TERKINI :

Monday, July 25, 2016

Syor hanya mereka tak merokok diambil bekerja - Exco Kedah

LANGKAWI: Exco Kesihatan Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong hari ini mencadangkan supaya hanya calon yang tidak merokok dipertimbangkan untuk menyandang jawatan dalam sektor awam atau swasta.

Beliau berkata pelaksanaan syarat itu boleh menjadi satu permulaan kepada usaha untuk membuang tabiat merokok dan menyemai amalan hidup sihat dalam kalangan tenaga kerja.

"Langkah ini jika dapat dibuat akan dapat menanam tanggapan 'kalau merokok susah nak dapat kerja' sekaligus boleh memaksa pencari kerja meninggalkan tabiat merokok," katanya ketika merasmikan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2016 peringkat negeri di sini.

Menurutnya, penjawat awam dapat menjadi contoh kepada anggota masyarakat lain untuk menghentikan tabiat merokok dan seterusnya mengurangkan lagi masalah kesihatan yang dialami di negara ini.

"Visi kita untuk mewujudkan masyarakat yang bebas daripada ancaman asap rokok akan dicapai melalui penyatuan dan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat," katanya.

Semasa ditemui media selepas majlis itu, Dr Leong berkata pelaksanaan syarat tidak merokok untuk pencari kerja adalah cadangan peribadinya dan beliau mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak berhubung perkara itu.

"Memang ada pihak yang akan berkata berdasarkan hak asasi manusia, mungkin ini satu cadangan yang tak boleh dilaksanakan...terpulanglah untuk masyarakat sama-sama berbincang," katanya.

Menyentuh mengenai perancangan Jabatan Kastam untuk melaksanakan peraturan baharu mengehadkan penjualan rokok bebas cukai di Langkawi mulai 1 Ogos ini, beliau berkata langkah itu tidak mungkin dapat mengurangkan tabiat merokok mahupun masalah penyeludupannya dari pulau ini.

Menurutnya dalam keadaan sekarang, penambahbaikan aktiviti penguatkuasaan dan rondaan adalah langkah lebih baik berbanding memperkenalkan peraturan yang mungkin akan hanya menggalakkan lagi aktiviti penyeludupan.

"Pengawasan yang baik akan meminimakan atau sekurang-kurangnya kita tahu apa yang berlaku dan kita dapat menjejak (mereka yang menjalankan aktiviti penyeludupan)," katanya. - BERNAMA

Pembangkang wajar mencapai kesepakatan sekiranya mahu melihat BN kecundang dalam PRU 14

Pas perlu bersikap lebih terbuka
Wartawan Sinar Harian
25 Julai 2016

ALOR SETAR - Hasrat pembangkang untuk menjatuhkan BN dalam PRU akan datang tidak akan tercapai sekiranya masing-masing membawa haluan sendiri.

Adun Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, parti pembangkang wajar bersatu atau mencapai kesepakatan sekiranya mahu melihat BN kecundang dalam PRU.

“Sampai bila pun impian pembangkang mahu terajui negara tidak akan tercapai jika tiada kesatuan sesama parti pembangkang. Hasrat pembangkang adalah untuk tewaskan BN, jika sesama sendiri tidak sepakat, seolah kita memberi jaminan kemenangan kepada BN,” katanya, ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka beliau, di Masjid Al-Maarif, Kampung Huma.

Menurut Ketua Pembangkang Dun Kedah itu, pimpinan Pas perlu berlapang dada dan bersikap lebih terbuka berhubung pandangan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru kepada gencatan senjata sesama pembangkang dan menggembleng tenaga menumbangkan BN.

“Saya mengalu-alukan sekiranya perkara itu benar-benar berlaku. Sudah lama tunggu kenyataan seperti itu dikeluarkan pimpinan Pas, sepatutnya pendirian itu sudah lama dibuat,” katanya.

Amiruddin berkata, apabila Tuan Ibrahim menyebut perlunya gencatan senjata, ini bermakna beliau sudah mengenal pasti siapa musuh sebenar Pas.

“Musuh sebenar pembangkang hanya BN. Persefahaman perlu ada untuk pembangkang lawan 1-1 dengan BN, untuk elakkan pertandingan tiga penjuru kalangan pembangkang. Saya percaya rakyat juga mahukan begitu,” katanya.

Amiruddin secara terbuka turut mengesahkan tindakannya meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Pas kawasan Kuala Kedah sebelum ini, mempunyai kaitan dengan polisi parti.

“Saya berasakan polisi Pas memeterai kerjasama blok ketiga bersama Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) tidak membawa kepada kemenangan dalam PRU, kerana akan wujudnya pertandingan tiga penjuru dan pecah undi,” katanya. 

Menurutnya, diharap apa yang dinyatakan sebagai gencatan senjata itu menjadi dasar Pas, selain inisiatif parti untuk merealisasikan hasrat itu.

Mengulas mengenai pembentukan parti baharu diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad, katanya, mana-mana pihak sama ada Pas mahupun Mahathir, yang mahu bersama dalam usaha menjatuhkan BN perlu bersikap terbuka antara satu sama lain.

“Mungkin suatu ketika dahulu, mereka musuh politik kita.

"Berilah peluang kedua untuk masing-masing memperbaiki kesilapan lalu,” katanya.

'Kenapa Shabery Cheek bela Riza, Jho Low?’

SHAH ALAM – Peguam, Haniff Khatri Abdulla membidas kenyataan Ahli  Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung saman sivil dikemukakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Haniff Khatri sebaliknya menyarankan agar kertas klausa yang difailkan AS itu dibaca dengan teliti terlebih dahulu.

“Sejak bilakah menteri Malaysia bertanggungjawab menjadi jurucakap untuk dua orang rakyat Malaysia yang disaman di luar negara atas dasar mengaut harta dan dana haram melalui penyelewengan di dalam syarikat milik Malaysia, yakni harta milik rakyat Malaysia?,” katanya dalam kemas kini status di Facebook.

Rabu lalu, DOJ dilaporkan akan menyita aset bernilai lebih RM4 bilion dan menamakan individu yang didakwa terlibat dalam konspirasi mengubah wang haram daripada 1MDB iaitu, anak tiri Perdana Menteri, Riza Aziz; ahli perniagaan Jho Low serta dua individu lagi, Khadem Abdulla Al-Qubaisi dan Mohammed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

Ahmad Shabery sebelumnya berkata, tidak adil dan tidak wajar untuk menghukum dan mendakwa seseorang itu bersalah dengan membuat andaian sendiri memandangkan kes itu masih dalam siasatan.

Sehubungan itu, Haniff yang mewakili bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua individu lain dalam kes pendakwaan berkaitan 1MDB berkata, sebagai seorang menteri Kabinet, Shabery sepatutnya membela nasib rakyat Malaysia bukannya dua individu yang disaman di luar negara itu.

“Soalan yang awak patut tanya adalah, ‘sekiranya benar harta milik Riza atau Jho Low yang dipohon untuk disita itu adalah hasil daripada penyelewengan curang dana 1MDB, maka bagaimanakah jemaah menteri dan kerajaan Malaysia akan peroleh atau siasat harta-harta lain mereka berdua di dalam negara, mahupun di negara luar yang lain?’

“Kenapa awak bagaikan hendak membela hak mereka jauh lebih tinggi daripada hak rakyat Malaysia? Ya ALLAH SWT, selamatkanlah negara kami ini,” katanya.

Laporan: Beberapa tokoh Umno bakal lompat parti, sertai Dr M

Bekas editor kanan New Straits Times, Firdaus Abdullah meramalkan beberapa pemimpin tertinggi Umno akan beralih kepada pembangkang ekoran tindakan undang-undang Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat untuk merampas berbilion-bilion aset yang didakwa disalah gunakan daripada dana pelaburan negara 1MDB.

Laporan South China Morning Post hari ini memetik Firdaus sebagai berkata, para pemimpin Umno itu telahpun memulakan perbincangan dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Umno dalam keadaan gundah-gulana. Beberapa pemimpin kanan parti itu telah mula 'berbincang' dengan Mahathir," ujar Firdaus, memetik laporan yang sama.

"Di kalangan mereka ialah ahli-ahli Umno kanan, anggota-anggota kabinet dan para pemimpin parti komponen BN," dakwanya tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Baru-baru ini, Mahathir mengumumkan penubuhan parti politik baru yang akan membawa agenda 'Selamatkan Malaysia' dan menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mahathir yang merupakan ahli veteran Umno akhirnya keluar parti itu pada bulan Februari yang lalu.

Kata beliau, penubuhan parti itu akan menarik mereka yang mungkin tidak menyokong parti-parti pembangkang sedia ada.

South China Morning Post turut memetik kenyataan bekas menteri persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim yang berkata, Umno kini semakin tertekan tetapi ahli-ahli mungkin mengambil sedikit masa untuk melompat parti.

"[Ahli Umno] malu-malu. Ia akan berlaku tetapi perlahan-lahan. Saya rasa Najib akan didakwa oleh Amerika Syarikat, dan kemudian kamu akan lihat orang melompat parti," jelas Zaid.

Malaysiakini sedang cuba untuk menghubungi para pemimpin Umno untuk mengulas mengenai perkara ini.

Penipuan dana AS$1b: Malaysia serius

NIZAM ZAIN / SH
25 Julai 2016

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim menyambut baik kesungguhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, langkah itu menunjukkan keseriusan SPRM untuk meneliti secara lebih dekat, dakwaan penipuan dana AS$1 bilion milik 1MDB menerusi saman sivil yang difailkan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS, awal minggu lalu.

“Sekurang-kurangnya SPRM boleh menyiasat segala bentuk tuduhan tersebut supaya dapat memberikan satu gambaran di peringkat dunia, keseriusan kerajaan untuk meneliti perkara yang dibangkitkan oleh DOJ.

“Rakyat jangan mempolemikkan apa yang dilakukan SPRM. Mereka benar-benar satu badan bebas dan bertindak bagi memastikan kredibiliti SPRM dipandang tinggi di peringkat dunia,” katanya, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang mengesahkan agensi itu menjalin kerjasama dengan FBI berhubung siasatan 1MDB.

Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat seorang ahli perniagaan yang dikatakan menipu 1MDB, dan turut terlibat dengan pengubahan wang haram sebelum membawanya ke AS.

Irmohizam yang juga ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) berkata, siasatan 1MDB melibatkan kedaulatan negara dan kerajaan perlu memastikan ia dilakukan tanpa campur tangan kuasa luar.

“Lebih baik Kerajaan Malaysia sendiri yang menyiasat kerana campur tangan kuasa luar boleh mempengaruhi persepsi yang tidak baik dalam kalangan masyarakat Malaysia dan antarabangsa.

“Malaysia sudah mempunyai agensi-agensi yang sangat bebas dan telus. Tak perlu pihak kuasa asing ingin menjadi hero di peringkat dunia,” katanya.

Benarkah Dengan Bubarkan Amanah Pembangkang Tenang?

Bubarkan Amanah Pembangkang Tenang?

TITM mencadangkan supaya Amanah dibubarkan. Menurut beliau lagi “bubar Amanah dan pembangkang akan tenang”. Mungkin TITM lupa bahawa sebelum wujudnya Amanah sekalipun pembangkang dalam keadaan berbalahan satu sama lain.

Dari sejak 2008 lagi PAS menimbulkan banyak masalah terhadap usaha kerjasama dan kesatuan pembangkang untuk menghadapi UMNO/BN. Kami yang sekarang ini berada dalam Amanah yang telah berusaha mempertahankan kerjasama ini bersama Almarhum TGNA. Dan oleh kerana usaha mempertahankan kerjasama ini jugalah maka kami digelar ‘golongan Erdogan’, ‘Anwarinas’, ‘wala pada PR lebih dari wala kepada PAS’ dan sebagainya. Akhir sekali digelar ‘liberal’, ‘jebon’, ‘pengkhianat’ dan ‘khadam DAP’.

Tidak perlu saya ceritakan satu persatu, ini semua cerita lama yang diketahui umum. Memadai dengan disebut krisis MB Selangor yang merupakan kemuncak perbalahan ini di mana PAS telah sanggup berkerjasama dengan UMNO mempertahankan TSKI sehingga ke peringkat memecat exco-exco PKR dan DAP. Rakyat Selangor bernasib baik dengan adanya dua ADUN PAS yang telah berjaya menggagalkan pengkhianatan PAS! Akhirnya TSKI terpaksa letak jawatan sebagai MB.

Konsep di sebalik pengkhianatan ini jelas terkandung dalam mesej whatsapp Dr. Zuhdi yang telah disebar-luas suatu ketika dahulu. Tiada kekesalan dan permintaan maaf sama dari PAS selepas berlalunya episod ini. Sedangkan ianya tindakan menikam rakan sendiri dari belakang!

Masalah perbalahan antara parti pembangkang ini tidak akan selesai selagimana PAS tidak insaf dan terus ingin menegakkan benang basahnya. PAS sentiasa menyalahkan pihak lain sedangkan dirinya sendiri yang jauh lebih bersalah dan bermasalah. Mutakhir ini ingin menyalahkan Amanah pula! Dengan sikap angkuh sebegini, bagaimana kesatuan pembangkang boleh tercapai?

CADANGAN ‘GENCATAN SENJATA’

Saya ingin nyatakan kepada TITM, lihat sahajalah kepada respon pimpinan PAS terhadap seruan TITM untuk diadakan ‘gencatan senjata’. Saya yakin TITM sendiri kecewa dengan respon yang diterimanya, tetapi itulah hakikat pemikiran PAS dewasa ini. Kecuali pimpinan Selangor, hampir semua yang lain telah menolak cadangan TITM. Mungkin ini yang menyebabkan TITM marah dan dalam kekecewaannya menghalakan kemarahannya kepada saya.

Sedangkan saya sendiri menyokong cadangan TITM. Namun tiada masalah, saya faham dan saya maafkan. TITM perlu faham, walaupun saya diam seperti yang dicadangkan beliau sekalipun, masalah perbalahan PAS dengan pembangkang lain tetap tidak akan selesai. Ini adalah kerana punca masalah itu bukan datangnya dari suara saya tetapi dari sikap Hj. Hadi dan pimpinan PAS yang lain.

PERMINTAAN PAS SELANGOR

Jika difikirkan permintaan PAS Selangor, sepatutnya Hj. Hadi akur kepada kehendak PAS Selangor. Hj Hadi sering sebut “orang Mekah lebih tahu liku-liku jalan di Kota Mekah”. Maka sepatutnya diterimanya bahawa orang Selangor lebih tahu waqi’ di Selangor. Akan tetapi permintaan PAS Selangor akan tetap ditolak. Bukan kerana Hj. Hadi anggap dirinya lebih tahu waqi’ di Selangor, tetapi kerana hala-tujunya sudah berbeza. Jatuhnya Selangor kepada UMNO/BN sekalipun mungkin tiada masalah bagi beliau. Malahan mungkin dianggapnya lebih baik dari Selangor terus kekal bawah PH dan PAS! Maka gencatan senjata akan tetap dan terus ditolak.

Amanah setuju dan sokong supaya diadakan gencatan senjata antara parti pembangkang. Amanah setuju kita perlu bersatu dalam berhadapan dengan UMNO/BN. Itulah sebabnya Amanah ditubuhkan supaya kesatuan itu tercapai. Kerana PAS tidak setuju.

BERKERJA DI BAWAH SESEORANG

Dalam soal berkerja di bawah seseorang, ianya tiada masalah bagi saya. Tuduhan TITM bahawa saya dan rakan-rakan tidak boleh berkerja di bawah orang lain adalah tidak berasas. Sudah pasti dalam Amanah sekalipun bukan semua menjadi pimpinan terkanan. Oleh itu semestinya akan ada di kalangan kami yang berkerja di bawah yang lain.

Isunya bukan berkerja bawah orang lain, tetapi orang yang kita berkerja di bawahnya perlu membawa kita ke arah yang terbaik. Sebelum penubuhan Amanah kami telah berikan tempoh seratus (100) hari untuk melihat hala tuju pimpinan baru. Kami melihat ianya jauh terpesong dari hala-tuju yang dibawa Almarhum TGNA di mana beliau sentiasa menegaskan “kukuhkan PR” dan ‘jatuhkan UMNO’. Terbukti bacaan kami tepat. PAS telah pecah-belahkan PR dan sedang bermesra dengan pimpinan UMNO.

Apabila PAS tidak lagi menganggap perlu semua pembangkang berkerjasama untuk menghadapi UMNO/BN, ia bermakna menjatuhkan UMNO/BN bkan agenda utama. Dalam erti-kata lain kalau UMNO/BN tidak dijatuhkan sekalipun ianya bukan satu masalah. Seperti yang pernah dikatakan Hj. Hadi, “Najib tidak seburuk Firaun”.

Oleh itu terpaksalah kami tubuhkan Amanah supaya hala-tuju yang diusahakan sejak dahulu terus diusahakan. Kami istiqamah dengan usaha tersebut walaupun tidak istiqamah dengan jemaah PAS. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, yang penting risalahnya bukan jemaahnya.

AGIHAN KERUSI

TITM ingin memberikan gambaran bahawa masalah utama pembangkang adalah soal agihan kerusi. Sebenarnya ada masalah yang lebih utama, iaitu kejujuran dan keikhlasan dalam berpakat. Kalau tidak jujur atau ikhlas, maka agihan kerusi akan menjadi masalah. Apa guna diagihkan tetapi selepas itu watiqah tetap dikeluarkan apabila diminta menantu? Atau dipaksanya diserahkan kerusi dengan dituduh secara terbuka calon parti rakan menjual pil kuda? Dan yang lebih teruk, setelah dimenangi kerusi berkenaan secara berpakat, melalui sokongan dari semua parti rakan, mendakwa ianya milik PAS secara mutlak?

Kemuncak segala pengkhianatan ialah apabila dimenangi jumlah kerusi tertentu, dengan sokongan parti-parti rakan, digunakan kerusi-kerusi tersebut untuk berunding dengan UMNO/BN! Bukankah TITM sendiri pernah berkata, sekiranya PAS menang 20 dan pembangkang dan BN menangi jumlah yang sama, PAS boleh pilih hendak dengan siapa?

Dan inilah masalahnya. Tiada kejujuran dan keikhlasan maka rundingan kerusi sudah pasti tidak akan selesai. Jika berjaya diselesai sekalipun, dikhianati. Amanah adalah alterntif kepada pengkhianatan, komited kepada kejujuran, ikhlas dalam persahabatan dan tidak menikam rakannya dari belakang. Itu sebabnya Amanah ditubuhkan. Untuk menzahirkan politik Islam yang adil, ikhlas dan jujur.

NASIHAT PADA PIMPINAN PAS

Saya ingin berikan nasihat kepada TITM dan pimpinan PAS, walaupun saya yakin nasihat ini tidak akan diindahkan. Mereka merasakan mereka sahaja yang betul dan mereka sahaja kononnya yang dipandu Al-quran dan Sunnah. Ini punca keangkuhan mereka. Namun saya tetap bertanggung-jawab menasihati mereka. Terima atau tidak terpulang.

Nasihat saya adalah supaya jangan kita jadi seperti tentera Turki yang terlibat dalam usaha rampasan kuasa tempoh hari. Mereka ingat rakyat bersama mereka, bahawa mereka adalah sebagai pembela nasib rakyat dan apabila mereka melakukan rampasan kuasa, rakyat Turki akan sambut mereka sebagai penyelamat dan perwira negara. Namun amat sangat meleset andaian dan tanggapan mereka!

Kenapa andaian mereka begitu jauh tersimpang dari hakikat sebenar? Kerana mereka diindoktrinasi dengan fahaman dan maklumat yang songsang. Mereka hanya sesama mereka dan termakan dengan propoganda sendiri. Mereka menganggap rakyat bencikan Erdogan seperti mereka bencikannya. Sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya.

Sememangnya amat benar Islam itu adil dan merupkan agama yang benar. Dan amat benar bahawa Islam apabila terlaksana sepertimana sepatutnya akan menghasilkan keadilan dan manusia akan datang berduyun-duyun untuk bersama Islam. Tetapi adakah benar bahawa pendekatan PAS dalam membawa risalah Islam itu menzahirkan keadilannya? Adakah benar bila rakyat melihat PAS maka dianggap PAS pembelanya? Atau sekadar yang bercakap mengenai Islam tetapi yang dilakukan tidak seperti yang dikatakannya? Lihat bagaimana sokongan bukan Islam telah hampir kesemuanya lari dari PAS di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Sedarlah akan keadaan yang telah berubah dan tidak seperti dahulu. Jangan kita seolah berada dalam perigi buta.

Ya benar, Amanah sebaliknya tidak mendapat undi Melayu, kecuali dalam lingkungan 10% - 13%. Sebagai sebuah parti baharu, itu tidaklah menghairankan. Amanah baharu ditubuhkan dan masih belum lagi dikenali. Tambah pula Amanah diserang bertubi-tubi oleh UMNO dan PAS, kedua-dua parti Melayu yang paling berpengaruh dalam arena politik Melayu selama ini. Namun alhamdulillah Amanah tetap mendapat 10% dalam tempoh hayat hanya 8 bulan. Potensi untuk Amanah adalah hanya ke arah semakin betambah banyak, tetapi adakah potensi ini turut dikongsi oleh PAS dalam keadaan semasa?

KESIMPULAN

Saya menyeru TITM untuk teruskan usaha mengubah pemikiran PAS supaya PAS mengakui kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukannya. Biar jujur dalam berkerjasama dan kembali kepada sikap UMNO/BN sebagai musuh utama. Saya sokong usaha TITM ke arah itu.

Tetapi sekiranya jelas bahawa PAS tidak akan kembali kepada pendekatan asalnya, iaitu bersama parti pembangkang dalam menentang UMNO/BN, maka TITM perlu mengakui bahawa usaha tersebut akan tidak ke mana. Pada ketika itu TITM perlu membuat keputusan ia itu untuk terus bersama PAS yang telah hilang hala-tujunya atau bersama PH dalam usaha menjatuhkan UMNO/BN.

Kami di Amanah telah membuat keputusan yang kami yakin dengan kebenarannya. PAS bukan lagi sebuah parti pembangkang dan menjatuhkan UMNO/BN bukan lagi salah satu matlamat utamanya. Itu adalah hakikat dan bukan lagi persepsi.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiba masa OSA dikaji semula supaya tidak dimanipulasikan

Syaredzan Johan
25 Julai 2016
1MDB

BLOG Sarawak Report (SR) telah menyiarkan beberapa dokumen yang dikatakan telah diambil daripada laporan Ketua Audit Negara mengenai syarikat milik kerajaan yang bermasalah, 1MDB.

Laporan ini seperti kita tahu telah pun dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), yakni undang-undang berkenaan dengan rahsia rasmi dan maklumat rasmi di negara ini.

Sekiranya benar SR telah menyiarkan dokumen-dokumen yang dikelaskan di bawah OSA, maka pemilik blog tersebut tentu sekali telah melakukan beberapa kesalahan di bawah OSA tersebut.

Seseorang yang menerima apa-apa rahsia rasmi melakukan kesalahan sekiranya orang itu memiliki atau mengawal apa-apa rahsia rasmi jika orang itu tidak mempunyai hak untuk menyimpannya.

Di samping itu, ia juga merupakan suatu kesalahan sekiranya orang itu secara terus atau tidak, memberi maklumat bawah OSA kepada orang lain, melainkan orang yang memberi maklumat itu telah diberikan kuasa atau merupakan tanggungjawabnya untuk menyampaikan maklumat itu.

Menurut OSA, ‘rahsia rasmi’  adalah termasuklah dokumen-dokumen dan rekod keputusan dan perbincangan Kabinet serta Majlis Mesyuarat Negeri (Exco).

Dokumen berkenaan dengan keselamatan negara, pertahanan dan hubungan antarabangsa juga secara automatik dikelaskan sebagai ‘rahsia rasmi’ di bawah OSA.

OSA juga memberi kuasa kepada menteri, menteri besar atau ketua menteri, dan juga kepada mana-mana penjawat awam yang dilantik oleh menteri, menteri besar atau ketua menteri untuk mengelaskan apa-apa maklumat atau bahan sebagai ‘Rahsia’, ‘Terhad’ atau ‘Sulit’, yang kemudian akan menjadikan maklumat atau bahan tersebut sebagai ‘rahsia rasmi’ di bawah OSA.

Oleh itu, kuasa untuk mengelaskan maklumat atau bahan sebagai rahsia rasmi diberikan dengan luas. Ini juga bermaksud bahawa banyak dokumen yang telah dikelaskan sebagai rahsia rasmi.

Akta tersebut tidak menghendaki menteri, menteri besar, ketua menteri atau penjawat awam yang berkenaan untuk memberi justifikasi mengapa sesuatu maklumat atau bahan itu harus dijadikan rahsia rasmi.

Maknanya, apa-apa jenis maklumat atau bahan boleh dijadikan rahsia rasmi, tidak kira sama ada ia ada keperluan untuk menjadikan ia sebagai rahsia. Maklumat tersebut tidak perlu berhubung dengan keselamatan awam atau pertahanan, contohnya.

Ini juga bermakna OSA ini boleh digunakan untuk menutup atau menyorok kecuaian, salah tadbir, salah laku ataupun kesalahan di dalam kerajaan tanpa perlu ada apa-apa justifikasi diberikan. Jika ada yang tidak kena, cara yang mudah untuk merahsiakannya adalah dengan menggunakan OSA.

Berkenaan dengan laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, ramai yang mempersoalkan mengapa laporan ini masih di bawah OSA apabila ia dilakukan ke atas syarikat milik kerajaan dan digunakan untuk membuat laporan Jawatankuasa Kira-kira Parlimen (PAC).

Ia memberi persepsi, sama ada betul atau tidak, bahawa kerajaan tidak mahu orang ramai mempunyai akses kepada laporan tersebut.

Undang-undang lapuk seperti OSA tidak patut ada lagi dalam sebuah negara moden dan demokratik seperti Malaysia. Seluruh dunia kini menuju kepada mewujudkan kerajaan-kerajaan yang terbuka dan telus. Banyak negara telah menggubal undang-undang kebebasan maklumat untuk menggantikan undang-undang dengan rejim yang sama seperti OSA.

Ini sebab mengapa ramai yang memanggil supaya OSA ini digantikan dengan suatu akta yang mempromosikan ketelusan dan kebertanggungjawaban, di samping mendukung hak untuk kebebasan maklumat.

Memang untuk beberapa jenis maklumat dan bahan, perlu ada kawalan dan kerahsiaan. Tetapi ini mesti terhad kepada keselamatan negara, pertahanan atau hubungan antarabangsa. Bukan semua jenis maklumat atau bahan.

‘Rahsia rasmi’ mesti ditakrifkan dengan khusus untuk hanya merangkumi maklumat-maklumat seperti ini, dan bukannya luas sehingga ia boleh disalahgunakan.

Juga mesti ada mekanisme untuk memastikan apa-apa maklumat yang dijadikan rahsia boleh dijustifikasikan sebagai rahsia; apa-apa pengelasan yang salah dan dibuat dengan sengaja harus dijadikan kesalahan.

Dengan ini, akta yang baharu tidak lagi boleh dijadikan alat untuk menutup atau menyorok kesalahan dalam kerajaan. 

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur

Melayu takan mati meskipun tanpa Umno

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
24 Julai 2016

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal memberi jaminan kepada penyokongnya, Melayu Bumiputera tidak akan mati di negara ini meskipun tanpa parti kerajaan, Umno.

Beliau mengambil contoh tiga negeri yang diperintah pembangkang.

"Jangan takut, jangan bimbang, orang Melayu Bumiputera tidak akan mati tanpa Umno.

"Kelantan 20 tahun Pas pegang, DAP pegang Pulau Pinang dua penggal, di Selangor, PKR perintah dua penggal negeri itu...tak mati org Melayu," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Aidilfitri bersamanya di Kota Belud, hari ini.

Malah, bekas Naib Presiden Umno ini juga mengingatkan rakyat Sabah agar tidak bimbang walaupun bakal banyak parti politik tumbuh di negeri tersebut.

"Jangan bimbang...banyak parti nanti di Sabah...nak tambah kerusi lagi di Sabah. Tambahlah...banyak parti macam mana pun, biarlah. Itu tidak penting.

"Banyak parti pun, jangan sampai pecah belah dan jangan pilih parti tapi pilih pemimpin yang kita boleh bergantung, berteduh. Jangan pilih parti calon tempatan tapi hanya jadi kuda tunggangan," katanya.

Tegasnya, bukan parti mahupun jumlah kerusi yang menentukan kuasa di negeri itu sebaliknya ia terletak di tangan rakyat.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...