TERKINI :

Friday, June 24, 2016

Dr. Mujahid - Kafir Harbi dan Mufti Pahang

1. Mufti Pahang dinasihatkan bercermat dalam mengkategorikan orang bukan Islam dalam negara ini sebagai Kafir Harbi atas dasar mereka menentang Islam. Kenyataan umum demikian amat merbahaya dalam konteks pembinaan negara bangsa yang terdiri dari berbagai agama di Malaysia, apatah lagi diisyaratkan kepada parti politik tertentu.

2. Apakah yang didefinisikan sebagai alasan 'menentang Islam' sebelum Kafir Harbi dikategorikan? Apakah Sohibus Samahah Mufti Pahang mengandaikan memberi pandangan dalam konteks demokrasi dalam soal perundangan negara dan perlembagaan negara dalam hal pentadbiran Islam itu menentang Islam?

3. Mufti Pahang nampaknya keliru antara mengkritik isu pentadbiran Islam dengan menentang Islam, ia adalah dua perkara yang berbeza, malah kedudukan beliau sebagai mufti juga ditentukan oleh perundangan  negara yang boleh dikritik dan dipertikaikan dari segi pentadbiran. Apakah Mufti menganggap dirinya yang ditentukan oleh pentadbiran sebagai 'suci' tidak boleh dikritik?

4. Mufti Pahang juga ketinggalan dalam fatwa terkini yang diterimapakai oleh dunia Islam bahawa pengkategorian hubungan Muslim dan bukan-Muslim dalam konteks kenegaraan atau Muwathanah ditentukan oleh prinsip kewarganegaraan atau kerakyatan yang diikat dengan undang-undang negara dalam memberi hak dan  keadilan kepada semua warganya. Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan menyatakan hak mendapat keadilan undang-undang untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, keturunan, bangsa dan tempat lahir.

5. Dr Yusof Qaradhawi dalam bukunya Al Jihad dan lain-lain ulamak berwibawa menjelaskan bahawa tiada sebab wujudnya Kafir Harbi dan Kafir Zimmi kerana hubungan antara negara dan dalam negara ditentukan oleh kedaulatan undang-undang negara masing-masing dan terikat di bawah piagam Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu. Kafir Harbi dan Zimmi hanya wujud atas sebab dunia dibahagikan atas geo-politik masa itu antara Darul Harb dan Darul Islam. Tiada Darul Islam atau Darul Harb hari ini dalam konteks hubungan resmi antara negara mahupun dalam negara.

6. Implikasi Kafir Harbi ialah dihalalkan darah mereka dan semua harta dan barangannya dirampas dan mereka boleh dihalau keluar. Apakah Mufti sedar kenyataannya itu? Melainkan IS dan kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan Taliban, seluruh dunia Islam menafikan pengkategorian Harbi atau Zimmi ke atas bukan Islam dalam negara masing-masing dan digantikan atas pendekatan prinsip kerakyatan. Apakah Mufti Pahang mempunyai pandangan yang sama dengan IS?

7. Saya menuntut Mufti Pahang  menarik balik kenyataan Kafir Harbi dalam konteks negara Malaysia yang menerima pakai pendekatan Fiqh Muwathonah (kefahaman kerakyatan) sebagai asas hubungan berbagai agama di negara ini. Kenyataan Sohibus Samahah menggalakkan kebencian antara kaum dan amat bahaya kepada integrasi nasional yang dipupuk selama ini. Lebih membimbangkan ialah kerangka pemikiran sempit Mufti boleh membawa kepada menularnya fahaman ekstrimisma di kalangan umat Islam sedangkan beliau adalah penjawat awam negeri.

8. Saya menasihati Mufti Pahang mengemaskini bacaannya tentang konsep kepelbagaian dalam Islam dan hubungan Muslim dan Non Muslim dalam konsep kerakyatan yang telah dibentangkan dalam seminar NUNJI 15 (Nadwah Ulamak Lil Nahdhah Jadidah) oleh Parti Amanah Negara. Malah saya berbesar hati mengundang beliau untuk membentang konsep Kafir Harbi dalam perspektif negara agar orang ramai lebih mudah melusuri pemikiran Sohibus Samahah dalam menjalankan tugasnya sebagai Mufti Negeri yang tertakluk kepada pentadbiran agama Islam negeri.

Sekian semoga Mufti Pahang menarik balik dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berbagai kaum di negara ini atas keterlanjuran kenyataannya tentang Kafir Harbi tanpa disiplin ilmu waqie (realiti) yang termaktub dalam kerangka negara bangsa Malaysia hari ini.

Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden Parti Amanah Negara
Ahli Parlimen Malaysia

24 Julai 2016.

Dr M: Saya terima, rampaslah Yayasan Kepimpinan Perdana

Tun Dr Mahathir Mohamad menerima sekiranya kerajaan memutuskan untuk merampas Yayasan Kepimpinan Perdana yang diterajuinya.

Namun, kata bekas perdana menteri itu, beliau sedih kerana cadangan berkenaan dibuat oleh pemuda yang akan mewarisi negara dan kepimpinannya di masa hadapan.

“Saya ucap terima kasih kepada Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun yang mengsyor supaya kerajaan menghentikan segala bantuan kewangan dan harta kepada Yayasan Kepimpinan Perdana, termasuk penggajian kakitangan.

“Memanglah menjadi hak kerajaan mengguna kuasa yang diberi oleh rakyat dengan apa cara sekalipun. Ini saya terima. Rampaslah.

“Saya tidak akan merasa kehilangan apabila rampasan dibuat. Saya biasa dan faham dengan kehidupan tanpa keistimewaan,” katanya dalam tulisan terbarunya di blog hari ini.

Namun menurut Mahathir, apa yang menyedihkannya adalah pemimpin belia, yang akan mewarisi negara ini, menunjukkan kebengisan menjadi pemimpin rasuah sebelum mereka berkuasa.

“Tujuannya sama dengan rasuah. Pemberian (suapan) rasuah bertujuan mendapat sokongan, atau mengurang kritikan terhadap pemberi.

“Perampasan hak mempunyai tujuan yang sama. Tidak ada perbezaan antara pemberian dan perampasan – kedua-duanya adalah rasuah,” katanya.

Berikut tulisan penuh di blognya itu.

Saya ucap terima kasih kepada Khairul Azwan Harun, Naib Ketua Pemuda, yang mengsyor supaya Kerajaan menghentikan segala bantuan kewangan dan harta kepada Yayasan Kepimpinan Perdana, termasuk penggajian kakitangan.

Memanglah menjadi hak kerajaan mengguna kuasa yang diberi oleh rakyat dengan apa cara sekalipun. Ini saya terima. Rampaslah.

Yang saya sedih ialah cadangan ini datang dari pemuda yang akan mewarisi negara dan kepimpinannya di masa hadapan. Sebelum pun mendapat kuasa, kebengisan dan ‘corruption of power’ sudah ditunjuk.

Tujuannya sama dengan rasuah. Pemberian (suapan) rasuah bertujuan mendapat sokongan, atau mengurang kritikan terhadap pemberi. Perampasan hak mempunyai tujuan yang sama. Tidak ada perbezaan antara pemberian dan perampasan – kedua-duanya adalah rasuah.

Negara sekarang tahu apabila Khairul Azwan dengan konco-konconya mendapat kuasa (melalui rasuah) negara akan melihat suapan dan rampasan oleh Kerajaan sebagai cara mengekalkan kuasa.

Ini jelas kerana hari ini pemuda dan pewaris menyokong segala perbuatan Najib yang dunia pandang jijik, yang menjatuhkan maruah negara bangsa.

Tidaklah salah jika diramal bahawa ini juga akan dilakukan oleh mereka yang menyusul.

Saya tidak akan merasa kehilangan apabila rampasan dibuat.

Saya biasa dan faham dengan kehidupan tanpa keistimewaan. Hanya saya sedih memikir masa depan negara tercinta ini.

Apakah akan jadi kepadanya setelah budaya rasuah dipandang tinggi dan dipertahan oleh yang akan berkuasa dan memerintah.

Lagi suara Mahathir disekat dengan Umno putuskan tiada lagi bantuan k'jaan untuk Yayasan Perdana

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan sumbangan kerajaan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad akan dihentikan.

Keputusan itu dibuat selepas beliau mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Umno di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, di Kuala Lumpur, petang tadi.

Katanya, peruntukan kerajaan akan dihentikan serta merta dan semua kakitangannya akan diberi notis berhenti.

Semalam, Pergerakan Pemuda Umno menggesa kerajaan untuk menghentikan segala bantuan yang diberikan.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun berkata, bantuan yang diberikan itu termasuk kewangan dan harta tetap serta kakitangan sokongan yang gaji mereka dibayar oleh kerajaan.

Beliau mendakwa langkah itu perlu kerana Mahathir menggunakan yayasan itu sebagai platform untuk menjatuhkan kerajaan.

MT Umno pecat Muhyiddin, Mukhriz dari parti tersebut

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini memutuskan untuk memecat timbalan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhkriz Mahathir daripada parti itu.

Pengumuman pemecatan itu dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku presiden Umno yang berkata keputusan berkenaan dicapai sebulat suara.

Katanya, tindakan kedua-dua mereka berkempen bagi pihak pembangkang sehingga menjejaskan parti, begitu dikesali dan satu perbuatan tidak bertanggungjawab.

Muhyiddin menjadi timbalan presiden Umno kedua yang dipecat selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

MT Umno hari ini juga memutuskan untuk menggantungkan keahlian naib presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal sehingga Jawatankuasa Disiplin Umno menyiapkan laporan.

Turut sama pada sidang media, Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Penerangan, Tan Sri Annuar Musa; Bendahari Umno, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzalah; serta ketua sayap, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Khairy Jamaluddin.

Mufti Pahang perlu bertanggungjawab keluar kenyataan.. Perjuangan DAP selaras Perlembagaan Persekutuan

Saya merujuk kepada laporan Utusan Malaysia yang memetik kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman. Rumusan dari laporan itu, ia memberi gambaran:

DAP ialah golongan kafir harbi yang menentang IslamMereka yang menyokong DAP berdosa besarMereka yang hendak menubuhkan negara sekular menentang IslamHalal memerangi kafir harbi dan penyokongnya

Atas andaian bahawa Utusan menyiarkan kenyataan beliau tanpa tokok tambah, maka saya atas sifat seorang Ahli Parlimen mewakili DAP yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, mengecam kenyataan seperti yang dilaporkan itu.

Secara umumnya, saya ingin mengingatkan, kita perlu taat kepada ulil amri, termasuk orang yang pegang jawatan Mufti selagi dia adil.

Jawatan Mufti membawa tanggungjawab yang berat. Kenyataan yang dikeluarkan adalah suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab. Ia mungkin digunakan sebagai justifikasi mengganasi mereka yang tidak bersetuju dengan ‘politik Islam’.

Adakah beliau berani bertanggungjawab jika ada puak ekstrim membunuh orang yang bukan beragama Islam? Semua orang Islam yang rasional wajib merenggangkan diri dari kenyataan melampau yang dikeluarkan Mufti itu.

Saya menyifatkan kenyataan ini sebagai kenyataan yang menyemai rasa kebencian dan mengukuhkan kepentingan golongan yang memperkudakan agama untuk kepentingan politik dan kuasa mereka.

Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan undang-undang ke atas kenyataan Mufti Pahang tersebut. Majis Fatwa juga wajar mengecam kenyataan sedemikian. Mufti Pahang patut sedar bahawa pandangannya keatas sesuatu bukanlah kebenaran mutlak. 

Berdasarkan sejarah lalu dan realiti hari ini, jauh berbeza dan tidak boleh disamakan.

DAP ada sebab untuk tidak bersetuju dengan usul Rang Undang-Undang (RUU) peribadi yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Hadi Awang sebelum ini. Ia bukan kerana DAP anti-Islam tapi anti kepada orang yang menggunakan agama dan memeras ugut orang lain demi agenda mereka.

Saya sendiri tidak bersetuju RUU tersebut bukan kerana saya menentang Islam tetapi atas sebab, secara umumnya, ia suatu langkah bagi menyembunyikan kelemahan pemerintah sendiri.

Kenyataan ini berbaur perkauman walaupun Datuk Mufti merujuk kepada sejarah nabi berbaik dengan orang yang bukan beragama Islam tetapi menyuruh orang Islam melawan golongan yang menentang Islam. Ia juga secara langsung mendedahkan wajah perkauman yang tersembunyi dalam diri beliau.

Tohmahan terhadap DAP melupakan fakta sebenar

Kenyataan ini  melupakan fakta bahawa negara Malaysia ialah sebuah negara sekular di mana agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Kenyataan ini juga melupakan fakta bahawa UMNO tunjang pemerintahan juga menentang perluasan bidang kuasa mahkamah syariah. Adakah itu menjadikan UMNO juga musuh agama Islam?

Oleh kerana Malaysia negara sekular, begitu juga dengan perlembagaannya, maka tidak timbul isu DAP menentang Islam. DAP akan terus memperjuangkan agenda yang dibenarkan oleh perlembagaan.

Saya melihat kenyataan Mufti Pahang ini sebagai lanjutan pihak yang menggunakan agama untuk menyemai permusuhan dan kebencian. Kenyataan ini patut ditentang.

Saya menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya keatas Mufti Pahang ini kerana jelas mengeluarkan kenyataan yang menghasut dan boleh mencetuskan kekacauan dan permusuhan kaum.

Sebagai rekod, DAP bukan parti yang menentang Islam. DAP adalah sebuah parti sekular dan mempertahankan perlembagaan negara yang sentiasa mendukung kedaulatan undang-undang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. DAP memperjuangkan keadilan sosial untuk semua.

Sebagai mematah hujah DAP anti Islam, rekod kerajaan Pulau Pinang terhadap perkembangan agama Islam dan masyarakat Islam negeri itu terdedah untuk diteliti. Pencapaian oleh kerajaan kononnya ‘kafir harbi’ ini jauh lebih baik menggerhanakan pencapaian negeri-negeri yang ditadbir oleh mereka yang mengaku sebagai ‘Islam’. – Roketkini.com

Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz adalah Ahli Parlimen Raub merangkap Ahli Jawatankuasa DAP Pahang

Perdana Menteri Britain hari ini mengumumkan perletakkan jawatan

David Cameron letak jawatan

Perdana Menteri Britain David Cameron hari ini mengumumkan perletakkan jawatannya selepas rakyat negara itu memilih untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

Beliau sebelum ini memberi amaran United Kingdom akan mengalami kesan ekonomi yang teruk jika keluar dari kesatuan tersebut.

Cameron, bagaimanapun berjanji akan membantu menstabilkan keadaan dalam beberapa bulan ini sebelum pengambil alihan kepimpinan baru Oktober ini.

Al Fatihah : Prof. Izzi meninggal dunia

SHAH ALAM - Pakar motivasi, Profesor Madya Md Izuddin Ali atau lebih dikenali sebagai Prof Izzi telah kembali ke rahmatullah pada 12:45 tengah hari tadi di Hospital Alor Setar, Kedah.

Dr M bertegas Najib yang penjarakan Anwar sekarang..

Dr M bertegas tiada masalah dengan Anwar sekarang, tapi...

24 Jun 2016, pagi 10:32 (Dikemaskini 24 Jun 2016, pagi 10:38)

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertegaskan bahawa beliau tidak ada sebarang masalah dengan mantan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang.

Ini di tengah-tengah desakan supaya beliau menyokong tuntutan pembebasan Anwar dari penjara Sungai Buloh sebagai sebahagian daripada gerakan Deklarasi Rakyat.

Bagaimanapun dalam temu bual dalam program hal ehwal semasa Al Jazeera 'UpFront', Mahathir berkata beliau tidak menyesal memecat Anwar sebagai timbalannya pada 1998.

"Saya tidak ada kuasa untuk mengarah sesiapa dibebaskan... Saya tidak ada masalah denganya sekarang. Itu dulu," kata Dr Mahathir dalam temubual yang akan disiarkan lewat malam ini.

"Pemenjaraannya sekarang bukan kerana saya, ia kerana Najib," katanya, merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mahathir memecat Anwar pada 1998 sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pelajaran, yang mencetuskan gerakan Reformasi yang diikuti dengan pemenjaraan pertama Anwar atas tuduhan penyalahgunaan kuasa.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas beliau disabitkan pada 10 Februari 2015, berhubung tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dalam temubual itu, Mahathir turut mengulas mengenai masa depan politiknya sendiri, selepas keluar Umno dan menerajui desakan supaya Najib berundur.

Ditanya sama ada beliau mungkin mempertimbang kembali ke pangkuan Umno, Mahathir berkata beliau tidak menolak sebarang kemungkinan dan apa sahaja boleh berlaku.

Kenyataan Mufti Pahang dalam Utusan mengundang bahaya dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia

Oleh Salman Ali

Kita bersama-sama mengkritik dan menghentam pandangan DAP beserta MCA, MIC dan Gerakan yang menentang pemerkasaan mahkamah syariah.

Tetapi untuk katakana DAP menjadi kafir harbi (yang diperangi) diatas isu ini,  pandangan begini agak ekstrim.

Imam Syafie sendiri apabila menyebut tentang kafir yang diperangi, kata beliau:
حَلَالَ الدَّمِ وَالْمَالِ
Dihalalkan darah dan harta mereka.

Fatwa menjadikan DAP kafir Harbi ini bukannya datang dari penyokong ISIS tetapi dari seorang mufti.

Ia seumpama menghalalkan darah mereka. dan darah siapa yang tuan mufti mahu halalkan. semua barisan pemimpin DAP kah. Kalau begitu atas dasar yang sama mesti masukkan MCA, MIC dan Gerakan juga. Adakah termasuk penyokong mereka sekali.

Kalau umat islam yang bekerjasama dan bersekongkol dengan DAP dikira berdosa besar, bagaimana pula dengan yang bersekongkol dengan MCA, MIC dan Gerakan.

Fatwa begini amat merbahaya dalam Negara berbilang kaum yang hidup bersama. Mungkin lebih merbahaya dari fatwa daesh memandangkan kedudukan mufti dalam masyarakat.

Ahmad Bashah dibenar keluar dari Hospital P Pinang

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dibenarkan keluar daripada Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam selepas menjalani rawatan selama 18 hari di hospital berkenaan.

Beliau dibenarkan keluar dari wad Unit Rawatan Rapi (ICU) pada kira-kira pukul 4.30 petang dengan ditemani isterinya, Datin Seri Hizam Awang Ahmad serta pakar bius HPP, Datuk Jahizah Hassan dan beberapa pertugas hospital.

Beliau dijangka menjalankan pemeriksaan susulan Isnin ini.

Ketika keluar dari wad ICU, Ahmad Bashah kelihatan ceria dan senyum sambil melambaikan tangan kepada anggota media.

Sebelum ini, pengerusi badan perhubungan Umno Kedah itu pitam ketika menghadiri mesyuarat bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional di Hotel Grand Alora, Alor Star, pada 4 Jun lepas.

eliau kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Kedah pada hari berkenaansebelum dirujuk ke HPP pada hari berikutnya untuk menjalani pembedahan membuang sebahagian usus besarnya yang menyebabkan pendarahan.

- Bernama

Pindaan RUU AKTA 355 - Jangan terkeliru atau mengelirukan

Zainul Rijal Abu Bakar
24 Jun 2016

SEKALI lagi saya menulis pada minggu ini berkaitan dengan Rang Undang-Undang Persendirian yang dikemukakan Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Ini adalah disebabkan masih ramai yang memperkatakan berkenaan isu ini sejak kebelakangan ini. Perbincangan pula tanpa penguasaan ilmu perundangan, sama ada Perlembagaan Persekutuan mahupun sistem perundangan jenayah negara yang mengamalkan dwi-sistem ini.

Saya perhatikan semakin hari semakin menyerlah penistaan yang dikemukakan jauh lari dari perkara yang sebenar. Kalangan yang memperkatakan isu ini pula sesetengahnya bukanlah orang awam tetapi dalam kalangan ahli legislatif, pengamal undang-undang dan juga mereka yang mempunyai agenda tertentu. Golongan ini sama ada terkeliru dengan asas perundangan negara ataupun mahu mengelirukan khalayak awam.

Salah faham yang sangat besar ialah mengatakan RUU Persendirian ini adalah jalan belakang untuk melaksanakan hudud. Sebagaimana yang kita ketahui pada umumnya kesalahan hudud terdiri dari tujuh kesalahan iaitu murtad, berzina, menuduh zina, meminum arak, mencuri, merompak dan menderhaka.

Dalam sistem taburan kuasa yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan bidang kuasa jenayah adalah bidang kuasa Persekutuan manakala bidang kuasa negeri hanyalah terhadap kesalahan-kesalahan melanggar perintah agama Islam dalam kalangan penganut agama Islam.

Oleh hal yang demikian kesalahan murtad, berzina, menuduh zina dan meminum arak bagi orang Islam adalah di bawah kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri manakala bagi kesalahan mencuri merompak dan menderhaka ia tetap dalam bidang kuasa Persekutuan. RUU Persendirian ini tidak mengubah struktur ini kerana bagi mengubah struktur ini Pindaan terhadap Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan adalah diperlukan.

Oleh itu adalah tidak tepat mengatakan RUU Persendirian ini adalah jalan belakang melaksanakan hudud kerana beberapa kesalahan hudud masih tidak boleh tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah. Walaupun mungkin beberapa kesalahan seperti berzina, menuduh zina dan meminum arak boleh dilaksanakan hukuman rotan sebagaimana diperuntukkan hukum syarak tetapi hukuman mati masih tidak boleh dilaksanakan. 

Perlulah kita membezakan hukuman sebatan syariah tidaklah sama dengan sebatan yang dijatuhkan mahkamah sivil yang dilaksanakan di penjara. Sebatan sivil ini amat menyeksakan dan mencederakan pesalah.

Seksyen 125 Akta Tatacara Jenayah Syariah memperuntukkan alat sebatan tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter. Sebelum hukuman dilaksanakan pesalah hendaklah diperiksa oleh seorang Pegawai Perubatan Kerajaan dan diperakui pesalah dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman itu. Jika pesalah hamil tangguhkan hukuman hendaklah dibuat.

Orang yang dilantik melaksanakan hukuman hendaklah seorang yang adil dan matang menggunakan alat sebatan dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah. Sebatan ini boleh dikenakan ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada dan bahagian sulit.

Sebatan syariah ini amat berbeza dengan sebatan sivil yang mencederakan dan hanya boleh dilakukan terhadap orang Islam sahaja.

Orang bukan Islam tidaklah perlu risau jika hukuman ini boleh dikenakan kepada mereka pula kerana RUU Persendirian tersebut hanya mengehadkan hukuman kepada orang Islam.

Seperkara lagi yang ditimbulkan ialah keperlembagaan RUU Persendirian ini jika diluluskan sebagai undang-undang. Jika dilihat persoalan yang ditimbulkan ini ia seolah-olah bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan iaitu kesamarataan di sisi undang-undang. Golongan ini memperjuangkan tidak boleh ada dua sistem undang-undang berlainan untuk orang Islam dan bukan Islam kerana bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan tadi. Namun sebenarnya Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dibaca secara berasingan antara satu perkara dengan perkara yang lain.

RUU Persendirian ini jika diluluskan adalah amat penting dalam kerangka untuk memperkasakan mahkamah syariah. Buat masa ini bidang kuasa jenayah mahkamah syariah hanyalah sekadar tiga tahun penjara lima ribu ringgit denda dan enam kali sebatan. Bidang kuasa ini sebenarnya lebih rendah daripada mahkamah rendah sivil sama ada majistret apatah lagi mahkamah sesyen.

Usahlah terkeliru dengan cakap-cakap yang tidak mempunyai sandaran undang-undang ataupun cuba mengelirukan atau menakutkan orang lain dengan perkara-perkara yang tidak berasaskan fakta sebenar.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...