TERKINI :

Friday, July 15, 2016

Membentuk Pakatan Besar Pembangkang

Pakatan Pembangkang yang lebih besar amat perlu dalam menangani peningkatan hilang kepercayaan kepada kepimpinan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dan parti Barisan Nasional.

Ia bukan sahaja soal Pakatan Harapan yang selama ini memimpin gerakan politik massa  mengubah regim BN, tetapi juga kini disertai oleh kelompok yang berpecah dari Umno yang menuntut perubahan kerajaan. Termasuk dalam gelombang menolak BN ini ialah Gerakan Selamatkan Malaysia pimpinan Tun Mahathir Mohamad.

Sudah tiba masanya semua tenaga ini digembelingkan untuk mobilisasi rakyat ke arah mengubah kerajaan BN kepada kuasa politik baharu yang dipimpin oleh Pakatan Pembangkang Bersatu yang terdiri dari semua elemen yang mahukan perubahan politik lebih baik untuk Malaysia.

Saya mengharapkan aset sokongan PH diperluaskan termasuk Sabah dan Sarawak lewat persefahaman yang bersifat strategik, teknikal dan taktikal bagi menghadapi BN dalam PRU ke 14 akan datang.

Apa yang menjadi titik pertemuan perlu dibina momentum sehingga mampu Pakatan Besar Pembangkang melahirkan satu manifesto bersama dengan satu tujuan iaitu Selamatkan Negara dari Kediktatoran dan Korupsi.

Saya amat yakin kekuatan Pakatan Harapan akan bertambah dengan kebersamaan berbagai pihak khususnya kelompok Umno yang berpecah untuk kita meneruskan usaha mengubah BN dan membina Malaysia dengan tawaran baru.

Sekian,

Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Naib Presiden Amanah Negara

Bertarikh 15 Julai 2016

Tanah: PAS Jerai mohon maaf kepada keluarga Pak Ya Junid

HARAKAHDAILY | 15 Julai 2016.

KAMI Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Jerai mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli keluarga mantan Yang Dipertua PAS Kawasan Jerai, Allahyarham Tuan Guru Hj Yahya bin Junid (Pak Ya)  kerana membantu menyelesaikan urusan berkenaan hartanah GM 2390 Lot 3841 Mukim Sala Besar Daerah Yan dengan keluasan 9/20 bahagian.

Dengan ini, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Jerai memohon maaf kepada seluruh keluarga mantan Yang Dipertua PAS Kawasan Jerai, Tuan Guru Hj Yahya bin Junid (Pak Ya) sekiranya terdapat sebarang kekhilafan semasa berurusan berkenaan dengan kes ini atau terhadap segala apa yang kami atau wakil kami telah nyatakan dan ucapkan melalui ceramah-ceramah, edaran surat dan lain-lain media cetak dan elektronik mengenai hartanah tersebut.

USTAZ MUSODDAK AHMAD
Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Jerai – HARAKAHDAILY 15/7/2016

Karikatur 'dedak': Ku Seman tak nampak DAP hina Islam

Bekas editor kanan Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain tidak bersetuju dengan dakwaan sesetengah pihak mengenai karikatur 'dedak' yang didakwa berkait dengan Nga Kor Ming dari DAP sebagai menghina Islam.

Ku Seman yang berkhidmat lebih 32 tahun dengan akhbar Umno itu berkata, beliau membaca ia sebagai satira politik dengan perkataan 'derma' dan 'dedak' adalah kata kunci yang popular dalam situasi politik semasa.

"Saya tidak jumpa elemen-elemen yang dikatakan menghina Islam yang membawa Pemuda Umno menyerbu pejabat DAP.

"Kalau dikatakan karikatur ini menghina Umno atau pemimpin Umno, saya setuju.

"Tetapi bab menghina Islam saya tidak nampak. Adakah ada perkataan "Aidilfitri" sudah cukup mengaitkan dengan Islam? Jangan pula ada yang mengDAPkan saya pula. Saya non-partisan," jelasnya dalam kenyataan di laman Facebook beliau, hari ini.

Baru-baru ini, kira-kira 200 peserta baju merah yang diketuai oleh Pemuda Umno berkumpul di hadapan Ibu Pejabat DAP Kuala Lumpur bagi membantah kenyataan Nga yang didakwa menghina Islam.

Tindakan sedemikian dipertahankan oleh Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang menegaskan bahawa tindakan melampau batas Nga perlu diajar supaya perkara yang sama tidak berulang.

Sebelum ini, sumber-sumber memaklumkan Ku Seman meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan keputusan syarikat memindahkannya keluar daripada bahagian akhbar kepada sebuah anak syarikat.

Perkara itu dikaitkan dengan tulisan lantang beliau tahun lalu yang mempersoalkan integriti Umno dalam menjelaskan perkara sebenar isu derma yang diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, Ku Seman menambah, tindakan mengadakan demonstrasi oleh Pemuda Umno itu adalah tidak wajar dan bersikap kebudak-budakan.

"Adakah saya tidak nampak elemen menghina Islam kerana saya belum cukup Islam berbanding Pemuda Umno terutama Pemuda Umno Wilayah? Itu saya tidak ada jawapan.

"Tetapi saya percaya kalau dikatakan karikatur itu menghina Umno, api kemarahan orang Islam tidak semarak. Sebenarnya menghina Umno berdasarkan dua kata kunci yang disebutkan di atas.

"Saya fikir ada isu lain yang lebih tepat menunjukkan DAP menghina Islam atau Melayu. Tetapi bukan isu karikatur ini," jelas beliau lagi.

Justeru, ujar Ku Seman, adalah terlalu kebudak-budakan untuk mengangkat isu berkenaan bagi menunjukkan agenda DAP menghina Islam.

Anwar alu-alukan parti baru Mahathir, anggapnya postif

Bekas pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara melihat tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk sebuah parti baru untuk menentang Umno dan BN sebagai positif.

Beliau juga berpendapat bahawa adalah penting bagi parti-parti pembangkang untuk bersatu dan percaya parti baru seperti yang dicadangkan oleh Mahathir itu akan diterajui oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kami sedang menunggu keputusan Muhyiddin kerana beliau akan menentukannya.

"Kami bersedia bersama mereka. Saya fikir ini adalah perkara yang positif," kata Anwar ketika ditemui di mahkamah hari ini.

Anwar juga menegaskan kepentingan untuk parti-parti pembangkang bekerjasama dan memuji cadangan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya mereka mengadakan ‘gencatan senjata’.

Sebelum ini, Anwar menulis sepucuk surat ‘pedas’ yang memberi amaran kepada pemimpin PKR mengenai bahaya bekerjasama dengan bekas perdana menteri itu.

Mahathir memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 1998. MK

Shane Smeltz Bongkar Rahsia Perpindahan Ke Kedah

Oleh: BASHAH ZAINOL ABIDIN
bza_56@yahoo.com.

"SEMUANYA berlaku sekelip mata dan tanpa dirancang. Ia bermula dengan kegigihan Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe."

Itu jawapan pemain import baharu Kedah, Smeltz Edward Shane atau lebih dikenali sebagai Shane Smeltz mengenai perpindahannya dari Sydney FC ke skuad Helang Merah.

Walaupun mempunyai pengalaman beraksi dalam pusingan akhir Piala Dunia pada 2010, namun bintang bola sepak New Zealand itu tetap merendah diri dan menganggap beraksi bersama Kedah akan menjadi pengalaman berharga buat dirinya.

Ketika berkongsi kisah perpindahan itu Shane berkata, dia bersetuju untuk ke Alor Setar selepas 'dilamar' Cheng Hoe.

Menurutnya, walaupun masih mempunyai baki kontrak selama setahun, namun Cheng Hoe telah berusaha dan melakukan banyak perbincangan bagi memastikan dia menyarung jersi hijau kuning.

"Kebijaksanaan Cheng Hoe berurusan dengan ketua jurulatih Sydney FC menjadi penyebab saya mendapat pelepasan daripada baki kontrak selama setahun lagi.

"Sebelum perbincangan ini berlaku, saya tidak pernah membanyangkan dapat beraksi bersama sebuah pasukan dari Malaysia.

"Sebelum ini saya sudahpun mengetahui mengenai Liga Malaysia menerusi beberapa pemain Australia termasuk Billy Mahmet yang pernah mewakili Kedah, tetapi tidak pula membayangkan akan berada di sini," katanya kepada mStar Online.

Shane menambah, walaupun baru sehari tiba di Alor Setar dan belum melakukan latihan, namun dia menerima cabaran Cheng Hoe yang ingin melihat aksinya ketika menentang Sarawak.

Penjaring terbanyak Liga Australia selama dua tahun berturut-turut  itu juga pernah menerima pengiktiran jaringan tercantik selain mewakili kelab gergasi China dan Austalia iaitu Shandong Luneng serta Gold Coast United.

"Kenangan manis sebagai pemain bola sepak profesional ialah ketika saya dapat menjaringkan gol dengan menewaskan penjaga gol terbaik dunia semasa menentang Itali dalam pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

"Disebalik pengalaman ini, saya tidak nafikan kehebatan sejarah bola sepak pasukan Kedah yang pernah memenangi tiga kejuaraan utama dalam tempoh dua tahun berturut-turut.

"Oleh itu saya perlu membantu Kedah mengulangi sejarah ini bersama rakan sepasukan yang lain," jelasnya.

Shane selain itu turut teruja melihat aksi Thiago Augusto Fernandez yang berjaya menjaringkan satu gol dan membantu mendapatkan tiga jaringan lagi.

Katanya, perkembangan itu dan aksi pemain muda Kedah telah menaikkan semangatnya untuk berhempas pulas demi mendapatkan kejayaan selepas ini.

Kenapa harus dibantah duhai Pemuda Pas Kelantan, cuba bagi idea bagaimana nak 'islamik' kan pawagam itu.

1. Macam Pemuda Pas Kelantan juga, aku bukanlah kaki pawagam. Last aku tengok wayang rasanya 32 tahun yg lalu, di A Setar, gambar Indon, cerita lawan-lawan. Sampai sekarang pun aku tak izinkan anak-anak aku masuk pawagam.

2. Buat pawagam sama saja macam buat taman tema, taman bunga, karaoke, kedai urut yang hukum asalnya adalah harus sebab itu urusan muamalat bukan urusan ibadat. Bahkan benar buka kedai arak lebih teruk akibatnya drpd benar buka panggung wayang. Di Kelantan ada kedai jual arak kan?

3. Bagi aku pemuda Pas Kelantan tidak kreatif apabila mereka bantah buat pawagam di Kelantan. Sepatutnya mereka bukan bantah tetapi memberi idea bentuk pawagam yang 'Islamik'. Sebab, pawagam bukan tempat maksiat asalnya tapi tempat orang lepaskan tension, berehat, sama macam orang pergi taman bunga, air terjun atau masuk KFC dan McD.

4. Kalau ada jantan dan betina nak buat maksiat, depa tak perlu masuk pawagam di Kelantan. Lebih baik mereka masuk Siam ikut Sungai Golok. Sebab itu, bagi aku Pemuda Pas bantah sesuatu yg tak patut dibantah dlm keadaan itulah peluang Pemuda Pas buktikan keupayaan mereka mengislamikkan dunia seni dan hiburan.

5. Kini filem sudah jadi industri. Pembikin filem sudah buat filem hebat (kecuali pembikin filem Melayu) tentang kemanusiaan, kesenian, tamadun, tokoh yg menjadikan filem sebagai medium membina masyarakat bertamadun. Tengok wayang sama macam baca buku juga, iaitu meneroka sesuatu yg baru yg kita belum alami. Jadi, apa beza buat pawagam dgn buat perpustakaan?

6. Kalau mati dalam pawagam? Kalau pawagam itu beretika, apa bezanya dengan mati dalam restoran mamak nasi kandar? Tengok wayang bukan maksiat sama mcm tengok bola dan tengok gusti dlm rumah. Macam mana kalau mati di stadium bola atau stadium badminton?

7. Dunia semakin rencam dan keperluan manusia semakin tinggi. Manusia semakin stress. Sepatutnya Pemuda Pas tampil dgn model pawagam beretika dan menjadi model pawagam seluruh negara terutama di negeri DAP.

8. Pemuda Pas perlu melihat dunia dengan kacamata manusia global bukan melihat dunia melalui lubang yg ditebuk diketayap. Jika isu kecil spt buat panggung wayang ditangani dgn bantahan melulu, bagaimana nak tangani isu umat yg lebih besar yg memerlukan kretiviti yg lebih tinggi?

8. Anak muda habis duit tengok wayang? Depa tak tengok wayang, depa beli VCD atau pergi KL tengok wayang atau pergi Siam. Lebih kurang sajalah.

9. Apa pun, terpulanglah kpd Pemuda Pas Kelantan. Cuma jgn sampai org anggap Kelantan Serambi Mekah yg halang pawagam tapi tak cuci sampah padahal bahaya sampah lebih besar drpd bahaya pawagam.

10. Ini aku punya pandangan. Kalau lebai ada pandangan lain silakan.

Zolkharnain Abidin

Kenapa nak bandingkan parti baru Tun M dengan Semangat 46, tidak dengan PAS atau PKR?

KENAPA BANDINGKAN PARTI BARU TUN M DENGAN SEMANGAT 46? MENGAPA TIDAK DENGAN PKR ATAU PAS?

Seperti terpercik nada kebimbangan serta kegusaran,  walaupun tidak dinyatakan secara langsung, apabila beberapa pemimpin UMNO memberikan reaksi berhubung  penubuhan parti politik baru oleh Tun Mahathir Mohamad yang dijangka dimuktamadkan dalam waktu terdekat ini.

Ismail Sabri Yaakob cuba mengingatkan Tun Mahathir mengenai nasib parti Semangat 46 yang tidak mampu bertahan lama dan akhirnya semua pimpinannya kembali semula ke pangkuan UMNO.

Nazri Aziz pula seolah-olah menyindir dengan menafsirkan bahawa hasrat menubuhkan parti baru itu menunjukkan Tun Mahathir tidak diterima untuk menyertai mana-mana parti pembangkang sedia ada.

Jika benar parti baru yang ditubuhkan oleh mana-mana bekas pemimpin UMNO tidak mampu bertahan lama, bukankah ia sesuatu yang seharusnya menggembirakan UMNO?

Sepatutnya, biarkan saja ia ditubuhkan dan tidak perlu diperingatkan apa-apa kerana akhirnya hanya menjadi suatu pemburuan cita-cita Tun Mahathir yang tidak kesampaian ke mana-mana.

Tetapi, benarkah semua parti baru yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin UMNO atau serpihan parti itu tidak mampu bertahan lama atau tidak berupaya menyaingi UMNO?

Bagaimana jika parti baru inisiatif Tun Mahathir yang turut disertai oleh bekas pemimpin UMNO lain yang dipecat dan kemudian bergabung dengan Pakatan Harapan, ia kemudian mampu menumbangkan BN dalam pilihanraya akan datang?

Kenapa sejarah Semangat 46 saja yang selalu diambil sebagai contoh untuk mengingatkan kegagalan menubuhkan parti-parti baru?

Apakah Tun Mahathir tidak sedar mengenai perkara itu?

Tidakkah Ismail Sabri maklum bahawa Semangat 46 ditubuhkan kerana ingin menentang Tun Mahathir dan kembalinya ahli serta pimpinan parti itu ke pangkuan UMNO adalah juga atas daya usaha dan kelicikan bekas Perdana Menteri itu?

Bagaimana dengan sejarah Pas yang juga merupakan parti serpihan UMNO, tetapi masih mampu bertahan sehingga sekarang?

Begitu juga dengan PKR yang ditubuhkan setelah Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO, bukan saja sekarang dapat menguasai Selangor, bahkan terus menjadi parti yang mampan dan berkembang?

Dalam pada itu, jika benar tafsiran Nazri Aziz bahawa parti baru itu menunjukkan Tun Mahathir tidak diterima menyertai mana-mana parti sedia, sudah tentu ia akan bergerak bersendirian saja  untuk menentang UMNO dalam pilihanraya nanti.

Namun, barangkali Nazri terlepas maklumat bahawa Pakatan Harapan amat mengalu-alukan parti baru itu dan sedia untuk bekerjasama demi mencapai matlamat yang sama memulihkan kembali imej negara yang telah dirosakkan oleh Najib.

Akhirnya, kiranya Pas masih mampu bertahan sehingga sekarang dan menguasai Kelantan dan dengan PKR  berkembang sehingga dapat menawan Selangor, bahkan Najib dengan segala kekuatannya pun gagal merampas negeri paling kaya itu pada pilihanraya 2013 lalu, apakah  mustahil Tun Mahathir dengan parti barunya yang disertai kelicikan dan pengalamannya selama ini, bersama pula dengan Pakatan Harapan, akan mengorak satu lagi sejarah dengan mampu menakluk Putrajaya sudahnya?

(SH 14/07/2016).





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...