TERKINI :

Sunday, June 26, 2016

Isu DAP kafir harbi: Ingat semula kuliah Tok Guru Nik Aziz, kata Rafizi

Isu kafir harbi ingatkan saya kepada pesan Tok Guru Nik Aziz, kata Rafizi. Isu kafir harbi ingatkan saya kepada pesan Tok Guru Nik Aziz, kata Rafizi.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, menjatuhkan hukum kafir harbi ke atas orang bukan Islam yang tidak sependapat mengenai satu rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen adalah amat menyimpang.

Beliau menegaskan isu berkaitan keutamaan mendahulukan pelaksanaan hudud dalam masyarakat Islam yang majmuk mempunyai perbezaan di antara ulama dan pakar-pakar perundangan Islam walaupun dikatakan rang undang-undang itu bertujuan memartabatkan mahkamah syariah ke arah pelaksanaan hudud.

Mengulas kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman kelmarin bahawa DAP tergolong dalam kalangan kafir harbi yang wajib ditentang oleh umat Islam, beliau berkata, pelbagai pendapat berhubung penguatkuasaan undang-undang hudud bukan bermakna menolak hukum Allah.

"Soal perbezaan pendapat dalam pelaksanaan undang-undang hudud sekarang sebenarnya adalah khilaf mengenai keutamaan untuk mendahulukan syariat-syariat lain di dalam masyarakat, bukannya soal menolak hukum Allah sehingga boleh dilabelkan dengan pelbagai nama," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada kepada pendapat bekas Penasihat Undang-undang Negara Teluk serta bekas Profesor Undang-undang Universiti Riyadh, Dr Mohamed Salim El-Awa  dalam buku yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, "Punishment In Islamic Law” terutamanya kesimpulan beliau mengenai pelaksanaan undang-undang hudud di muka surat 134 hingga 138.

"Pendirian saya mengenai pelaksanaan undang-undang hudud sebelum ini adalah berpandukan kepada pandangan beliau (selain dari pandangan ulama dan pemikir Islam yang lain) bahawa orang Islam menerima hudud sebagai sebahagian dari syariat Islam," ujarnya.

Menyifatkan gejala menghukum kafir harbi yang dicetuskan mufti itu sebagai "ribut kecil", Rafizi turut memetik salah satu kuliah Almarhum Tuan Guru Nik Aziz yang dimuatkan dalam buku, "Jumaat Bersama Tok Guru" tentang sirah Rasulullah SAW dengan seorang pengemis Yahudi.

"(Kuliah itu) sepatutnya menginsafkan kita orang Islam mengenai sunnah Rasulullah SAW dalam berdakwah. Ia ingatan kepada saya dan ingatan kepada semua," ujarnya yang juga Setiausaha PKR itu lagi.

Perkasa kecam gelaran ‘kafir Harbi’ sebagai keterlaluan

KUALA LUMPUR: Melabel DAP sebagai ‘Kafir Harbi’ adalah keterlaluan!

Presiden Perkasa Ibrahim Ali berkata demikian mengulas kenyataan yang dibuat oleh mufti Pahang, Rahman Osman dalam satu laporan berita menyatakan adalah ‘dosa besar’ untuk bekerjasama dengan DAP.

“Walaupun kita tidak bersetuju dalam banyak isu, saya fikir tidak wajar untuk melabelkan DAP sebagai kafir harbi.

“Kita tidak patut mewujudkan imej yang buruk terhadap Islam dengan membuat kenyataan seperti itu,” kata Ibrahim pada sidang media hari ini.

Dalam berita Utusan Online bertajuk, “DAP tergolong kafir harbi yang wajar ditentang” semalam, Rahman berkata hukum bagi mana-mana umat Islam yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP adalah haram serta berdosa besar.

Katanya, DAP menentang pelaksanaan hukum Islam dan berhasrat untuk me­nubuhkan sebuah negara sekular tergolong dalam kalangan kafir harbi yang wajib ditentang oleh umat Islam.

“Kita dapat lihat DAP begitu menentang pelaksanaan hukum hudud dan Rang Undang-undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016. Prinsip mereka jelas membenci Islam dan berdosa besar bagi umat Islam bekerjasama de­ngan mereka ia merupakan satu “dosa besar” bersekongkol dan bekerjasama dengan DAP,” katanya.

Tambahnya, ‘politik kebencian’ yang diamalkan oleh DAP membimbangkan dan boleh menyebabkan huru-hara di negara ini.

Kenyataan itu kemudian dibidas oleh beberapa pihak, seperti PKR dan MCA.

Tindakan MT tak adil, kata Muhyiddin

DAMANSARA - Tindakan Majlis Tertinggi Umno (MT) membuat keputusan untuk memecat bekas Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tanpa melalui proses keadilan seperti diperuntukkan dalam perlembagaan parti.

Menurut Muhyiddin, untuk berlaku adil, MT Umno sewajarnya memberikan surat tunjuk sebab terlebih dahulu bagi membolehkan beliau dan Mukhriz menerangkan sebarang asas berhubung tindakan mereka sebelum ini.

"Itu (keputusan) dibuat dengan kehendak mereka sendiri tanpa beri ruang kepada kami untuk beri sebarang penjelasan,"katanya dalam sidang media yang berlangsung di Rumah Kelab Alumni Universiti Malaya, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa beliau tidak akan membuat sebarang rayuan berhubung pemecatannya dari Umno.

Beliau berkata, negara sedang berhadapan dengan satu keadaan yang  agak membimbangkan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini berdepan dengan pelbagai skandal moral serta kewangan.

"Bagi saya, sebahagian besar rakyat marah dan tak puas hati dengan apa yang berlaku dan mereka mengharapkan satu platform politik baru untuk wujud bagi memberi pilihan supaya masa depan negara terus terpelihara dan sebagainya," katanya.

Untuk tujuan itu, Muhyiddin memaklumkan bahawa pihaknya mempunyai satu pendekatan yang lestari untuk jangka masa hadapan.

"Kita perlu adakan perbincangan di antara kita serta mereka yang mempunyai pandangan sama dgn kita bagi membincangkan apakah tindakan sewajarnya untuk kami ambil bahi menghadapi masa depan negara selepas ini," katanya.

Kelmarin, MT memutuskan agar Muhyiddin dan Mukhriz dipecat daripada Umno berkuat kuasa serta merta.

Sementara, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal pula digantung dari jawatannya.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu berkata, tindakan itu dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno kerana mendapati mereka melakukan kesalahan serius.

Ketua Penerangan Pemuda Pas tidak setuju DAP digelar Kafir Harbi

Meletakkan istilah 'kafir harbi' kepada mana-mana kelompok di negara ini adalah satu langkah yang agak radikal dan pandangan yang mempunyai implikasi berat dari sudut fiqh. Ia boleh membawa konotasi bahawa golongan ini wajar diperangi sekaligus membawa kepada senario yang agak berbeza dari yang wujud pada hari ini di negara ini.

Barangkali istilah 'anti undang-undang syariah' agak ringan dan boleh diterima. Jika disebut bahawa kafir harbi itu ialah kerana menentang perundangan Islam, apa pula hukumnya kepada kelompok muslim yang hanya baru sehari dua ini menerima perundangan Islam? Adakah sebelum ini juga mereka ialah 'harbi' dan baru sehari dua ini menjadi 'zimmi'?

Dengan penuh hormat, mohon berbeza sedikit, sahibus samahah.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...