TERKINI :

Monday, July 11, 2016

Kenapa Ridhuan Tee tidak gesa kerajaan pinda Akta 355? soal Pemuda Amanah

11 Julai 2016 | ARIF ATAN

Pemuda Amanah Nasional mempersoal pandangan pensyarah Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang dilihat cuba bermain politik murahan dengan mencanangkan sentimen perkauman atas nama agama.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, cadangan penceramah itu supaya akronim Amanah digantikan dengan Pan adalah suara pihak yang terdesak dan terancam dengan kemaraan Amanah.

"Amanah adalah satu nama yang mempunyai identiti dan prinsip mulia dari sudut Islam dan sejagat.

"Adakah ketakutan Ridhuan pada nama Amanah seolah-olah beliau cuba membela kepimpinan negara yang semakin kehilangan nilai amanah?" bidasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata, peratusan undi yan diperoleh Amanah pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini menunjukkan perjuangan Amanah kini semakin diterima rakyat.

"Atas dasar memulihkan krisis negara hari ini, kemunculan Amanah yang berjuang bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Harapan amat relevan dalam mengubah sistem pemerintahan Umno-BN yang korup dengan mewujudkan pemerintahan berasaskn ketelusan, urus tadbir baik, keadilan dan integriti.

"Atas dasar ini, konsep negara 'Al-Amin' adalah gagasan yang akan diperjuangkan," jelasnya mengulas tulisan Ridhuan bertajuk, 'Amanah: Antara kuali dan papan' di akhbar Sinar Harian hari ini.

Mengulas tuduhan Ridhuan kononnya Amanah bersubahat dengan 'ultra kiasu' dalam menolak agenda Islam terutama Rang Undang-Undang (RUU) 355, beliau menjawab, Amanah tidak pernah menentang pindaan peruntukan itu sebaliknya yakin sebarang usaha ke arah peningkatan kuasa Mahkamah Syariah perlu dilakukan secara ikhlas tanpa membangkitkan sebarang polemik.

"Kaedah konsultasi dan penerangan perlu dipergiat agar semua pihak dapat memahaminya tanpa mewujudkan sebarang keadaan yang boleh menggugat keharmonian antara kaum di negara ini.

"Kenapa tidak Ridhuan menggesa pihak kerajaan sendiri meminda Akta 355 jika kerajaan benar-benar ikhlas mahu memartabatkan kedudukan hukum syariah di negara ini?

"Kenapakah Ridhuan tidak membantu memudahkan urusan ini?" bidas peguam itu.

Menurut Faiz, pindaan RUU 355 itu hendaklah dibawa oleh pihak kerajaan iaitu oleh menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam memandangkan kelulusannya adalah lebih mudah kerana dibawa oleh pihak kerajaan sendiri yang memiliki majoriti di Parlimen.

"Amanah bukan khadam kepada mana-mana pihak termasuk DAP, tetapi berkongsi dasar perjuangan yang sama iaitu menentang kezaliman pemerintah terhadap rakyat," tambahnya lagi.

http://malaysiadateline.com/index.php/berita-list/16-berita-utama/3597-kenapa-ridhuan-tee-tidak-gesa-kerajaan-pinda-akta-355-soal-pemuda-amanah

1MDB: Jangan jadi pemimpin bodoh, kata Mohamad Sabu

11 Julai 2016 | HAZRI NAWAR

Pendedahan Sarawak Report itu dibuat kerana laporan audit 1MDB diklasifikasikan di bawah OSA kata Mat SabuPendedahan Sarawak Report itu dibuat kerana laporan audit 1MDB diklasifikasikan di bawah OSA kata Mat Sabu

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu menasihatkan pemimpin politik tidak menampakkan kebodohan diri sendiri apabila mempersoal pendedahan Sarawak Report mengenai 1MDB.

Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, pendedahan Sarawak Report itu dibuat kerana laporan audit 1MDB diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Pemimpin politik dan orang awam jangan jadi bangang. Sarawak report keluar kerana laporan audit 1MDB tidak diberi kepada awam malah diletak bawah OSA," katanya kepada Malaysia Dateline.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, beliau melahirkan kehairanan dengan sikap sesetengah pemimpin politik pembangkang yang membidas pendedahan Sarawak Report mengenai 1MDB.

Sedangkan kata beliau, pendedahan portal itu telah membuka mata banyak pihak terhadap maklumat baru skandal 1MDB yang sebelum ini tidak diketahui oleh orang ramai.

Semalam, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim meminta rakyat tidak terpedaya dengan laporan Sarawak Report berhubung 1MDB kerana disifatkannya sebagai "menyimpang jauh daripada kebenaran".

Menyokong pendirian kerajaan, Pemimpin Pas itu senada dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak agar laporan lengkap 1MDB dirujuk kepada laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Sebagai penyelesaian, beliau pada masa sama turut mendesak laporan ketua audit negara mengenai 1MDB yang tulen didedahkan segera.

Sarawak Report sejak beberapa hari lalu telah 'membocorkan' maklumat yang didakwa diperoleh daripada dokumen laporan audit mengenai 1MDB.

Selamat datang Thiago Augusto Fernandes dan selamat maju jaya Ahmad Fakri Saarani.

#welcomethiago #goodluckfakri

Alhamdulillah semuanya telah dimuktamadkan antara Kedah FA - Persatuan Bolasepak Kedah - dan FELDA UNITED FC untuk pertukaran pemain secara pinjaman dimana Thiago Augusto Fernandes akan bersama skuad hijaukuning sehingga penghujung musim ini dan Ahmad Fakri Saarani akan dipinjamkan kepada skuad Felda United FC dalam tempoh yang sama.

Felda United FC diwakili oleh Setiausaha Kehormatnya Hj. Zulkarnain dan Kedah FA oleh Setiausaha Kehormat, Dato' Aminuddin Omar dan pengurus pasukan, Dato' Jeffrey Low Han Chow.

Sejurus selesai urusan menandatangani kontrak, Thiago Augusto Fernandes tidak sabar untuk terus ke padang latihan bersama rakan sepasukan di kem hijaukuning.

Selamat datang buat Thiago Augusto Fernandes dan selamat maju jaya buat Ahmad Fakri Saarani.

Media KFA

Salahuddin kembali ke Pas?

1. Sambutan Aidil Fitri Syawal tahun ini begitu bermakna bagi saya setelah setahun bermula dengan Gerakan Harapan Baru( GHB) dan seterusnya bersama Parti Amanah Negara (Amanah) , sebuah parti yang saya bersama membinanya dari hari pertama kewujudanya.

2. Disamping rakan-rakan seagama yang begitu ramai datang bertamu dirumah saya di Kg Tg Piai, Pontian, demikian juga rakan-rakan dari kaum Cina dan India yang memeriahkan lagi sambutan Hari Raya. Saudara mara saya dari kaum tionghua juga tidak ketinggalan setiap tahun datang begitu ramai mewarnai panorama rentas budaya dan politik.

3. Tidak ketinggalan juga rakan-rakan lama  daripada Pas yang berjumpa dengan saya. Ada dikalangan mereka yang masih memegang jawatan dalam Pas. Mereka datang bertanya khabar dan ada yang terus terang meluahkan perasaan kecewa kerana perjuangan  Pas  bukan lagi seperti dulu apatah lagi tanjak dan keris hadhir dalam muktamar Pas yang lalu. Lain benar rasanya kata mereka.

4. Saya bersyukur dan gembira hampir setahun  ditubuhkan Amanah semakin mantap bertapak dipersada politik tanahair. Jika diukur dari pencapaian dua PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar Amanah mampu setanding dengan parti-parti lain yang telah berumur puluhan tahun.

5. Lebih menyakinkan  saya tidak ada seorang pun ahli dan pimpinan Amanah yang keluar parti. Walaupun diserang dari terbit mentari hingga terbit fajar sidiq Amanah mampu bergerak pantas memahat arca siasah negara.

6. Mutakhir ini ada berita yang mengatakan saya sedang berfikir serius untuk kembali ke parti lama saya. Ramai rakan-rakan yang bertanya dan risau dengan berita ini. Saya anggap berita ini ibarat letupan mercun oleh budak-budak kecil dimalam hari raya. Letupan mercun tidak menakutkan cuma kadang-kadang seronok melihat budak-budak walaupun dilarang tetapi curi- curi bermain mercun.

7. Saya sebagai Timbalan Presiden Amanah semakin  sibuk membantu Presiden dan parti Amanah memperkukuh hubungan luar dengan semua segmen dalam masyarakat , NGOs dan  tokoh-tokoh penting negara . Memperkukuh  Pakatan Harapan bersama dengan Gerakan Deklarasi Rakyat akan terus menggempur kezaliman dan ketidakadilan BN demi menyelamatkan negara tercinta ini.

8.  Saya dan rakan-rakan pimpinan yang lain akan buktikan bahawa Amanah adalah parti masa depan generasi muda dan merealisasikan cita-cita Islam adalah Rahmatallillalamin. Biarlah parti lain yang semakin seronok dengan ciri-ciri dan budaya ISIS.

Selamat Hari Raya maaf zahir batin

Salahuddin Hj Ayub
Timbalan Presiden Amanah
4 Syawal 1437/ 8 Julai 2016





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...