TERKINI :

Tuesday, June 14, 2016

Azmin sokong AMANAH, doakan PAS dan kritik Umno BN

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah menyatakan dengan jelas, beliau menyokong calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya kecil Sungai Besar.

Berucap di majlis berbuka puasa di Sungai Besar petang tadi Azmin berkata, selepas mengadakan perbincangan panjang lebar beliau memberikan sokongan penuh kepada Azhar Shukur dari Parti Amanah Negara (AMANAH).

Bagaimanapun Azmin tidak mengetepikan terus lawan AMANAH dari PAS, Dr Rani Osman, yang dianggapnya seorang rakan di DUN Selangor.

"Saya doakan dia (Dr Rani) terus maju untuk sama-sama dalam satu tekad melawan kezaliman di Putrajaya," katanya.

Di majlis anjuran HARAPAN itu, Dr Rani turut hadir kerana beranggapan ia terbuka untuk semua.

Walaupun bersaing dalam pilihan raya kecil kali ini kehadiran Dr Rani disambut mesra oleh pemimpin dan penyokong HARAPAN.

Pilihan raya kecil Sungai Besar - dan Kuala Kangsar - akan diadakan serentak pada 18 Jun ini.

Selain Dr Rani, Azhar berdepan saingan daripada calon BN Budiman Mohd Zohdi untuk mengisi kekosongan ditinggalkan arwah Datuk Noriah Kasnon.

Itu mentaliti Umno

Kemunculan Azmin petang tadi adalah yang pertama untuknya sejak hari penamaan calon pada 5 Jun lalu.

Ketiadaan Azmin berkempen di kawasan berkenaan menyebabkan sesetengah pihak termasuk PAS dan Umno mendakwa ADUN Bukit Antarabangsa itu tidak memberikan sokongan padu kepada AMANAH.

Namun kata Azmin beliau sebenarnya sibuk mengiringi Sultan Selangor Sultan Shariffudin Idris Shah menghadiri pelbagai acara sempena Ramadan.

Namun katanya, beliau mendapat perkenan sultan untuk berada di Sungai Besar pada hari ini dan Jumaat, manakala esok di Kuala Kangsar.

Azmin juga mengkritik Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengatanya kerana tidak muncul berkempen sebelum ini.

"Itulah mentaliti Umno. Saya (sebenarnya) tak perlu pulun kerja di Sungai Besar semata-mata kerana ada pilihan raya kecil.

"Itu (turun berkempen hari-hari) adalah cara Umno. Apabila ada pilihan raya kecil baru nak turun (padang), baru nak tengok orang kampung," katanya.

Sebaliknya kata Azmin kerajaan Selangor membantu rakyat negeri itu secara berkesan sejak 2008.

Pada majlis itu juga Azmin menyerahkan peruntukan bernilai RM30,000 untuk Masjid Binjai Jaya.

Kata Azmin permohonan mendapatkan peruntukan itu dibuat sebelum musim pilihan raya kecil akan diadakan.

Lipatgandakan Usaha, Menangkan Calon Amanah Dari Pakatan Harapan

*(SERUAN PRESIDEN AMANAH)*

1. Tempoh berkempen bagi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar masih berbaki 3 hari sahaja lagi. Seluruh ahli AMANAH perlu bekerja kuat supaya parti kita yang mewakili Pakatan Harapan boleh menang di kedua-dua kerusi ini.

2. Kehadiran Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan seluruh kepimpinan PKR, kehadiran Lim Kit Siang dan seluruh kepimpinan DAP, disokong oleh NGO dan masyarakat sivil,  termasuk Datuk Ambiga dan Maria Chin melambangkan sokongan padu semua pihak kepada calon AMANAH.

3. Angin perubahan sedang berlaku. Kehadiran kumpulan Deklarasi Rakyat yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad juga sedang mengubah suasana politik semasa.

4. Kerajaan Datuk Seri Najib sedang mengalami tekanan kuat akibat rasuah dan penyelewengan, belanja mewah isteri dan lain-lain skandal yang telah didedahkan oleh pelbagai pihak.

5. Oleh itu anggota AMANAH hendaklah mempertingkatkan kerja dengan bertemu semua pengundi. Lipatgandakan usaha, terus bekerja kuat dan bertawakal kepada Allah SWT.

6. Semoga seruan ini mendapat perhatian seluruh anggota AMANAH, juga rakan Pakatan Harapan dan NGO supaya impian merubah landskap politik negara dapat dicapai.

Harapan Baru

*MOHAMAD SABU*
Presiden
Parti Amanah Negara

*14 JUN 2016*

Azmin turun Sg.Besar di majlis berbuka Amanah, yang best calon PAS pun turut hadir

MB Selangor turun Sungai Besar sokong calon Amanah, turut serta calon Pas

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali turun ke Sungai Besar hari ini bagi memberikan sokongan kepada calon Pakatan Harapan dari Amanah, Azhar Abd Shukur.

Beliau menyertai majlis berbuka puasa (Iftar Perdana) yang dianjurkan Pakatan Harapan untuk memberikan sokongan moral kepada calon Amanah.

Azmin selaku Timbalan Presiden PKR mengisytiharkan sokongan beliau kepada Azhar di majlis berbuka puasa ini.

Turut hadir di majlis ini ialah calon Pas, Dr Abdul Rani Osman.

Tiada keperluan melantik pemangku MB Kedah

PETALING JAYA: Tiada cadangan untuk melantik pemangku Menteri Besar Kedah ekoran masalah kesihatan yang dihadapi Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din menegaskan perkara itu sambil mengakui segala urusan pentadbiran kerajaan negeri pada masa ini berjalan lancar.

“Kita belum ada keperluan untuk melantik pemangku Menteri Besar. Segalanya berjalan dengan lancar dan tiada lagi urusan yang memerlukan saya berjumpa dengan beliau di hospital, …kalau boleh kita tidak mahu mengganggu beliau sehinggalah beliau pulih sepenuhnya,” katanya di Pejabat SUK di Wisma Darul Aman, seperti yang dilapor Berita Harian Online.

“Sekiranya keadaan terlalu mendesak, baru saya akan pergi berjumpa dengan beliau,” katanya lagi.

Ahmad Bashah kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas disahkan menghadapi komplikasi usus namun bukan serius.

Bakar dalam laporan yang sama juga menggesa agar rakyat negerinya tidak mengganggu Ahamd Bashah dengan kerap melawat beliau supaya proses pemulihan tidak terganggu.

“Ahmad Bashah masih dipantau doktor pakar dan beliau hanya akan dipindahkan ke wad biasa apabila keadaannya bertambah baik,” jelasnya lagi.

Alhamdulillah..Penyokong PAS pelawa menteri UMNO imam solat

PETALING JAYA: Kurang empat hari tempoh berkempen bagi pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, pelbagai coretan cerita dapat dilihat.

Namun lebih mencuri tumpuan apabila penyokong PAS mempelawa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi supaya menjadi imam solat Tarawih di Kuala Kangsar semalam.

Perkara itu dimuat naik sendiri Asyraf menerusi akaun Facebooknya. Beliau menyifatkan penghormatan yang diberi penyokong PAS mengambarkan suasana harmoni kempen PRK Kuala Kangsar.

“Seronok saya melihat suasana harmoni kempen pilihanraya di Parlimen Kuala Kangsar kerana jentera PAS dan UMNO boleh solat berjemaah Tarawih bersama bahkan pimpinan PAS kawasan dan ahli-ahli mereka juga setia mendengar tazkirah daripada saya bahkan meminta saya menjadi Imam Isyak dan Solat Terawih di Madrasah Taman Jasa Kuala Kangsar,” kata ustaz UMNO itu.

Katanya sikap penyokong PAS dan UMNO itu jelas menunjukkan sudah tiba masanya kedua-dua parti mencorakkan budaya politik baharu dengan mengetepikan perbezaan pendapat dan meletakkan kepentingan Islam sebagai asas utama perjuangan.

“Sudah tiba masanya kita mencorakkan budaya politik baru yang meletakkan asas ukhuwwah dan kepentingan Islam melangkaui kepentingan-kepentingan lain hinggakan kita mampu berjiwa besar dalam menguruskan perbezaan-perbezan yang ada di antara sesama manusia,” katanya.

Perkelahian antara penyokong PAS dan UMNO sebelum ini pernah sehingga penyokong masing-masing enggan mengiktiraf imam daripada parti lawan, lalu mencetuskan isu dua imam dalam satu masjid.

Namun kini, semangat puak antara parti Melayu dan parti Islam itu dilihat kian terhakis apabila pimpinan kedua parti menyatakan kesudian bekerjasama dengan kepentingan agama.

Rafizi - Benarkah rakyat sedang tertawakan saya atau rakyat sedang bengang dengan Rosmah

Rafizi Ramli

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa minggu lepas berkata saya diketawakan oleh rakyat kerana sudah ketandusan isu sehingga membawa isu penggunaan jet oleh Datin Seri Rosmah Mansor yang ditanggung rakyat. Katanya itu memang hak Datin Seri Rosmah sesuai dengan kedudukan beliau sebagai isteri Najib Razak.

Saya tidak terkejut bila Tan Sri Annuar Musa menyerang peribadi saya (kononnya rakyat mentertawakan saya) apabila ditanya media mengenai pendedahan ini. Dalam Parlimen pun beliau pernah menggunakan kata-kata yang tidak sopan untuk menyerang peribadi saya. Cuma saya ingin mengingatkan Tan Sri Annuar Musa dan pimpinan Umno bahawa dari jumlah rakyat Malaysia yang menonton video yang saya dedahkan dan reaksi mereka, jelas bahawa yang ditertawakan adalah Datin Seri Rosmah Mansor, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Umno sendiri.

Setakat jam 730 pagi ini (sejak dimuatnaik pada hari Jumaat, 10 Jun 2016 jam 1250 tengahari), video Datin Seri Rosmah Mansor menaiki jet dengan beg-beg yang diangkut telah ditonton oleh 1,049,309 penonton di Facebook saya, dikongsi sebanyak 16,800 kali dan telah muncul di “timeline” 2,260,537 akaun (sila lihat dibawah). Ini tidak termasuk capaian di laman-laman lain seperti Malaysiakini, Youtube dan sebaran melalui whatsapp. Jumlah tontonan melebihi 1 juta orang dalam tempoh kurang 4 hari jelas menunjukkan isu ini benar-benar menimbulkan kemarahan rakyat.

Oleh itu terpulanglah kepada pimpinan Umno untuk memperlekehkan pendedahan ini atau mengambil tindakan segera untuk menangani kemarahan rakyat itu.

Jangan kata saya tak nasihat awal-awal.

JIKA AMAR MAKRUF, NAHI MUNGKAR, TIADA ALASAN HADI BERBAIK DENGAN NAJIB

Oleh Shahbudin Husain

Selepas didedahkan oleh Tun Mahathir Mohamad, Hadi Awang dengan pantas mengesahkan mengenai pertemuannya dengan bekas Perdana Menteri itu yang diadakan kira-kira tiga bulan yang lalu.

Tun Mahathir mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas itu ialah khusus untuk memberi penjelasan mengenai salah laku Najib Razak selama ini.

Namun, di sebalik Presiden Pas itu, menurut Tun Mahathir, mengakui ada kebenaran tertentu dalam penjelasan yang diberikan, beliau menolak pelawaan untuk turut serta dalam usaha menjatuhkan Perdana Menteri.

Penolakan itu, kata Hadi adalah disebabkan Pas tidak menentang individu atau orang, tetapi menentang dasar atau konsep.

Sekiranya orang diubah, tetapi dasar dan pendekatannya sama, tiada perubahan juga, kata Hadi dipetik sebagai berkata.

Bolehkah diterima hujah Hadi bahawa penolakannya untuk bekerjasama menjatuhkan Najib ialah semata-mata kerana Pas berjuang untuk menolak dasar dan konsep,  bukan menentang individu?

Apa dasar dan konsep UMNO dan BN yang ditentang dengan serius oleh Hadi Awang selama Najib menjadi Perdana Menteri?

Apakah sikap berbaik-baik dengan Najib boleh ditafsirkan bahawa Pas benar-benar berjuang menentang dasar dan konsep?

Bolehkah perjuangan menentang dasar dan konsep diteruskan dengan jujur jika sudah berbaik-baik dengan individu?

Tidakkah apabila Hadi Awang menolak pelawaan untuk menjatuhkan Najib itu bermakna secara tersiratnya beliau ingin terus menyokong Perdana Menteri?

Dalam pada itu, seriuskah Pas berjuang menentang dasar dan konsep UMNO dan BN dengan kedudukannya yang berseorangan sekarang ini?

Sesiapa pun jika ditanya persoalan-persoalan tersebut pasti geleng kepala dengan jawapan yang diberikan Hadi Awang itu. 

Jawapan Hadi Awang itu tidak lebih sebagai alasan untuk menghalalkan keinginan untuk terus berbaik-baik dan saling bahu membahu dengan Najib. Apa untungnya hanya mereka berdua yang tahu.

Jika Hadi Awang dan Pas benar-benar berpegang kepada perjuangan amar makruf, nahi mungkar yang dikompangkannya  selama ini, tiada alasan sama sekali sebenarnya untuk beliau berbaik-baik dan bersetuju dengan individu bernama Najib yang bukan saja sarat dengan skandal kewangan yang tidak dinafikan, melakukan pembaziran, kemewahan, menyusahkan rakyat melalui GST dan penarikan subsidi, bahkan juga melakukan kacau-ganggu kepada institusi awam semata-mata untuk menyelamatkan kedudukannya.

Apakah semua keburukan yang dilakukan Najib ini masih tidak memadai untuk menolak dan menjatuhkannya?

Menolak untuk bersama-sama menjatuhkan Najib, bermakna Pas secara tidak langsung menolak untuk melakukan kebaikan dan mengelak daripada mencegah kemungkaran daripada terus berleluasa.

Tidakkah Hadi sedar usaha menjatuhkan Najib yang dipelopori oleh Tun Mahathir melalui Deklarasi Rakyat dan disokong oleh Pakatan Harapan bukan saja untuk menukar individu, tetapi juga melakukan reformasi institusi?

Sebaliknya berbaik dan bersama Najib, apa konsep dan dasar pemerintahan sekarang yang mampu diubah oleh Hadi Awang?

Lebih buruk lagi kerana harapan Hadi Awang yang kononnya untuk terus berjuang menentang konsep dan dasar itu tidak mungkin menjadi kenyataan atau sekadar angan-angan saja bersandarkan kedudukannya yang semakin mengecil disebabkan bersendirian sekarang ini.

Yang jelas, enggan bersama menjatuhkan Najib tidak ubah seperti menukar amar makruf, nahi mungkar menjadi amar mungkar, nahi makruf. (SH 14/06/2016).

Kem BN PRK Kuala Kangsar bergelora rupa-rupanya.. Orang lama terkilan..!!

‘Saya tak merajuk, cuma terkilan’
Wartawan Sinar Harian

KUALA KANGSAR – “Saya tak merajuk... Cuma terkilan,” itu luahan bekas Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Ramly Zahari.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus mengatakan beliau tidak membantu kempen BN kerana tidak terpilih menjadi calon.

Ramly berkata, isu merajuk langsung tidak timbul sebaliknya rasa terkilan dengan calon, Datin Mastura Mohd Yazid yang bersikap dingin dengannya.

Beliau meluahkan rasa terkilan terhadap satu peristiwa ketika majlis bacaan tahlil Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad apabila diminta beredar oleh ahli keluarga Mastura.

“Saya tak frust kerana dalam politik saya lama, lepas tu ketika saya resign (dari penjawat awam) untuk jadi ahli politik saya dah membayangkan semuanya.

“Yang boleh jadi calon sorang sahaja... Cuma saya terkejut sebab Datin Mastura jadi calon,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, peristiwa itu didedahnya kerana mahu kekeliruan itu dijelaskan kerana sudah ada cakap-cakap mengenainya.

Malah menurut Ramly, beliau bersedia membuat sidang akhbar menjelaskan perkara sebenar bagi membersihkan nama baiknya.

Ditanya sama ada tindakan itu mungkin berkaitan dengan sejarah sebelum ini dengan Wan Mohammad Khair-il Anuar, beliau berkata, mungkin ia serba sedikit berkaitan pertembungan mereka berdua ketika pemilihan Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar.

Menurutnya, isu merajuk itu juga tidak timbul memandangkan beliau sendiri menggerakkan jentera bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lempor untuk BN.

“Saya sayangkan Umno, sayangkan BN. Saya masih membantu kerana saya Ketua Cawangan Kampung Lempor Hilir.

“Malah ketika bangunan Umno Bahagian Kuala Kangsar ini nak dilelong, saya bayar RM400,000 untuk pastikan ia kekal. Malah saya dah usahakan bangunan Wisma Umno Bahagian Kuala Kangsar,” katanya.

Katanya, beliau sudah bersedia dengan sepak terajang politik ini selepas melepaskan jawatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1993.

Menurut Ramly, penglibatan beliau dalam politik di Kuala Kangsar ketika itu kerana melihat Umno di bahagian itu perlu perubahan.

Ditanya mengenai potensi calon-calon bertanding, beliau berkata, ketiga-tiga calon baik dari BN, Pas dan Amanah berpotensi untuk menang tetapi sebaliknya bagi calon bebas.

Katanya, pengundi di Kuala Kangsar sukar diramal kerana penduduknya mudah mesra dengan semua orang.

“Kita tahu budaya penduduk Kuala Kangsar ini, mereka boleh senyum sampai akhir... Tapi undi akhirnya lain.

“Misalnya Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Bunga Raya... Saya pernah menguruskan PDM itu. Kalau masa mengundi, musim kempen ni, Taman Bunga Raya antara PDM terbaik. Orang ramai, tapi nak menang payah sungguh,” katanya.

Beliau berharap pengundi menggunakan kebijaksanaan pada hari pengundian 18 Jun nanti.

Ramly mula menjadi Ketua Bahagian Umno Kuala Kangsar pada tahun 1993 sebelum diangkat menjadi Adun Manong dua tahun selepas itu.

Malah, beliau juga mempunyai pengalaman dalam kerajaan negeri  Perak sebagai Exco bermula tahun 1995 hingga 2013.

Sementara itu, Mastura yang ditemui menafikan hubungan beliau dingin dengan bekas Adun Manong itu sebelum ini.

Menurutnya, beliau menghormati Ramly sebagai orang yang begitu lama dalam politik malah ketika itu Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar masih belum menyertai politik.

“Saya tidak ada masalah dengan Datuk Ramly dan isterinya yang saya panggil sebagai Kak Om yang sama-sama bergiat dengan saya di dalam Baiduri (Badan Amal dan Usaha Isteri Wakil Rakyat Perak),” katanya.

Poster BN gambar NAJIB tak ada di 2 PRK...adakah beliau sudah menjadi beban..?

AMANAH: Kempen BN buktikan Najib cuma beban

Ketiadaan poster memaparkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada kempen pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar terus dijadikan isu oleh pembangkang.

Walaupun sudah dijelaskan BN sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub berkata Najib kini dilihat memberi kesan negatif terhadap peluang mereka.

“Kita lihat dari perjalanan luar bandar ke bandar, gambar Najib tidak ada.

“Maksudnya BN sendiri mengakui bahawa gambar Najib beri kekurangan undi kepada BN,” katanya.

Katanya, apa yang berlaku sekarang tidak seperti era pentadbiran perdana menteri lain.

“Gambar PM (sebelum ini) digandingkan dengan calon bagi dapat kekuatan,” katanya kepada Malaysiakini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim sebelum ini sudah berdepan soalan pemberita berkaitan isu itu, termasuk dakwaan ketiadaan poster besar BN.

Katanya, keputusan tersebut diambil bagi mengurangkan pembaziran, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.

Salahuddin berkata berkemungkinan wajah Najib dielakkan supaya rakyat tidak terfikir isu kontroversi dalam negara.

Hadi: PAS berbaik Umno untuk menangi undi mereka

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kurang memahami sikap parti pembangkang lain yang seolah-olah sukar apabila partinya berbaik dengan Umno.

Katanya, terdapat sebab mengapa PAS mahu menjalin hubungan mesra dengan Umno dan bukannya memilih untuk berbalah.

“Dia (parti pembangkang lain) susah kerana kita nak baik dengan Umno, memang kita nak baik dengan Umno.

“Kalau tak baik macam mana nak suruh Umno undi kita?” kata Hadi dalam ucapannya di Dataran Ketior, Manong, Kuala Kangsar, malam semalam.

Menurutnya, PAS juga mahu berbaik dengan bekas sekutu yang kini menjadi seterunya, iaitu DAP.

Tetapi ini, katanya, adalah supaya ahli DAP juga mengundi PAS.

“Dengan DAP pun (PAS) nak baik, biar orang DAP undi kita juga.

“Kena baik dengan semua,” katanya.

Penjelasan Hadi itu dibuat susulan kenyataan Ketua Pemuda PAS Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz yang mengakui partinya cuba memahami Umno dalam usaha mendekati dan menjalankan hubungan atas dasar "kepentingan Islam".

Bagaimanapun, sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kritikan PAS terhadap Umno semakin berkurangan kerana telah diberikan dedak.

Malah, pada satu majlis di Kuala Kangsar, Ahad lalu, Dr Mahathir berkata beliau telah menemui Hadi bagi menerangkan dakwaan salah laku Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak tetapi “apa yang dia nampak ialah dedak.”

Mahathir percaya bahawa PAS cuba memikat Umno kerana parti itu memerlukan sokongan selepas ditinggalkan bersendirian.

Mahfuz - Jangan tunggu lama-lama, nanti dia diambil orang


Mahfuz Omar

Kenyataan saya bertarikh 10 Mei 2016 mengharapkan pembangkang menyarankan PAS dan AMANAH berunding untuk memastikan agenda satu lawan satu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang menjadi hasrat rakyat Malaysia untuk mengalahkan Umno BN.

Namun hasrat saya itu ditolak oleh pimpinan PAS atas alasan tiada kerjasama dengan pengkianat.

Kini dengan kenyataan ketua pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz barulah saya faham kedudukan sebenar.

Nik Abduh yang menekankan PAS bukan sahaja berniat tetapi berazam untuk bersatu dengan Umno.

Ini bermakna usaha telah, sedang dan terus dilakukan oleh PAS bagi merealisasikan niat dan azam untuk memastikan PAS dan Umno bersatu menjadi kenyataan.

Saya percaya pertemuan, perbincangan dan perundingan dua belah pihak telah diadakan. Walaupun berkali-kali dinafikan oleh pimpinan PAS, tetapi dengan kenyataan Nik Abduh cukup meyakinkan cuma keberanian berterus terang sahaja yang masih diselubungi dengan ketakutan.

Saya mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang menunjukkan usaha ke arah itu digerakkan.

Saya percaya Nik Abduh mempunyai keberanian luar biasa berbanding dengan pimpinan PAS yang lain.

Sikap suka berterus terang dan tidak suka berselindung dalam tindak tanduknya dan PAS menjadikan kepimpinan Nik Abduh dipuji dan disenangi oleh ahli PAS dan pimpinan Umno.

Apa yang dinyatakan oleh Nik Abduh tidak boleh dianggap itu pendapat peribadi kerana Nik Abduh dipercayai terlibat mewakili PAS dalam perbincangan penyatuan dengan Umno sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Penyatuan tanpa ketentuan

Persoalannya sampai bila PAS dan Umno akan bermain dengan kenyataan penyatuan tanpa ketentuan.

Tidak cukup sekadar berbalas kenyataan menyambut baik penyatuan sedangkan tiada keberanian yang nyata.

Saya faham penyatuan yang dimaksudkan bukanlah menyertai atau bergabung dengan Umno tetapi sudah pasti yang dimaksudkan ialah kerjasama politik dan dakwah yang memerlukan satu ikatan janji yang konkrit untuk kelangsungan kuasa politik Melayu Islam dipertahankan.

Inilah yang ditegaskan oleh Presiden PAS bahawa 40 peratus orang bukan Islam tidak boleh menguasai 60 peratus orang Islam apabila memberikan amaran supaya DAP menghentikan usaha menguasai pemerintahan.

Saya pun tak tahu bila pula DAP yang hanya bertanding tak lebih 60 kerusi Parlimen mampu menjadikan Cina menguasai Malaysia.

Tak apalah mungkin itu satu amaran dan peringatan.Tetapi selepas PAS mengambil jalan meninggalkan rakan pembangkang sewajarnya PAS dan Umno tidak boleh lagi membiarkan kedua-dua parti ini berebut pengaruh undi di kalangan pengundi Melayu Islam tetapi sebaliknya perlu berkongsi sokongan pengundi Melayu untuk survival parti dan kuasa politik Melayu Islam. Soalnya bila mahu dimulakan.

Dimulakan di dua PRK

Pada saya sebaiknya dua PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai medan permulaan untuk penyatuan apa yang sering disebut demi kuasa politik Melayu Islam.

Oleh itu bagi saya masih belum terlambat sebelum hari mengundi awal pada Selasa 14 Jun atau hari mengundi pada 18 jun untuk kedua dua parti PAS dan Umno BN membuat kesepakatan yang terang dengan mengorbankan satu kerusi PRK yang ditandingi kali ini.

Contohnya PAS membuat pengisytiharan menarik diri dan melepaskan kerusi Sungai Besar untuk Umno BN terus berlawan dengan AMANAH dan menggerakkan pengundi PAS untuk mengundi dan menangkan calon Umno BN.

Manakala Umno BN menarik diri serta melepaskan kerusi Kuala Kangsar kepada PAS untuk berlawan dengan AMANAH dan mengerakkan pengundi BN mengundi dan menangkan calon PAS.

Ini akan lebih mudah difahami daripada isyarat-isyarat yang sukar kepada pengundi. Dan ini akan lebih menguntungkan daripada kedua dua parti terus berlawan yang berkemungkinan ada parti tak menang langsung pada PRK ini.

Kata Ramli Sarip Papa Rock bersama kumpulan Sweet Charity 'Jangan tunggu lama-lama nanti lama-lama dia diambil orang'.

Hanya ketakutan Pimpinan PAS dan Umno sahaja yang menghalang cadangan saya untuk PRK ini.

Mungkin selepas PRK mereka kena berniat dan berazam buang ketakutan untuk bersatu.

MAHFUZ OMAR Ahli Parlimen Pokok Sena





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...