TERKINI :

Sunday, July 17, 2016

WALAU BERUSIA 91 TAHUN, TUN M TIDAK SAMA DENGAN SEJARAH SEMANGAT 46

http://www.thestar.com.my/~/media/online/2013/12/02/08/10/img_5388.ashx/?w=620&h=413&crop=1&hash=174E178CAF04D361DF890E9F49DB3C57E93ED1DC

Ramai pemimpin dan ahli UMNO cuba mempersenda dan memperlekeh hasrat Tun Mahathir Mohamad yang bakal menubuhkan sebuah parti politik baru dan kemudian bergabung dengan Pakatan Harapan dengan matlamat menumbangkan BN dalam PRU 14 akan datang.

Mereka mengandaikan parti baru itu bakal menerima nasib seperti Semangat 46 yang pernah ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, tetapi berkubur akhirnya.

Turut menjadi perlekehan mereka ialah Tun Mahathir sudah berusia lebih 91 tahun sekarang ini dan diandaikan terlalu tua untuk menerajui sebuah parti baru yang berjuang untuk menumbangkan BN serta menjatuhkan Perdana Menteri yang lebih muda daripadanya.

Kata mereka lagi, Tengku Razaleigh dan dan Anwar Ibrahim yang masing-masing berusia awal 50an ketika menubuhkan Semangat 46 dan PKR pun gagal menumbangkan UMNO dan BN, tentunya lebih mustahil Tun Mahathir yang berusia 91 tahun mampu melakukannya.

Jika diteliti dengan mendalam, hujah-hujah mempersenda dan memperlekeh Tun Mahathir itu lebih berkecenderungan semata-mata untuk menutup rasa bimbang yang mula bercambah berkaitan wujudnya parti baru itu.

Semangat 46 memang pernah gagal dan akhirnya dibubarkan serta semua ahlinya kembali menyertai UMNO pada 1996, dua tahun sebelum berlakunya insiden 2 September 1998 di mana Anwar dipecat daripada parti dan kerajaan.

Parti itu gagal kerana ketika itu tidak ada kemudahan internet dan semua maklumat bergantung sepenuhnya kepada Utusan, Berita Harian, RTM dan TV3 sahaja. Sebab itu, apabila isu tengkolok salib yang dipakai oleh Tengku Razaleigh pada pilihanraya 1990 dimainkan secara meluas dan diulang-ulang pagi petang siang malam oleh media-media pro UMNO dan BN itu, gabungan pembangkang terus layu kerana tidak berdaya menangkis mainan media yang datang bertubi-tubi.

Pihak pembangkang langsung tidak ada saluran komunikasi yang berkesan untuk memberi penjelasan sesuatu isu kepada rakyat. Yang ada hanya saluran ceramah dan bahan-bahan bercetak sahaja.

Pada pilihanraya 1990 itu, kalau pun pembangkang tidak menang, mereka hampir pasti mampu mencapai keputusan yang lebih baik daripada yang sepatutnya. Dengan PBS keluar BN dan memilih untuk bersama Tengku Razaleigh pada detik-detik akhir sebelum hari pengundian, sukar dijangkakan BN mampu menang dua pertiga pada pilihanraya tersebut.

Namun isu tengkolok salib yang dimainkan secara meluas itu membunuh sama sekali harapan Tengku Razaleigh menjadi Perdana Menteri.

Hakikatnya, Tun Mahathir ketika itu bijak mengambil kesempatan untuk "membunuh" lawannya dan menggunakan segala kesempatan yang ada. Tetapi, suasananya sudah berbeza sekarang. Bukan saja pemain internet lebih ramai yang memihak kepada blok pembangkang, mereka yang membaca Utusan dan Berita Harian atau menonton RTM dan TV3 pun hanya boleh dibilang dengan jari tinggalnya lagi. Saluran utama maklumat rakyat kini ada dalam genggaman tangan masing-masing.

Pembangkang juga ketika itu menentang Tun Mahathir hanya berkaitan isu-isu kepimpinan yang ditambah dengan kerugian dalam syarikat-syarikat kerajaan yang diperbesarkan serta dikaitkan dengan amalan kronisme dan nepotisme.

Sekarang isunya jauh lebih serius. Selain kepimpinan, kerugian, nepotisme dan kronisme terus berlaku, ia juga turut disertai dengan isu pembaziran, suka bermewah, gila naik jet dan kecurian wang negara yang jelas dan nyata di depan mata.

Tun Mahathir tidak pernah dikaitkan dengan kecurian wang negara dan sampai sekarang tidak pernah terbukti ada wang beribu-ribu juta dalam akaun bank peribadinya. Dalam akaun bank Tun Siti Hasmah juga tidak kedengaran ada puluh-puluh juta ringgit jumlahnya.

Tun Mahathir turut membina negara dengan pembangunan yang tak terkira serta menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa. Syarikat Malaysia gigih melabur di banyak negara dan ke mana-mana negara luar yang kita pergi, sanjungan jarang terlepas daripada menerobos ke lubang telinga. Sebab itu, di sebalik beliau ditentang dalam UMNO, rakyat secara umumnya menghargai banyak sumbangannya.

Di era Najib ini, apa pembangunan yang ada untuk negara dan apa pula harumnya nama Malaysia di mata dunia?

Berkaitan PKR, parti itu belum boleh dianggap gagal sepenuhnya. PKR belum berkubur seperti Semangat 46. Ia masih berjuang untuk menawan Putrajaya dengan bekalan paling ampuh dimilikinya sekarang iaitu Selangor masih dalam genggamannya.

Meskipun sehingga kini Anwar gagal menumbangkan UMNO dan BN melalui parti yang ditubuhkannya, PKR masih terus berjuang ke arah itu. Jalan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri juga belum lagi tertutup sepenuhnya.

Bahkan, dengan Tun Mahathir akan menubuhkan parti baru dan bakal bekerjasama dengan Pakatan Harapan, dua musuh itu sedang meniti jalan-jalan perdamaian untuk sama-sama menumbangkan Najib.

Apakah Najib cukup kuat untuk berlawan dengan gabungan Tun Mahathir dan Anwar sedangkan dalam proses mendaki laluan politiknya selama ini, beliau lebih banyak menang percuma daripada memperolehi kedudukan melalui perlawanan?

Harus diakui, gagalnya pembangkang di era Tun Mahathir lebih banyak disebabkan kepintaran serta kelicikan bekas Perdana Menteri itu bermain politik. Sejarah panjang Tun Mahathir bukan saja ketika menjadi Perdana Menteri, bahkan terserlah sebelum itu lagi iaitu ketika era Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri.

Tetapi hari ini, Tun Mahathir yang penuh kepintaran, kelicikan dan selalu menang itulah yang sedang cuba berjuang sekali lagi, kali ini bukan lagi untuk kepentingan peribadi atau jawatan, malah sepenuhnya untuk menyelamatkan negara kita ini.

Apakah Najib perlu diberi lanjutan menggenggam kuasa lagi? (SH 15/07/2016).

Tuan Ibrahim, Dr Mahathir dan Najib........

SENDA SORE
 

Seputar minggu ini. Cadangan Tuan Ibrahim Tuan Man supaya parti-parti pembangkang mengurangkan pertelagahan sesama sendiri dan menumpukan serangan kepada UBN, dengan melakukan gencatan senjata ditolak "leper-leper" oleh Guru Hadi. Guru Hadi bertegas Pas mahu bersendirian(?) dan sesiapa yang hendak bersama dengannya perlu mengikut acuannya.

Guru Hadi yakin dan penuh egostik menegaskan hanya acuannya dapat mengeluarkan kueh berkualiti yang dipercayai membawa ke syurga.

Penegasan Guru Hadi itu menunjukkan dia tidak hormat pandangan orang lain, dan menerima pandangannya sahaja. Dipercayai Guru Hadi mendapat sokongan kuat Guru Harun.  Dan penghunus keris lain juga bersamanya termasuk Ketua Dewan Ulama dan Setiausaha Agung.

Penolakan cadangan atau idea Tuan Ibrahim itu menyebabkan Timbalan Presiden parti agama itu mendapat malu percuma, di samping itu ujiannya untuk mmpengaruh Guru Hadi dengan mengemukakan formula politik rasioanl ditolak. Boleh jadi Tuan Ibrahim membuat cadangan itu selepas mendapat idea daripada Dr Mahathir. Tidak ramai mengetahui menjelaang berlangsungnya majlis Deklarasi Rakyat tidak lama dulu, Tuan Ibrahim bersama Mustapa Ali berjumpa dengan Dr Mahathir waktu malam.

Walaupun Tuan Ibrahim boleh lagi bermadah dengan apa yang berlaku ke atasnya, tetapi ia memberi kesan jiwa terhadapnya. Selama mana dia dapat bertahan dengan kuasa veto Guru Hadi. Gara-gara ego Guru Hadi menyebabkan Tuan Ibrahim terpaksa menarik kata-katanya alias menjilat semula kata-katanya. Percubaan untuk mempengaruhi Guru Hadi dengan politik waras oleh Tuan Ibrahim tidak berjaya. Maka Tuan Ibrahim diketawakan oleh warga politik yang sudah menjadi ikan keli dalam besen.

Sementara itu berlainan pula di seputar diri Dr Mahathir Mohamad. Bekas PM itu mengumumkan satu parti baharu akan ditubuhkan. Penubuhan parti baharu itu dilihat sebagai kesenimbungan Deklarasi Rakyat yang sudah gagal mencapai sasarannya. Seperti mana saya bayangkan sebelum ini walaupun deklarasi itu ditanda tangan sejuta orang, tetapi ia tidak menganjak seinci pun kedudukan Najib Razak. Najib terus kukuh dan terpaku di atas kerusinya.

Penubuhan parti baharu yang belum diketahui nama dan sasaran utama keahlian itu, menunjukkan Dr Mahathir tidak berputus asa. Dia tidak akan berhenti daripada terus menggerudi Najib. Antara lain seperti mana dijelaskan parti itu akan berkolaborasi dengan Pakatan Harapan. Ia akan jadi sebahagian komponen PH itu.

Anwar Ibrahim juga yang dijeruk tidak berlada dalam penjuara Sungai Buloh menyatakan sokongan dengan pewujudan parti baharu dan kolabrorasi yang digagaskan Dr Mahathir itu. Sejauh mana kelestarian sokongan Anwar itu kena diperhatikan juga. Kalau gagasan Dr Mahathir itu nampak bersemangat dan mengaura, boleh jadi bekas TPM itu akan mengeluarkan satu lagi surat dari penjara yang boleh ditafsirkan dengan berbagai makna dan erti seperti suratnya sebelum ini.

Setakat ini para pemimpin Umno mengalu-alukan usaha dan niat Mahathir itu. Ada yang menyinis dan ada yang gelak dengan apa yang Mahathir lakukan. Mereka tidak yakin Dr Mahathir dapat melakukan sesuatu kepada Najib. Namun pada hakikatnya mereka berdebar juga, manalah tahu tiba-tiba gagasan atau pakatan pembangkang jelmaan Dr Mahathir itu menjadi.

Kesimpulannya kesediaan Dr Mahathir bersama rakan-rakan "sekecewanya" yang lain, Muhyiddin Yassin, Shafei Afdal dan Mukhriz Mahathir menunjukkan tentangan terhadap Najib tidak ternokhtah. Bahawa buat Najib tidak ada lagi ruang damai dan aman melainkan terus mentadbir negara sebagai PM dalam keadaan busuk, cemar dan cabut serta dicemuih oleh orang-orang seperti Dr Mahathir itu. [wm.kl.6:04 pm 15/07/16]

PARTI BARU TUN M MEMBERI KELEGAAN KEPADA NAJIB


Dengan sahnya hasrat Tun Mahathir Mohamad mahu menubuhkan sebuah parti politik baru, ia secara tidak langsung merupakan sesuatu yang dapat melegakan hati serta perasaan Najib Razak.

Najib kini tidak perlu bimbang lagi mengenai kemungkinan beliau dijatuhkan sebagai Perdana Menteri sebelum tempoh penggalnya berakhir.

Melalui parti baru ini, ia tidak lagi bertujuan untuk menjatuhkan Najib semata-mata, sebaliknya untuk menukar sebuah kerajaan. Sehingga tibanya tarikh PRU 14, Najib tidak perlu bimbang apa-apa mengenai jawatan Perdana Menterinya. Jawatannya boleh dikira sudah selamat sehingga tibanya tarikh pilihanraya diumumkan.

Yang perlu dipertahankan Najib sekarang ialah kejatuhan sebuah kerajaan. Walaupun paling bermasalah, ia sudah menjadi beban kepada BN. Jika pengundi merasakan Najib dan segala masalah yang dibawanya adalah beban kepada kerajaan, maka menukar kerajaan adalah satu-satunya pilihan yang tinggal untuk dilakukan.

Dalam pilihanraya umum, kemungkinan hanya Najib dapat dijatuhkan, tetapi kerajaan BN terus dikekalkan adalah sesuatu yang paling tipis dapat dilakukan. Lebih mudah menjatuhkan Najib dengan cara menjatuhkan BN sekali.

Mempertahankan BN dalam PRU 14 pula bermakna pengundi atau rakyat bersetuju untuk terus memikul beban Najib bagi tempoh lima tahun yang seterusnya. Mustahil juga BN terus dikekalkan tetapi tidak dibawa sekali beban yang berpunca daripada Najib itu.

Terserah kepada pengundi untuk memikir dan membuat pertimbangan mengenainya. Jika tidak mahu terus menerus menanggung beban Najib, tukarlah kerajaan dan kiranya sedia memikul lagi beban yang mungkin bertambah berat yang diakibatkan olehnya, teruslah memberi undi kepada BN.

Sebab itu kita boleh memahami jika Najib berasa lega dengan parti baru inisiatif Tun Mahathir ini yang bakal ditubuhkan bersama beberapa pemimpin yang dipecatnya daripada UMNO.

Beliau kini telah berjaya menukar beban yang ditanggungnya menjadi beban UMNO dan BN. Dengan parti baru yang bertujuan untuk menyaingi dan mengalahkan BN, bukan lagi Najib saja yang perlu bimbang mengenainya, tetapi keseluruhan pemimpin UMNO dan BN.

Najib juga tidak perlu risau lagi dengan kemungkinan hanya beliau seorang saja yang akan kehilangan kedudukan dan jawatan. Jika BN dapat dikalahkan, keseluruhan pemimpin UMNO dan BN akan turut sama-sama hilang jawatan.

Jika ada yang terlibat dalam kes rasuah, penyelewengan, mengumpul kekayaan secara haram, mencuri duit rakyat dan lain-lain kesalahan, semua mereka juga bakal berdepan dengan kebarangkalian pergi ke mahkamah dan menghuni penjara akhirnya.

Mungkin Najib sedang bercuti atau berada di luar negara ketika itu, tetapi jika beliau boleh meninggalkan pelbagai pesan di laman Facebook, Twitter atau blog miliknya sejak sambutan tumah terbukanya pada Hari Raya pertama lagi, mustahil beliau tidak terkesan apa-apa dengan parti baru itu jika ia benar-benar mengancam masa depannya.

Namun, apa yang kita lihat Najib seperti relaks saja dengan parti baru Tun Mahathir ini. Pemimpin seperti Zahid Hamidi, KJ, Shahrir Samad dan lain-lain nampaknya yang lebih risau dan berhujah macam-macam untuk menutup kebimbangan mereka mengenai parti baru itu. Najib sepenuhnya telah berjaya meletakkan bebannya menjadi beban kepada semua.

Mereka yang arif mengenai Tun Mahathir tentu memahami bahawa bekas Perdana Menteri itu bukan sekadar cemerlang melahirkan idea membina Putrajaya, KLCC, lebuhraya dan pelbagai perkara yang tak terfikir oleh sesiapa, tetapi juga gemilang dengan rekod kejayaannya dari segi menumpaskan musuh-musuh politiknya.

Oleh itu, jangan cepat-cepat memperlekeh atau ketawa apabila melihatkan keluarnya Tun Mahathir daripada UMNO masih juga tidak berjaya menjatuhkan Najib sepertimana jatuhnya Tun Abdullah dahulu kerana dengan parti baru yang ditubuhkannya, yang lebih mungkin akan jatuh selepas ini ialah sebuah kerajaan bersama seluruh pemimpinnya secara sekaligus. (SH 16/07/2016).

Percaturan Yang 'buta' oleh Tan Cheng Hoe menyebabkan Kedah jadi lauk di Larkin

By : Ammar Yasier

Tamat sudah perlawanan yang pada mulanya dianggap perlawanan yang sengit tetapi sebaliknya yang berlaku apabila skuad Helang Merah seolah-olah dipukau setelah tewas 5-0 kepada pasukan JDT.

Melihat secara keseluruhan,permainan JDT tidaklah sebaik yang dijangkakan namun yang membezakan antara pasukan Kedah dan JDT adalah SEMANGAT! hanya segelintir pemain Kedah yang dilihat bermain secara bermati-matian sedangkan yang lain hanya bermain sambil lewa.

Percaturan jurulatih Kedah yang masih 'buta' dalam melihat kelemahan pertahanan dan penjaga gol Kedah membunuh skuad Hijau Kuning pada malam ini. Dengan kelibat penjaga gol,Farhan yang dilihat sering kali melakukan kesilapan mudah ditambah pula dengan aksi yang longlai dan mengecewakan oleh Kapten Kedah,Khairul Helmi dan Bang mengecewakan seluruh penyokong setia Kedah.

Dengan kemasukan Amar sekali lagi merosakkan permainan Kedah yang sebelum ini dengan permainan hantaran pendek. Bercakap berkenaan penyerang Kedah,Thiago dan Shane,mereka ini mempunyai naluri sebagai penyerang tulen namun kelebihan ini tidak diambil oleh pemain Kedah yang lain untuk terus melorong bola kepada mereka berdua.

Secara keseluruhan, TCH perlu dan wajib merehatkan Kapten kedah,Khairul Helmi dan penjaga Gol Kedah,Farhan jika tidak mahu melihat pasukan Kedah terus menjadi lauk kepada pasukan lain. Sudah tiba masa untuk Kedah mengubah formasi kepada 4-4-2 dan bermain secara aggresif.

Lilitan Kapten Kedah seharusnya diberikan kepada pemain lain seperti Liridon dan juga Azmeer yang dilihat mempunyai kesungguhan apabila bermain.

Tiada guna untuk menulis panjang jika  pihak pengurusan dan kejurulatihan pasukan Kedah terus bersikap tidak mahu mengambil pendapat penyokong.

WAHAI PEMAIN, JIKA ANDA BERMAIN UNTUK DUIT, ANDA TIDAK AKAN HIDU KEJAYAAN.

Bermainlah dengan semangat,jangan terlalu mudah berputus asa. Jika hendak melihat kepada penyokong,mereka banyak kali kecewa namun mereka tetap menyokong pasukan Kedah tanpa putus asa.

#RombakPertahanan
#RombakPenjagaGol
#Kfa
#LuahanPenyokong

Disebalik kejayaan Kedah musim lepas.. Siapakah coach Ramon Marcote?

Fakta siapakah coach Ramon Marcote aka Marco?

1. Kami berkawan baik. Kami banyak berbincang dan bercakap mengenai ilmu bolasepak. Saya kecewa dengan KFA kerana tak nampak kepakaran beliau untuk naikkan gaji. KFA tak akan mengaku hal ni, KFA tetap KFA, saya telah sampai AC Milan dan 13 buah kelab Eropah iaitu PSV, Benfica, Villareal etc.

2. Hadir ke Kedah sebagai jurulatih fitness pada Januari 2015.

3. Pada masa itu Ian Gillan yang berasal dari Australia memegang jawatan sebagai penolong jurulatih kepada TCH.

4. Gillan dan TCH menerapkan permainan short pass tetapi menggunakan method latihan yang salah. Mereka tiada ilmu luas mengenai taktikal short pass. Australia juga bukanlah negara yang mahir dalam short pass.

5. Disebabkan method latihan dan taktikal yang salah, kedudukan Kedah sangat terumbang ambing di dalam Liga Perdana sehingga bulan April tahun lepas.

6. Prestasi teruk itu diatasi pada April. Kenapa? Ini kerana pada bulan April tahun lepas, Marco telah dilantik memegang dua jawatan iaitu jurulatih fitness dan penolong jurulatih kerana Gillan telah dilantik menjadi pengarah teknikal.

7. Sejak itu, Marco telah ubah dan perkenalkan method latihan short pass tiki taka yang betul kepada Kedah mengikut acuan Spain. Disebabkan Kedah tiada fasiliti dan equipment modern yang banyak, beliau hanya memperturunkan ilmu sebanyak 20% sahaja berdasarkan keadaan fasiliti dan equipment Kedah yang terhad tidak membenarkannya menurunkan 100%.

8. Hasil daripada method latihan yang betul, Kedah terus mencabar saingan liga pada tahun lalu dan menjuarainya. Method Marco ini tetap diteruskan oleh TCH sehingga ke hari ini. Anda tidak akan mahir matematik jika tak buat latihan yang betul. Begitu juga bolasepak, semuanya bermula dari method latihan yang betul.

9. Marco mempunyai kelulusan lesen coaching UEFA PRO A dan Master Degree in Sport Science. Kelayakan ini membolehkan beliau memegang apa sahaja jawatan samada ketua jurulatih atau penolong jurulatih atau head youth coach atau jurulatih fitness. Lesen bolasepak UEFA adalah lesen yang lebih tinggi levelnya berbanding lesen AFC. Malah ramai pihak telah menyarankan kepada pihak berwajib supaya mengupgrade silibus lesen AFC supaya lebih berkualiti.

10. Pada ketika ini, Marco sedang membuat thesis untuk menyiapkan pengajian PhD beliau di dalam sports science. Umum mengetahui bahawa individu yang memiliki PhD boleh bergelar Professor.

11. Beliau berkawan dengan Pep Guardiola dan tahu sepenuhnya method tiki taka Guardiola. Mentor yang mengajar Marco mengenai taktikal short pass tiki taka ialah jurulatih lagenda iaitu Lillo, Luis Aragones dan Marcelo Bielsa. Mereka ini juga mentor kepada Guardiola. Marco juga tahu method yang diguna Spain semasa memenangi World Cup dan Euro beberapa tahun lalu.

12. Beliau pernah bertugas sebagai head youth coach di Atletico Madrid dan telah menghasilkan ramai pemain world class iaitu Aguero, Falcao, Torres, De Gea, Koke, Saul Niguez dan ramai lagi sejak pemain ini masih mentah remaja seterusnya dijual kepada kelab lain dengan harga mahal. Kemudian Marco menjadi penolong jurulatih kepada pasukan utama Atletico Madrid.

13. Beliau tidak pernah meminta jawatan head coach kepada Kedah. Beliau hanya meminta kenaikan gaji sebagai penolong jurulatih kerana matawang ringgit jatuh teruk sehingga menjejaskan pertukaran matawang Spain untuk beliau mengirim wang kepada keluarganya di Spain. Selain itu ilmu yang bakal diperturunkannya tidak ada pada jurulatih lesen AFC di Malaysia dan juga sukar diperolehi.

14. Sebelum meninggalkan Kedah, beliau memberi ilmu Atletico Madrid kepada Kedah namun tak diendahkan pengurusan KFA.

15. Beliau juga berpesan supaya mengubah cara mencari pemain import supaya lebih dinamik dan berkesan namun tak diendahkan KFA.

16. Kenapa Marco tidak bekerja dengan mana mana team sekarang ni? Jawapannya beliau sedang fokus menyiapkan thesis PhD supaya mendapat gelaran Professor yang sah dari kerajaan Spain.

Copy Paste Dari fb

Negara kekurangan 900 doktor pakar kecemasan

ALOR SETAR: Negara masih kekurangan 900 doktor pakar kecemasan bagi tampung jumlah pesakit yang semakin bertambah, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.

Beliau berkata sehingga kini terdapat hanya 300 doktor pakar kecemasan di seluruh negara dan jumlah itu jauh lebih kecil berbanding jumlah pesakit yang perlu dirawat di hospital.

“Kita sasarkan untuk melahirkan 900 doktor pakar kecemasan tetapi jumlah itu sukar dicapai dalam masa terdekat kerana setiap tahun hanya 60 doktor sahaja yang berjaya dipilih berikutan jumlah kuota yang sedikit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Heart Wars First Malaysia Mass Costume CPR di Aman Central, hari ini.

Masalah itu kata Hilmi, disebabkan setakat ini hanya tiga buah universiti iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM) dan Univeristi Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menawarkan kursus dalam bidang tersebut.

“Jika diikutkan, setiap tahun lebih 200 pemohon akan menghantar pemohonan untuk belajar menjadi doktor pakar tetapi daripada jumlah itu, hanya 60 doktor yang akan dipilih,” katanya.

“Saya berharap lebih banyak universiti-universiti negara dapat mewujudkan kursus yang bertepatan bagi membolehkan kita mencapai sasaran melahirkan 900 doktor pakar kecemasan dalam masa yang lebih cepat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementeriannya menyokong sekiranya Kementerian Pendidikan ingin mewajibkan pelajar untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi mengelakkan daripada dijangkiti penyakit atau wabak yang berbahaya.

“Sehingga kini tiada undang-undang yang mewajibkan ibu bapa untuk memberikan suntikan imunisasi kepada anak-anak, namun sekiranya pihak Kementerian Pendidikan mengambil langkah untuk mewajibkan suntikan vaksin tersebut, kita sentiasa menyokong usaha mereka,” katanya.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...