TERKINI :

Saturday, July 9, 2016

Adakah #Najib rahsiakan laporan audit #1MDB bagi kekal berkuasa?

Adakah laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB masih dirahsiakan kerana ia akan membawa kejatuhan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, soal pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang.

"Persoalan Najib dan semua menteri kabinet perlu menjawab sama ada pengumuman terbuka laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB akan menyaksikan Najib tidak lagi mampu kekal sebagai perdana menteri dan presiden Umno?

"Adakah ini sebabnya, mengapa Najib sedang bertungkus lumus merahsia dan menyekat bermati-matian laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB?" soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim juga menyoal sama ada laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB telah dikemukakan kepada jemaah menteri atau anggota kabinet.

"Jika demikian, apakah pendirian kabinet mengenainya?"

Siasatan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB telah diklasifikasikan sebagai sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Kandungan laporan itu bagaimanapun, didakwa dibocorkan oleh laman pendedah maklumat Sarawak Report.

Malaysiakini tidak boleh secara bebas mengesahkan sama ada dokumen yang diterbitkan oleh Sarawak Report adalah sahih, dan juga tidak boleh melaporkan kandungannya kerana sekatan undang-undang.

MB Kedah adakan mesyuarat khas Selasa ini berkenaan isu air tak ada..!!

Isu air: MB Kedah pengerusi mesyuarat khas Selasa ini..

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan mempengerusikan mesyuarat khas bagi menangani krisis bekalan air di Kedah pada Selasa ini.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Nahar Tajri berkata mesyuarat itu akan diadakan di Bilik Gerakan, Blok E, Wisma Darul Aman di sini. 

"Mesyuarat berkenaan akan diadakan khas bagi membincangkan tindakan segera jangka pendek dan jangka panjang untuk mengatasi masalah bekalan air di kawasan kawasan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Nahar berkata kerajaan negeri akur dan menyedari isu air adalah antara beberapa isu penting yang menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat terutama pada musim perayaan ini.

"Justeru mesyuarat kali ini adalah amat penting yang akan dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar Kedah dan mungkin akan menghasilkan beberapa keputusan yang jelas untuk mengatasi krisis ini," katanya. - Bernama

Selamat Pengantin Baru Datuk Suraya Yaacob

Agong hadir majlis perkahwinan Datuk Suraya Yaacob

ALOR SETAR - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berangkat ke Dewan Centennial Kolej Sultan Abdul Halim di sini untuk menghadiri majlis perkahwinan Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan dan Usahawan Kedah, Datuk Suraya Yaacob.

Terdahulu majlis akad nikah Suraya dan pasangannya Datuk Zulkifli Ishak yang merupakan ahli perniagaan berlangsung di rumahnya di Lorong Menteri di sini pada pukul 9.45 pagi dengan dihadiri keluarga terdekat.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat tiba di Dewan Centennial pada pukul 12.30 tengah hari.

Turut berangkat ialah Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang juga Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah bersama isteri, Puan Temenggong Kedah, Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff.

Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim turut berkenan menghadiri majlis.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, anggota-anggota exco serta pegawai-pegawai kanan negeri. - Bernama

Portal dedah 'kritikan pedas’ ringkasan audit 1MDB pula

MK ¦ Selaras dengan janji mereka untuk mendedahkan maklumat lanjut mengenai apa yang didakwa sebagai laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, Sarawak Report menerbitkan petikan ringkasan eksekutif laporan itu hari ini.

"Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB ditulis dalam bahasa profesional dan tanpa belas kasihan.

"Bagaimanapun, tidak ada sesiapun yang akan terlepas dengan apa yang ditelanjangkan melalui kritikan dan pandangan tidak bersetuju yang terkandung dalam perenggan-perenggan analisis fakta itu.

"Penelitian ketat ke atas lebih 330 muka surat berhubung bukti yang dibekalkan, Ketua Audit Negara seperti lazimnya, menyediakan 'ringkasan eksekutif’ dengan tumpuan kepada maklumat utama dan perkara untuk diberi perhatian,” petik artikel itu.

Ini adalah artikel ketiga berturut-turut yang disiarkan oleh Sarawak Report sejak Khamis lalu yang mendedahkan maklumat kononnya dari laporan Ketua Audit Negara berserta dokumen penting berkaitan siasatan 1MDB.

Dalam analisisnya terhadap ringkasan eksekutif berkenaanu, laman web yang berpangkalan di London itu berkata, Ketua Audit Negara membentangkan kebimbangannya berhubung beberapa pelaburan yang boleh dipersoalkan dan keputusan pihak pengurusan 1MDB.

Malaysiakini tidak boleh secara bebas mengesahkan sama ada dokumen yang diterbitkan oleh Sarawak Report itu adalah sahih dan tidak boleh melaporkan kandungannya kerana sekatan undang-undang

Khamis lalu, laman web itu mendedahkan bahawa ia telah mendapat "akses meluas" mengenai laporan Ketua Audit Negara yang menyiasat 1MDB serta menerbitkan beberapa maklumat yang kononnya daripada laporan itu.

Ia berjanji akan menyiarkan maklumat lanjut daripada laporan itu pada hari-hari akan datang, dan keesokannya, ia menerbitkan surat kedua yang didakwa adalah daripada Bank Negara Malaysia kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad dilaporkan mengesahkan bahawa pihak polis akan menyiasat perkara berkenaan kerana laporan audit negara itu telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

‘Agong boleh sekat cubaan tutup laporan audit 1MDB’

Berikutan kebocoran apa yang didakwa sebagai laporan ketua audit negara mengenai 1MDB oleh Sarawak Report, seorang profesor undang-undang berkata, perlembagaan tidak memperuntukan kerajaan kebebasan untuk menyekat dokumen itu daripada tatapan orang ramai.

Pakar perlembagaan, Profesor Abdul Aziz Bari berkata, adalah salah bagi kerajaan untuk menggunakan undang-undang lazim seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk menyekat peruntukan perlembagaan seperti laporan ketua audit negara.

Beliau mengingatkan bahawa perlembagaan adalah lebih tinggi kedudukannya berbanding OSA.

"Lihat artikel 106 (2), yang memperuntukkan bahawa ketua audit negara bertanggungjawab untuk memeriksa akaun kerajaan, dan adalah kewajipan ketua audit negara untuk mengemukakan laporan lengkap kepada Yang di-Pertuan Agong, dan Seri Paduka mempunyai tanggungjawab untuk membawanya ke Parlimen untuk pembentangan," katanya dalam satu kenyataan.

"Saya tidak fikir, memandangkan sifat demokrasi perlembagaan, bahawa Agong atau ketua audit negara mahupun parlimen, mempunyai kuasa untuk menghentikan pembentangan.

"Oleh itu, sekiranya terdapat cubaan untuk menyekatnya, maka Agong mempunyai kewajipan untuk memastikan bahawa sebarang sekatan itu dileraikan.

"Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi tidak boleh diperlekehkan," katanya.

"OSA adalah tertakluk kepada perlembagaan. Bukan sebaliknya," katanya.

Lima sebab kenapa BN kekal memerintah negara

ATIRAH HASLI / S.Harian

PUTRAJAYA – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan menyenaraikan lima kelebihan BN yang tidak dapat ditandingi pembangkang.

Kata Sohaimi, kelebihan tersebut bukan sahaja menyumbang kepada faktor kemenangan BN pada pilihan raya sebelum ini, malah jelasnya lagi, ia juga boleh dijadikan posyen kemenangan mereka menjelang PRU14 kelak.

Ujar Sohaimi, penyatuan parti, bangsa, kaum dan agama dalam BN merupakan kunci penting bagi BN dalam melakar sejarah politik tanah air.

Tanpa penyatuan, BN tidak mungkin boleh kekal memerintah dan mengurus tadbir negara dengan baik seperti sekarang.

“Yang kedua, gerak kerja kita konsisten daripada dulu sampai sekarang. Tidak ada perubahan

“Macam pembangkang ini (gerak kerjanya) berubah-ubah. Sekejap macam itu, sekejap macam ini,” katanya ketika ditemui Sinar Online, baru-baru ini.

Katanya lagi, BN juga mampu membela rakyat dan menunjukkan bukti pembelaan tersebut kepada masyarakat dan bukannya janji semata-mata.

Malah katanya lagi, BN juga sangat konsisten dengan apa jua yang disuarakan berbanding dengan pembangkang yang berpecah-belah dan kelam kabut dengan janji-janji mereka.

“Saya nampak kita ada banyak sokongan yang sangat padu daripada seluruh negara. Sokongan juga diberi oleh seluruh parti daripada peringkat tertinggi sehingga ke peringkat akar umbi.

“Pakatan Harapan tidak ada semua itu. Bila kita menamakan seseorang calon yang bertanding dalam pilihan raya, kita konsisten memenangkan calon dan tidak berlaku perpecahan.

"Seperti yang kita semua saksikan, Pakatan Harapan (walau) sesama mereka sekalipun mereka menghentam calon dan tembak-menembak antara satu sama lain,” katanya lagi.

BN baru-baru ini menang besar di kedua-dua kawasan Parlimen dalam pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Calon BN di Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid memperoleh majoriti 6,969 undi pada manakala Budiman Mohd Zohdi meraih majoriti 9,191 undi bagi PRK Sungai Besar.

Ahli Pas yang meyertai fahaman IS akan gugur keahliannya

MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
8 Julai 2016

TUMPAT - Ahli Pas yang meyertai fahaman Islamik State (IS) tidak akan kekal sebaliknya akan membuat keputusan sendiri untuk keluar dari jemaah.

Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz tidak menolak pengaruh IS boleh meresap dalam mana-mana organisasi termasuk Pas, namun mereka tidak kekal dalam parti.

"Pas mengajar Islam yang wasatiah atau sederhana,mana-mana yang langgar konsep ini mereka akan terkeluar.

"Sejarah membuktikan mereka yang tidak boleh mengikut perjuangan Pas akan sendiri berundur dengan sendiri tanpa perlu dipecat," katanya semasa ditemui di Majlis Aidilfitri di kediaman Exco Kerajaan Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi di sini hari ini.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...