TERKINI :

Sunday, June 19, 2016

Parti kalah kena bangkit untuk PRU14

SHAH ALAM – Parti yang kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar hari ini perlu menerima kekalahan dan mula memperbaiki kelemahan parti masing-masing.

Penganalisis politik, Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis berkata, langkah tersebut lebih penting bagi meraih sokongan pengundi dan masyarakat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Antara Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah) kita tahu memang wujud persaingan. Sekiranya Pas atau Amanah kalah antara satu sama lain, parti yang kalah perlu cari kelemahan parti sendiri dan segera baiki.

"Samalah juga dengan BN, sekiranya BN mengalami kekalahan ada kedua PRK atau salah satu PRK, BN perlu segera memantapkan parti sebelum menjelangnya PRU,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

PRK bagi kawasan Parlimen Sungai Besar diadakan hari ini bagi mengisi kekosongan kerusi berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Ia diadakan serentak dengan PRK Kuala Kangsar, Perak juga berikutan kematian Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas yang sama.

Rafizi - Antara pendapat dan pandangan selepas 2 PRK

Saya mengikuti keputusan kedua-dua pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar di atas bas dalam perjalanan dari Pandan ke Kemaman. Hujung minggu ini adalah satu-satunya peluang untuk berbuka puasa bersama mak dan ayah.

Keputusan itu sudah jelas dan saya juga percaya semua pihak di Pakatan Harapan telah mencuba sebaik yang mungkin dengan kekangan yang ada. Sememangnya pertandingan politik di Malaysia tidak pernah adil kerana kita berdepan dengan pelbagai rasuah pilihanraya - jadi itu tidak pernah menjadi kejutan kepada kita apabila pengundi-pengundi beralih sokongan setelah dijanjikan dewan, jambatan dan lain-lain.

Begitu juga kehadiran yang rendah semasa pilihanraya kecil juga dijangka.

Begitu juga perpecahan undi pembangkang apabila ada pertembungan 3 penjuru.

Satu-satunya perkara yang betul-betul mengejutkan saya ialah setelah pelbagai kepayahan yang ditanggung rakyat (dari GST, kenaikan kos sara hidup, skandal 1MDB, wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Perdana Menteri, kemewahan isteri Perdana Menteri yang dibayar oleh wang rakyat dan pelbagai isu lagi) pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar memberi isyarat bahawa mereka tidak kisah pun dengan segala perkara ini.

Maksudnya segala keributan dan keresahan yang disuarakan selama ini (baik yang menulis secara terus, baik yang menzahirkan kemarahan itu di media sosial dan lain-lain) hanya satu kepura-puraan?

Maksudnya rakyat tidak kisah sebenarnya dengan kepayahan hidup yang disebabkan oleh GST? Mereka tidak rasa marah dengan skandal wang yang menyebabkan peruntukan rakyat dipotong dan menambahkan beban mereka?

Ada yang membuat komen bahawa isu-isu nasional tidak ada kesan kepada pengundi berbanding isu tempatan.

Saya rasa perkara ini perlu diperjelas dan diperbetulkan: isu tempatan dan isu nasional itu saling berkait. Kegagalan membina jambatan di Manong adalah kerana peruntukan yang tidak ada dan apabila disenaraikan, jambatan Manong lebih corot senarai keutamaannya berbanding projek-projek lain maka janji tinggal janji selama 5 penggal.

Harga getah yang rendah menjadi beban kepada penoreh getah kerana harga barang lain naik mendadak sedangkan pendapatan mereka turun. Harga barang naik disebabkan GST. GST diperkenalkan kerana kerajaan tidak cukup wang untuk menampung perbelanjaan akibat sumber sedia ada dibazirkan oleh pelbagai projek dan skandal.

Sebab itu saya tidak setuju dengan diagnosis mudah bahawa isu nasional tidak ada kesan berbanding isu tempatan.

Pendapat saya pengundi masih terlalu pekat dengan dua penyakit besar yang menjadi senjata pilihanraya Umno/BN sejak berdekad:

i) Penyakit sentimen perkauman/keagamaan - ramai pengundi pasrah dengan rasuah, penyelewengan dan pelbagai lagi (sedang mereka mengeluh setiap hari) kerana bagi mereka memerangi Cina DAP dan sekutu mereka (KEADILAN dan AMANAH) itu lebih penting dari membantu diri mereka sendiri. Akhirnya serangan perkauman yang bertubi-tubi oleh kedua-dua Umno dan PAS telah meningkatkan sokongan kepada Umno dan mengekalkan baki sokongan pengundi Melayu kepada PAS

ii) Penyakit kebendaan - baik pegundi Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan semua yang lain; faktor projek yang dijanjikan dan wang kebendaan yang diagihkan semasa kempen oleh Umno/Barisan Nasional tetap berkesan mengekalkan sejumlah undi kepada mereka. Pilihanraya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuktikan bahawa penyakit kebendaan ini tidak mengenal kaum, agama, tempat atau masa

Seperti yang saya janjikan, saya akan kaji dan perhalusi dapatan-dapatan ini di peringkat KEADILAN dan Pakatan Harapan.

Ramai yang menulis menyatakan pandangan bahawa PAS perlu bergabung kembali di dalam Pakatan Harapan. Itu dari awal telah dibincangkan dengan wakil pimpinan PAS - dijemput untuk menyertai Pakatan Harapan malah dirunding sehingga ke peringkat akhir untuk satu lawan satu dalam kedua-dua pilihanraya kecil.

Keputusan sama ada PAS masih mahu terus menjadi blok ketiga itu diluar kawalan Pakatan Harapan kerana itu keputusan PAS.

Secara peribadi, saya merasakan jalannya masih jauh jika rakyat sendiri terus dijangkiti dua penyakit yang ada di atas.

Akan ada juga suara-suara yang mahukan Pakatan Harapan menghukum DAP/orang Cina, tetapi saya berpegang kepada firman Allah dalam surah-surah berikut:

Al-Maidah ayat 8:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ  ﴿٨﴾؅

8. Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Al Hujuraat ayat 13:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ  ﴿١٣﴾؅

13. Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Ada yang berpendapat sebaiknya tidak lagi ditumpukan kepada membongkar rasuah dan penyelewengan Umno/Barisan Nasional kerana rakyat nampaknya tidak kisah.

Malah ada yang berpendapat sebaiknya membiarkan sahaja kerosakan yang dibawa oleh Umno/Barisan Nasional kerana hanya setelah kerosakan itu benar-benar parah baru ada kesedaran di pihak rakyat.

Sudah tentu ada pelbagai pendapat selepas satu keputusan yang menongkah ramalan sebelum itu.

Saya rasa lebih baik saya hadam semua pendapat dengan baik dan berhemah. Dan gunakan saki baki Ramadhan untuk beribadah.

Terima kasih Saudara-saudari yang setia mengikuti di sini.

Rafizi Ramli

Amanah tak perlu lebih Islamik, Melayu untuk jadi juara

PETALING JAYA: Amanah tidak perlu menjadi lebih Islamik daripada PAS atau lebih Melayu daripada Umno untuk muncul sebagai juara politik baru.

Sebaliknya, Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, parti itu hanya perlu bersikap inklusif dengan melaksanakan konsep ‘Rahmat untuk semua’.

Jelasnya, Amanah juga tidak perlu tunduk kepada realiti politik sedia ada sebaliknya ia perlu terus membina agenda politik baru.

Tambahnya, politik di negara ini perlu keluar daripada mentaliti perkauman sempit, pemikiran agama dogmatik dan taksub kepartian kepada politik advokasi dasar serta penyertaan pembentukan negara.

“Masyarakat Cina mengundi atas ketidaksetujuan mereka kepada kebejatan tatakelola kewangan negara manakala pengundi Melayu mengundi atas ‘kebimbangan’ kuasa Melayu akan ‘terhakis’ jika undi pembangkang, walaupun mereka tahu salah tadbir kewangan yang berlaku.

“Sampai bila pemikiran pengundi ini hendak dibiarkan membuat penentuan politik sehingga akhirnya pola perkauman akan terus membawa politik negara kepada berantakan dan permusuhan kaum berpanjangan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berpendapat, adalah salah untuk merumuskan kemenangan BN dan kekalahan PH di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar membuktikan ‘cara lama’ lebih berkesan dan pendekatan baru tidak perlu untuk mencapai kemenangan.

Di Sungai Besar, BN menang dengan 18,600 undi, diikuti Amanah (7,609 undi) dan PAS (6,902 undi).

Manakala Kuala Kangsar pula menyaksikan Amanah berada di tempat ketiga dengan 4,883 undi selepas BN (12,653 undi) dan PAS (5,684 undi). FMT

Pingat perak PAS dan Amanah bukan kemenangan

Aedi Asri FMT

“Tepuk kuat-kuat, nanti pangkah BN juga,” seloroh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming pada satu ceramah ketika berkempen di Kuala Kangsar baru-baru ini.

Walaupun ia satu gurauan, di sebaliknya adalah pengakuan betapa sukarnya menewaskan Barisan Nasional (BN) lebih-lebih lagi pada pilihan raya kecil (PRK) yang dibanjiri taburan janji pembangunan.

Sejak dari mula, kemenangan Datin Mastura Mohd Yazid pada PRK Kuala Kangsar memang sudah dijangka.

Begitu juga kemenangan Budiman Mohd Zohdi di Sungai Besar.

Apa yang tidak dijangka barangkali majoriti besar yang diterimanya, 6969 di Kuala Kangsar (dari hanya 1,083 pada 2013) dan 9,191 di Sungai Besar (dari hanya 399 pada 2013).

Menyedari kenyataan ini, maka pembangkang, PAS dan Amanah, seolah-olah lebih tertumpu mendapatkan pingat perak, iaitu tempat kedua.

Ceramah PAS menjadi medan menghentam Amanah, dengan fokus terhadap usul memperkasakan undang-undang Syariah, yang dilihat sebagai batu loncatan sebelum melaksanakan hudud di Kelantan.

Kritikan terhadap BN hanyalah lauk tambah. Tidak jelas apakah tawaran dan program PAS untuk rakyat.

Amanah yang mewakili Pakatan Harapan pula, walaupun konsisten membawa isu nasional dan menyerang BN, seperti sudah tahu sukar menewaskan BN.

Tetapi hakikatnya, undi yang diterima calon PAS di Kuala Kangsar, Dr Najihatussalehah, tidak banyak beza daripada calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ramli.

Kedua-dua pihak tidak boleh mendabik dada mendapat tempat kedua, iaitu PAS di Kuala Kangsar dan Amanah di Sungai Besar.

Selain itu, PRK ini juga pertandingan antara pemimpin tertinggi BN, PAS dan Pakatan Harapan.

Karisma pada calon, kalau pun ada, ditenggelami pemimpin mereka yang mendominasi kempen serta saban hari bertikam lidah antara satu sama lain.

Pemuka Pakatan Harapan dibantu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dengan serangan terhadap Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Bagi PAS, serangan ditumpukan terhadap bekas rakan seperjuangan mereka dalam Amanah.

Dan BN kekal dengan strategi tradisi mereka: politik pembangunan.

Disebabkan ia strategi BN yang diguna pakai sejak sekian lama, bolehkah pembangkang menjadikannya alasan kekalahan?

Hakikatnya, pengundi tidak membeli agenda yang dijual pembangkang, di samping faktor mereka kini berpecah dua.

Apakah Pakatan Harapan dan PAS akan kembali ke meja rundingan? Bagaimana pula perancangan Dr Mahathir seterusnya?

BN boleh senyum, Amanah berpuas hati Pas tersengeh..

ULAS PIRAKE (1)

Menerima keputusan dua Pirake, Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang selesai lewat petang tadi, BN boleh tersenyum dengan kejayaan mempertahankan kedua-dua kerusi itu, namun tidak boleh berpuas hati. Kemenangan dengan majoriti besar (9,191) di Sungai Besar dan (6,969) Kuala Kangsar itu tidak mencerminkan hakikat kemenangan yang sebenar. Ini kerana sekiranya tidak berlaku pertandingan tiga penjuru, pecah undi Pas dengan Amanah, BN boleh bergerudum.

Hakikat majoriti diraih oleh BN ialah, (2,289) di Sungai Besar dan (2,086) di Kuala Kangsar, jika ditolak gabungan undi yang diperolehi Pas dan Amanah.

Seperkara lagi perlu diingat selalunya dalam Pirake BN menguasai sepenuhnya kerana memiliki segala kemudahan termasuk jentera kerajaan. Jadi advantage ada kepadanya.

Sebaliknya Amanah, boleh berpuas hati dengan kejayaan meraih undi sebanyak (7,609) di Sungai Besar dan (4,883) di Kuala Kangsar. Sebagai penyertaan sulung dalam pilihan raya di Semenanjung, Amanah harus berbangga dengan pencapaian itu, tetapi tidak boleh bergembira. Dalam suasana ditekan, dihina kiri kanan oleh BN, media dan bekas rakannya Pas, namun Amanah berjaya juga meletakkan dirinya di persada politik tanah air. Dapat menyelamatkan wang deposit suatu tuah besar bagi Amanah.

Pencapaian Amanah itu mengenalkan (demostrasi) parti itu kepada rakyat negara ini. Dan hasrat Amanah pun saya kira bukan obses mengimpikan kemenangan, apabila ia turut ditentang sama oleh Pas, tetapi cukup sekadar untuk berada di atas abangnya dari segi urutan pencapaian undi. Di Sungai Besar Pas meraih 6,902 di Kuala Kangsar 5,684 melebihi daripada Amanah.

Manakala Pas pula bukan sahaja tidak boleh berpuas hati dengan kedua Pirake itu, tetapi untuk tersenyum sumbing pun tidak boleh. Yang mampu Pas lakukan hanya tersengeh sahaja. Dengan kedudukan ditempat ketiga dibawa parti compingan yang dihina dan ditekan demikian rupa, ia memberi pukulan kepada Pas dan parti itu patut menutup muka kerana malu. Usia Pas jauh lebih tua berbanding dengan Amanah yang baharu berumur belum sampai setahun.

Pencapaian Pas itu dilihat bahawa apa yang dibimbang sebelum ini menjadi kenyataan. Bahawa Pas tidak akan menguak jauh kalau ia mengambil sikap bersuku dan "berkera" sumbang dalam politik. Dalam realiti politik rencam seperti Malaysia, bersikap kera sumbang tidak banyak membawa kebaikan.

Keyakinan dan strategi Pas untuk bertanding secara bersendirian jelas membawa bencana memalukan kepada parti yang pernah menjadi harapan umum untuk menjadi alternatif kepada Umno itu. Lainlah kalau ada nawaitu kecil disebalik kalbu Pas penyertaan itu bagi membantu BN, yakini Umno yang kini sudah dipelukinya demi mempertahankan kerusi itu dari jatuh ke tangan pembangkang.

Apa yang berlaku di dua Pirake itu bakal menggambarkan pencapaian dan senario pada Piraum ke 14 nanti. Sekiranya momentum ini dikekalkan, khasnya bagi Amanah ia tidak syak lagi parti bongsu itu bakal menjadi parti kedua atau ketiga selepas DAP dan PKR. Mungkin juga Amanah akan menjadi pengganti kepada Pas tidak mustahil. Hal ini saya yakin kalau Amanah dapat bertahan untuk lima enam tahun, selepas Piraum ke-14 nanti, Amanah ada potensi menjadi parti diminati generasi baru.

Bagi Pas pula sekiranya ia tidak segera bangun dan bangkit mengambil iktibar dan melakukan semakan diri atas apa yang berlaku, parti itu akan menjadi semakin lemah dan mengecil. Tidak mustahil ia akan pupus dari peta siasah negara ini. Jikalau Pas terus mengambil pendekatan dan berpegang kepada doktirin politik hari ini, Pas sedang menuju ke tanah perkuburan.

Ada dua tindakan boleh diambil segera oleh Pas untuk menyelamat dan memulihkan maruah parti itu yang tertimpa dari dua Pirake itu. Pertama, kembali bersatu semula dengan pembangkang, memperkasakan komponen pembangkang untuk menghadapi Piraum akan datang, dan kedua, parti itu harus segera berkolabrosi dengan Umno.

Abdul Hadi Awang dan Haron Din yang memiliki kuasa veto atau air ludah keramat kepada Pas, tidak perlu malu-malu untuk membuat keputusan bekerjasama dengan Umno. Umno sendiri memahami dan berasakan mereka juga perlu bergabung dengan Pas, dengan berpandukan kepada keputusan Pirake itu. Umno tidak akan mampu mempertahankan kedua-dua kerusi itu apa lagi mendapat majoriti besar sekiranya tidak berlaku pertandingan tiga penjuru.

Justru itu seperti mana saya cadangkan BN-Umno perlu menghadiahkan sesuatu kepada Pas, dan hadiah yang paling dinanti-nanti dan afdal ialah bersedia bergabung dengan Umno. BN-Umno kena berkorban untuk mengahwini Pas. Jika Umno tidak sedia berbuat begitu ia akan dianggap sebagai memperdayakan Pas, "main" tetapi tidak mahu bertanggungjawab.

Seandainya pemimpin Pas masih berdegil, terus berilusi tidak mustahil parti itu akan jadi seperti pokok kelapa kena panah petir. Batangnya akan kecut dan kering, daunnya akan renggas dan lunyai kemudian pelepahnya akan gugur satu persatu. Akhirnya pokok kelapa itu tinggal batang tercokeng, batang kering bersendirian. Apakah Pas mahu jadi seperti itu? Tunggul.

Tepuklah dada tanyalah hati, atau Pas akan terus beretorik dengan caranya, yang mahukan keredhaan Allah bukan kemenangan! Terpulang. [wm.kl.8:30 pm 18/06/16]

*PIRAKE = pilihan raya kecil.
PERAUM = pilihan raya umum.

mohd sayuti Omar

Terimalah hakikat sebenarnya PAS hilang 70% undi dari apa yang diperolehi PRU13 dahulu

Walaun PAS bukan tahu apa pasai Politik.. depa dok perasan jadi tentera badar bulan pose ni.. depa dok bayang Amanah dok hilang Deposit mcm kat Sarawak..

kalau komen jer, dok sebut Amanah hilang Deposit.. last2 PAS hilang  70% Undi.. baru tahu..rupanya hat Undi PAS selama ni, 70% tu bukan org PAS... itu pun pasai UMNO bantu PAS main isu Perkauman ngan Hudud..kalau tak PAS tinggai 20% lah dari PRU13...

nak sedap kan hati, kata kami sorang2.. korang pakat ramai2.. padehal hangpa pakat dgn UMNO.. siap guna TV3 lagi.. ini kawasan luar bandar..kalau kawasan bandar dan separa bandar , lagi besar lah PAS kena titik..

hakikatnya..

Sungai Besar
PRU 13 - Undi PAS 18 ribu - PRK hari ni - Tak Sampai 7 ribu

PAS hilang 12 ribu undi..

Kuala Kangsar
PRU 13 - Undi PAS 14 ribu - PRK hari ni tinggai 5 ribu..

PAS hilang 8 ribu undi..

Kalau Tak sedar.. tak muhasabah lagi tak tahu la... kami tak kata kami kuat..PAS yg dok selalu dok cakap bongkak, cakap besar perasan kuat..

PRU 14 toksah bayang Selangor ngan Perak la.. Kerusi Marang ngan Kelantan pun PAS tumbang.. kalau Kelantan tumbang..

jgn kata nak buat Hudud..nak buat Kuliah agama kat Masjid pun jgn harap... kat Terengganu dulu, UMNO rampas, dgn Masjid2 PAS depa pi runtuh.. masa tu baru kenai mana satu anti Islam...

Nukilan
IpohMali

#prkkualakangsar #prksungaibesar #amanah #pakatanharapan #selamatkanmalaysia #pasumno

Terbukti AMANAH bukan parti nyamuk walaupun baru berusia 8 bulan

Mat Sabu: Terbukti kita bukan 'parti nyamuk'
Zikri Kamarulzaman

Pencapaian Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam dua pilihan raya kecil hari ini menunjukkan bahawa mereka bukan parti kecil seperti didakwa, kata presidennya Mohamad Sabu.

“Kamu tak boleh panggil kami parti nyamuk lagi,” katanya dalam sidang media di Sungai Besar hari ini.

Walaupun kalah kepada BN, AMANAH mendepani PAS di Sungai Besar tetapi ketinggalan sedikit kepada PAS di Kuala Kangsar.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...