TERKINI :

Saturday, June 25, 2016

Benarkah UMNO bakal dimuziumkan?

GKCM dakwa Umno bakal dimuziumkan

SHAH ALAM – Tanggal 24 Jun bakal menyaksikan titik hitam dalam sejarah Umno di mana pastinya parti itu akan terkubur dan dimuziumkan selepas ini, dakwa Presiden Gabungan Ketua Cabang Malaysia (GKCM), Kamarul Azman Habibur Rahman.

Menyifatkan pemecatan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai tindakan paling ganjil dalam Umno, beliau berkata, Umno bakal berdepan dengan tragedi paling buruk pernah berlaku dalam parti itu.

“Ini merupakan pemecatan paling ganjil dalam Umno, malahan pada mana-mana parti politik dalam peradaban manusia di dunia ini.

“Belum pernah berlaku dimana yang dipecat digantung keahlian adalah mereka yang bersuara tentang salahlaku pemimpin dan bukannya terhadap pemimpin yang melakukan salahlaku. Ini merupakan satu perkara yang akan ditertawakan oleh seluruh dunia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, pimpinan Umno sepatutnya sedar pemecatan Muhyiddin dan Muhkriz serta penggantungan keahlian Datuk Seri Shafie Apdal akan melahirkan banyak persoalan.

Ujarnya lagi, rakyat secara jelas akan melahirkan banyak persoalan terhadap integriti Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden Umno.

“Pemecatan Muhyiddin dan Muhkriz serta penggantungan Shafie akan mempunyai tempias negatif terhadap Majlis Tertinggi Umno.

“Majoriti rakyat memandang kemenangan BN dalam pilihan raya kecil itu sebagai sesuatu yang mengecewakan mereka. Justeru mereka menanti PRU 14 dengan tidak sabar untuk mengajar BN. Amarah ini akan menjadi seperti gunung berapi yang menanti saat untuk memuntahkaan laharnya,” katanya lagi.

Umno Pagoh tolak keputusan MT Umno

MUAR - Umno bahagian Pagoh hari ini sepakat menolak keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang  memecat Tan Sri Muhyiddin Yasin daripada jawatan Timbalan Presiden Umno berkuat-kuasa semalam.

Ketua Penerangannya, Hairul Izam Abd Samat berkata, keputusan itu dibuat setelah pihaknya mengkaji dan meneliti beberapa perkara.

"Kami menolak keputusan ini kerana pemecatan tersebut dibuat tanpa mengikut prosedur sepatutnya seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti Fasal 20 Disiplin.

"MT dan Perlembagaan Umno disalah guna oleh Presiden dengan mengenepikan amalan demokrasi dalam parti di mana Tan Sri Muhyiddin tidak dipanggil untuk mempertahankan tuduhan terhadapnya sejak daripada awal penggantungan beliau.

"Selain itu, pemilihan Tan Sri Muhyiddin dalam jawatan berkenaan sebelum ini dibuat berdasarkan sokongan daripada ahli parti seluruh negara. Jadi kami sebagai ahli berasa dikhianati dengan keputusan MT," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Umno Bahagian Pagoh sebentar tadi.

Menurutnya, tindakan Muhyiddin yang sebelum ini menegur Presiden adalah bertujuan memperkukuhkan parti yang bukan digunakan untuk kepentingan peribadi.

"Segala kenyataan Tan Sri Muhyiddin berhubung salah laku dan jenayah yang dilakukan oleh presiden adalah berdasarkan daripada laporan berintegriti daripada agensi kerajaan.

"Maka, tindakan MT memecat Tan Sri Muhyiddin telah menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati kepada ahli Umno Bahagian Pagoh serta merosakkan perpaduan dan keutuhan parti," katanya.

Muhyiddin: Selamat tinggal Umno...

Setelah lebih empat dekad saya melalui perit jerih dan suka duka perjuangan di dalam Umno, semalam Majlis Tertinggi membuat keputusan untuk memecat saya daripada parti.

Saya tidak pernah meninggalkan perjuangan parti atau mengkhianati parti. Saya cuma berkata benar kerana itulah prinsip yang saya junjung dalam perjuangan saya.

Malangnya saya dipecat kerana apa yang saya perkatakan selama ini menyentuh skandal moral dan kewangan paling besar dalam sejarah Umno dan negara yang melibatkan perdana menteri.

Sahabat saya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dipecat dan Datuk Seri Shafie Apdal digantung keahlian. Segala-galanya berlaku hanya kerana kami mengambil langkah berani menegur perdana menteri yang sudah jauh tersasar daripada perjuangan Umno yang asal.

Saya berasa kecewa kerana Umno yang ada pada hari ini bukan lagi Umno yang sebenar. Ia telah berubah menjadi sebuah parti yang dikuasai hanya oleh seorang individu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup kesalahannya dan menyelamatkan dirinya.

Seterusnya...

'Bagaimana status Selangor jika DAP kafir harbi?'

Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman diminta menyatakan pendiriannya terhadap Umno yang memerintah negara ini tanpa melaksanakan hudud dan bersekutu dengan MCA.

Kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali pendirian itu perlu selepas Abdul Rahman menganggap parti itu sebagai "kafir harbi".

Kata Sheikh Omar, Umno bersahabat dengan MCA ketika parti berkenaan dilihat secara terang-terang menolak hudud dengan keras.

Pada masa sama katanya DAP yang dianggap "kafir harbi" oleh Abdul Rahman kini sebahagian daripada kerajaan Selangor sejak 2008 selepas mendapat perkenan sultan negeri itu.

"Jika DAP kafir harbi, apakah pendirian beliau terhadap kerajaan Selangor yang diterajui PAS, PKR dan DAP?" katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan Abdul Rahman menganggap DAP tergolong dalam kumpulan "kafir harbi" dan wajib ditentang umat Islam.

Justeru, lapor Utusan Abdul Rahman berpendapat berdosa besar bagi mana-mana umat Islam bersekongkol dengan DAP.

Bagaimanapun ketika dihubungi Malaysiakini kemudian Abdul Rahman berkata dia tidak merujuk istilah kafir harbi itu kepada DAP semata-mata, sebaliknya "semua pihak yang menentang Islam."

“Istilahnya menentang, kalau tak menentang bukanlah (kafir harbi)," katanya.

Berbaur kebencian

Ia bukanlah kali pertama Abdul Rahman dilihat berseteru dengan DAP.

Tahun lalu Abdul Rahman mempertahankan kandungan khutbah Aidiladha yang menyatakan DAP sebagai parti "yang terang-terangan menentang Islam."

Kata Sheikh Omar dia juga tertanya-tanya sama ada Abdul Rahman sudah membuat sebarang rujukan dengan mana-mana pihak - seperti Majlis Fatwa Kebangsaan - sebelum melabelkan DAP.

Kenyataan mufti Pahang itu kata Sheikh Omar juga boleh membawa maksud darah seluruh ahli DAP, termasuk beragama Islam, halal.

"Bagaimana jika sebentar lagi ada mana-mana orang yang terjumpa mana-mana ahli DAP dan membunuh mereka kerana mengikut hukum yang dikeluarkan oleh Mufti Pahang ini?" katanya.

Sementara itu Ahli Majlis Eksekutif Dapsy Dyana Sofya Mohd Daud berkata kenyataan dibuat mufti berkenaan jelas berbaur kebencian dan menggunakan nama Islam dan kedudukannya memburukkan DAP demi kepentingan politik.

"Niat sebenar kenyataan mufti Pahang tersebut amat dicurigai dan langsung tidak membawa mesej keharmonian dan keamanan yang dibawa oleh Islam, malah mirip kepada wacana keganasan eksterimis Daesh.

"Berulang kali DAP menegaskan bahawa parti ini tidak pernah menentang Islam, malah mengamalkan etika dan nilai-nilai murni universal yang diterima oleh semua agama," katanya.

Kata Dyana Sofya pendirian DAP menyokong negara sekular bukan bermakna mereka menentang Islam.

Katanya negara sekular meraikan demokrasi dan membenarkan semua rakyat - termasuk orang Islam - bebas tanpa paksaan.

Di bawah sistem begitu, katanya, hak-hak asasi manusia dihormati secara sama rata dan tanpa diskriminasi terhadap semua orang tanpa mengira kaum dan agama.

"Malah kedudukan Malaysia sebagai negara sekular telah diiktiraf sekurang-kurangnya tiga mantan perdana menteri Malaysia," katanya.

Akhirnya Subky Latif veteran Pas nampak apa yang Mahathir sedang lakukan sekarang

Jangan rendahkan sikap Mahathir!

SUBKY LATIF | 25 Jun 2016.

KITA mungkin tidak setuju dengan banyak tindakan Dr. Mahathir semasa dia jadi Perdana Menteri dan kita juga boleh berbeza pandangan dengannya yang hendak menggantikan PM Najib sebagai Perdana Menteri tetapi mahu mengekalkan Umno sebagai sistem pemerintahan.
      
Sikapnya masa berkuasa dulu ada kelemahannya, tetapi sekarang dia menentang satu pemerintah yang paling tidak bertanggungjawab kepada semua kecuali hulubalang berjiwa Hang Tuah saja.
     
Dulu Mahathir orang atas. Dia tidak nampak masalah orang bawah. Sekarang dia rakyat yang boleh ke atas dan ke bawah. Dia dapat melihat orang atas sebagai mana orang atas itu dilihat oleh orang bawah.
     
Sebagai bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden Umno dia dapat semua yang dikehendakinya. Jawatan-jawatan yang berelaun puluhan ribu. Kerana dia rasa rakyat tertindas dan negara berada dijurang kehancuran, maka dia sedia tinggalkan semua yang diberi kepadanya.
    
Apa yang dibuatnya sekarang sama seperti yang Tunku Abdul Rahman, sebagai bekas Perdana Menteri buat selepas tidak jadi Perdana Menteri dulu. Seolah-olah tiada yang baik yang Tun Razak dan Tun Hussein buat dulu. Tunku naik pentas PAS dalam PRK Pantai Merdeka.
     
Apa Tunku buat dulu adalah satu tindakan prorakyat yang mahukan keadilan. Sekalipun dulu Mahathir tidak peka tentang keadilan, itu adalah kelemahannya dulu. Sekarang dia peka tentang keadilan yang diabaikan. Jika kelemahannya dulu tidak dikomen terbuka oleh Tun Hussein sebagai bekas PM. Itu adalah kelemahan Tun Hussein.
     
Sekarang Mahathir peduli rakyat macam juga Tunku peduli rakyat. Apabila dia peduli rakyat dan negara, mungkin kita tidak suka dengan kaedah yang digunakannya dan apa dia nak jadi selepas itu, maka tidaklah wajar tindakannya itu diremahkan. Boleh dia tidak disokong tetapi jangan perleceh sikap dan tindakannya  semata-mata kita geram padanya dulu.
     
Kelemahannya dulu kita masukkan dalam sejarah, tetapi tidak boleh dinafikan sikapnya pada masa negara diambang keruntuhan ini dibakul sampahkan saja.
    
Satu teguran dan tindakannya terhadap Najib lebih berkesan dari tindakan 500 biasa yang mengecam Najib. Berjaya atau tidak Najib digugurkan hal yang lain. Serangan Tunku terhadap Tun Razak, Tun Hussein dan Tun Mahathir dulupun tidak berjaya memenangkan PAS dalam PRK Pantai Merdeka. Tidak banyak juga yang Tunku dapat buat untuk menukar pimpinan masa itu.
    
Tetapi jangan kata Tunku buat kerja sia-sia! Maka jangan juga kata Mahathir buat kerja sia-sia sekarang.
    
Saya juga beranggapan menggantikan orang bukan menggantikan sistem seperti yang dipeloporinya sekarang. Tetapi keberanian, kesungguhannya  untuk menggantikan kerajaan yang ranggi dan tidak peduli rakyat wajar dihargai. 
       
Jika dia pedulikan dirinya saja sekarang, dia tidak buat kerja yang menghilangkan puluhan ribu elaun sebulan. Jika pedulikan keluarganya saja, dia tidak buat kerja yang menyebabkan anaknya terbuang dari Menteri Besar Kedah.
     
Dia tahu dengan kegiatan anti Najibnya itu dia berkemungkinan tidak dipusarakan di Makam Pahlawan Masjid Negara nanti. Apa yang dibuatnya adalah sekali ganda kesannya dari apa yang pembangkang dan pengkritik Najib dapat  buat selama ini.
    
Tidak banyak kerugian bagi sekalian yang mengecam Najib, tetapi Mahathir rugi banyak. Selain dari hilang sebahagian pendapatan, dia dikecam dan dikutuk oleh Umno. Apa untungnya? Selain dari membela rakyat dan negara yang tertindas.
    
Boleh dia tidak disokong tetapi mensia-siakan tindakannya amat tidak patut. – HARAKAHDAILY 25/6/2016

Inilah dia 7 tanda pilihanraya umum semakin dekat...!!

7 TANDA-TANDA PILIHANRAYA UMUM SEMAKIN DEKAT:

1. Al-Quran dikoyak-koyak dicarik-carik dan dicampak hingga bertaburan di atas jalanraya di Johor oleh 'pasukan provokator dalaman' supaya orang Melayu berasa marah kepada Cina dan India kafir serta mood perkauman dapat dihidupkan semula. Gerakan underground ini dijalankan supaya orang Melayu bersatu di bawah UMNO dengan momokan kononnya kaum lain anti-Islam.

2. Mufti 'negeri Genting Highlands' dengan tiba-tiba tanpa angin dan ribut menghamburkan celaan kepada parti DAP sebagai kafir harbi dan musuh Islam supaya orang Melayu membenci kaum yang berada di dalam DAP serta rakan-rakan politiknya atas nama Islam walhal perompak dan penyamun harta negara tidak digelar sebagai musuh Islam pun.

3. Dua pemimpin 'heavyweight' UMNO yang menentang Najib selaku Presiden UMNO iaitu Muhyiddin dan Mukhriz ditendang keluar begitu sahaja bagaikan sampah daripada UMNO biarpun kedua-duanya masih memiliki kerusi DUN dan PARLIMEN yang mewakili kepada Parti UMNO itu sendiri.

4. Serangan terhadap Tun Mahathir mula dilancarkan secara terbuka oleh Najib dan konco-konconya termasuk tindakan-tindakan terbaru, menghentikan segala keistimewaan Tun M sebagai bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun, jawatan-jawatan pengerusi dilucutkan, Yayasan Kepimpinan Perdana disekat, dan diancam sekatan keluar negara.

5. Shafie Apdal digantung keahlian sahaja tetapi tidak dibuang pula daripada UMNO seperti Muhyiddin dan Mukhriz kerana negeri 'fixed deposit' UMNO dan Barisan Nasional adalah di Sabah bah bulibahkaloko dek kerana mentaliti mereka masih cap kapal layar. Rakyat Sarawak pula sungguh sayang kepada Taib Mahmud.

6. Perlucutan 2 orang kuat SPRM dari jawatan utama akan menjadikan Siasatan kes syarikat 1MDB berjaya disenyapkan hingga menemui jalan mati. Isu hutang besar syarikat tersebut dengan bukti-bukti kehilangan duit berbilion-bilion ringgit pun sudah dilihat basi oleh majoriti 'rakyat Malaysia yang bodoh', malas berfikir dan suka menerima sampul duit.

7. Parti PAS sudah berjaya 'dijinakkan' bak anak kucing oleh UMNO dan dilemahkan. PAS juga akan membantu UMNO menyapu bersih semua kerusi Melayu hasil perpecahan dalam kalangan parti-parti pembangkang yang akan mewujudkan situasi 3 penjuru UMNO-PAS-AMANAH. Dasar PAS ketika ini juga bukanlah untuk menjadi sebuah parti yang memimpin negara ini.

Kerajaan P. Pinang terima maaf pemimpin PAS

GEORGE TOWN: Maaf diterima, kata kerajaan Pulau Pinang kepada Yang Dipertua PAS Padang Serai Shaharuddin Ibrahim yang didakwa mengatakan azan diharamkan di Pulau Pinang dalam satu tazkirah baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Islam Pulau Pinang Abdul Malik Abul Kassim berkata kerajaan negeri memaafkan beliau atas semangat Ramadan.

“Maaf diterima. Cuma satu lagi saya ingin tegaskan, parti seperti PAS dan lain-lain, jangan fitnah kami macam itu.

“Dalam Islam, fitnah lebih buruk daripada pembunuhan,” katanya dalam sidang media di Komtar hari ini.

Malik menyeru semua pihak supaya menyiasat terlebih dahulu sebelum membuang sebarang kenyataan yang boleh membawa kepada ketegangan antara agama.

Shaharuddin di satu tazkirah di Masjid An-Najah di Padang Serai, Kedah didakwa berkata: “Kalau DAP menguasai negara…nuu Pulau Pinang tuan-tuan, bang (azan) dah tak boleh dah, bang (azan) tak boleh dah, tuan tuan!”

Pemimpin PAS itu memohon maaf menerusi satu kenyataan yang dilaporkan Sinar Harian.

“Saya tidak mahu berbalah dan memanjangkan isu ini jadi dengan rendah hati saya memohon maaf kepada pihak-pihak yang tersinggung dengan kenyataan itu, khususnya DAP,” katanya.

GKCM bayang kemungkinan wujud parti baru

Menganggap 'penghinaan' terhadap beberapa tokoh Umno oleh Datuk Seri Najib Razak sebagai "tidak dapat diterima lagi", Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) membayangkan kemungkinan bakal wujud parti baru di negara ini.

Menamakan kumpulan penentang Najib itu sebagai 3M (Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir), Ketua GKCM Kamarul Azman Habibur Rahman mempertikaikan tanggapan mereka tidak lagi berpengaruh.

"Benarkah 3M ini tidak ada pengaruh? Bagaimana jika mereka menubuhkan sebuah parti baru?

"GKCM akan mula bertindak. Umno akan dilanda badai ketidakpercayaan yang amat dasyat," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

GKCM adalah gabungan pemimpin Umno peringkat bawahan yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Najib sebagai perdana menteri dan presiden Umno.

Kenyataan GKCM itu dibuat selepas Majlis Tertinggi Umno sebulat suara memecat Muhyiddin dan Mukhriz, serta menggantung keahlian Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dari Umno.

Muhyiddin adalah bekas timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, manakala Mohd Shafie adalah naib presiden parti. Mukhriz pula bekas menteri besar Kedah.

Ketiga-tiga mereka - bersama Dr Mahathir - adalah antara pengkritik paling lantang terhadap kepimpinan Najib.

Dr Mahathir sendiri terlibat menggerakkan kempen Deklarasi Rakyat bersama beberapa parti pembangkang bertujuan mendesak Najib berundur daripada jawatannya sebagai perdana menteri.

Kata Kamarul Azman pemecatan Muhyiddin dan Muhkriz serta penggantungan keahlian Mohd Shafie sebenarnya akan melahirkan banyak persoalan.

Persoalan utama, katanya, ialah tentang integriti Najib.

Beliau mendakwa bahawa Najib kini menjadi 'orang nombor satu paling dibenci di negara ini' tetapi beliau tidak mahu menerima hakikat itu.

Manakala pemecatan Muhyiddin dan Muhkriz serta penggantungan Mohd Shafie, tambah Kamarul, akan mempunyai tempias negatif terhadap MT.

Justeru katanya Najib dan MT Umno perlu mengambil iktibar daripada revolusi rakyat Filipina yang berjaya menggulingkan Fredinand Marcos pada 22 hingga 25 Februari 1986.

Berbeza Jangan Sampai Melabel Boleh Dibunuh

BismillahirRahmanirRahim,

Saya amat gusar dan bimbang dengan fahaman takfiri yang mula melanda negara kita secara hebat sekarang ini. Melabel mengkafirkan, menerakakan orang sudah menjadi trend di negara ini khususnya di media-media sosial.

Saya berpesan kepada diri saya, pimpinan, penyokong AMANAH dan umat Islam dan bukan Islam supaya kita bertanggungjawab menjaga keamanan, keharmonian sesama masyarakat.

Fahaman takfiri yang akhirnya menjadi pembunuhan sesama seperti sedang melanda Iraq, Somalia, Syria, Libya, Afganistan, Pakistan dan negara umat Islam lain, diharap tidak merebak ke negara ini.

Kemenangan mengejut Abu Bakr Al-Baghdadi di Iraq pernah dipuji oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan ia boleh mengundang kesan bahaya kepada umat manusia khasnya umat Islam.

Budaya dan fahaman takfiri ini jika sudah terjebak, sangat sukar untuk keluar sehingga ia boleh memusnahkan negara keseluruhannya.

Parti AMANAH berpendapat, dalam menangani perbezaan, perlu banyakkan program dialog berbanding melabel-label orang. Pihak bertanggungjawab perlu menjaga fatwa-fatwa mereka supaya ia akhirnya tidak menjerat umat Islam itu sendiri.

Pihak keselamatan negara pula hendaklah lebih berhati-hati dan berusaha supaya fahaman yang boleh menjahanamkan negara dan umat tidak bermaharajalela masuk ke negara ini.

Sempena bulan Ramadan yang mulia saya insan serba lemah ini merayu supaya sekalipun kita berbeza pendapat,  berlawan hujah jangan sampai melabel seseorang itu sampai dibolehkan mengambil nyawanya secara tidak sah oleh undang-undang dan agama.

Harapan Baru

MOHAMAD SABU
Presiden
Parti Amanah Negara

24 JUN 2016





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...