajar mengambil apa-apa saja tindakan perlu mengikut bidang kuasa undang-undang mereka.

Melainkan jika mereka iaitu DoJ mengambil tindakan ke atas rakyat Malaysia yang memiliki syarikat persendirian di Pulau Pinang menyalahgunakan wang syarikatnya di pusat perjudian seperti di Genting Highland, Pahang atau membeli beberapa perumahan mewah di Pavillion Residences, Bukit Bintang atau membeli beberapa lukisan dan arca karya Syed Ahmad Jamal.

Jika itu berlaku, bolehlah kita beranggapan ia campur tangan asing ke atas negara kita yang berdaulat ini.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Malah tindakan DoJ ini menepati peruntukan undang-undang yang melibatkan harta dan pemilikan di bumi Amerika Syarikat. Ia akan jadi pelik pula jika mereka tidak bertindak seperti apa yang dilakukan ini.

Jangan alih isu sebenar

Yang sepatutnya menjadi kerunsingan kita adalah bagaimana skandal berat ini tergamak dilakukan mereka yang diamanahkan mengurus tadbir syarikat pelaburan milik kerajaan dengan jaminan kerajaan ini.

Malah apabila saman sivil ini melibatkan individu ‘superkaya’ yang sangat berkait rapat dengan pegawai tertinggi kerajaan, kita sepatutnya mengangkat persoalan jauh lebih besar seperti soal ketelusan pentadbiran serta urus tadbir yang baik dan bukan pula terarah kepada hal remeh langsung tidak relevan.

Apakah kita tidak merasa suatu keperluan untuk bangun dan persoalkan perilaku salah guna ini? Apakah kita hanya berminat untuk melihat daripada kaca mata sempit yang langsung tidak masuk akal seperti polemik campur tangan asing ini?

Adakah kita sedar harta dan pemilikan yang mahu dikembalikan ini sejumlah wang milik kerajaan yang secara tidak langsungnya milik rakyat Malaysia juga? Sedarkah kita DoJ yang kononnya melakukan campur tangan asing ini sedang membuat kerja bagi pihak kita – rakyat Malaysia?

Siapa sebenar yang prihatin?

Saman sivil ini menimbulkan banyak persoalan melampaui isu campur tangan asing, mengalih pandangan kita kepada isu utama seperti tatakelola pentadbiran yang baik, ketelusan pentadbiran, salah guna wang milik syarikat kerajaan dan kesalahan penggubahan wang haram dilakukan dengan begitu licik untuk kepentingan peribadi beberapa kerat individu.

Mahukah kita mengkategorikan ia sebagai campur tangan asing jika kerajaan Malaysia melalui peguam negara (AG) dan PDRM misalnya, mengambil tindakan sama jika ada mana-mana warga asing melakukan jenayah di dalam negara kita dengan merompak atau menjadikan negara ini sebagai pusat melakukan jenayah, seperti dakwaan kes 1MDB ini?

Tidakkah kita sedar tindakan DoJ selari dengan mana-mana negara di dunia yang pastinya akan mempertahankan kedaulatan negara mereka melalui bidang kuasa masing-masing bila mana berlakunya jenayah menyalahi peruntukan undang-undang dalam negara mereka. Malaysia pastilah tidak terkecuali untuk mengambil tindakan serupa.

Apa isu pokok?

Naif sangatlah kita untuk mengimani yang mana-mana negara di dunia ini akan mengizinkan negara mereka dijadikan medan melakukan apa jua jenayah oleh warga asing dan tanpa perlu dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

Adakah jika ada tindakan yang diambil untuk menghalang jenayah tersebut daripada terus berlaku, ia juga boleh dianggap sebagai satu campur tangan asing?

Penulis setuju, kita sebagai rakyat, wajar waspada dengan apa jua tindakan campur tangan asing yang menjejaskan keharmonian dan kedaulatan negara. Ia prinsip asas yang menguatkan kita keseluruhannya.

Dengan segala cabaran militan keganasan di serata dunia hari ini misalnya, menjadi tanggungjawab pemimpin kita dan harapan rakyat Malaysia agar negara kita selamat dan bebas daripada -ancaman seperti ini.

Namun, semua ini tidak boleh mengaburi kita daripada mengimbangi diri dengan fakta sebenar dan isu pokok dalam saman sivil oleh DoJ ini; iaitu skandal 1MDB ini melibatkan dakwaan penyalahgunaan wang syarikat pelaburan milik kerajaan yang mendapat jaminan kerajaan dan membeli aset bernilai lebih AS$1 bilion melalui dakwaan penggubahan wang haram yang dilakukan dengan skala besar.

Ia juga melibatkan individu yang diragui posisi mereka dengan pegawai tertinggi kerajaan dan dilakukan di Amerika Syarikat melalui institusi kewangan di sana. Jadi, bagaimana lagi kita mahu memberi justifikasi yang ia satu campur tangan asing? Siapakah yang mahu menjaga kedaulatan siapa?

Rakyat Malaysia berhak bertanya

Adalah sesuatu yang sangat menyedihkan bila negara kita yang pernah suatu ketika dulu diangkat sebagai negara Islam moderat, ekonominya pantas berkembang malah menjadi contoh negara Asia lain tetapi kini menghadapi dakwaan berat memalukan seperti ini.

Tindakan sivil oleh DoJ bukanlah suatu yang sepatutnya kita pikul sebagai isu campur tangan asing, ia beban yang dipaksa mengheret nama negara dan akan memberi kesan kepada keyakinan pelaburan asing ke dalam negara kita.

Ia menggoncang kestabilan politik negara dan akan memberi kesan tidak langsung kepada ekonomi dalam negara. Dan segala rantaian kesan ini tentunya bakal memberi impak akhir kepada kita. Ketika itu siapa yang boleh kita harapkan untuk mencampuri masalah kita?

Penulis ialah pembaca FMT.

Selepas 1MDB, Goldman Sachs disaman RM2 bilion

 Goldman
PETALING JAYA: Goldman Sachs Group Inc yang sedang disiasat pendakwa raya Amerika Syarikat kini dilanda masalah lebih besar.

Dalam perkembangan terkini, saman lebih AS$500 juta (RM2 bilion) difailkan Primus Pacific Partners terhadap bank itu mengancam mengheret ahli keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun tiada kaitan dengan 1MDB.

Primus Pacific yang merupakan pemegang saham terbesar Malaysia EON Capital Bhd sebelum ia dibeli Hong Leong pada harga AS$1.6 bilion, mendakwa Goldman Sachs memujuk lembaga EON Capital mengupahnya sebagai penasihat kewangan, dengan memutar belit dan menyembunyikan konflik kepentingan.

Menurutnya, Goldman dan bekas pengarah urusan, Tim Leissner membelakangkan tanggungjawab mereka sebagai penasihat kewangan EON Capital, dengan menggunakan maklumat sulit untuk membantu Hong Leong membeli EON pada harga lebih rendah.

Salah seorang adik Najib berkhidmat sebagai ahli lembaga, manakala seorang lagi adiknya adalah pengerusi firma pelaburan yang dilantik sebagai penasihat bank itu, menurut Primus Pacific dalam saman itu yang dipetik Bloomberg.

Saman berkenaan difailkan ketika Goldman mendapat perhatian pendakwa raya AS berhubung peranan dalam 1MDB.

Minggu lalu, pendakwa raya AS mendedahkan lebih AS$2 bilion daripada AS$6.5 bilion yang dikumpul Goldman untuk 1MDB disalurkan individu yang ada hubungan politik ke dalam pelbagai projek, termasuk pembikinan filem Hollywood, pangsapuri New York, lukisan terkenal dan sebuah jet.

Leissner yang merupakan bekas naib pengerusi operasi Goldman di Asia, adalah bank utama dalam urus niaga 1MDB. Beliau melepaskan jawatan di Goldman selepas dipaksa bercuti pada Januari untuk “kenyataan tidak tepat dan tidak dibenarkan”.

Minggu lepas, Jabatan Kehakiman AS memfailkan saman mahu menyita aset berkait syarikat milik Kementerian Kewangan itu berjumlah AS$1 bilion, atas dakwaan kecurian wang dan korupsi.

Dokuman penyiasat AS turut menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz, menggunakan wang yang dilesapkan daripada 1MDB. Ia juga mendakwa wang 1MDB sebanyak AS$11 juta disalurkan kepada ahli perniagaan Low Taek Jho bagi melangsaikan hutang judinya di Las Vegas.

Pembangkang: Apakah Pemuda Umno sokong Jho Low, Riza Aziz?


Pakatan Harapan negeri Perak membidas tindakan Pemuda Umno yang membuat laporan polis ke atas tiga pegawai terkanan dalam kerajaan dengan menganggapnya sebagai biadap, tidak bijak dan berbentuk ugutan politik terhadap semua penjawat awam.

Sebaliknya, kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Pengerusi PKR Perak, Dr Manuty Muhammad, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Alwi itu mempersoalkan mengapa Pemuda UMNO tidak membuat laporan terhadap Jho Low dan Riza Aziz.

"Tindakan Pemuda UMNO tidak membuat laporan polis ke atas mereka yang dinamakan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dalam penyelewengan dan penipuan duit 1MDB menunjukkan sayap Umno ini menyokong rasuah dan hilang segala kewibawaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun membuat laporan polis terhadap bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kasim Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Menurut Khairul Azwan, ketiga-tiga individu berpengaruh di negara ini dipercayai terbabit dalam satu konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia yang sah.

Dakwanya, ketiga-tiga mereka disyaki memberi dokumen dan maklumat sulit kepada agensi luar negara termasuk kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) tanpa kelulusan sah oleh pihak berkuasa Malaysia, termasuk Jabatan Peguam Negara.

Beliau yang membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi juga mendakwa sebahagian besar maklumat dokumen yang dikemukakan adalah palsu, diputar-belit dan direka untuk mencapai agenda jahat mereka.

Mengulas lanjut, Pakatan Harapan negeri itu menambah, tindakan Pemuda Umno itu juga boleh disifatkan sebagai serangan terbuka ke atas kredibiliti institusi penjawat awam negara ini.

"Pakatan Harapan mendapati tindakan Pemuda Umno merupakan ugutan politik terhadap penjawat awam dengan tujuan supaya institusi dan agensi kerajaan diperkudakan oleh Umno untuk melindungi mereka yang melakukan rasuah dan mencuri duit 1MDB yang berjumlah berbillion ringgit," katanya.

Kritikan menghujani Pemuda Umno terutama Khairul Azwan selepas beliau membuat laporan polis berkenaan.

"Laporan Pemuda Umno (adalah) satu juta langkah ke belakang untuk kemajuan dan pembaharuan di negara ini," kata bekas senator Umno Ezam Mohd Nor di Twitter.

Sebaliknya, kata Ezam, mereka patut buat laporan terhadap Jho Low dan pelakunya.

Turut sama mengkritik tindakan itu ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang menyifatkannya sebagai tuduhan jahat, biadab dan kurang ajar kerana pihak yang dituduh banyak berjasa pada negara.

Justeru, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan menyoal Khairul Azwan berkaitan laporannya yang mendakwa wujud konspirasi peringkat tinggi untuk menjatuhkan Najib dan kerajaan.

Label ‘agenda asing’ dijadikan umpan sokongan Melayu

Zaid-Kamaruddin
PETALING JAYA: Hujah kewujudan “campur tangan asing” dalam negara ini muncul kembali selepas Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman sivil berhubung isu 1MDB minggu lalu.

Seorang aktivis Islam berkata masyarakat Melayu beragama Islam di negara ini mudah menerima hujah sedemikian mungkin kerana rekod buruk AS sendiri dalam hubungannya dengan beberapa negara majoriti Muslim.

Sehubungan itu, ia mudah dijadikan senjata oleh pihak tertentu yang ingin mengalihkan perhatian masyarakat daripada isu sebenar.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia, Zaid Kamaruddin berkata rakyat perlu lebih matang dan terbuka dalam menghadapi isu seperti ini dan tidak secara mudah melabelnya sebagai usaha campur tangan asing ke atas negara.

“Kalau pun maklumat itu datang daripada pihak yang kita anggap sebagai ‘musuh’, kita perlu melihat sama ada ia benar atau tidak.

“Namun dalam setiap perkara seperti ini, tidak boleh terus pukul rata mengatakan ia agenda musuh berniat jahat,” katanya ketika dihubungi FMT.

Merujuk langkah DoJ itu, beliau berkata AS ternyata mempunyai sebabnya sendiri iaitu menyelamatkan integriti institusi negara itu.

“AS ada kepentingan dalam isu ini, iaitu bagi melindungi negara mereka daripada menjadi tempat kegiatan salah dilakukan,” katanya.

Walaupun saman sivil DoJ adalah untuk menyita aset dalam negara itu yang berkaitan dengan skandal 1MDB, beberapa pihak terus menganggapnya sebagai cubaan AS untuk masuk campur dalam urusan Malaysia.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil, misalnya, memberi amaran “anasir asing” yang cuba mencampuri urusan negara melalui 1MDB.

Malah, Shahrizat berkata penggunaan kuasa asing untuk menumbangkan kerajaan sedia ada boleh menyebabkan Malaysia menerima nasib sama seperti Iraq dan Syria.

Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Aminuddin Yahaya berkata ia terpulang kepada individu sama ada mahu menganggap langkah DoJ itu sebagai cubaan campur tangan atau tidak.

“Yang penting, pihak berkuasa kita sendiri perlu mendapatkan maklumat yang ada dalam dokumen itu dan siasat.

“Pendirian Isma mudah iaitu dengan mewujudkan tribunal bebas supaya isu ini dapat disiasat secara telus dan tanpa mana-mana pengaruh,” katanya.

Pendang | Jom Bantu - Guna kayu reput baiki kediaman

Guna kayu reput baiki kediaman

PENDANG - Sebuah keluarga mendakwa tidak mampu membaiki kediaman mereka yang uzur di Kampung Kongsi Baru, Kilang Kecil, di sini, akibat kesempitan hidup.

Menurut Mohd Zaidi Sirajuddin Safar, 38, dia cuba membaiki kediaman mereka menggunakan kayu lama, disebabkan tidak mahu terlalu bergantung ihsan orang.

“Bagaimanapun, keadaan kayu berkenaan yang mereput di makan anai-anai, menyukarkan saya untuk menyediakan kediaman selesa untuk anak-anak.

“Disebabkan tidak berkemampuan, beberapa bahagian dinding yang terbuka terpaksa dibiarkan, manakala tandas pula menunggu masa untuk roboh,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, ribut melanda kediaman didudukinya sejak tujuh tahun lalu pada 18 Julai lepas, menerbangkan beberapa bumbung rumah itu.

Bagaimanapun, kata Mohd Zaidi, mereka terpaksa akur berlindung di kediaman itu dengan keadaan bumbung tiada dan terbuka, meskipun perlu tidur dalam keadaan kurang selesa dan ketakutan.

Zaidi berkata, dia dan isteri, Kholilah Kamis, 41, kini turut bimbang alang kediaman yang usang jatuh bila-bila masa menimpa salah seorang anak mereka yang masih kecil.

Menurutnya, keadaan cuaca tidak menentu kebelakangan ini, menyebabkan dia bimbang keadaan kerosakan kediaman mereka bertambah serius.

Tambahnya, dia yang hanya bekerja kampung memiliki pendapatan tidak menentu sekitar RM400 sebulan untuk menyara keluarganya.

Katanya, pendapatan tidak seberapa sedemikian membuatkan dia tidak mampu menampung kos perbelanjaan mereka, antaranya bekalan elektrik dan pendidikan anak.

“Dua anak saya Siti Aishah, 9, dan Mohd Faiz, 8, masih belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jenun, manakala dua adiknya baru berusia dua bulan dan lima tahun.

“Disebabkan itu, adakalanya dua anak saya tak ke sekolah, malah kami pernah terputus bekalan elektrik bulan lepas.

“Mujur adik sepupu sering membantu, bolehlah saya beli barang keperluan harian, manakala bekalan elektrik pula disambung semula atas keprihatinan pihak berkenaan,” katanya yang berhasrat mencari kerja lebih baik, namun tidak mampu kerana tidak tahu membaca dan menulis.

Bagi mereka yang berhasrat membantu boleh menyalurkan bantuan melalui talian (017-5279543) ataupun akaun BSN atas nama Zaidi (0213829000010583).

Tabung Haji tidak akan jual tanah di TRX

 
KELANA JAYA - Tabung Haji bertegas untuk tidak menjual tanah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memandangkan ia dilihat mempunyai nilai tambahan yang tinggi bagi tempoh jangka masa panjang.

"Daripada mula pembelian tanah tersebut adalah berdasarkan komersial..kita buat penilaian dari segi jangka masa panjang.
"Sekarang juga kita ada tawaran yang tinggi, tetapi kami tidak mahu menjualnya kerana kami percaya dengan penghasilan nilai jangka panjang daripada pelaburan itu (tanah di TRX)," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Johan Abdullah kepada pemberita selepas majlis pelancaran yayasan Tabung Haji di sini, hari ini.

Majlis tersebut dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tabung Haji membeli tanah seluas 0.631 hektar itu pada harga RM188.5 juta iaitu RM2,773 bagi setiap kaki persegi.

Johan berkata, setakat ini Tabung Haji sedang berbincang dengan beberapa firma arkitek untuk konsep serta perancangan pembangunan yang akan dilaksanakan di tanah tersebut. - Bernama

Aduhai Lang Merah...Tactikal kurang TCH semakin hilang bisanya...

[ Bermain tanpa ilmu sebenar ]
By : Ammar Yasier

Tamparan hebat buat skuad Helang Merah yang diaibkan pasukan tercorot liga,Pulau Pinang 3-2 pada malam ini semestinya memerlukan kebangkitan segera jika ingin terus bersaing mendapatkan tempat terbaik Liga Super.

Pasukan Kedah yang pada tahun lepas dianggap 'Barcelona Malaysia' berubah pada tahun ini walaupun bermain dengan formasi yang sama. Dimanakah silapnya? Jika ditujukan kepada pemain itu bukanlah jawapan yang tepat sebaliknya perlu dipersalahkan kepada Jurulatih yang gagal melatih pemain dengan formasi dan taktikal yang sempurna.

Kedah pada malam ini bermain dengan posisi 4-2-3-1 adalah formasi terbaik untuk pemain memperagakan corak permainan Tiki Taka namun sebaliknya yang berlaku kerana bahagian tengah seolah-olah tiada idea untuk membuka perlawanan dan merancang serangan bagi skuad hijau kuning.

Sebaliknya pujian harus diberikan kepada pemain Pulau Pinang kerana berjaya menghidu dan memanfaatkan kelemahan pasukan Kedah dengan menjaringkan gol bagi membenam skuad Helang Merah dengan jaringan 3-2.

Sudah tiba masanya pihak pengurusan meneliti semula barisan Kejurulatihan Skuad Helang Merah jika ingin memantapkan semula pasukan Kedah pada masa akan datang.Kedah mempunyai pemain muda yang berkualiti tinggi ditambah dengan pemain import yang berbisa seperti Shane,Thiago,Liridon tetapi percaturan jurulatih yang lapuk membuatkan huru hara dalam pasukan.

Kami sebagai penyokong setia mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain Kedah dan TAKZIAH kepada kejurulatihan pasukan kerana gagal membentuk sebuah pasukan yang mantap.

Mungkin bayangan Ramon Mancote sangat dirasai sekarang. Kembalikan gabungan Tan Cheng Hoe dan Ramon jika kejayaan yang mahu dikecapi.

Secara matematiknya :

Pemain Bagus + Taktikal Sempurna = Kemenangan

Pemain Bagus + Taktikal Teruk = Kekalahan

[ Share biar sampai kepada pengurusan KFA]

KEMBALIKAN RAMON!

#RombakJurulatih
#SayangKedah





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...