TERKINI :

Tuesday, July 12, 2016

Ini dia 2 penggempur baru Hijau Kuning

Thiago Augusto Fernandes akan memakai jersi bernombor 9 dan Shane Smeltz akan memakai jersi bernobor 14.

Pakatan Harapan hargai kehendak rakyat, persetujui ambil langkah kembali kepada rakyat

Kenyataan Media
Majlis Presiden Pakatan Harapan

PAKATAN HARAPAN HARGAI KEHENDAK RAKYAT, PERSETUJUI AMBIL LANGKAH KEMBALI KEPADA RAKYAT

Majlis Presiden Pakatan Harapan yang bermesyuarat pada hari ini membincangkan dengan mendalam pelbagai perkembangan dalam negara yang telah berlaku sejak Pakatan Harapan ditubuhkan hampir setahun yang lalu. Pimpinan Pakatan Harapan menginsafi pelbagai cabaran dan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat mutakhir ini sedang pimpinan politik dilihat terlalu terperangkap dengan kegawatan politik sesama ahli dan parti-parti politik.

Pakatan Harapan mewarisi perjuangan pembangkang selama berdekad yang meletakkan kebajikan, kesenangan, keselamatan dan masa depan rakyat sebagai kepentingan teratas sesebuah parti politik. Oleh yang demikian, Majlis Presiden hari ini membulatkan nekad bahawa pelbagai kelemahan Pakatan Harapan setakat ini perlu diselesaikan dengan segera agar kepentingan rakyat didahulukan.

Majlis Presiden memutuskan:

1) Satu temu rapat pimpinan dari KEADILAN, DAP dan AMANAH akan diadakan dalam masa terdekat untuk meneliti dengan khusus strategi bersama Pakatan Harapan untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan

2) Pembentangan dan rundingan dengan rakyat mengenai Dasar-Dasar Bersama Pakatan Harapan yang menyeluruh dipercepatkan supaya tumpuan kembali kepada rakyat

Majlis Presiden Pakatan Harapan juga mengingatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak supaya tidak terlalu gah menguji kesabaran rakyat dengan pelbagai tindakan yang mencabul prinsip-prinsip keadilan, keluhuran perlembagaan dan membebankan rakyat. Pakatan Harapan akan merapatkan saf untuk mempertahankan hak dan kebajikan rakyat supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak mengambil peluang menutup segala penyelewengan semasa keadaan politik dilihat bercelaru sekarang.

Oleh itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam mesyuarat hari ini menyokong pendirian Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang bahawa Saudara Lim Guan Eng tidak perlu bercuti atau meletakkan jawatan kerana kes terhadap beliau adalah satu pemangsaan politik (“political persecution”) yang bertujuan mengukuhkan kedudukan politik Dato’ Seri Najib Tun Razak. Pimpinan Pakatan Harapan dari ketiga-tiga parti akan turut serta dalam program-program seluruh negara untuk membawa pemangsaan politik terhadap Saudara Lim Guan Eng ini kepada rakyat.

Majlis Presiden Pakatan Harapan juga yakin bahawa Pakatan Harapan adalah gabungan politik terbaik untuk mengukuhkan persaudaraan di antara pelbagai kaum di negara ini. Mengambil kira pelbagai usaha untuk memecah belahkan perpaduan kaum kebelakangan ini termasuk cubaan melabel bukan Islam sebagai kafir harbi, Majlis Presiden Pakatan Harapan akan meneruskan program-program yang meningkatkan persefahaman rakyat berasaskan rasa hormat kepada pegangan dan amalan setiap kaum di negara ini.

Rakyat juga terus dibebankan dengan pelbagai pemotongan peruntukan dan perbelanjaan akibat dari kedudukan kewangan lemah Kerajaan Persekutuan bersabit dengan skandal-skandal besar pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak seperti 1MDB. Majlis Presiden Pakatan Harapan telah mengarahkan supaya pasukan ekonomi Pakatan Harapan mula menggubal Belanjawan Pakatan Harapan sementara usaha sedia ada membawa kebertanggungjawaban kepada skandal besar 1MDB diperhebatkan.

Majlis Presiden Pakatan Harapan memandang berat beberapa kejadian keganasan yang disabitkan dengan Daulah Islamiyah (IS atau Daesh). Ini bermakna walaupun Dato’ Seri Najib Tun Razak menggunakan ancaman keganasan sebagai alasan untuk memperkenalkan pelbagai undang-undang yang menyekat hak kebebasan rakyat seperti Akta MKN, POTA, Akta Hasutan dan SOSMA, pentadbiran beliau gagal mengekang ancaman ini. Oleh itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan menekankan perlunya satu jawatankuasa merentas parti mengenai ancaman keganasan ditubuhkan agar pimpinan pembangkang juga mempunyai peranan menangani ancaman bersama ini.

Majlis Presiden Pakatan Harapan mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia di atas pandangan, teguran dan harapan yang diletakkan ke atas kami. Harapan itu tidak akan disia-siakan.

YB Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

YB Lim Kit Siang
Ketua Parlimen DAP

Saudara Mohamad Sabu
Presiden AMANAH

Selasa, 12 Julai 2016
Kuala Lumpur

Pengerusi PAC pula dikatakan membeli tanah dengan harga bawah pasaran

‘Saya tidak akan minta maaf kepada pengerusi PAC’

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Pemuda PKR Lee Chean Chung menegaskan tidak akan membuat permohonan maaf terhadap Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin berhubung dakwaan melibatkan penjualan tanah.

Beliau berkata demikian selepas Hasan memberi tempoh 14 hari memohon maaf atau berdepan saman fitnah RM5 juta.

Sebelum ini, Chean Chung mendakwa Hasan membeli sebidang tanah dengan harga bawah paras pasaran sebelum menjualnya kepada pembeli bukan Bumiputera.

Beliau mendakwa Hasan membeli tanah milik persendirian itu pada 2002 dengan RM76,499, walaupun nilai tanah berkenaan pada masa itu, berdasarkan penilaian duti setem, ialah RM213,000.

DAP, AMANAH tolak cadangan Muhyiddin ganti Azizah

Pemimpin DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) menolak cadangan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin menggantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub dan Setiausaha Penganjur DAP Anthony Loke melahirkan rasa puas hati dengan prestasi presiden PKR itu.

"Pasti (kita berpuas hati dengan beliau) sebagai ketua pembangkang di negara ini," jawab Salahuddin apabila ditanya mengenai perkara itu.

"DAP mempunyai keyakinan penuh terhadap Wan Azizah untuk terus menerajui pembangkang," kata Loke.

Kedua-dua pemimpin itu ditemui selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) mengadakan mesyuarat majlis presiden pagi ini.

Ahli jawatankuasa pusat AMANAH Mazlan Aliman sebelum ini dilaporkan berkata, parti itu akan mencadangkan Muhyiddin sebagai pemimpin pembangkang yang baru.

Parti itu kemudian menjelaskan bahawa kenyataan Mazlan diambil di luar konteks.

Sementara itu, Salahuddin berkata, HARAPAN bersikap terbuka sekiranya Muhyiddin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyertai mana-mana daripada ketiga-tiga parti dalam blok pembangkang.

"Pintu akan sentiasa terbuka untuk mereka," katanya.

Muhyiddin, yang digugurkan sebagai timbalan perdana menteri pada tahun lalu, dipecat daripada Umno bersama Mukhriz pada 24 Jun lalu.

Manakala Shafie, yang juga dipecat daripada jawatan menteri, mengambil keputusan keluar Umno selepas digantung daripada parti itu.

Saman syarikat konsesi tol yang gagal menyelesaikan masalah kesesakan - PAS

Masalah kesesakan lebuhraya setiap kali musim perayaan dan cuti adalah masalah bersama. Malangnya, masalah ini hanya dipikul para pengguna lebuhraya yang terpaksa berhabis banyak masa dan minyak yang tidak diperlukan.

Hari ini, pengorbanan dan kesabaran pengguna lebuhraya tidak pernah dihargai. Malah, mereka dibalas dengan pelbagai perangkap hadlaju dan saman, yang tujuannya lebih kepada menghukum dan mendenda yang secara langsung menambahkan beban kos perjalanan mereka dan bukannya untuk menyelamatkan nyawa mereka.

Contohnya, banyak perangkap hadlaju sengaja dipasang di tempat-tempat tersembunyi untuk memerangkap para pengguna lebuhraya. Ini seolah-olah menghukum dan mengikis duit pengguna lebuhraya adalah agenda utama perangkap hadlaju ini dipasang. Ramai hanya tersedar mereka terkena saman hadlaju apabila surat saman tiba di rumah.

Jikalau menyelamatkan nyawa para pengguna lebuhraya menjadi keutamaan perangkap hadlaju, maka sepatutnya perangkap hadlaju harus dipasang di selekoh-selekoh maut lebuhraya secara terang-terangan tanpa perlu bersembunyi.

Para pengguna lebuhraya pula diberikan amaran seawal 5km sebelum tiba di destinasi perangkap hadlaju yang dipasang agar mereka dapat mengurangkan kelajuan kereta sebelum tiba di selekoh maut supaya mereka boleh melalui mana-mana selekoh maut dengan kadar laju yang selamat dan tidak membahayakan diri dan keluarga. Ini sebenarnya tujuan asal perangkap hadlaju di mana ia adalah untuk menyelamatkan nyawa dan bukannya sebagai alat mendenda dan menghukum.

Tahun ini, fokus masalah lebuhraya ditumpukan kepada salahguna laluan kecemasan. Malah, Perdana Menteri sendiri ada membuat satu kenyataan khusus di Facebook menyentuh isu ini.

Dalam isu ini, PAS bersetuju bahawa laluan kecemasan tidak sepatutnya digunakan melainkan kecemasan.

Namun, PAS ingin mengingatkan pihak berkuasa bahawa jangan sekadar tahu saman pengguna lebuhraya tanpa melihat punca kesesakan lebuhraya sehingga pengguna terpaksa menggunakan laluan kecemasan ketika musim perayaan dan cuti.

Menyaman para pengguna lebuhraya yang menggunakan laluan kecemasan bukanlah penyelesaian kepada masalah kesesakan lebuhraya di depan mata setiap kali musim perayaan dan cuti.

Rakyat sudah ditekan dengan kekerapan kenaikan tol dari semasa ke semasa. Untuk berlaku adil, kerajaan harus mengenakan tekanan kepada syarikat konsesi tol untuk mencari formula menyelesaikan kesesakan di plaza tol.

Seperti para pengguna lebuhraya, syarikat konsesi tol yang gagal mengatasi masalah kesesakan di sepanjang lebuhraya, terutamanya kesesakan di plaza tol juga mesti disaman.

Syarikat konsesi tol yang gagal menyelesaikan masalah kesesakan di plaza tol, PAS mencadangkan agar ditarik balik kuasanya untuk mengutip tol sepanjang musim perayaan dan cuti kerana lebuhrayanya tidak dapat memberikan manfaat penjimatan masa dan minyak yang setimpal dengan kadar tol yang dikenakan pada para pengguna lebuhraya.

Antara plaza tol yang sangat sesak ialah Plaza Tol Bentong dan Gombak. Plaza ini telah terlalu lama beroperasi dan sewajarnya ia ditutup kerana telah melebihi tempoh. Paling tidak disarankan Plaza Tol Bentong dihapuskan dan kutipan hanya dibuat di Plaza Tol Gombak.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
11 Julai 2016

Shane Smeltz import terbaru bersama Kedah menggantikan Sandro

#welcomeshane #selamatdatangshane

Shane Smeltz telah bersetuju dan menandatangani kontrak bersama skuad hijaukuning bagi baki saingan musim 2016. Turut hadir pengurus pasukan dalam majlis tandatangan kontrak sebentar tadi, Dato' Jeffrey Low Han Chow dan jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe.

Kehadiran Shane bakal mengisi jentera serangan Kedah setelah Sandro masih dalam tempoh pemulihan dan tidak dapat beraksi dalam tempoh perlawanan yang padat. Langkah ini bagi memastikan Kedah tidak keciciran mata dan mampu bersaing dengan pasukan lain. Sandro dalam perancangan untuk dipinjamkan ke kelab lain memandangkan beliau masih mempunyai kontrak sehingga 2017. Musim 2017, Sandro akan kembali semula dengan skuad hijaukuning untuk berkhidmat bagi setahun lagi kontraknya bersama Kedah. Berbeza dengan seorang lagi pemain import Kedah, Carlos Kahe yang berakhir penghujung musim ini akan diisi oleh pemain pinjaman penyerang import Felda United FC, Thiago Augusto Fernandes.

Kelibat beliau dapat disaksikan dalam latihan pertamanya bersama skuad hijaukuning di Mini Stadium Peremba petang ini.

Debut Shane dijangka Sabtu ini ketika menentang JDT FC dalam aksi Liga Super di Larkin.

Media KFA

PAS KEDAH cadangkan telaga tiub jadi alternatif atasi masalah air

*KENYATAAN MEDIA*
*BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI KEDAH*
*11 Julai 2016 | 6 Syawal 1437*

*"Masalah Bekalan Air: Telaga Tiub Patut Jadi Alternatif"*

PAS Kedah menyedari bahawa infrastruktur bekalan air sedia ada sudah tidak mampu memproses dan mengagihkan bekalan air yang mencukupi di negeri ini.
Walaupun Kedah tidak mempunyai masalah bekalan air mentah, tetapi infrastruktur bekalan air (kapasiti pam, loji rawatan, tangki simpanan dan jajaran paip) sedia ada untuk menyedut, merawat dan mengagihkan air bersih sudah tidak mampu menampung keperluan orang ramai.

Punca utamanya ialah kesilapan kerajaan masa lalu  menyalahguna dana lebih RM2 bilion pinjaman dan geran bekalan air untuk membina infrastruktur yang tidak sepadan dengan jumlah wang.

Ada infrastruktur yang mengikut spesifikasi, tetapi kosnya berlipat kali ganda, bahkan merencatkan pembinaan infrastruktur lain pula. Ia berlaku berpuluh tahun semasa Kedah di bawah Barisan Nasional. Ibaratnya seperti dana yang dipinjam untuk membeli cerek besar tetapi hanya diguna untuk membeli teko kecil, sedangkan cawan yang menadah semakin banyak.

Penswastaan operasi rawatan air dan bekalan air ke Langkawi pula bukan sahaja tidak memberi pulangan kepada kerajaan, tetapi memakan belanja yang sepatutnya digunakan untuk membina infrastruktur baru agar selari dengan pertambahan penduduk. Perjanjian penswastaan pula diikat tanpa jalan keluar untuk kerajaan. Ibaratnya seperti memegang  pisau, pihak swasta pegang hulu, kerajaan pegang mata. Menolak pun berdarah, menarik pun berdarah.

PAS mengambilalih kerajaan pada 2008 dan mula membaiki kerosakan 50 tahun sebelumnya. Selain menubuhkan SADA dan meningkatkan kecekapan pengurusan, kita berjaya memastikan tiada sebarang ketirisan dana terjadi seperti masa lampau.

Kita memohon geran daripada Kerajaan Persekutuan atas semangat federalisme, digunakan untuk membina infrastruktur baru dan membaiki kerosakan dan keuzuran peralatan lama.

Namun permintaan kita untuk menggantikan jajaran paip yang uzur (punca utama kehilangan air-NRW) dan membina loji dengan kapasiti lebih besar tidak dipenuhi kerana kosnya melebihi RM1.6 bilion pada masa itu. Walaupun menghadapi masalah berkenaan bekalan air, kita masih mampu menghadapinya dengan berjimat cermat dan menyusun keutamaan.

Mungkin sebab utama permintaan Kedah tidak dilayan waktu itu Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan berlainan warna. Peliknya, selepas kedua-dua pihak menjadi sama warna selama lebih 3 tahun dan masalah air telah berulang beberapa kali, permintaan itu tetap tidak ditunaikan. Bukankah banyak masa telah terbuang begitu saja. Kenapa?

PAS Kedah bersimpati dengan kesukaran rakyat Kedah menghadapi situasi yang semakin serius, terutama sewaktu peningkatan penggunaaan air di musim perayaan.

Maka, sebagai langkah segera, PAS Kedah mencadangkan kerajaan membina telaga tiub di semua kawasan yang menghadapi masalah bekalan air, sebagai alternatif dan tindakan jangka pendek.

Kaedah ini telah digunakan dibanyak lokasi dalam dan di luar negara. Menurut Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, terdapat kira-kita 5,000 bilion meterpadu simpanan air bawah tanah di negara ini. Contohnya di Daerah Padang Terap, terdapat sumber air yang banyak daripada rekahan batuan keras berusia hingga 240 juta tahun pada kedalaman 104 meter.

Satu telaga tiub telah dibina oleh jabatan tersebut di Sekolah Menengah Agama (SMA) As-Siddiqiah Al-Islamiah di Kampung Padang Kerasak, Kuala Nerang. Telaga tiub itu mampu mengeluarkan 11,000 gelen air dalam tempoh sejam; kadar tertinggi di Semenanjung buat masa ini.

Berdasarkan kiraan kami, jika dilengkapi dengan pam dan tangki yang lebih besar, ia mampu menampung penggunaan sehingga 300 buah rumah berhampiran.

Kerajaan patut mendapatkan bantuan pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia untuk mengenalpasti lokasi sesuai berdasarkan kepakaran mereka. Diumumkan, telaga tiub, pam dan tangki simpanan dengan kapasiti sederhana di sekolah terbabit hanya membabitkan kos RM85 ribu.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri boleh dan patut menyediakan dana yang mencukupi, dari sumber sendiri ataupun memohon geran daripada Kerajaan Persekutuan.

Kalau sebelum ini Kedah tidak dapat paip dan loji kerana berlainan parti, tidak mungkin telaga tiub juga tidak dipertimbangkan merana warna politik sudah sama. Paling mustahak adalah kerajaan negeri tidak  mengulangi ketirisan lampau.

PAS Kedah yakin, kos membina telaga tiub di semua kawasan yang mengalami gangguan air ini jauh lebih murah. Malah, lebih praktikal daripada membina infrastruktur air konvensional yang menelan belanja puluhan malah ratusan juta. Andainya projek seperti ini juga gagal dilaksanakan, BN Kedah patut berundur saja daripada menerajui kerajaan negeri.

_"Inilah Penyelesaian Kita"_

*USTAZ DR AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI*
Pesuruhjaya
PAS Negeri Kedah

Timb Pengerusi PAC: Biar polis siasat kesahihan laporan Sarawak Report

SHAH ALAM – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw menyerahkan kepada pihak berkuasa mengenai siasatan kandungan laporan Ketua Audit Negara mengenai 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disiarkan portal berpangkalan di London, Sarawak Report.

Beliau berharap siasatan itu kelak akan membawa keadilan berhubung kesahihan sebahagian kandungan laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.

“Sekarang Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat sumber laporan Sarawak Report. Kita pun tidak tahu sama ada sahih atau tidak laporan itu.

"Justeru, kita berharap wujudnya kedaulatan undang-undang ,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata beliau akan berbincang dengan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang bagi memastikan sama ada benar atau tidak dokumen itu yang terdapat dalam laporan Audit Negara dan diklasifikasikan sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Menurut Seng Giaw, laporan Ketua Audit Negara kebiasaannya akan diumumkan.

Bagaimanapun, beliau percaya, ada pihak yang berusaha untuk mendapatkan laporan terbabit, meskipun belum disiarkan oleh Ketua Audit Negara.

Sementara itu, Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin ketika dihubungi,  enggan mengulas lanjut mengenai pendedahan tersebut.

Isu Shafie : ‎Lagi keluar Umno di Sabah‎

SHAH ALAM - Hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan tertinggi Umno dan tidak bersetuju dengan pengantungan terhadap bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi punca seramai 600 anggota Umno daripada 100 cawangan di bahagian Batu Sapi, Sabah, mengumumkan keluar parti serta-merta.

Bekas Ketua Pemuda Umno Semporna, Datuk Azis Jamman berkata, pengumuman itu dibuat oleh  naib ketua Umno bahagian itu Pangiran Roslan Pangiran Nasrun, dalam sidang medianya di Sandakan semalam.

"Mereka ini tidak bersetuju dengan pengantungan Mohd Shafie kerana mereka sudah hilang tempat bergantung dan mengadu permasalahan mereka.

"Pengantungan terhadap Mohd Shafie mereka anggap sebagai satu penghinaan terhadap rakyat negeri Sabah seolah-olah semenanjung tidak senang bila Mohd Shafie dilihat sebagai ancaman terhadap kedudukan orang-orang tertentu di semenanjung dan di negeri Sabah," katanya kepada Sinar Online.

Sebelum itu pada empat Julai lalu, Shafie telah mengumumkan bahawa beliau mengambil keputusan untuk keluar daripada Umno.

Jelas Mohd Shafie, walaupun  telah keluar dari Umno, beliau akan tetap meneruskan perjuangan di Sabah demi rakyat di negeri itu yang telah memilihnya sebagai wakil rakyat.

Pada 24 Jun lalu, Majlis Tertinggi Umno (MT) memutuskan agar bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir‎ dipecat daripada Umno berkuat kuasa serta merta manakala Shafie pula digantung dari jawatannya.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu turut berkata, tindakan itu dipersetujui sebulat suara oleh MT Umno kerana mendapati mereka melakukan kesalahan serius.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...