TERKINI :

Monday, July 4, 2016

Simpang Siur Halatuju PAS Membuatkan Ramai Penyokong Kecewa....

Oleh Hayar Hassan


Mengikut sejarahnya, PAS ditubuhkan dan diperjuangkan oleh golongan pembaharuan atau reformis Islam di Tanah Melayu seperti Syed Sheikh Al Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin dan Haji Abas Mohd Taha. Nama-nama tersebut mungkin agak asing bagi anak-anak muda generasi baru kita. Menurut Wikipedia, PAS mempunyai idealogi Islamisme, Demokrasi dan Fundamentalisme Islam. Perjuangan PAS adalah untuk memperkenalkan dan mengamalkan cara hidup Islam berdasarkan Al Quran dan Sunnah melalui proses demokrasi dan tetap menurut Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Singkatnya, PAS turut sama berpolitik dalam sistem demokrasi Malaysia dan dalam waktu yang sama turut juga berdakwah memperkenalkan cara hidup Islam kepada seluruh masyarakat majmuk Malaysia.

Awalnya PAS bergerak secara sendirian dengan idealisme keislamannya yang hanya tertumpu kepada orang Melayu yang secara kebetulannya beragama Islam. Kejayaan politik PAS pada waktu itu adalah amat terhad sekali, cuma dapat memerintah Kelantan dan memenangi banyak kerusi di Terengganu. Seiring berlalunya waktu, PAS mula menerima idea untuk berpakat dan pada tahun 1972 telah menerima tawaran Kerajaan Perikatan dan seterusnya bergabung dalam BN mulai tahun 1973 hingga 1978. Kemudian PAS bersendirian lagi untuk 12 tahun . Selepas itu PAS bergabung dalam Angkatan Perpaduan Ummah @ APU mulai tahun 1990 hingga 1996. Keperluan untuk bergabung ini dilanjutkan dalam Barisan Alternatif @ BA (1999 - 2004) dan akhirnya dalam Pakatan Rakyat @ PR (2008 - 2015). Prestasi terbaik PAS sepanjang berpolitik di Malaysia adalah semasa berada dalam Pakatan Rakyat, mempunyai begitu banyak kerusi Parlimen dan DUN selepas PRU ke 12. PAS yang telah berpolitik sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan berjaya mempunyai 23 Ahli Parlimen . Sebelumnya Pas hanya mempunyai 7 orang Ahli Parlimen ! Peningkatan sebanyak 329 %. Di DUN pula PAS berjaya mempunyai 84 ADUN. DAP mempunyai 73 ADUN. PKR mempunyai 40.

Apabila Pakatan Rakyat berkubur pada 16 Jun 2015 , ramai ahli-ahli PAS dan penyokong PR terkejut, kecewa dan keliru apabila PAS bertegas untuk bersendirian ! Apakah ini suatu pendekatan yang betul dan wajar? Ramai yang mengeleng kepala dan berkerut dahi ! Apakah PAS kini berada di landasan yang tepat dan betul ? Bukankah ini seperti kembali kepada awal tahun 60'an, berundur ke belakang ? Ramai orang berpendapat bahawa PAS telah masuk perangkap UMNO/BN dalam usaha BN memporakperandakan PR. Itulah yang amat dinanti-nantikan oleh BN. Usaha halus mereka selama ini telah membuahkan hasil. " Buah dugheyan udah gugur Yeop , beduit le kume ! ", kata orang Perak . Dasar Pecah Dan Belah UMNO/BN telah berjaya !

Ramai ahli-ahli PAS dan penyokong PR khususnya di Pulau Pinang terkejut besar apabila diberitahu bahawa lebih daripada 1,000 aktivis PAS terpaksa melepaskan jawatan-jawatan yang diperuntukkan kepada mereka oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, walau pun PAS hanya mempunyai seorang ADUN dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ! YB Dato' Saleh Man , ADUN Permatang Pasir dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Pulau Pinang. Di samping itu Ustaz Afnan Hamimi Bin Dato Taib Azamuddin, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat dan Ustaz Rushidi Husin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dilantik sebagai Ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Ramai daripada aktivis-aktivis PAS dilantik dalam JKKK Negeri dan agensi-agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Buat pertama kalinya, banyak daripada AJK Qaryah mesjid-mesjid di Pulau Pinang dikuasai oleh orang-orang PAS. Sebagai contoh, Haji Omar Hassan, YDP PAS Kawasan Permatang Pauh telah dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai. Di samping itu juga beliau dilantik sebagai Pengerusi Qaryah Masjid Jamek Seberang Jaya. Masjid ini amat terkenal kerana ianya sering disinggahi oleh orang-orang ramai yang menggunakan PLUS semasa bermusafir. Alhamdullilah, dibawah kepimpinan Haji Omar Hassan, masjid ini lebih terurus dari sudut kebersihan dan kelas-kelas pengajian.

Tenaga pengajar kuliah-kuliah pengajian di seluruh masjid-masjid Pulau Pinang adalah terdiri daripada Ustaz-Ustaz PAS daripada Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Masjid-masjid telah diimarahkan dengan begitu baik. Anak-anak jemaah tidak perlu lagi keluar daripada qaryah untuk menimba ilmu agama Islam. Waktu zaman BN dahulu, hanya Masjid Batu, Permatang Pauh sahaja yang menampong pengajian ustaz-ustaz PAS. Dengan berada dalam Kerajaan PR di Pulau Pinang, banyak manafaat yang telah dinikmati oleh PAS. Di bandingkan dengan DAP Kelantan, cuma 3 orang aktivis DAP diperuntukkan jawatan oleh Kerajaan PAS Kelantan pimpinan Almarhum TGNA. DAP Kelantan tahu diri, mereka tidak riuh rendah menuduh Kerajaan Kelantan mengenepikan mereka. Melihat kepada realiti politik Pulau Pinang, keputusan PAS Pusat untuk membawa diri jauh daripada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat adalah suatu kesilapan besar. Dakwah Islam yang cuba dibawa oleh aktivis-aktivis PAS Pulau Pinang telah menemui jalan buntu. Orang Islam dan Agama Islam di Pulau Pinang memang banyak dirugikan. Sedih dan kecewa sekali apabila mengenangkan bahawa ianya terjadi kerana pimpinan PAS Pusat tidak bijaksana, terpedaya dan gagal dalam membaca tipu muslihat UMNO/BN.

Mungkin orang-orang Islam di luar Pulau Pinang tidak tahu bahawa masih banyak Sekolah-Sekolah Agama Islam Pulau Pinang masih mampu bertahan semenjak sebelum merdeka lagi. Kalau di negeri-negeri lain, banyak daripada sekolah-sekolah tersebut sudah berkubur. Pondok Al Khairiah di Pokok Sena, Tasek Gelugor, Pondok Al Masriyah Bukit Mertajam, Pondok Manabil Ulum, Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pondok Padang Lalang, Bukit Mertajam, DMW Kepala Batas adalah antara sekolah-sekolah Agama Islam yang begitu masyhur awal tahun 60'an telah dinaikkan taraf menjadi sekolah-sekolah menengah pendidikan Islam moden. Akhir-akhir ini Pusat-Pusat Tahfiz telah banyak diwujudkan umpama suburnya cendawan selepas hujan. Di Kampong Pelet, sebuah kampong kecil di Kubang Semang Bukit Mertajam pada waktu ini telah mempunyai 3 buah Pusat Tahfiz! Ini adalah suatu rekod yang tidak banyak orang tahu.

Fenomena ini adalah kerana kesedaran beragama masih kuat di Pulau Pinang di kalangan orang-orang Islam. Apatah lagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah PR banyak menyalurkan bantuan-bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah agama. Hatta para hufaz pun diberikan elaun . Tidak berlaku untuk negeri-negeri lain. Sayangnya pucuk pimpinan PAS Pusat pada waktu ini tidak menyedari perkara-perkara ini. Almarhum TGNA mungkin menyedari akan hal ini kerana beliau lebih kerap ke Pulau Pinang, jika dibandingkan dengan TGHH. Namun begitulah yang terjadi, pucuk Pimpinan Pas Pusat sekarang ini lebih memilih untuk mesra dengan UMNO/BN daripada rakan-rakan yang sama-sama susah dalam PR dahulu !

Dalam diam, banyak aktivis PAS Pulau Pinang merasakan kerugian atas tindakan pucuk pimpinan PAS keluar dari PR. Langkah PAS pusat keluar dari PR adalah suatu kesilapan, terburu-buru dan tidak mengambil kira realiti politik negeri-negeri di Pantai Barat Malaysia. Orang-orang PAS dirugikan. Lantaran itu, masyarakat sudah kecewa dengan PAS dan TGHH sendiri sudah tidak disegani lagi ! TGHH mungkin seorang ilmuan agama Islam yang tinggi ilmunya, tetapi bukan lah seorang politikus yang hebat, naif terhadap tipu muslihat musuh-musuh politik PAS dan PR. Sentuhan-sentuhan TGHH sering kali kurang tepat dan banyak menguntungkan UMNO/BN .

Dari sudut lain pula, PAS dilihat gagal dalam memberikan tarbiah akhlak mulia Islam kepada ahli-ahlinya. Masih ramai lagi ahli-ahli PAS dan juga segelintir pimpinan PAS yang tidak dapat meninggalkan tabiat merokok, walau pun merokok itu telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia. Dalam isu meninggalkan tabiat merokok ini jemaah Islam lain seperti ABIM, IKRAM, NGO-NGO Islam dan Jemaah Sunnah lebih berjaya dalam mentarbiah ahli-ahli mereka meninggalkan tabiat buruk ini. PAS juga dilihat gagal melahirkan pendakwah-pendakwah , penceramah-penceramah yang berakhlak mulia dan dihormati oleh masyarakat. Dalam dunia serba canggih ini, penuntut-penuntut ilmu mahukan kuliah-kuliah agama yang berkualiti, berlandaskan nas-nas Al Quran dan Hadith-Hadith yang sohih, bukan saranan-saranan yang tidak berasas, berbau bid'ah dan tidak menepati ajaran-ajaran Rasulullah SAW dan amalan-amalan Salafussoleh. Dalam zaman serba canggih ini, dimana maklumat-maklumat boleh diperolehi hanya di hujung jari, orang ramai berkeupayaan menyemak semula apa-apa yang disampaikan oleh ustaz dan penceramah.

Contoh penyampaian tazkirah buruk yang telah disampaikan oleh seorang penceramah PAS baru-baru ini, adalah oleh Ustaz Shaharuddin Ibrahim, YDP PAS Kawasan Padang Serai Kedah. Tazkirah beliau yang tidak tepat telah mengundang bantahan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Isi tazkirah yang tidak benar dan berunsurkan fitnah telah menimbulkan masaalah kepada penceramah tersebut. Beliau hampir menghadapi tindakan mahkamah daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Akhirnya beliau terpaksa memohon maaf secara terbuka ! Begitu juga yang terjadi kepada Ustaz Abdullah Khairi, seorang penceramah PAS yang juga terpaksa memohon maaf kepada keluarga Presiden PAN, Haji Muhammad Sabu atas perkataan biadap nya sewaktu berceramah di PRK Kuala Kangsar baru-baru ini.

Demikianlah kecelaruan-kecelaruan yang telah ditimbulkan oleh PAS dan ahli-ahlinya akhir-akhir ini. Masyarakat ternyata sudah kurang tertarik terhadap rentak politik yang dibawa oleh PAS. Ceramah dan aktiviti-aktiviti PAS sudah kurang menarik. Ianya hanya dihadiri oleh penyokong-penyokong tegar PAS sahaja. Pimpinan PAS perlu berlapang dada dan bermuhasabah diri , mencari kesilapan -kesilapan yang lalu. Masih tidak terlewat untuk PAS berubah supaya parti yang telah lama wujud ini masih tetap relevan di pentas politik di tanah air tercinta ini. Ulamak besar Imam As Shafie juga ada berpesan di bahagian akhir kitabnya Al Umm, mafhumnya " Jika terdapat hadith-hadith yang sahih, maka lemparlah pendapatku ke dinding, jika engkau melihat hujah diletakkan di atas jalan , maka itulah pendapatku ".

Hayar Hassan

Parti Amanah Negara: Si Kuning Dan Merah Yang Dilupakan

oleh M. Faiz Ahmad

http://ilhamcentre.com/wp-content/uploads/2015/11/parti_amanah_negara.jpg
Saya memiliki harapan yang meninggi terhadap Parti Amanah Negara (P.A.N). Ini kerana setelah sekian lama, saya mendapati terdapat lompang kosong dalam perjuangan siyasah di negara Malaysia yang tercinta ini.

Apa yang dicatat ini merupakan aspirasi dan impian saya, yang mungkin tidak penting dan tidak terlintas dalam pemikiran barisan pemimpin (PAN) atau ya, memang ada, cuma tidak diterjemahkan lagi. Dan, saya tidak boleh nafikan bahawa setiap kali saya meniti huruf PAN, akan terdetik di fikiran istilah PAN-ISLAM (Perpaduan seluruh Umat Islam yang amanah, islah/progresif dan ihsan/peduli, semestinya).

Sebagai seorang Melayu berbangsa Malaysia, saya bersyukur atas nikmat negara merdeka (mim ra dhal kaff) di atas bumi Malaysia (Mim lam-alif sim ya alif).

Sebagai seorang Melayu seperti anak-anak Melayu yang lain, saya dididik dengan bibit-bibit perjuangan. Salah satu tema yang amat masyhur dikalangan orang Melayu adalah perjuangan Alif-Baa-Taa (Agama-Bangsa-Tanah Air). Konsep ini begitu masyhur sehingga sering digunakan untuk menaikkan semangat perjuangan anak-anak bangsa, baik dalam ruang siyasah (politik) mahupun iktisad (ekonomi).

Begitu juga, sudah sekian maklum masyhur bahawa warna yang digunakan untuk mewajahkan konsep didikan ini adalah Hijau-Kuning-Merah. Hijau merujuk Agama, Kuning merujuk Bangsa dan Merah adalah Tanahair.

Simbol melalui warna-warna ini ternyata sangat memberi kesan yang mendalam bagi anak-anak Melayu Malaysia. Namun dari segi pemahaman dan tafsiran, ianya boleh jadi merujuk pola rakyat Malaysia (atau susunlapis ahli dalam mantan harakah pilihan) kita iaitu, Ulama-Profesional (bukan ulama’)-Umum (rakyat Malaysia) ataupun juga ulama, muslim (sebangsa dan seagama) dan bukan-muslim (rakan-rakan bukan seagama -sebangsa di tanah air negara Malaysia!).
Namun, ternyata mantan harakah pilihan sebelum ini sudah terlalu asyik masyuk dengan kehijauannya semata-mata. Sehingga merasakan bahawa perjuangan Alif Baa Taa itu cuma ada alif atau hijau sahaja lantas mengabaikan yang kuning dan yang merah.

Walhal adalah menjadi AMANAH para pemimpin harakah pilihan sebelum ini agar tidak terlupa tentang wasiat dan nasihat mantan pemimpin-pemimpin terdahulu. Ataupun tidak terus melupakan konsep tradisi ini bahawa setiap perjuangan tidak boleh tidak, harus berdiri seiringan baik hijau, KUNING, MERAH dalam mencapai impian dan wawasan yang ingin dicapai.

Namun, ianya telah tertulis seperti yang kini dialami, demi memberi pengajaran dan peringatan kepada kita umat Islam di tanah bertuah Malaysia ini.

Maka, kumpulan yang KUNING dan yang MERAH ini telah memilih untuk berhijrah dan berjuang dalam wadah mereka tersendiri demi memartabatkan kembali perjuangan Alif-Baa-Taa ini. Demi untuk bersua kemakmuran, kesenangan dan keharmonian buat bumi Malaysia tercinta ini.

Justeru maka bercampurlah warna kuning dan warna merah lebur dalam cawan parti siyasah baharu lantas menerbitkan warna JINGGA (OREN)- P.A.N.

Justeru saudara-saudaraku, ayuhlah kita bersatu bangun dengan wadah baru ini, maju memacu perjuangan dalam membela agama-bangsa-tanah air di Malaysia dengan wadah Islam progresif nan inklusif dari kumpulan yang terabaikan oleh kelompok hijau yang terlajak ayik masyuk bercinta dengan hijaunya. Kerana kita juga yang berdiri di bawah arus jingga (kuning+merah) tetap berjuang di atas dasar cinta tetapi cinta yang sedar diri, cinta yang terus membara demi menyelamatkan tanah air tercinta, bumi bertuah Malaysia!

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
M. Faiz Ahmad - Teratak Alif Ba Jim Dhal, Jitra.

Kenyataan ekstrem Mufti Pahang: Mana wasatiyyah Najib?


Saya percaya semua dalam kalangan kita yang mencintai keamanan di sebuah negara pelbagai kaum dan agama tidak ada menerima kenyataan keras yang dikeluarkan oleh Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman tentang parti DAP. Kenyataan itu boleh difahami sebagai gesaan supaya bertindak keras hingga pertumpahan darah.

Walaupun dalam banyak perkara saya sangat bertentangan dengan DAP khususnya melibatkan orang Melayu dan agama Islam tetapi saya menolak kenyataan Mufti Pahang supaya kita "memerangi" kafir harbi dalam DAP. Gesaan ini sangat bahaya dalam negara pelbagai kaum dan agama seperti Malaysia.

"Kita dapat lihat DAP begitu menentang pelaksanaan hukum hudud dan Rang Undang-undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016. Prinsip mereka jelas membenci Islam dan berdosa besar bagi umat Islam bekerjasama dengan mereka. Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam untuk berbaik-baik dengan golongan bukan Islam. Namun jika mereka yang mahu menentang Islam, kita wajib memeranginya,” kata beliau kepada media baru-baru ini.

Sebenarnya hudud yang diperjuangkan oleh Pas bukan sahaja ditentang oleh DAP malah UMNO sendiri menentang hudud sebelum ini (sebelum UMNO berbaik-baik dengan Pas). Adakah ini membawa maksud UMNO juga wajib diperangi? Kenapa semasa UMNO menentang hudud kenyataan supaya memerangi UMNO tidak dikeluarkan?

Kalau diterbalikkan, gesaan Mufti Pahang itu seolah-olah mahu orang Islam melakukan sebagaimana orang Buddha berbuat kejam ke atas etnik Rohinya di Myanmar sekarang ini. Adakah ini yang kita mahukan? Adakah pengalaman pahit 13 Mei 1969 belum cukup mengajar kita tentang pertumpahan darah?

Hasutan Mufti Pahang sebenarnya jauh lebih bahaya daripada beberapa individu yang ditahan di bawah Akta Hasutan. Adakah ini membayangkan Mufti Pahang akan terlepas begitu sahaja?

Sepatutnya beliau tidak mengeluarkan kenyataan berbaur politik kerana kedudukan sebagai seorang agamawan adalah menyeru kepada keamanan. Tambahan pula setakat ini tidak ada kenyataan yang menyanggah daripada pemimpin UMNO termasuk Perdana Menteri, Najib Razak. Saya percaya ini lebih kepada kenyataan politik daripada seorang agamawan.

Apa sudah jadi dengan konsep wasatiyyah (kesederhanaan) yang dijaja oleh Najib apabila Najib berdiam diri dengan kenyataan yang sangat bahaya seperti ini? Wayang apakah yang sedang dimainkan di sebalik wasatiyyah? Adakah wasatiyyah tidak lebih satu modal politik tetapi tidak diamalkan apabila ada yang melanggar konsep wasatiyyah berkenaan?

Secara terang-terang kenyataan Mufti Pahang bertentangan dengan konsep wasatiyyah. Kenyataan Mufti Pahang sangat ekstrem. Apabila kenyataan ekstrem dan bahaya ini tidak dibantah oleh UMNO dan Najib, jelaslah wasatiyyah tidak lebih satu "branding" politik semata-mata. Sehingga hari ini belum ada kenyataan daripada polis untuk menyiasat Mufti Pahang. Adakah polis juga tidak menganggap "remark" mufti ini tidak mendatangkan mudarat kepada negara?

Posted by ku_seman

Kepala tok dia, kata balu seniman negara kepada Ku Nan

KUALA LUMPUR: Balu bekas Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Syed Jamal hari ini berang dengan kenyataan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menganggap arca Puncak Purnama menyakitkan mata.

Menteri Wilayah Persekutuan itu turut berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terpaksa merobohkan arca hasil seni Syed Ahmad itu kerana sudah usang dan tidak dapat diperbaiki lagi.

“Bila saya dengar menteri cakap ia sudah tidak boleh diperbaiki, kepala tok dia,” kata Datin Hamidah Mohd Noor.

Arca dihasilkan suaminya pada 1986 tidak menganggu mana-mana pihak, kata Hamidah, malah ia tidak menyakitkan hati dan mata seperti yang didakwa Adnan.

“Sewaktu arca tersebut hendak dibina, apabila kita pergi ke Singapura, orang luar negara bersungguh-sungguh membantu kerana ia dibina untuk negara.

“Tapi orang kita pula tidak hargai dan runtuhkan pula ia. Kalau tidak faham makna arca tersebut itu jangan jatuhkan karya orang lain,” katanya pada sidang media di Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), hari ini.

Arca Puncak Purnama dibina dengan kaca seramik yang dibangunkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) pada 1986, hasil kerjasama Kedutaan USA dan Wisma Putra.

Strukturnya ditukar ke besi tanpa karat pada 1996. Arca tersebut dibina bagi memperingati manusia menjejak kaki ke bulan.

Hamidah berkata tindakan DBKL meruntuhkan arca itu begitu merobek hatinya.

“Kalau hendak ikutkan sedih, saya sedih yang amat sangat. Kerana kita tidak dapat atau datangkan semula air tangan dia,” ujarnya.

Jumpa Najib

Anak Syed Ahmad, Syed Nabil Syed Ahmad Jamal, berkata tindakan merobohkan arca itu seolah-olah menghancurkan legasi seni bapanya.

“Apabila dia masih hidup, dia diangkat sebagai seorang seniman negara, tetapi bila dia arwah orang hancurkan legasi dia,” katanya.

gamba
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Mahadzir Lokman bercadang bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan DBKL bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

Beliau juga berkata badan itu akan menyokong penuh kepada ahli keluarga sekiranya mereka mengambil tindakan undang-undang.

“Ia juga bagi memberi pengajaran agar karya-karya seni ini dapat dijaga dan dipelihara,” katanya.

Adnan sebelum ini berkata DBKL menerima rungutan orang awam berhubung arca berkenaan.

Mohd. Shafie Apdal umum keluar UMNO

RODELIO JUNJUN TAUCAN
04 Julai 2016 2:12 PM

SEMPORNA 4 Julai - Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengumumkan keluar daripada parti UMNO.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat berikutan tindakan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang menggantung keahliannya minggu lalu.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...