TERKINI :

Thursday, June 23, 2016

Ayah bezakan PAS dan Islam, kata anak Fadzil Noor

PETALING JAYA: Empat belas tahun selepas kematian Datuk Fadzil Noor, presiden PAS yang mengemudi parti itu ketika krisis politik terburuk negara pada lewat 1990-an, anaknya mengenang kembali ayahnya sebagai seorang bersikap terbuka baik di rumah mahu pun di pentas politik.

“Beliau terkenal dengan sikap terbuka dalam pendekatan politiknya dengan menggalakkan pelbagai profesional sertai parti, begitulah beliau sebagai bapa, berikan kami pilihan,” kata Faiz Fadzil, seorang peguam, kepada FMT hari ini.

Di kalangan lapan adik-beradiknya, empat menceburi bidang undang-undang, dua dalam bidang perakaunan manakala dua lagi jurusan agama.

“Beliau tidak takfiri dan boleh berhujah dengan baik,” kata Faiz, merujuk amalan suka melabel umat Islam lain sebagai sesat.

“Di rumah juga begitu, kami tidak dilarang berhujah atas apa-apa isu termasuk isu politik ketika itu.”

Fadzil, yang menjawat presiden PAS selama tiga tahun, meninggal dunia pada 23 Jun, 2002, selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras.

Jenazah beliau disambut ratusan ribu orang yang membanjiri perkarangan HUKM, sehingga memaksa solat jenazah dilakukan berulang kali.

Jenazahnya kemudian diterbangkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysa (TUDM) ke Kedah, disambut lebih 20,000 orang.

Lautan manusia sekali lagi dilihat ketika jenazah dibawa ke Pokok Sena, Kedah, kawasan Parlimen yang diwakili Fadzil sehingga akhir hayat beliau.

Perubahan dari ‘parti lebai’

Fadzil kerap dikaitkan dengan kehadiran PAS di arena perdana politik, selepas parti itu sekian lama dikenali sebagai “parti lebai” yang hanya mempunyai sokongan di kawasan luar bandar.

Sejurus selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, Fadzil merupakan antara orang pertama menziarahi bekas timbalan perdana menteri itu di kediamannya di Bukit Damansara.

Keterbukaan Fadzil dalam memimpin PAS menyaksikan keahlian PAS naik mendadak, ditambah pula dengan kemasukan profesional dan bekas ahli Umno yang kecewa layanan terhadap Anwar.

‘PAS bukan agama’

Faiz berkata ayahnya tidak taksub dengan sesuatu pemikiran, dan dapat membezakan antara PAS dan Islam.

“Beliau mahu mendidik ahli PAS supaya dapat membawa PAS atas nama agama dan bukannya agama atas nama PAS,” kata Faiz, yang kini memegang jawatan timbalan ketua Amanah, parti yang lahir selepas kemenangan puak konservatif pada Muktamar PAS tahun lalu.

Sejak perubahan kepimpinan itu, PAS dilihat lebih tegas dengan langkah memperkenalkan hukum hudud di samping mendekatkan diri dengan Umno atas kepentingan Melayu dan Islam.

Faiz berkata perkembangan mutakhir ini berlawanan daripada apa yang diimpikan ayahnya.

“Beliau tidak pernah tunjukkan sifat ultra-Melayu, malah sering ingatkan kami untuk hormati kaum lain,” kata Faiz.

Beliau menganggap apa yang berlaku dalam PAS sekarang merupakan “putaran ke belakang” yang kembali ke era PAS sebelum Fadzil.

Putaran ke belakang

Menurut Faiz, ayahnya bijak mengambil peluang politik, dan berbaik dengan semua pihak termasuk Tengku Razaleigh Hamzah dan Tunku Abdul Rahman, perdana menteri pertama yang ketika itu menentang pentadbiran Barisan Nasional di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Beliau berbaik dengan mereka bukan atas nama political mileage, tetapi demi membina kekuatan lawan rejim Umno.

“Beliau bina PAS yang progresif dan apa yang berlaku kepada PAS sekarang adalah satu putaran ke belakang pra-kepimpinan beliau.”

Faiz berkata legasi ayahnya yang paling besar ialah tahaluf siyasi, yang membolehkan PAS mengadakan kerjasama dengan DAP walaupun kedua-dua parti itu berlawanan ideologi.

“Ini yang harus pembangkang teruskan di bawah Pakatan Harapan,” kata Faiz, merujuk gabungan pembangkang yang melibatkan PKR, DAP dan Amanah, tanpa PAS.

Apabila Pahlawan Bugis jalan berkepit, apabila Najib selesai kes diluar mahkamah..!!

Apabila PM Najib mengisytiharkan diri beliau sebagai pahlawan bugis, ramai yang sinis. Adakah ketokohan beliau melayakkan beliau digelar pahlawan Bugis? Dan keturunan Bugis mana yang beliau berasal? Bukankah Bugis yang datang ke Tanah Melayu dulu sebenarnya melarikan diri daripada konflik di Maluku? 

Apapun ciri-ciri tersebut, walaupun boleh dipertikaikan kesahihannya, tapi itulah yang ditunjukkan oleh PM Najib sekarang ini. Sandiwara tunggu hari Selasa untuk saman telah menjadi 'punch-line' lawak satu Malaya. Yang peliknya, saman tersebut masih jauh dari nyata walaupun WSJ sudah bertimbun menulis tentang 1MDB dan dipertikaikan oleh pemakan dedak disekeliling beliau.

Semasa DS Rosmah dikatakan mempengaruhi keputusan kerajaan oleh YB Nga Kor Ming pada tahun 2015, PM Najib dan DS Rosmah dengan lajunya menyaman MP Taiping tersebut. Mereka meminta mahkamah membuat keputusan hanya berdasarkan peruntukan undang-undang sahaja.

Maka barisan peguam PM Najibpun membentanglah segala hujah menyokong kehendak tuan mereka. Yang peliknya, salah seorang daripada peguam tersebut pernah menjadi pensyarah di satu universiti terkemuka tempatan dan mengajar bahawa undang-undang itu sebenarnya kosong tanpa berlandaskan fakta. Tanpa fakta, pembuktian undang-undang itu tergantung kerana tidak boleh dibezakan antara hitam dan putih.

Tapi itu yang kehendaki oleh PM Najib. Apabila permintaan beliau ditolak oleh mahkamah, maka penyelesaian luar mahkamah dilakukan. Ini sudah tentulah menjadikan tuntutan keras PM Najib dan DS Rosmah terhadap YB Nga dicairkan secair-cairnya. Apa ada pada permohonan maaf oleh ahli politik di Malaysia ini. Masing-masing memang lidah bercabang, itulah persepsi amnya.

Dan kini, kes saman Harakahdaily oleh PM Najib akan mengikuti jejak yang sama apabila permohonan tanpa perbicaraan penuh ditolak oleh mahkamah. Setelah berdegar-degar mencabar, jika diadakan penyelesaian luar mahkamah, tidakkah tuntutan keras itu akan menjadi cair seperti ais ketul menunggu waktu berbuka puasa?

Maka andaian bahawa pahlawan Bugis di Tanah Melayu ini sebenarnya adalah mereka yang melarikan diri daripada pergolakan di Maluku mungkin tidak benar kepada yang lain, tapi untuk PM Najib, ciri-ciri bersamaan itu memang berkebarangkalian yang tinggi. Dan mungkinkah saman PM Najib selepas ni akan menjadi tiada 'ummpphh' sebab PM Najib takut disoal peguam. 

Kemungkinan juga ramai barisan MP pembangkang yang berkelayakan peguam selepas ini sanggup menawar diri kepada insan-insan biasa bila disaman PM Najib bagi mengelakan tuntutan wang yang tinggi. Ini kerana PM Najib memang tidak akan sanggup memasuki kandang saksi di mahkamah walaupun cakapnya berdegar...

Mohamad Daud Sulaiman
Sebelum berbuka puasa di Puncak Alam

Jurulatih Kedah Belum Puas Aksi Lopes

KEJAYAAN Bruno Lopes mencipta hatrik ketika membantu Kedah menewaskan Perlis 3-2 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Darul Aman pada Rabu malam, belum cukup untuk menjamin tempatnya dalam skuad hijau kuning.

Sebaliknya, penyerang dari Brazil yang sedang diuji itu diminta membuktikan penyudah lebih baik sebelum ditawarkan kontrak oleh Persatuan Bola sepak Kedah (KFA).

Tidak cukup dengan itu, Lopes juga akan diuji bersama pemain import lain yang dilapor akan tiba pada Sabtu.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe turut mengesahkan bahawa beberapa penyerang lagi akan tiba untuk diuji bersama Lopes dalam tempoh terdekat.

Jelasnya, kesemua pemain import tersebut dituntut membuktikan ketajaman penyudah selain faktor lain yang perlu ada pada seorang penyerang jika mahu sertai Kedah.

"Lopes telah buktikan penyudahnya dengan menjaringkan empat gol daripada dua perlawanan. Ini satu rekod yang baik, tetapi saya tidak mahu membuat sebarang keputusan sebelum tempoh ujian tamat.

"Kita akan tunggu dulu penyerang lain yang akan sampai untuk diuji. Selepas kesemua ujian selesai dilakukan barulah kita akan membuat keputusan siapakah yang akan menjadi penyerang Kedah selepas ini," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe memberitahu, Lopes telah menunjukkan bahawa dia seorang penyerang yang komited sepanjang 90 minit perlawanan selain dapat menjaringkan gol.

Tambahnya, pemain berkenaan juga mempunyai kemampuan untuk mencipta peluang ketika di depan gol untuk menghasilkan jaringan khususnya dalam perlawanan menentang Perlis.

"Dalam  perlawanan malam tadi kita ketinggalan 2-0 tetapi semangat dan kesungguhan daripada kesemua pemain berjaya membuatkan kita bangkit semula dan memenangi perlawanan itu.

"Ini adalah satu semangat berpasukan yang digeruni lawan dan permainan seperti ini perlu konsisten dalam apa jua kejohanan yang kita hadapi selepas ini," ujarnya.

Cheng Hoe berkata, Kedah dijadual menentang Pulau Pinang pada Sabtu ini dan DRB Hicom (Rabu) sebagai persediaan menghadapi Piala Malaysia dan baki saingan Liga Super.

Saingan Liga Malaysia akan kembali bermula pada Julai dan jendela pemindahan telah dibuka untuk setiap pasukan menukar pemain. MstarOnline

Najib, Harakah Daily pertimbang selesai saman fitnah

PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak dan Harakah Daily mempertimbangkan kemungkinan menyelesaikan di luar mahkamah, saman fitnah difailkan perdana menteri terhadap lidah rasmi Pas itu berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam mewakili perdana menteri, Datuk Mohd Hafarizam Harun memberitahu pemberita, kedua-dua pihak dalam saman itu memaklumkan mahkamah dalam prosiding pengurusan kes hari ini, mereka sedang berusaha untuk menyelesaikan saman sivil itu.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang mengendalikan pengurusan kes itu di dalam kamar, menetapkan 11 Julai bagi kedua-dua pihak untuk memaklumkan kepadanya akan keputusan mereka.

Mohd Hafarizam berkata jika kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk mendengar kedua-dua rayuan yang dikemukakan oleh anak guamnya (Najib).

Peguam Wan Rohimi Wan Daud, mewakili Harakah Daily, hadir pada prosiding pengurusan kes hari ini.  

Mohd Hafarizam berkata pengurusan kes bagi kedua-dua rayuan yang sebelum ini ditetapkan pada 23 Jun dan 14 Julai, telah diawalkan ke hari ini.

Pada 15 Jun, Najib memperoleh perintah daripada Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan sementara pendengaran saman fitnahnya terhadap Harakah, sementara menunggu dua rayuannya selesai.

Dua rayuan itu adalah berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 April yang menolak permohonan perdana menteri untuk meminda pernyataan tuntutannya bagi memasukkan kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Suruhanjaya

Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Mei yang menolak permohonan Najib bagi saman itu diputuskan berdasarkan undang-undang tanpa diadakan perbicaraan penuh.

Kenyataan Peguam Negara itu mengesahkan bahawa RM2.6 bilion adalah derma dan Najib tidak terlibat dalam kes SRC International, dan kenyataan SPRM pula mengesahkan RM2.6 bilion itu bukan daripada 1MDB.

Najib menyaman Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakob dan Ketua Editor Harakahdaily Taufek Yahya berhubung artikel yang didakwa memfitnahnya, ditulis oleh Rosli dan diterbitkan pada 19 Februari, 2015.

Dalam pernyataan tuntutan itu, beliau juga mendakwa artikel itu mengambarkan bahawa beliau telah menyalahgunakan dana 1MDB dan penerbitan artikel itu bertujuan untuk mencemarkan maruahnya.

Perdana Menteri mendakwa Taufek telah gagal melaksanakan kewartawanan bertanggungjawab dan tidak mengesahkan sama ada isi kandungan artikel ditulis Rosli itu adalah tepat sebelum menerbitkannya. – Bernama

Pakatan NGO pro BN buat laporan polis terhadap Tun M

KUALA LUMPUR - Pakatan NGO Pro Barisan Nasional dan Gabungan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM) hari ini membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan dalam blognya, CheDet pada 7 Jun lepas yang didakwa berunsur fitnah.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Sri Petaling, dekat sini.

Presidennya Zulkarnain Mahdar berkata Dr Mahathir telah melemparkan tuduhan kononnya mereka yang tidak menandatangani "Deklarasi Mahathir" adalah pengkhianat bangsa.

"Selain itu, Dr Mahathir turut menyatakan mulut ahli-ahli Umno telah disumbat dengan dedak yang menyebabkan mereka tidak dapat bersuara atau menegur presiden parti iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Zulkarnain berkata tindakan saman yang dicadangkan terhadap Dr Mahathir akan dibatalkan berikutan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan dan Parlimen Sungai Besar, Selangor pada Sabtu lepas.

"Tindakan saman yang dicadangkan sebelum ini akan dibatalkan berikutan keputusan PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang telah memihak kepada Umno Dan BN dengan majoriti yang tinggi.

"Ini sekaligus adalah satu petanda dan mesej yang jelas telah disampaikan oleh rakyat kepada Dr Mahathir bahawa tindakan yang dilakukannya ditolak oleh rakyat," katanya. - Bernama

Prof M. Agus - Betulkah Islam versi PAS begitu atau hanya sekadar persepsi sahaja?

SEMENTARA MENUNGGU WAKTU BERBUKA (2)

Rakan fb menghantar kepada saya tulisan bertajuk Islam versi PAS dan meminta saya mengulasnya.  Aduh, saya tidak pandai.  Justeru, saya meringkaskan tulisan tersebut untuk kita membincangkannya.

Antara lain, tulisan tersebut membawa maksud seperti berikut:

i.   Boleh menghina kawan dan lawan sesama Muslim dengan bahasa kesat seperti jebon, munafik, barua dan lainnya, sedangkan al-Quran di dalam surah al Hujurat melarang kita sesama Muslim melemparkan gelaran dan kata-kata kesat.

ii.  Boleh khianat kawan seperti kes Kota Damansara dan beberapa kerusi di Terengganu dalam PRU13 dan beberapa kes lagi, sedangkan Islam melarang perbuatan khianat.

iii.  Maslahat rakyat yang diperjuangkan cuma hudud, sedangkan Islam menuntut kerajaan menjaga kesejahteraan hidup rakyat seperti menyediakan prasarana yang baik, peluang pekerjaan dan lainnya.

iv.  PAS menyampaikan Islam agak jumud dan kasar, sedangkan Islam menggalakkan dakwah dengan pendekatan terbuka, kasih sayang, tinggi diplomasi dan toleransi, mulia bahasa dan akhlaknya.

v.  Angkuh dengan semua pihak, sentiasa mendabik dada parti PAS yang terbaik, jika tidak memilih PAS akidahnya terpesong.

Setelah membaca ringkasan di atas, apa pandangan kawan-kawan semua.  Betulkah Islam versi PAS begitu atau hanya sekadar persepsi sahaja?

Moga posting ini tidak mengundang emosi. Selamat berbuka.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...