TERKINI :

Tuesday, July 19, 2016

Akhirnya Selena Gomez setuju nak buat konsert pakai 'tudung'

1. Pemuda Pas bantah penyanyi Selena Gomez nak berkonsert di stadium. Mufti Selangor tak izin Rozaimi (Dr) berkuliah di masjid. Faisol (Syeikh) seorang kadhi Kedah tak dibenar berkuliah di masjid di Perlis. Aku garu kepala.

2. Susah betul dengan mentaliti orang agama. Mentaliti sekat, halang, serba tak boleh. Aku tak pasti, mentaliti ini ada atau tidak dalam kalangan penganut agama lain. Cuma aku pernah dengar, Mujahid (YB) pernah bercakap tentang Islam di gereja.

3. Selena tak boleh menyanyi sebab dia seksi, dedah sana-sini dan suburkan hedonisme. Katakan kalau dia tak seksi, tak dedah sana-sini, dia boleh menyanyi atau tidak? Soal pakaian, peraturan boleh dibuat. Cuma kalau minta dia pakai tudung, itu separuh cerdik.

4. Lagi pun orang yg bakal pergi konsert Selena ramai yg bukan Muslim. Jadi isu pakaian, agak relatif bagi mereka. Takkan Pemuda Pas Bahagian Titiwangsa yg pakai serban akan pergi konsert Selena?

4. Hedonisme bukan sepenuhnya berpunca drpd Selena atau mana-mana penyanyi. Budaya bertolak drpd gaya berfikir. Kalau Selena tak menyanyi pun belum tentu Pemuda Pas akan jadi pemuda berbudaya baca buku.

5. Belum tentu juga orang yg pergi konsert Selena akan jadi hedonis. Apasal konsert Jom Heboh dan konsert artis Malaysia tak dibantah, padahal itu konsert juga, berpotensi suburkan hedonisme juga. Konsert dlm TV7, TV9 pula macam mana?

6. Aku nampak bantah konsert tindakan populis. Nak cari publisiti murah kononnya parti mereka begitu Islamik, mereka adalah Islamis. Parti lain yg tak bantah tak islamik, dan orang lain yg tak bantah bukan Islamis.

7. Itu sahaja. Padahal ceramah Pas juga pernah jemput artis. Di Taman Melewar juga artis Ito pernah menyanyi, tapi itu tak dikira suburkan hedonisme. Mengapa hanya Selena?

8. Aku ulang, bantahan itu hanya utk cari populariti saja, tiada kena mengena dgn sikap anti budaya negatif pun. Wayang kulit, dikir barat, nasyid yg Nik Abduh pernah terlibat  itu bukan hiburan? Oh, itu nasyid dan Nik Abduh, ini Selena Gomez. Yg hedonisme hanya Selena?

9. Aku kritik bukan bermakna aku minat Selena atau aku setuju penuh Selena datang. Tujuan aku ialah menyuburkan budaya berfikir dan menilai sesuatu secara objektif. Jangan melulu dan sembrono.

10. Jgn Islam dilihat keras, ekstrim, tertutup, tidak hormat orang lain, anti kebebasan hanya kerana gaya bertindak pendokong Islam yg sembrono dlm menangani isu masyarakat multi racial.

11. Itu sahaja tujuan aku sbb nama parti hampa parti Islam. Ada kalimah Islam di situ. Kalau nama parti hampa parti hapai nombor ka, parti seluk mulut boya ka, parti serban meleret ka... lantak hampalah.

12. Isu tak boleh kuliah di masjid, aku ulas lain kali.

Nie kadar paking di KL dah naik tinggi nie, bilanya PEMUDA UMNO nak DEMO?

Shahbudin Husin,


http://1.bp.blogspot.com/-NjLVu0hWxIA/Vf2_IumyJnI/AAAAAAAAOtY/gcwhti1FMzc/s1600/ne_02.1.jpg

Rata-rata pengguna kenderaan melahirkan rasa marah dan tidak puas hati dengan tindakan DBKL menaikkan kadar bayaran meletak kereta antara 100 hingga 200 peratus yang sudah dilaksanakan mulai sekarang dan akan berkuatkuasa sepenuhnya pada 1 Ogos depan.

Alasan DBKL bahawa kenaikan itu bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalulintas, menggalakkan wargakota menggunakan pengangkutan awam dan berkongsi kereta dilihat tidak masuk akal kerana sistem pengangkutan awam kita masih jauh ketinggalan, tidak cekap dan belum menyeluruh ke banyak kawasan.
 
Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Menteri Wilayah Persekutuan ternyata gagal melihat isu bayaran meletak kenderaan ini dalam skop yang lebih luas dan seolah-olah hanya mengikut telunjuk syarikat yang mengusahakan sistem bayaran tersebut.

Yang nyata, beban wargakota akan bertambah lagi dengan tindakan DBKL ini, khususnya mereka yang bekerja di kawasan-kawasan tesebut.
 
Soalnya, di mana Pemuda UMNO, khususnya Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan dalam isu ini?

Tidak mahukah mereka mengadakan demonstrasi besar-besaran atau menghantar memorandum bantahan kepada DBKL?
 
https://lh3.googleusercontent.com/-89Bbau5BDAg/V42kVfZ1UCI/AAAAAAAAEvQ/-8M6BVn2ewQ/s640/blogger-image-970867818.jpg
 
Bukankah ini masalah yang lebih dekat dengan rakyat berbanding isu duit raya atau dedak yang mereka berdemo sebelum ini? (SH 19/07/2016).

Pelanduk terlupa jerat........Melayu oh Melayu??

Mohamad Daud Sulaiman
Kenyang ketupat di Puncak Alam


Bila rancangan Malayan Union makin dicabar oleh orang Melayu, British beralih kepada plan seterusnya. Memang British mempunyai banyak plan dan pakar dalam putar alam bagi mengekalkan penjajahan mereka. Maka dengan itu lahirlah UMNO, pertubuhan yang dipenuhi oleh golongan elitis Melayu, dilatih untuk mengambilalih peranan British.

Kebanyakan pemimpin UMNO dikala itu adalah cikgu-cikgu, pegawai-pegawai Malayan Civil Service dan anak-anak bangsawan Melayu. Maka Melayu yg telah diInggeriskan ini senang mengikut telunjuk British untuk menjaga kepentingan British. Mungkin istilah dedak tidak wujud pada zaman sebelum merdeka. Tapi bagi setengah-setengah orang Melayu, hanya dengan berpakaian topi putih kolonial dan berkot 'cendol' (bush jacket), itu sudah cukup untuk menunjuk riak mereka sebagai elitis dikala itu.

Sikap riak inilah yang melahirkan kebencian terutama daripada golongan cendiakawan di dalam dan di luar UMNO. Peristiwa pertukaran kepimpinan UMNO daripada Dato Onn kepada Almarhum Tunku dan kekalahan Parti Negara pada PRU tahun 1952 memperlihatkan golongan pertengahan amat benci dengan sikap hidung tinggi golongan elitis Melayu ini.

Peristiwa tatkala menjelang pilihanraya umum yang pertama dalam sejarah Malaysia ini nampaknya akan berulang kembali. Memang sifat sejarah begitu. Cuma orang yang selalu lupa. Sepertimana Melayu dan sepertimana juga pelanduk. Mungkin sedikit berbeza latar belakangnya. Namun kesombongan golongan elitis yang memerintah pada waktu tersebut adalah elemen yg sama dengan masa sekarang.

Sejarah juga telah membuktikan bahawa UMNO tidak boleh dijarah oleh bangsa lain. UMNO adalah Melayu dan Melayu adalah UMNO. Hilang UMNO, hilanglah kuasa politik Melayu. Satu khurafat yang telah tertanam kuat dalam benak Melayu sama seperti kuatnya pokok-pokok angsana di tepi Taman Tasik Taiping. Walaupun dah berusia tua.

Ada beberapa cubaan 'kudeta' didalam UMNO, contohnya pada zaman hujung pemerintahan Almarhum Tunku, pada zaman Tun Mahathir dan pada zaman Tun Abdullah. Tetapi UMNO tetap utuh walaupun ada luka bercalar. Ini kerana 'kudeta' tersebut hanyalah berkaitan bagaimana UMNO harus dipimpin.

Tapi sekarang UMNO menghadapi krisis kepercayaan kepada pemimpinnya. Yang menentang pula bukan hanya terdiri daripada golongan yang ingin mengambilalih kepimpinan, tentangan terbuka juga wujud daripada peringkat akar umbi akibat kebobrakan yang ketara barisan pemimpin tertinggi mereka.

Seperti PAS yang sedang senak perut tapi tidak mahu mengaku, keputusan PRK Sg Besar dan PRK Kuala Kangsar menunjukan perpecahan yang menghilangkan kumpulan tertentu dalam barisan kepimpinan utama boleh membawa padah kepada organisasi mereka. Samada PAS mahu mengaku atau tidak, itu soal kedua. Kalau penyakit yang sama ini menyerang UMNO, padahnya mungkin serupa juga. Berbeza dengan zaman Tengku Razaleigh dan DS Anuar Ibrahim, penangan Tun Mahathir, TS Muhyiddin Yassin, Dato Shafie Apdal bersama GKCM tidak boleh dipandang enteng oleh kem DS Najib.

Yang menarik adalah parti baru hasil buah fikiran Tun Mahathir ini akan menjadi wadah bekas-bekas ahli UMNO dalam Pakatan. Ini adalah suatu yang terbaik berbanding platfom PKR atau Amanah. Jika ini menjadi kenyataan, maka BN akan bertemu dengan ruas yang semakin tegap dan besar pada PRU yang akan datang.

Maka bertambahlah lagi sandiwara politik di Malaysia ini. Persoalannya, adakah pengakhiran DS Najib di puncak Putrajaya mengambilkira senario ini oleh penasihat-penasihat beliau. Jangan sampai tak cukup tanah lari nanti sudahlah.....

Erdogen & Politik Malaysia - Antara Bersama Rakyat dan Tidak..!!!!

Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi
July 17 at 4:02pm · 


1. Dalam politik, perkara yg paling penting ialah kebersamaan rakyat. Seorang pemimpin politik yg berjaya ialah pemimpin yang mampu menarik rakyat utk bersamanya.

2. Erdogen mungkin jarang dikenali sebagai pemimpin gerakan Islam, dia tidak dihebohkan sebagai hafiz al-Quran, tetapi dia memiliki kebijaksanaan politik yg tidak dimiliki oleh sebahagian pemimpin politik yg melaung di sana-sini bahawa dasar perjuangannya ialah Islam.

3. Kejayaan Nabi di Madinah ialah dengan kebijaksanaan baginda menarik sokongan penduduk Madinah hingga termeterainya Sahifah Madinah.

4. W/pun Madinah dimusuhi oleh Rom dan Parsi tapi majoriti penduduk Madinah, Yaman, Habsyah bersama baginda. Mereka yg bersama baginda bukan semuanya Muslim tapi ada Yahudi, Nasrani, Majusi bahkan Arab Badwi.

5. Peliknya, ada pemimpin politik Islam yg melaungkan dasar Islam partinya di sana-sini, tetapi bermusuh dgn rakyat, padahal undi rakyat diperlukan.

6. Islam bukan sekadar utk dilaungkan, diserban jubahkan, dimasuk syurga dgn nombor ahlikan, tetapi ditampilkan keadilan, kebebasan, ketelusan, kebertanggungjawaban, keihsanan, yg semua itu adalah daya penarik utk rakyat bersama pemimpin Islam.

7. Mungkin inilah keistimewaan Erdogan dan partinya AK Party. Apabila rakyat bersama, buatlah apa pun, mereka mendokongnya. Belajarlah drpd Erdogan.

8. Solidariti utk Turki dan Erdogan.

20 pemandu didenda RM1,000 hingga RM2,000 guna lorong kecemasan

 guna-lorong-kecemasan
ALOR GAJAH: Seramai 20 pengguna jalan raya didenda antara RM1,000 dan RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu di lorong kecemasan pada Mei lepas.

Majistret Nor Azizah Yusof menjatuhkan hukuman itu setelah semua tertuduh, yang terdiri daripada 16 lelaki dan empat wanita berusia di antara 23 hingga 65 tahun, mengaku bersalah atas pertuduhan masing-masing.

Seramai enam tertuduh didenda RM1,000, seramai 11 tertuduh didenda RM1,500 dan tiga lagi didenda RM2,000.

Sekiranya gagal membayar denda itu, seramai 19 tertuduh berdepan penjara sebulan manakala seorang tertuduh yang didenda RM2,000 boleh dipenjara dua bulan.

Semua tertuduh didakwa sebagai pemandu menggunakan kenderaan di atas jalan raya dengan memandu di lorong kecemasan di KM222 Lebuh Raya Utara Selatan di sini pada 5 petang, 22 Mei lepas.

Mereka dituduh mengikut Kaedah 53(1) Kaedah Lalulintas Jalan Raya 1959 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam rayuan bagi meringankan hukuman, pemandu berkenaan berkata mereka menggunakan lorong kecemasan kerana ingin cepat menuju ke destinasi, mahu melepasi kesesakan lalu lintas teruk, ingin ke tandas, anggota keluarga sakit, kereta rosak dan tidak mengetahui peraturan lorong kecemasan.

Nor Azizah berkata faktor kepentingan awam perlu diambil kira dalam menjatuhkan hukuman bagi kes itu kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa kemalangan malah pengguna jalan raya lain.

“Jika semua tidak guna lorong kecemasan, bantuan sampai cepat…malah, kenderaan yang terlibat kemalangan boleh dialihkan dengan cepat seterusnya kesesakan lalu lintas dapat diselesaikan segera.

“Tindakan sesetengah orang sebabkan bantuan lambat tiba…fikirkan orang yang betul-betul perlukan (bantuan). Fikir nak cepat sahaja…kalau jadi keluarga mangsa, tentu kamu marah,” katanya.

Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan Nur Azmina Jacqueline Abdullah, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan tindakan pemandu menggunakan lorong kecemasan sehingga menyebabkan ambulans lewat tiba di lokasi kemalangan di KM228 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Hentian Pedas-Linggi mengakibatkan kematian dua beradik yang menunggang motosikal.

Bekas S/U PAS Selangor - Lebih Baik Pas Jalin Kerjasama Dengan Kerajaan BN Dari Kembali Jadi Tunggangan Dap


Oleh Wan Hafiz Hamzah


KUALA LUMPUR, 18 Julai – Bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha berkata adalah lebih baik Pas menjalinkan kerjasama dengan kerajaan pusat dalam perkara yang membabitkan kepentingan rakyat, khususnya umat Islam daripada kembali menjadi kuda tunggangan Dap, sekiranya parti tersebut kembali menjalinkan kerjasama dengan blok pakatan harapan pembangkang.

Menurut beliau, keputusan Pas untuk bergerak bersendirian dengan memutuskan tahaluf siyasi mereka bersama pakatan harapan merupakan langkah terbaik bagi parti tersebut.

norman toha 2“Saya kira adalah lebih baik Pas menjalinkan kerjasama dengan kerajaan pusat dalam hal-hal yang membabitkan kepentingan rakyat dan negara, khususnya umat Islam daripada merela kembali menjalinkan kerjasama dengan pakatan harapan.

“Ini memandangkan selama Pas menjalinkan tahaluf siyasi dengan pakatan pembangkang, parti ini sentiasa menghadapi tentangan daripada Dap khususnya dalam hal-hal yang berhubjng dengan agenda Islam dan yang berkaitan dengannya.

“Namun dalam perkembangan hari ini kita boleh lihat bagaimana agenda perundangan Islam yang diperjuangkan oleh Pas dapat diterima oleh kerajaan pusat yang diterajui oleh UMNO contohnya seperti pembentangan RUU yang berjaya di bawa ke parlimen baru-baru ini,”ujarnya kepada UMNO Online di sini hari ini.

Tambah beliau, jalinan kerjasama Pas dan kerajaan pusat juga dilihat dapat memberikan peluang yang lebih cerah kepada parti tersebut untuk melaksanakan agenda Islam dengan sokongan kerajaan pusat yang diterajui oleh UMNO pada hari ini.

“Pembentangan RUU dalam usaha untuk memperkasakan mahkamah syariah baru-baru ini memperlihatkan bahawa wujudnya persefahaman diantara kerajaan pusat dalam hal ehwal Islam bagi menambah baik pelaksanaan perundangan Islam di negara ini.

“Jika Pas kembali menjalinkan hubungan mesra dengan blok pakatan harapan, sudah pastinya segala usaha parti tersebut untuk memperkasakan undang-undang dan pelaksanaan Islam di negara ini akan mendapat tentangan yang hebat terutamanya dari Dap.

“Saya fikir Pas sepatutnya mengambil iktibar daripada sejarah mereka dalam bertahaluf siyasi dengan pakatan pembangkang, terutamanya dengan Dap tidak akan membawa sebarang kebaikan terhadap agenda Islam dan matlamat perjuangan parti itu sendiri,” tegasnya.-MediaUMNO

Rupa-rupanya Haji Hadi tidak bersedia nak bahas pindaan Akta 355 tempohari walaupun speaker suruh bentang.

Hadi sudah sedia bahas pindaan RUU

Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersedia membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta 355 di Dewan Rakyat, Oktober ini.

Menurutnya, usaha untuk mengusulkan RUU itu ke Parlimen sudah lama dilakukan pihaknya.

“Persediaan usul ini dilakukan sejak 1957 lagi dan banyak hujah kuat telah disediakan. Saya hanya menyambung perjuangan itu.

“Ini hak orang Islam. Kalau masyarakat bukan Islam ada hak untuk menganut agama masing-masing, maka orang Islam ada hak untuk pertahankan agama mereka,” katanya pada sidang media di majlis himpunan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, malam kelmarin.

Katanya, pihaknya telah bertemu dengan NGO-NGO Islam di negara ini untuk mendapatkan sokongan.

“Kita turut berdialog dengan pelbagai pihak, termasuk DAP.

“Mereka (DAP) telah buat kenyataan untuk tidak bersetuju dengan apa yang cuba kita bawa ke Parlimen. Tapi mereka tidak boleh menghalang kita,” katanya.

Abdul Hadi berkata, usul yang diketengahkan itu bukanlah tuntutan Pas semata-mata, tetapi keseluruhan umat Islam di negara ini.

“Ini adalah tanggungjawab orang Islam untuk menaik taraf bidang kuasa mahkamah syariah yang (kini) lebih rendah daripada mahkamah majistret, sedangkan Islam adalah agama rasmi di negara ini,” ujarnya.

Sebelum ini, timbul beberapa pertikaian membantah perlaksanaan Akta 355 dalam kalangan masyarakat bukan Islam dan segelintir pemimpin Islam.

Katanya, perlaksanaan Akta 355 hanya akan melibatkan orang Islam.

“Mahkamah syariah tidak melibatkan orang bukan Islam, jadi mereka tidak perlu menentang.

“Tapi (yang) lagi pelik (adalah) apabila melihat orang Islam sendiri menentang Akta 355 ini. Mereka (orang Islam) lebih menyokong bukan Islam,” katanya lagi.

Mei lalu, Hadi telah membentangkan RUU untuk meluluskan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Walaupun perkara dibentangkan itu melibatkan pindaan Akta 355 dan bukannya hudud, namun ia sekali gus memberi ruang kepada mahkamah syariah meningkatkan hukuman berbanding sedia ada.

Buat masa ini, kuasa-kuasa mahkamah syariah terhad kepada menjatuhkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Abdul Hadi turut mencadangkan usul di bawah peraturan mesyuarat 15(5) dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

TUAN IBRAHIM SEPATUTNYA LEBIH DULU MELAKUKAN GENJATAN SENJATA DALAM DIRINYA

Apabila seseorang mengajak orang lain berbuat kebaikan, orang itu mestilah menunjukkan teladan yang baik terlebih dahulu. Jika tidak, nasihatnya akan terbatal dengan sendirinya.

Begitu juga, jika seseorang itu selalu mengajak orang lain pergi ke masjid, orang itu mestilah menjadikan dirinya sebagai contoh dan ikutan. 

Jika hanya mulutnya yang kerap mengajak orang lain lain ke masjid, tetapi dirinya sendiri bersepah-sepah tak ketahuan ketika waktu sembahyang, ajakannya tidak bernilai satu sen pun di mata orang lain.

Saranan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man agar semua parti pembangkang melakukan genjatan senjata sesama sendiri, sebaliknya menumpukan usaha menggembleng tenaga untuk mengalahkan BN dalam PRU 14 akan datang, tidak dinafikan memang suatu nasihat yang baik dan mengkagumkan.

Apatah lagi, walaupun saranan genjatan senjata itu bersifat menyeluruh dan ditujukan kepada semua pihak, ia juga diluahkan ketika Presiden Pas, Hadi Awang belum memadam api kemarahannya terhadap rakan-rakan pembangkang lain sambil melabel mereka dengan pelbagai gelaran yang tidak sewajarnya.

Ternampak bahawa Tuan Ibrahim juga seperti mahukan Hadi Awang melakukan genjatan senjata dalam dirinya.

Malangnya, reaksi Tuan Ibrahim terhadap kenyataan Khalid Samad yang menyarankannya agar meninggalkan Pas, agak sedikit mengecewakan kerana ia berupa serangan secara terang-terangan terhadap Amanah.

Jika sebelum ini beliau meminta semua parti-parti pembangkang melakukan genjatan senjata, Tuan Ibrahim seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik mengenai apa yang dilafazkannya itu.

Tempelakannya agar Khalid Samad berdiam diri dan Amanah dibubarkan, sama sekali tidak mencerminkan keinginan daripada hatinya sendiri ke arah genjatan senjata, jauh sekali untuk sama-sama menumbangkan BN.

Tidak salah untuk Tuan Ibrahim memberi reaksi terhadap saranan Khalid Samad yang memintanya meninggalkan Pas, tetapi meminta Amanah dibubarkan untuk melahirkan suasana aman dalam pembangkang, lebih menunjukkan ingin berperang daripada mengangkat senjata.

Tuan Ibrahim seharusnya sedar ketika beliau menyarankan genjatan senjata, Amanah sudah pun wujud dan menjadi sebahagian anggota dalam Pakatan Harapan. Sewajarnya, perkara itu disedari dan dihormati.

Jika daripada awal sudah mahukan Amanah dibubarkan, buat apa bercakap mengenai genjatan senjata?

Bukankah genjatan senjata untuk saling menghormati, bekerjasama dan mencapai persetujuan sesama rakan dalam blok pembangkang demi mencapai matlamat menumbangkan musuh yang sebenar?

Selain itu, tindakan Tuan Ibrahim siang-siang lagi bercakap mengenai pembahagian kerusi pilihanraya dan membayangkan hanya Amanah sebagai punca pertandingan tiga penjuru dalam PRU 14  akan datang juga tidak mencerminkan keinginan ke arah saling berganding bahu menumbangkan BN.

Beliau nampaknya sudah menyerlahkan keinginan Pas untuk membolot semua kerusi yang pernah ditandinginya sebelum ini dan tidak mahu memberi peluang sama sekali kepada Amanah untuk meletakkan calon, walhal genjatan senjata baru dilafazkan dan rundingan mengenai pembahagian kerusi belum pun dimulakan lagi.

Apa yang Pas utamakan dalam perjuangan sebenarnya - kerusi untuk diri sendiri atau saling bekerjasama untuk mengalahkan BN?

Lebih-lebih lagi kerana Tuan Ibrahim sendiri mengatakan saranan genjatan senjata itu adalah idea peribadinya, maka beliau seharusnya berlatih untuk mengawal dirinya secara peribadi terlebih dahulu. Mulakan genjatan senjata dalam jiwa, hati dan perasaan sendiri terlebih dahulu sebelum mengajak orang lain melakukannya.

Jika tidak, saranannya itu tidak bermaka apa-apa kepada sesiapa, termasuk diri Tuan Ibrahim sendiri. (SH 18/07/2016).

Exco Kedah - Jangan tertipu skim pelaburan asas tani

Suraya Yaacob
ALOR SETAR - Orang ramai dinasihatkan tidak tertipu dengan tawaran lumayan daripada skim pelaburan asas tani yang dianjurkan sebuah syarikat swasta.
    
Exco Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, mereka sebaliknya perlu mendapatkan nasihat daripada agensi kerajaan berkaitan sebelum menyertainya.
    
Beliau berkata ini kerana tidak ada perniagaan yang memberi keuntungan segera, lebih-lebih lagi dalam sektor pertanian yang memerlukan masa untuk mendapatkan hasilnya.
    
"Setakat ini, saya belum dengar ada kes seperti itu di Kedah dan berharap ia tidak berlaku di sini," katanya ketika mengulas mengenai skim pelaburan asas tani yang didedahkan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Suraya berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama usahawan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Pejabat Fama negeri, di sini hari ini.

Laporan itu menyebut ramai pelabur yang kerugian selepas tertarik dengan skim pelaburan tersebut yang berharga antara RM60 dan RM750 untuk satu lot, dengan jaminan pulangan faedah atau hibah antara 18 dan 30 peratus sebulan.

Janji pulangan faedah oleh syarikat swasta berstatus enterprise itu mendorong lebih 3,000 pelabur yang terpengaruh untuk melakukan pelaburan antara RM60 dan RM120,000 seorang.
    
Sementara itu, Suraya berkata Fama sedang melakukan perbincangan dengan kerajaan negeri mengenai lokasi strategik untuk membina MyFarm Outlet.

Katanya dua lokasi iaitu di Sungai Petani dan Langkawi dilihat sesuai berdasarkan kepada kepadatan penduduk dalam usaha mengurangkan kos sara hidup mereka dengan penawaran tujuh barangan keperluan harian yang utama.

"Harga barangan di MyFarm Outlet amat menjimatkan kerana hasil ladang dijual terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah. Kerajaan negeri amat mengalu-alukan projek seperti ini untuk membantu rakyat," katanya. - Bernama

Mat Bashah mohon kerajaan pusat segerakan 3 projek utama yang disifatkan penting

Mohon segerakan tiga projek

ALOR SETAR - Kerajaan negeri mohon pertimbangan Pusat untuk menyegerakan pelaksanaan tiga projek utama yang disifatkan penting selain untuk memenuhi keperluan pembangunan infrastruktur Kedah agar tersenarai dalam Bajet 2017.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz berkata, tiga projek berkenaan ialah pembinaan litar lumba, Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim International Airport (KXP) dan jaringan jalan raya dalam Bandaraya Alor Setar serta Kedah-Perlis, yang diberikan keutamaan kerajaan negeri untuk direalisasikan.

"Saya berperanan sebagai perantaraan antara Pusat dengan kerajaan negeri untuk membawa tiga perkara ini yang menjadi agenda utama Kedah.

"Saya harap dapat bantu Kedah menyusun atur urusan berkaitan pembangunan termasuk permohonan bantuan dari Pusat," katanya, selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, di pejabatnya, di Wisma Darul Aman, semalam.

Menurut beliau, permohonan kerajaan negeri itu akan dipanjangkan kepada pengetahuan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Ghani dan Perdana Menteri (PM) selaku Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ahmad Bashah minta saya ketengahkan beberapa perkara supaya Kementerian Kewangan dapat bantu Kedah. Kedah perlukan perhatian khusus dari Pusat kerana negeri ini agak miskin dan kekurangan sumber dalaman, harapan beliau agar Pusat dapat berikan perhatian dalam perkara berkenaan," katanya.

Mengulas mengenai status projek berkaitan, Othman berkata, projek litar lumba yang dijanjikan kerajaan BN Kedah selepas menawan kembali Kedah daripada pembangkang hanya menunggu kelulusan rasmi Kementerian Kewangan.

"Semua dah sedia, antaranya dokumentasi, perancangan, reka bentuk cuma tunggu kelulusan sahaja. KXP yang merupakan projek mega pula perlukan kelulusan PM sendiri kerana kosnya besar, selain pembangunan jalan raya sistem penguraian trafik dalam Bandaraya Alor Setar dan jalan menghubungkan Kedah-Perlis," katanya.

Othman berkata, projek KXP akan mengambil sedikit masa berikutan perlu dilakukan pelbagai kajian dan perincian untuk mendapatkan sokongan Pusat, antaranya kajian kemungkinan, tapak, kesan terhadap pengangkutan dan sebagainya.

"Kita tidak mahu tergesa-gesa, contohnya berlaku mendapan tanah di landasan jika kita terlalu ghairah mahu siapkan cepat hingga akhirnya jadi bebanan untuk kita baik pulih. Kesemua projek itu masih dalam pertimbangan Pusat cuma kerajaan negeri mohon dipercepatkan," katanya.

Bagaimana pun, peruntukan menaik taraf sistem bekalan air tidak dibincangkan walaupun ia kini suatu keperluan mendesak.

"Itu melibatkan perbincangan antara kerajaan negeri, Syarikat Air Darul Aman (Sada) bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, saya percaya perkara ini telah dibawa ke pengetahuan Pusat dan akan dipanjangkan ke Kementerian Kewangan," katanya.

Menurutnya, sekiranya projek-projek berkenaan tersenarai dalam pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Oktober depan, pastinya projek itu dapat dimulakan seawal tahun depan.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...