TERKINI :

Tuesday, June 28, 2016

Benarkah BN begitu kuat sekarang?

Benarkah BN begitu kuat sekarang?

MUHAMAD MAT YAKIM
28 Jun 2016

Adakah Muhyiddin, Mukhriz dan Mohd Shafie akan berkolaborasi dengan pembangkang untuk terus memperjuangkan agenda mereka menentang Najib?

PETUNJUK bahawa pimpinan Umno kini berada pada tahap keyakinan diri yang amat tinggi adalah tindakan memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dibuat dalam tempoh tidak sampai seminggu selepas BN menang besar PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Bagi menyerlahkan lagi sikap itu, mereka turut menggantung keahlian Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Tanpa keyakinan diri yang tinggi, Umno tidak akan berani melakukan tindakan seperti itu kerana ketiga-tiga pemimpin berkenaan diketahui mempunyai pengaruh yang kuat, di dalam dan luar parti. Ini seakan mengiyakan andaian bahawa Umno/BN berada pada tahap yang cukup kuat sekarang berdasarkan keputusan PRK berkenaan.

Soalnya, adakah BN sudah benar-benar kuat? Adakah keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar cukup untuk dijadikan indikator penerimaan rakyat terhadap BN yang boleh dibawa hingga PRU14?

Adakah pola pengundian dan geopolitik Sungai Besar, juga Kuala Kangsar sesuai dijadikan model untuk seluruh negara hingga membuatkan pemimpin Umno/ BN yakin parti itu kini berada pada kedudukan yang cukup mantap untuk mengekalkan pemerintahan?

Seorang ketua Umno bahagian sehari selepas pilihan raya itu, terang-terangan menolak andaian bahawa perpecahan undi propembangkang jadi faktor kemenangan BN. Sebaliknya kata beliau, kemenangan itu disebabkan BN sememangnya kuat dan kembali diterima rakyat. Dan satu lagi kenyataan wajib: "Mereka sudah muak dengan propaganda pembangkang!"

Untuk sesetengah perkara, pandangan itu boleh diiyakan tetapi untuk mengatakan BN telah benar-benar kuat, masih boleh dipersoalkan.

Apa yang paling munasabah untuk diperkatakan ialah bukan BN yang kuat tetapi kucar-kacir yang berlaku dalam blok pembangkang cukup memberikan BN kelebihan dalam situasi sekarang.

Sebenarnya, banyak faktor yang mempengaruhi keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Perpecahan undi propembangkang secara terang lagi jelas telah 'membantu' kemenangan besar BN.

Dalam siaran langsung TV1 pada hari penamaan calon, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata seseorang tidak perlu jadi penganalisis politik untuk menjangkakan BN akan menang mudah di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, melainkan jika berlaku sesuatu yang luar biasa.

Apabila dua parti pembangkang, Pas dan Amanah masuk bertanding, sudah tentu undi menentang BN terpecah. Apatah lagi sepanjang tempoh kempen, kedua-dua parti dilihat lebih memberi tumpuan untuk menyerang sesama sendiri berbanding usaha melawan BN. Ini sudah pasti memberikan kelebihan kepada BN.

Selain itu, pemilihan calon yang tepat juga amat mempengaruhi keputusan. Di Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi dikira cukup menepati kriteria winnable candidate. Pada PRU13, Budiman menang kerusi Dun Sungai Panjang dengan majoriti 2,183 undi. Ini jadi bekalan mantap baginya untuk menghadapi PRK kerana telah sedia mempunyai deposit sokongan yang kuat.

Wanita

Selain itu, Budiman juga dikenali sebagai wakil rakyat yang mengamalkan pendekatan strategik dalam memenangi hati pengundi berdasarkan latar belakangnya sebagai lulusan sarjana komunikasi dan juga bakal siswazah doktor falsafah dalam bidang sains politik.

Dalam pada itu, sejak dipilih menjadi wakil rakyat tiga tahun lalu, beliau telah meningkatkan usaha mendekati penduduk Cina yang tidak menyokongnya pada PRU13, Sejak itu, perhatian kaum Cina terhadapnya semakin meningkat dan itulah hasil yang diperolehinya pada PRK ini.

Di Kuala Kangsar, faktor calon tidak boleh diketepikan meskipun Datin Mastura Yazid hanya berkempen dari rumah disebabkan masih dalam tempoh iddah. Bagaimanapun, inilah yang dipercayai mendorong beliau mendapat banyak undi simpati terutama kematian suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad adalah berkait dengan tragedi.

Selain itu, Wan Mohammad Khair-il Anuar juga dikenali sebagai wakil rakyat yang digemari. Selain sebagai ahli Parlimen, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Adun Bukit Chandan dan sepanjang tempoh itu, Mastura sering mengiringi suaminya dalam program turun padang. Justeru, Mastura bukanlah orang asing bagi penduduk Kuala Kangsar.

Di Kuala Kangsar, seramai 17,002 atau 51.6 peratus daripada jumlah keseluruhan 32,949 pengundi adalah wanita. Penduduk Kuala Kangsar juga sememangnya sudah lama menerima wanita sebagai pemimpin. Bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz adalah ahli Parlimen kawasan itu selama tujuh penggal (1982-2008) sebelum digantikan Wan Mohammad Khair-il.

Jika Mastura mempunyai kelebihan untuk mendapat undi wanita terutamanya, anak-anak beliau, Wan Emir Astar, 26; Wan Imar Izzat, 25; Wan Iskandar, 23, dan Wan Mohamad Amar, 19, yang aktif turun berkempen untuk ibu mereka pula berjaya mencuri perhatian golongan muda. Mereka memainkan peranan penting menarik undi golongan itu.

Sepanjang tempoh kempen, didapati tidak ada poster atau sepanduk Datuk Seri Najib Tun Razak di Sungai Besar. Di Kuala Kangsar pun begitu juga. Adakah ini petanda BN sendiri meragui imej dan persepsi terhadap Najib akan mempengaruhi pengundi?

Amanah juga dalam sepanduknya cuba mengaitkan Budiman dengan Perdana Menteri menerusi kempen 'Tolak calon Najib, pilih calon Amanah'. Berkempen tanpa poster Orang No. 1 parti bukan sesuatu yang biasa dalam pilihan raya. Ini pun sesuatu yang menghairankan juga!

Kejutan

Mengenai keputusan yang di luar jangkaan, sistem pilihan raya kita menetapkan majoriti dikira berdasarkan perbezaan undi diperoleh calon menang dengan calon yang mendapat undi kedua terbanyak.

Dalam konteks Sungai Besar, calon Amanah, Azhar Abdul Shukur di tempat kedua selepas Budiman. Justeru, perbezaan antara keduanya, 9,191 undi dikira sebagai majoriti.

Dengan itu, undi diperoleh calon Pas, Dr. Abdul Rani Osman tidak masuk dalam perkiraan. Inilah yang menjadi petunjuk jelas perpecahan undi propembangkang telah membesarkan angka majoriti. Meskipun dicampur undi dua calon pembangkang itu, Budiman masih menang besar, 2,289 undi.

Keupayaan Budiman memperoleh majoriti yang begitu besar mengikut hujah penganalisis adalah bersabit dengan kembalinya sebilangan pengundi Cina mengundi BN di Dun Sekinchan. Sekinchan adalah kubu kuat DAP. Bagaimanapun perolehan undi menunjukkan ada pengundi Cina dari kawasan itu mengundi BN pada PRK lalu.

Ada dua faktor yang berkaitan. Pertama, kejayaan kerajaan membawa balik dua nelayan dari Bagan Sekinchan, Chua Lee Teck dan Heng Chee Yong yang ditahan pihak berkuasa Indonesia sejak 3 Mac, telah menjadi faktor sentimental untuk sebilangan pengundi Cina Sekinchan berpaling tadah. Kedua-duanya selamat kembali pada petang 16 Jun, dua hari sebelum pengundian.

Kedua, pengundi Cina lazimnya mengambil kira advantage atau kelebihan yang akan mereka peroleh menerusi sesuatu pilihan raya. PRK lalu tidak mengubah kerajaan. Pada masa yang sama berbagai tawaran dihulurkan kerajaan kepada mereka.

Justeru, tidaklah menghairankan jika mereka memilih BN baru-baru ini bagi memastikan apa yang ditawarkan itu mereka perolehi. Bagaimanapun pada pilihan raya umum akan datang, mereka mungkin akan kembali mengundi parti pembangkang untuk mengekalkan kuasa memerintah negeri di tangan PKR dan DAP.

Selain itu, faktor peratusan keluar mengundi yang rendah turut mempengaruhi keputusan.

Di Sungai Besar, peratusan keluar mengundi hanya 74.4 peratus berbanding 88 peratus pada PRU13 manakala Kuala Kangsar, 71.4 peratus berbanding 84.3 peratus. Ini lebih rendah berbanding jangkaan 75 peratus oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Peratusan yang rendah terutama di Kuala Kangsar dipercayai melibatkan pengundi Islam di luar kawasan yang mungkin berasa tidak berbaloi untuk mereka balik mengundi sedangkan mereka akan pulang untuk berhari raya pula dalam tempoh masa kurang lebih dua minggu sahaja.

Bagaimanapun di Sungai Besar, perangkaan yang lebih tinggi mungkin bersebab jarak kawasan itu dengan Kuala Lumpur yang tidak begitu jauh memungkinkan pengundi balik mengundi dan berbuka puasa bersama keluarga sebelum kembali semula ke tempat mereka pada hari yang sama.

Sebagai kesimpulan, BN tidak boleh terus bersorak dengan kemenangan besar pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Lebih membahayakan jika kemenangan itu seakan memberi ruang untuk mereka melakukan tindakan yang sukar diterima rakyat ataupun yang boleh memecahbelahkan lagi parti.

Pemimpin di peringkat pertengahan juga seharusnya menyalurkan maklumat secara jujur kepada pucuk pimpinan agar pemimpin di atas mendapat maklumat yang tepat, bukan teori plastik yang sekadar menyedapkan hati tetapi lari daripada realiti.

Ada syaratnya jika 3M - Mahathir, Muhkriz & Muhyiddin mahu menyertai AMANAH

Ada syarat jika Amanah mahu terima Dr M
RAZIATUL HANUM A.RAJAK
28 Jun 2016

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2016/06/mahathir-mukhriz-muhyiddin.jpg
‎SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menyatakan kesediaannya membuka pintu untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dipecat dari Umno Jumaat lalu demi menyelamatkan negara.

Namun Naib Presidennya, Hasanuddin Mohd Yunus berkata, kesediaan pihaknya itu bersyarat .

"‎Amanah bukan hanya sekadar boleh terima dan pertimbangkan permohonan keahlian daripada Tan Sri Muhyiddin, Datuk Mukhriz, malah Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Mahfuz Omar sendiri ke dalam Amanah dengan syarat mereka memahami falsafah perjuangan parti kita.

‎“Kami nak bina negara yang dirahmati dan memberi kesejahteraan kepada semua, bina suasana kasih sayang sesama rakyat Malaysia, membina kehidupan yang murni serta mengelakkan rakyat hidup berpura-pura dan curiga-mencurigai dari segi perkauman.

‎“Kita juga nak membanteras bagaimana negara diurus dalam keadaan pecah amanah, rasuah ketirisan, pembaziran, pembohongan dan menyusahkan rakyat. Kalau mereka memahami falsafah yang ada dalam Amanah ini, bila-bila sahaja kami bersedia untuk memproses keahlian mereka,” katanya kepada Sinar Online.

‎Semalam, penganalisis politik berpendapat pilihan yang terbaik untuk Muhyiddin dan Mukhriz ialah menyertai Amanah dan parti tersebut perlu melakukan penstrukturan semula untuk menerima sebilangan besar ahli-ahli Umno yang menyokong Tun Mahathir serta dua pemimpin tersebut.

‎Menurut Hasanuddin lagi, sekiranya mereka masih belum bersedia bersama Amanah, sekurang-kurangnya pemimpin-pemimpin itu bersedia bekerjasama dengan Amanah dalam Pakatan Harapan untuk menyelamatkan negara.

‎“Memahami di mana mereka ini lebih menekuni isu dalam negara sebab mereka pernah berada dalam saf kepimpinan negara. Mereka tahu apa yang berlaku dan mereka sendiri bercita-cita untuk selamatkan dan membaiki negara. Jadi, tidak ada sebab untuk parti amanah tidak bersama dengan mereka.

“Apa yang penting, kami dapat memanfaatkan mana-mana rakyat Malaysia bukan empat orang ini sahaja. Malah teman-teman daripada ahli Umno, Pas, MCA, MIC, PBB di Sabah Sarawak dan sebagainya.

‎“Sekiranya mereka merasa parti mereka sudah tidak jelas lagi, keliru dengan hala tuju parti mereka, mereka boleh beramai-ramai bersama dengan kami,” katanya.

Menyentuh soal tanggapan orang ramai di mana keempat-empat pemimpin itu pasti diberi kedudukan dalam parti sebaik penyertaan mereka, Hasanuddin menegaskan jawatan bukan isunya.

‎“Yang penting di sini bukan jawatan dalam parti tapi kita akan bukakan gelanggang seluas-luasnya untuk sesiapa sahaja untuk selamatkan negara.

‎“Sudah pasti kami akan aturkan peranan Tun Mahathir yang telah berusia tapi masih sanggup berjuang...sudah tentu kita akan sediakan ‘tempat’ yang sesuai untuk dia. Tak mungkin kita nak lantik jawatan-jawatan yang tidak sesuai dengannya,” katanya.

Pasca selepas 2 PRK : Di Antara Pemulangan Kerusi dan Pemulangan Semangat Setia Kawan

Antara pengajaran utama yang tidak dapat dinafikan dari pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah bahawa kerusi yang dimenangi mana-mana parti komponen PR pada pilihan raya 2013 telah dimenangi atas sebab sokongan rakyat terhadap PR.

Ianya TIDAK dimenangi atas sokongan terhadap parti tersebut semata-mata dan oleh itu, setelah dimenangi, semua pihak seharusnya bertindak berdasarkan semangat PR dan bukan atas semangat parti masing-masing. Ini merupakan satu perkara yang jelas dan nyata tetapi ada juga yang sengaja cuba buat tidak faham atau seolah tidak penting.

Dalam erti kata lainnya, PAS menang atas sebab sokongan terhadap PR sebagaimana juga DAP dan Keadilan. Oleh itu tiada ‘kerusi PAS’ atau ‘kerusi Keadilan’ atau ‘kerusi DAP’ tetapi sebaliknya semua adalah kerusi PR.

Kebenaran kenyataan ini adalah disokong dengan fakta bahawa walaupun semua bertanding dengan logo parti masing-masing tetapi Manifesto PR digunapakai oleh setiap calon samada dari PAS, Keadilan mahu pun DAP. Hanya yang berkepentingan dan mempunyai agenda tersembunyi sahaja yang akan cuba menafikan kebenaran kenyataan ini.

Saya ingin menegaskan perkara ini kerana ada yang masih beranggapan bahawa kerusi Parlimen Shah Alam adalah ‘kerusi PAS’. Pada hari mengundi pilihan raya kecil di Sungai Besar saya telah bertemu seorang petugas PAS. Selepas saling mengucap salaam beliau terus bertanya “Bila YB nak pulangkan kerusi PAS?” Saya pun tersenyum sambil menjawab, “mana ada kerusi PAS?”.

Jika berdasarkan kekuatan PAS semata-mata, sudah hampir pasti tiada pihak yang akan memenangi kerusi Parlimen Shah Alam, kecuali BN. Keputusan di Sungai Besar jelas sebagai bukti terhadap kebenaran dakwaan ini.

Pada pilihan raya kecil ini, jumlah undi yang diperolehi PAS adalah hanya 6,902 undi, kurang dari apa yang diperolehi PAS pada 2004 iaitu sebanyak 7,988 undi! Ini bererti prestasi baik PAS di Sungai Besar pada 2013 apabila PAS kalah dengan hanya 399 undi berbanding BN adalah di atas dasar PAS telah bersama PR.

Kalau digunakan Sungai Besar sebagai ukuran, maka ini bermakna keputusan 2004 akan juga berulang di Shah Alam apabila saya sebagai calon PAS pada tahun itu telah kalah dengan majoriti BN melebihi 13,000 undi. Tetapi apabila bersama BA+DAP pada 2008 dan PR pada 2013, maka majoriti BN sebanyak 13,000 undi itu telah berjaya dilenyapkan dan kemenangan tercapai dengan majoriti melebihi 10,000 undi pada dua-dua pilihan raya umum tersebut.

Oleh yang demikian, sebagai seorang ‘pejuang Islam’, biarlah kita bercakap benar. Siddiq adalah sifat Nabi (SAW) dan ianya perlu dicontohi setiap Muslim, apatah lagi seorang ‘pejuang Islam’. Biarlah bersedia mengakui bahawa kerusi Shah Alam sebagai contoh, sepertimana juga kerusi yang lain yang dimenangi sebagai komponen PR pada 2013 telah berjaya dimenangi di bawah PR dan bukan di atas dasar ‘kekuatan’ parti masing-masing sahaja.

Apabila difahami perkara tersebut dan mengakuinya maka perlu juga diakui bahawa atas sebab itu perlu digunakan kemenangan dan kedudukan sebagai YB dan kerajaan, mengikut kehendak PR dan bukan atas kehendak parti masing-masing.

Jika melihat dari satu sudut, menggunakan kedudukan mengikut kehendak parti, setelah menang di bawah PR adalah pengkhianatan sebenar! Sepatutnya berpegang kepada janji yang telah disepakati bersama dan mengurus serta mentadbir kemenangan mengikut manifesto bersama dan bukan atas kehendak masing-masing. Kehendak dan kepenting parti masing-masing hendaklah diusahakan dalam kerangka dasar PR yang telah dipersetujui bersama.

Oleh itu, saya ulangi kembali, tiada kerusi PAS yang perlu dipulangkan. Sebaliknya yang perlu dipulangkan adalah semangat setia kawan PR yang telah mendatangkan kemenangan pada asalnya dengan izin Allah.

Kami yang sekarang bersama AMANAH adalah bekas ahli PAS yang ingin kekal istiqamah dengan janji untuk bersama Keadilan dan DAP membentuk kerjasama antara tiga parti demi menjatuhkan BN dan membentuk kerajaan yang bersifat adil dan berkebajikan.

WaLlahu 'Alam 
KHALID SAMAD

Ya'Allah.. kembalikanlah Malaysia kami yang aman damai seperti dulu, bukannya yang 'bom' seperti ini...

Bom meletup dekat pusat hiburan, mangsa parah

Sekurang-kurangnya lapan cedera, seorang daripadanya parah, dalam insiden letupan dipercayai berpunca daripada bom tangan dekat sebuah premis hiburan di IOI Boulevard, Puchong, awal pagi ini.

Kejadian itu berlaku kira-kira 2.15 pagi ketika pengunjung premis menyaksikan perlawanan kejohanan bola sepak Euro 2016.

Lima daripada mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan manakala tiga lagi dihantar dan Hospital Sunway, kata Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar kepada pemberita di lokasi kejadian.

"Sebuah kereta yang diletakkan kira-kira 30 meter dari premis itu turut rosak akibat letupan tersebut," katanya.
 
Sekumpulan anggota Unit Forensik polis dilihat melakukan siasatan di lokasi kejadian.

Suspek kejadian itu masih dijejaki.

- Bernama

Najib yan sepatutnya undur, bukannya 2 menteri penting dalam kabinet!!

Kenyataan Media

*APA MESEJ DARI 2 MENTERI PENTING KABINET NAJIB: LETAK JAWATAN DIWAKTU MALAYSIA DILANDA KRISIS EKONOMI DAN SKANDAL KEWANGAN NEGARA 1MDB*

1.Rombakan kabinet yang diumumkan PM Najib semalam sangat mengejutkan.Ini disebabkan *2 orang menteri penting kepada ekonomi dan kewangan negara meletakan jawatan*.Datuk Seri Husni Hanadzlah meletakan jawatan sebagai menteri kewangan ke2 serta semua jawatan dalam umno dan Datuk Abd Wahid menteri di JPM yang menguruskan EPU tidak mahu menyambung tugas menteri setelah tamat tempoh senator sebelum ini.

2.Persoalan yang timbul sekarang ialah *kenapa mereka meletakan jawatan diwaktu negara sedang dilanda krisis ekonomi dan kewangan yang meruncing .Persoalan 1MDB yang makin rumit dan membebankan negara dan rakyat* tanpa penyelesaian adalah sesuatu yang sedang menghantui negara dan rakyat.  *Kenapa mereka berdua melarikan diri dari skandal besar negara 1MDB*

3.Saya berkeyakinan kedudukan mereka dalam kabinet mempunyai banyak pengetahuan yang tersembunyi berkaitan perkara penting yang membabitkan Najib dalam skandal besar negara sehingga mereka tidak lagi bersedia bersekongkol dengan kejahatan Najib.Perletakan jawatan Husni menimbul dan meninggalkan *seribu satu persoalan*.Yang pasti bagi saya ini adalah *protes senyap dan undi tidak percaya terhadap Najib*.

*NAJIB YANG SEPATUT DIGUGUR*.

4. *Perletakan jawatan 2 menteri kewangan dan ekonomi negara beserta pemecatan Muhyidin,Mukhriz dan pengantungan Shafie atas isu yang sama menjadikan krisis ekonomi negara makin parah*.Keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia makin pudar dan tidak dapat membantu pertumbuhan ekonomi yang lebih segar.

5.Sepatutnya *Najib yg digugurkan dari jawatan PM melalui satu desakan dalaman umno dan undi tidak percaya dikalangan MT Umno,kabinet dan Parlimen*.Namun tiada keberanian dikalangan ahli MT Umno,anggota kabinet dan MP BN untuk berbuat demikian. *Pemimpin Umno Bn seperti  tak dak teloq berdepan dengan Najib*.

6.Sebagai sahabat baik saya dalam IPU cawangan Malaysia saya mengharapkan Husni berjiwa Malaysia. *Beliau mesti berani tampil untuk berkata benar untuk negara dan rakyat*.Tidak cukup sekadar melepaskan semua jawatan tanpa terus berjuang. *Demi Malaysia Husni perlu bersama rakyat Selamatkan Malaysia*.

#UndurNajib
#SelamatkanMalaysia
#MertabatkanKuasaRakyat

*DATO'HJ MAHFUZ HJ OMAR*
Ahli Parlimen Pokok Sena
00.30am 28 Jun 2016/23 Ramadzan 1437H
Restoran Taqwa Taman Malewar KL.

Benarkan Husni tak setuju ditukarkan, sebab itu beliau meletak semua jawatan..!!

HUSNI BERSARA KERANA TIDAK SETUJU DITUKARKAN, BUKANNYA SUKARELA

Berita yang paling tidak disangka-sangka dalam rombakan kabinet yang diumumkan Najib Razak kali ini, selain perlantikan semula Noh Omar sebagai menteri ialah berkaitan pengunduran Husni Hanadzlah daripada jawatannya sebagai Menteri Kewangan Kedua.

(Terkini - menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Shamsul Zairil Kamaruddin, bekas Setiausaha Politik Husni beberapa jam kemudiannya, Husni juga mengumumkan perletakan jawatan sebagai Bendahari UMNO Malaysia, Bendahari BN Malaysia, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Ketua UMNO Bahagian Tambun dan Pengerusi  BN Tambun)

Tanpa ribut dan tanpa sebarang khabar angin sebelumnya, tiba-tiba saja diberitakan beliau memilih untuk bersara daripada jawatannya.

Najib dalam pengumuman rombakan itu memberitahu, Husni telah memilih untuk bersara dan beliau menghormati keputusan tersebut.

Tempat Husni kini digantikan oleh Johari Abdul Ghani, Ahli Parlimen Titiwangsa yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Kewangan.

Benarkah Husni memilih untuk bersara secara sukarela?

Kenapa beliau bersara sekarang dan tidak berundur saja pada pilihanraya umum akan datang yang hanya kira-kira dua tahun lagi tempohnya?

Adakah beliau tidak sihat atau ingin berehat?

Seorang rakan memberitahu, Husni sebenarnya tidak memilih untuk bersara secara sukarela tetapi terpaksa membuat keputusan itu sebagai tanda protes, kecewa dan kecil hati terhadap Najib.

Beliau dikatakan tidak setuju dengan hasrat Najib mahu menukarkannya daripada Kementerian Kewangan ke Jabatan Perdana Menteri bagi mengambil alih tempat Abdul Wahib Omar yang sebelum ini sudah pun memilih tidak mahu dilantik lagi menganggotai kabinet.

Kata rakan tersebut, beliau diberitahu mengenai perkara itu oleh salah seorang pembantu Husni sendiri pada petang semalam lagi.

Katanya, Husni agak kecewa dengan pertukaran itu memandangkan beliau selama ini telah dengan baik memainkan peranan sebagai Menteri Kewangan Kedua dan jurucakap yang dilantik oleh kabinet untuk menjawab dan menangani hal-hal berkaitan 1MDB.

Lantaran itu, Husni dikatakan berasa pertukarannya itu seolah-olah beliau tidak begitu penting lagi di sisi Najib sekarang ini, meskipun sebahagian isu berkaitan 1MDB sudah berjaya diselesaikan.

Dalam rombakan kabinet yang diumumkan Najib, empat menteri terlihat dalam rombakan iaitu Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua, Abdul Rahman Dahlan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada Unit Perancang Ekonomi (mengisi tempat Abdul Wahid Omar), Noh Omar dibawa kembali menyertai kabinet memegang jawatan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Mah Siew Keong sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi. (SH 27/06/2016).

Shahbudin Husin





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...