TERKINI :

Tuesday, June 21, 2016

Nik Abduh jadi suara Umno tutup kezaliman dengan isu perkauman

21 Jun 2016

Tindak-tanduk Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mutakhir ini menunjukkan Ketua Pemuda Pas itu berada di pihak kerajaan walaupun cuba dinafikan, tegas Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil.

Membidas dakwaan Nik Abduh kononnya Pas tiada perjanjian dengan pemerintah, beliau berkata, kegagalan Ahli Parlimen Pasir Mas itu menentang penyelewengan Najib Razak berhubung isu derma RM2.6 bilion ke akaun peribadinya seolah-olah membenarkan sahaja salah laku Perdana Menteri.

“Padahal wang tersebut yang didakwa dimasukkan melalui SRC International adalah satu salah laku dan jenayah pecah amanah. Ini adalah satu bentuk kezaliman pemerintah terhadap rakyat.

“Pemimpin negara berbelanja berbilion ringit sedangkan rakyat dihimpit dengan pelbagai tekanan kesusahan akibat GST dan kenaikan harga barang,” ujarnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Menurutnya, kegagalan Nik Abduh untuk menentang kezaliman adalah sesuatu yang ditegah oleh Allah seperti firman-Nya dalam Surah Hud, ayat 113.

Mengulas sindiran Nik Abduh terhadap Tun Mahathir kononnya tidak lagi mempunyai 'taring' dan menyarankan bekas Perdana Menteri itu memperbanyakkan ibadat, Faiz berkata, tempelakan Nik Abduh itu selari dengan ucapan Najib yang menyerang Tun Mahathir selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, 18 Jun lalu.

“Mana lebih penting? Menentang pemerintah yang pencen atau yang berkuasa? Sebagai seorang yang ada ilmu agama, beliau (Nik Abduh) harus memuji sikap Tun Mahathir itu selari dengan hadis berbunyi, jihad paling baik adalah berkata benar terhadap raja yang zalim.

“Nik Abduh juga mungkin lupa pesanan almarhum ayahandanya bahawa menentang kezaliman adalah sama darjatnya dengan berada di atas sejadah. Almarhum hingga ke akhir hayat istiqamah menentang Umno,” ujarnya.

Terdahulu, Nik Abduh dalam entri “Catatan di Tepian Kubur” di Facebooknya semalam antara lain turut menyebut tentang sokongan yang benar dan paling tepat terhadap Pas seperti dapat dilihat pada keputusan PRK di kedua-dua Parlimen itu.

Mengulas lanjut, Faiz berpendapat kenyataan Nik Abduh yang tidak bersetuju dengan penentangan terhadap kerajaan sehinga tergadai Islam juga adalah satu pengakuan beliau yang akan terus menyokong Najib dan Umno.

“Kenyataan tersebut juga jelas satu propaganda untuk mengaburi orang Melayu kononnya perjuangan menentang kezaliman tidak penting dan syarie jika diperjuangkan bersama orang bukan Islam.

“Saya menyesali kenyataannya yang berbaur perkauman atas nama agama. Rakyat Malaysia tidak kira latar belakang agama dan kaum harus bersatu menentang kezaliman pemerintah negara terhadap rakyat hari ini,” tambahnya lagi.

http://malaysiadateline.com/index.php/berita-list/16-berita-utama/3293-nik-abduh-jadi-suara-umno-tutup-kezaliman-dengan-isu-perkauman

Prof Agus berpesan pada golongan ahli parti yang maki hamun & ugut dia...

SEMENTARA MENUNGGU WAKTU BERBUKA

Saya lama tidak menulis dalam fb.  Minggu lepas saya menulis catatan ringkas tentang Kelantan dan juga PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Tentang Kelantan saya sentuh isu keselamatan jalan raya sempena Syawal, isu rakyat mahukan air bersih dan isu kekotoran bandar.

Saya menulis dengan tujuan supaya pihak berkuasa mengambil perhatian kepada isu rakyat ini.  Jagailah rakyat.  Tidak pun saya menulis ini untuk kepentingan saya.  Untuk kepentingan kita semua.

Tetapi reaksi facebookers selalu keluar dari konteks—memaki saya dan mengugut saya melalui inbox.  Mengapa?  Kerana kita melihat tulisan saya bersifat politik.  Maka kitapun mempertahanlah parti yang kita sokong.

Pertahanlah parti yang kita sokong, itu tidak salah.  Tetapi pertahanlah secara adab agama kita.  Barulah kita dilihat murni.

Selain itu, kita perlu faham bahawa tidak semua isu kesejahteraan rakyat itu adalah isu yang perlu kita politikkan.  Jangan terlalu kepartian kita.  Bersatu hatilah kita mendesak pihak berkuasa menjaga kesejahteraan rakyat ini.  Semoganya dengan cara itu kita juga mendapat redha Allah.

********************************

Setelah keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, saya belum menulis sebarang komen.  Tiba-tiba muncul kenyataan yang kononnya dari saya.

Kawan fb meminta saya membuat hebahan bahawa itu bukan dari saya.  Bagi saya tidak mengapalah.  Saya anggap itu sebagai keghairahan politik.

Kenyataan tersebut tidak pun menghina sesiapa, sekadar pandangan politik kepartian sahaja.

**********************

Saya puas dengan kepekaan kita pada perkembangan politik negara hari ini.  Teruskan.  Cuma pesan saya, jangan pula kita terlebih peka sehingga semangat itu membuatkan kita mudah beremosi dalam politik.

Nasihat saya, sebagai seorang Muslim, bermainlah politik tanpa memfitnah kawan dan memburukkan pihak yang berbeza pandangan dengan kita.  Setiap dari kita ada hak dan kebebasan untuk mempunyai pandangan sendiri.

Semoga kita semua mendapat redha Allah.  Salam Ramadan.

Mohammad Agus Yussof

Ustaz Pas kena notis seminggu untuk mohon maaf Kerajaan Negeri P.Pinang diatas fitnah "Penang Tak Boleh Azan"

GEORGE TOWN – Yang diPertua (YDP) PAS Padang Serai, Ustaz Shaharuddin Ibrahim yang menimbulkan kontroversi kerana melemparkan fitnah kononnya masjid-masjid di Pulau Pinang tidak boleh melaungkan azan dituntut untuk memohon maaf secara terbuka dan menarik balik fitnah tersebut.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim berkata, beliau amat kesal dengan kenyataan berunsurkan fitnah yang dilemparkan Shaharuddin ketika menyampaikan tazkirah Ramadan di Masjid Jamek An-Najah, Padang Serai, Kedah pada 11 Jun 2016.

“Tazkirah Ramadan sepatutnya menjadi wadah penyebaran ilmu agama, menyingkap kisah-kisah nabi, kelebihan Ramadan dan bukannya dijadikan pentas politik kepartian dengan menabur fitnah,” katanya dalam sidang media di Komtar, tadi.

Menurut Abdul Malik, lebih dikesalkan adalah tohmahan dan fitnah yang dilakukan itu 'dilontarkan' ketika di dalam masjid dan di bulan Ramadan yang mulia.

“Justeru, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menuntut supaya beliau (Shaharuddin) memohon maaf secara terbuka dan menarik balik fitnah tersebut dalam media massa.

“Beliau (Shaharuddin) juga perlu memohon maaf kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui kenyataan bertulis dalam tempoh seminggu. Sekiranya gagal, tindakan undang-undang akan dipertimbangkan,” jelasnya.

Pada 11 Jun lalu, Shaharuddin dipercayai mengeluarkan kenyataan yang berbunyi seperti berikut:

“Kalau DAP menguasai negara...nuu Pulau Pinang tuan-tuan, bang (azan) dah tak boleh dah, bang (azan) tak boleh dah, tuan-tuan..!”

Mengulas lanjut. Abdul Malik memberitahu, tazkirah Shaharuddin yang berdurasi sekitar 30 minit itu, jelas menyiarkan ucapannya pada minit 14:35. 

“Malah, tuduhannya turut disiarkan dalam Youtube (http://www.youtube.com/watch?v=mrlO6A99wcs) dan laman Facebook Masjid Jamek An-Najah (https://www.facebook.com/masjidpadangserai),'' ujarnya.

Dalam Ustaz PAS dok fitnah Kerajaan Negeri P.Pinang Tak boleh Azan tetiba ada lagi masjid baru dibina

PULAU PINANG BINA MASJID SENDIRI BERNILAI RM4 JUTA


1. Setelah tiga Perdana Menteri gagal tunaikan janji untuk membina semula Masjid Baru Batu Maung yang uzur, maka kerajaan negeri memutuskan membiayai kos pembinaannya bersama rakyat.
.
2. Majlis pecah tanah pada 22 Jun 2014 oleh DS Anwar Ibrahim, berjaya disiapkan dalam tempoh 2 tahun dalam jangka masa ditetapkan.
.
3. Pada 19 Jun 2016, ia dirasmikan pembukaannya oleh TYT Pulau Pinang. Masjid bernilai RM4.01 juta itu dibiayai kerajaan negeri sebanyak RM3 juta dan bakinya lebih RM1 juta diwakaf oleh anak khariah dan orang ramai.
.
4. Masjid ini istimewa di Penang, kerana :-
.
a) Inilah masjid pertama yang dibina oleh kerajaan negeri tanpa berkongsi kos dengan kerajaan pusat seperti lazimnya.
.
b) Inilah masjid pertama / terdekat daripada susur jambatan kedua Pulau Pinang.
.
c) Inilah masjid pertama yang mempunyai menara unik berbentuk rehal Al-Quran.
.
d) Inilah masjid pertama yang mempunyai tempat wuduk di bahagian bawah (tanah).
.
e) Masjid pertama yang paling cepat perasmiannya setelah 3 hari siap - projek diserahkan oleh JKR pada 16 Jun 2016.
.
5. Sejak PR / PH memerintah lebih 10 buah masjid telah dibina di Pulau Pinang dengan kosnya dibiayai oleh kerajaan negeri dan pusat.
.
6. Pada minggu lepas, kerajaan negeri menyumbang RM15 juta untuk membina semula Sekolah Pendidikan Islam Al-Itqan, di Teluk Kumbar.
.
7. Tazkirah Ramadan telah disampaikan oleh Dr MAZA, Mufti Perlis, sempena perasmian Masjid Umar Abdul Aziz yang boleh menampung 1500 jemaah.

Syiar Islam Terus Subur di Pulau Mutiara .....

Video Ustaz tersebut :
 

Prof kata ‘Negeri Serambi Mekah kotor, memalukan’ dan diakui Exco Negeri...

Faiz Zainudin | June 21, 2016

Agus turut menasihati kerajaan Kelantan menjadikan Melaka dan Negeri Sembilan sebagai contoh dalam hal kebersihan.

prof-augus-Datuk-Abdul-Fattah-Mahmood

PETALING JAYA: Ahli akademik kelahiran Kelantan meluahkan rasa tidak puas hati dengan tahap kebersihan negeri itu yang menurutnya kotor dan memalukan.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff berkata, isu kebersihan negeri yang diberi jolokan serambi Mekah itu bukan sesuatu yang baru, malah ia berlaku sejak sekian lama.

Katanya, kerajaan PAS Kelantan juga tidak sepatutnya menjadikan alasan tiada dana kewangan yang cukup untuk menyelesaikan masalah tersebut, kerana mereka boleh meminta bantuan daripada pusat.

“Pesan saya kepada kerajaan negeri, janganlah selalu memberi alasan tiada duit kerana diskriminasi kerajaan pusat apabila gagal menyediakan keperluan asas rakyat.

“Malulah kita negeri yang ‘Membangun Bersama Islam’ jika mengambil mudah kepada hal menjaga kebersihan dan keperluan rakyat.

“Jika sungguh tidak ada duit, mintalah bantuan kerajaan pusat. Dengan hubungan politik yang baik di bawah payung ‘politik matang dan sejahtera’ sekarang, bantuan itu diberikan,” tulis Agus dalam Facebooknya.

Beliau turut menasihati kerajaan Kelantan menjadikan Melaka dan Negeri Sembilan sebagai contoh dalam hal kebersihan.

“Bukan sahaja bandarnya bersih, kampung-kampungnya juga dijaga bersih. Mengapa kita tidak boleh lakukan hal yang sama di negeri kita?” katanya.

‘Kelantan semakin bersih’

Diminta mengulas dakwaan itu, Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood ketika dihubungi FMT berkata, pihaknya mengakui perkara tersebut, namun berkata tahap kebersihan di negeri itu meningkat setiap tahun.

Katanya, rata-rata rakyat yang kembali ke Kelantan memuji perubahan tahap kebersihan yang berlaku di negeri itu setiap tahun.

“Ramai orang yang puji dari sudut peningkatan kebersihan setiap tahun kerana banyak masalah sudah selesai,” kata Abdul Fattah, dan menambah kerajaan negeri melakukan kini agresif memberi kesedaran kepada umum mengenai kebersihan, termasuk dengan membuka talian khusus aduan kebersihan.

Abdul Fattah mengakui kerajaan negeri bertanggungjawab menyelesaikan masalah tersebut dan mengalu-alukan aduan, teguran serta cadangan.

Katanya, sasaran kerajaan negeri mencapai negeri bersih tahun ini terhalang selepas banjir besar akhir tahun 2014, dan berharap matlamat itu dicapai pada tahun depan.

Ganjaran PAHALA selamatkan negara lebih besar daripada duduk diatas sejadah

Shahbudin Husin,


Berikutan kemenangan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, beberapa suara kedengaran meminta Tun Mahathir Mohamad agar  berehat saja dan tidak lagi mencampuri urusan politik negara.

Antara hujah mereka ialah bekas Perdana Menteri itu tidak relevan lagi, hanya memusnahkan legasinya, sudah tercabut taring dan lebih baik menghabiskan sisa-sisa usianya di atas sejadah saja.

Jika pemimpin UMNO yang berkata demikian mungkin ia boleh diterima seadanya, mungkin kerana dedak sudah diterima, tetapi dalam hal ini pemimpin Pas pun lebih kurang sama saja nadanya.

Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Aziz berkata, keputusan dua pilihanraya kecil baru-baru ini mengesahkan taring politik Tun Mahathir telah tercabut dan mencadangkan supaya bekas Perdana Menteri itu menghabiskan hujung-hujung usianya di atas sejadah dan mengunjungi Kaabah.

Itulah sebaik-baik kehidupan ketika berada si hujung hayat kehidupan, kata beliau lagi.
Apakah ini tanda-tanda pertuturan orang yang sudah dipengaruhi dedak juga?

Apa agaknya reaksi Nik Aziz Nik Mat jika bapanya itu masih hidup dengan kenyataan Nik Abduh itu sedangkan negara sedang diselubungi dengan begitu banyak kerosakan yang disebabkan onar Perdana Menterinya?

Kenapa Nik Abduh hanya meminta Tun Mahathir saja yang berehat dan berada di atas sejadah, tetapi tidak kepada Najib yang di seluruh dunia diketahui dan diperkatakan dengan skandal kewangannya?

Kenapa juga Nik Abduh tidak meminta Hadi Awang sendiri agar lebih banyak berada di atas sejadah dan mengunjungi Kaabah berikutan persekongkolan Presiden Pas itu dengan pemimpin yang sedang membawa kerosakan kepada negara?

Antara Tun Mahathir, Najib dan Hadi Awang, siapa yang sedang berbuat pahala dan siapa pula yang sedang merosakkkan hari-hari tua sebelum menemui Tuhannya?

Dalam hal ini, harus disedari oleh Nik Abduh bahawa pahala dan mengutip bekalan sebelum mati bukan saja boleh diperolehi di atas sejadah atau dengan mengunjungi Kaabah semata-mata, bahkan berjuang dan terus berjuang menyelamatkan negara jauh lebih besar lagi ganjarannya.

Lagi pun, ibadah sembahyang wajib dan sunat sudah tentu menjadi amalan biasa setiap hari bagi Tun Mahathir dalam usianya seperti sekarang, manakala Kaabah pula sudah pun dikunjunginya beberapa kali sebelum ini.

Apakah dalam melihat pelbagai kerosakan yang sedang dilakukan Najib sekarang, Tun Mahathir masih perlu berada 24 jam di atas sejadah atau berulang alik setiap minggu mengunjungi Kaabah?

Tidakkah apa yang dilakukan Tun Mahathir waktu ini, malah dengan ikrar untuk terus berjuang, bahkan mungkin lebih keras lagi, adalah sesuatu yang lebih bermanfaat dan mendatangkan gandaan pahala berbanding hanya banyak sembahyang serta berumrah yang jelas pahalanya  untuk dakapan peribadi semata-mata?

Untuk makluman Nik Abduh juga, ketiadaan pahala dan bertambahnya dosa seseorang pula bukan saja  disebabkan oleh bersekongkol dengan pemimpin curang dan lebih membawa kerosakan, malahan dengan cuba menghalang orang lain daripada terus berjuang untuk mewujudkan kebaikan yang lebih besar kepada rakyat dan negara. (SH 21/06/2016).

7 pengajaran PRK: Najib bukan bodoh, PAS rugi besar

Agak pelik apabila seorang popular seperti Dr Abdul Rani Osman (PAS) mencatat undi lebih rendah dari calon Amanah.

prk-sungai-besar-kuala-kangsar-1

Oleh Mohd Shazwan Abd Halim

Sudah tiga hari pilihan raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar berlalu.

Bagi pendokong pembangkang, keputusan kedua-dua PRK ini tentulah mengecewakan. Namun perlawanan sebenar adalah pilihan raya umum.

Kekalahan dalam perlawanan boleh menjadi pencetus kepada kemenangan dalam peperangan.

Berikut tujuh pengajaran dua PRK itu, mengikut telahan saya, yang mungkin boleh diambil kira pembangkang dalam menghadapi PRU akan datang:

Najib bukan bodoh

Di sebalik skandal yang terpalit pada Datuk Seri Najib Razak, Barisan Nasional (BN) kekal utuh. Ini menunjukkan Najib bukanlah bodoh, seperti yang sering diperlekehkan ramai pembencinya. Beliau adalah “haiwan politik” yang cekap.

Seperti dijangkakan, agak sukar dua gabungan pembangkang, iaitu Pakatan Harapan (PKR+DAP+Amanah) dan PAS-Ikatan meruntuhkan dominasi BN di dua kubu kuat BN ini, antaranya kerana:

1. Perpecahan undi pembangkang.
2. PRK yang diadakan terlalu hampir dengan tarikh Hari Raya Aidilfitri menyebabkan sebilagan anak muda yang bekerja di luar berat pulang mengundi.
3. Demografi kawasan semi-urban di mana capaian maklumat pada peringkat nasional melalui media alternatif terbatas berbanding media perdana yang didominasi BN.
4. Kuasa wang dan aset BN yang difokuskan hanya pada dua kerusi.

PAS rugi besar

Selain rakyat, pihak yang paling terkesan pada PRK kali ini adalah PAS dengan kehilangan sebanyak 7,452 undi di Kuala Kangsar dan 11,394 undi di Sungai Besar berbanding PRU13, semasa mereka masih bersama Pakatan Rakyat.

Daripada segi matematik, undi PAS merosot sebanyak 18,846 di kedua-dua kawasan dan secara peratusan ia merupakan kemerosotan sebanyak 60%.

Memandangkan kedua-dua kerusi ini adalah kerusi majoriti Melayu dan “separa bandar” dan kerusi tradisional PAS yang ditandingi sejak sekian lama, kehilangan undi dengan jumlah sebegitu besar sepatutnya menjadi “alarming indicator” agar PAS tidak terbuai dalam dunia sendiri dan mengkaji ijtihad politik mutakhir mereka.

Tambahan lagi, agak pelik apabila seorang popular seperti Dr Abdul Rani Osman mencatat undi yang lebih rendah dari calon muka baharu seperti Azhar Azhar Abdul Shukur dari Amanah.

Amanah yang setahun jagung mampu gugat

Amanah pula sebagai parti baru (sembilan bulan) dalam arena politik tanah air berjaya mencuri 12,429 undi iaitu 23% dari jumlah undi di kedua-dua kawasan.

Bagi sebuah parti baharu yang rata-ratanya belum dikenali pengundi luar bandar, masih dalam proses membina akar umbi serta diberikan imej negatif saban hari oleh akhbar dan televisyen, angka yang diperolehi menunjukkan Amanah bukanlah “just another newcomer” dan mampu menggugat jika kelemahan yang dikenalpasti diatasi pada hari-hari mendatang.

Kembalinya pengundi Cina kepada BN

Faktor paling mengejutkan PRK kali ini tentulah perubahan undi di kalangan pengundi Cina di kawasan luar bandar kepada BN, walaupun dengan usaha keras DAP.

Ini mungkin disebabkan faktor perpecahan Pakatan Rakyat, Amanah yang belum dikenali ramai dan isu nasional yang terputus disebabkan keterbatasan maklumat dari media alternatif.

Faktor Mahathir gagal

PRK kali ini juga memberi isyarat kuat rakyat Malaysia rata-ratanya mengundi berdasarkan kesetiaan kepada parti dan bukannya calon. Ini jelas ditunjukkan apabila kedua-dua calon BN walaupun mendapat protes dari segelintir ahli parti ditambah faktor kempen intensif Tun Dr Mahathir Mohamad masih gagal menggugat majoriti yang dimiliki BN.

Hal ini juga dapat dilihat pada PRU13 apabila Datuk Kamilia Ibrahim hanya mendapat 447 undi apabila bertanding sebagai calon bebas walau dengan pengaruhnya sebagai bekas naib ketua wanita Umno.

Pengundi tidak ‘beli’ isu nasional

Isu nasional seperti 1MDB, dakwaan Datin Seri Rosmah Mansor naik jet peribadi disewa kerajaan, isu MARA, Tabung Haji dan banyak lagi sepertinya tidak memberikan kesan kepada kecenderungan pengundi.

Pembangkang terlupa mengambil berat akan isu tempatan, walaupun perlu diakui kebanyakannya di luar bidang kuasa mereka (misalnya isu Jambatan Manong di Kuala Kangsar).

Bina semula kesatuan pembangkang

Dengan indikator yang diberikan rakyat pada dua PRK ini, jelas menunjukkan kekuatan pembangkang sepertimana ditunjukkan pada PRU13 perlu disatukan.

PAS perlu sedar dan bangkit dari kemerosotan teruk undi yang diperoleh di kerusi majoriti Melayu tradisional mereka. Pakatan Harapan juga perlu secara terbuka mengakui pengundi Melayu sememangnya “kuasa” PAS.

Kedua-dua pihak harus mengenepikan ego dan kembali semula ke meja rundingan bersama Pakatan Harapan.

Saya percaya sepenuhnya Amanah dan Pakatan Harapan sentiasa bersedia berunding demi kepentingan rakyat dan masa depan negara ini.

Pelancong ke Langkawi dikenakan caj penginapan

Mohd Rawi Abd Hamid

LANGKAWI - Mulai 1 Julai ini, kerajaan negeri Kedah akan mengenakan caj ke atas pelancong ke Langkawi bagi penginapan mereka selama berada di pulau peranginan ini.

Exco Pelancongan Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, caj yang dikenali‎ Bayaran Penggalakan Pelancongan Langkawi ini akan dikutip oleh Majlis Perbandaran Langkawi Bandar Raya Pelancongan (MPLBP).

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata bayaran seperti ini bukanlah suatu bentuk kutipan baharu ke atas pelancong di negara ini dan ia dijangka dapat memantapkan lagi pendapatan kerajaan negeri untuk memajukan industri itu.

"Ia sudahpun dilaksanakan di Melaka dan Pulau Pinang sejak lebih dua tahun lalu. Ia juga telah dilaksanakan di Kuala Lumpur," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan Hari Raya kepada kira-kira 600 golongan kurang berkemampuan di Ayer Hangat di sini, semalam.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat berkata kadar bayaran yang dikenakan di bawah sistem kutipan ini juga amatlah rendah kalau dibandingkan dengan kemampuan pelancong yang berkunjung ke Langkawi.

Menurutnya, di bawah Bayaran Penggalakan Pelancongan Langkawi itu, caj RM1 dikenakan ke atas setiap satu malam bagi setiap bilik untuk kemudahan penginapan bertaraf satu hingga dua bintang.

Caj RM3 dikenakan ke atas setiap malam bagi setiap bilik untuk penginapan bertaraf tiga dan empat bintang, RM5 untuk penginapan lima bintang, RM7 untuk yang bertaraf enam bintang dan RM9 untuk tujuh bintang.

Menurutnya, Kedah sehingga kini masih banyak bergantung kepada peruntukan kerajaan pusat untuk memajukan sektor pelancongannya dan langkah mengenakan caj ini dapat mengurangkan kebergantungan tersebut.

"Kalau kami dapat jumlah kutipan yang memuaskan (melalui pelaksanaan bayaran penggalakan pelancongan ini), kami boleh laksanakan lebih banyak lagi program yang ada kaitan dengan pembangunan pelancongan," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan caj bayaran ini di Langkawi Julai ini akan menjadi titik permulaan sebelum diperluaskan lagi secara berperingkat ke tempat-tempat lain di Kedah.

"Jumlah (kadar bayaran) yang dikenakan ini bukanlah satu jumlah yang besar. Kalau kami tak (mengenakan) caj (pelancongan ini), saya rasa kami tak menuju ke arah yang ke hadapan (untuk memajukan sektor pelancongan Kedah)," katanya. - Bernama

34 premis hiburan di Alor Setar kena serbu

PDRM

ALOR SETAR - "Sebanyak 34 premis di sekitar bandar raya Alor Setar diserbu polis kerana beroperasi pada bulan Ramadan," kata Ketua Polis Kota Setar, Asisten Komisoner Mohd Rozi Jidin.

Rozi berkata, jumlah itu bagi tempoh hari pertama Ramadan hingga hari ke-14.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 25 pusat hiburan keluarga diserbu, premis karaoke/kafe (tujuh) dan dua premis pusat internet," katanya kepada pemberita hari ini.

Kesemua premis tersebut katanya melanggar undang-undang di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997 yang melarang pusat hiburan beroperasi sepanjang bulan Ramadan.

Sabit kesalahan, pemilik premis boleh didenda tidak lebih RM10,000 dan penjara tidak lebih tiga tahun, katanya. - Bernama




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...