TERKINI :

Tuesday, June 7, 2016

Pembangkang akan lebih berpecah selepas PRK?

SHAH ALAM – Pertembungan lebih satu lawan satu antara pembangkang bukan sahaja membuka peluang dan kelebihan buat BN, malah ia juga boleh meluaskan jurang antara parti-parti pembangkang.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar mungkin akan menjadi penentu masa depan Pakatan Harapan dan Pas.

Ini memandangkan keadaan yang semakin tegang antara Pas dan Pakatan Harapan dalam usaha merebut kerusi di kedua PRK.

“Segala-galanya berkemungkinan. Apa yang berlaku pada PRK kali ini boleh memberi kesan kepada Pakatan Harapan khususnya Amanah (Parti Amanah Negara) dan Pas.

“Ia juga boleh memberi kesan kepada hub Pas dengan PKR, antara PKR dan Amanah serta antara Amanah dengan DAP,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin pada hari ini mengesahkan akan berkempen menentang calon Pas, Dr Abdul Rani Osman yang bertanding pada PRK Sungai Besar.

Manivanan berkata, meskipun pada mulanya ahli Parlimen PKR itu tersepit dengan situasi tersebut, beliau akhirnya memilih untuk mengutamakan prinsip perjuangan parti yang didukung selama ini.

KERAJAAN BADUT? Status PAS Dan AMANAH Dalam Kerajaan Selangor Dipersoal!!!

Tidak perlu orang "maha cerdik" pun untuk menilai dan melihat kecelaruan dalam kerajaan Negeri Selangor. Kedudukan exco-exconya yang membentuk kerajaan negeri itu sendiri "menggambarkan" mereka tidak sehaluan tetapi "bersatu" hanya demi kuasa dan kepentingan peribadi semata-mata. 

BN mencabar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan kedudukan AMANAH dan PAS dalam pentadbiran negeri itu.

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, ketika ini kedudukan PAS dan AMANAH dalam pentadbiran negeri Selangor tidak jelas.

“Saya nak tanya menteri besar, AMANAH ini pembangkang atau kerajaan dan PAS hari ini adalah kerajaan atau pembangkang?

“Saya nak tanya pada PAS dan tiga EXCO PAS Selangor, adakah mereka ini dalam kerajaan negeri Selangor atau pembangkang di Selangor,” katanya dalam sidang media lewat malam tadi.

Kata Pengarah BN di PRK Sungai Besar itu lagi, ketika ini kerajaan yang ditubuhkan di Selangor itu masih kurang jelas kerana tidak didaftarkan secara sah.

“Ada dua wakil AMANAH dalam negeri Selangor. Adakah mereka ini pembangkang atau kerajaan? Azmin kena jawab kedudukan PAS dan AMANAH dalam kerajaan negeri,” jelasnya.

Pada masa sama, Noh yakin kempen BN tidak akan terjejas sekalipun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turun membantu kempen AMANAH di Sungai Besar.

“Sesiapa yang hendak turun, turunlah. Sesiapa sahaja yang menentang BN kita akan hadapi. Kalau Tun M fikir dia turun BN akan terjejas, dia silap,” katanya sambil menambah BN yakin dapat meraih kemenangan selesa di Sungai Besar.

Ini kerana jelasnya, parti itu akan memastikan jentera kempennya bergerak secara teratur di setiap Pusat Daerah Mengundi yang ditetapkan.

Misi Amanah tumbangkan BN, bukan Pas

SUNGAI BESAR – Misi utama Parti Amanah Negara (Amanah) bertanding pada PRK Sungai Besar adalah untuk menumbangkan BN.

Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim berkata, Amanah tidak menganggap pertembungan tiga penjuru di Sungai Besar itu untuk melawan Pas.

"Bagaimanapun, misi berkenaan akan gagal sekiranya penduduk memberikan undi mereka kepada Pas kerana akan berlaku pecah undi.

"Jadi penting untuk Amanah meraih undi sepenuhnya supaya misi menumbangkan BN tercapai," katanya selepas siri ceramah kelompok Amanah di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Izham turut menegaskan Amanah tidak pernah menggunakan harta kerajaan negeri untuk berkempen walaupun mereka berada di dalam Pakatan Harapan.

"Semua wang yang telah digunakan adalah milik parti dan tidak ada kena mengena dengan kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah Selangor ketika ini.

“Ini bukan pendekatan yang diketengahkan Pakatan Harapan kerana parti yang bertanding bergantung pada kekuatan sendiri,” katanya.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...