TERKINI :

Saturday, June 4, 2016

MB Kedah Pengsan Ketika Mesyuarat

Ahmad Bashah Md Hanipah

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dikejarkan ke Pusat Perubatan Kedah (KMC) selepas pengsan pada petang Sabtu.

Beliau menghadiri mesyuarat pasukan Umno Kedah yang akan dihantar untuk membantu Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar.

Pasukan tersebut dijangka berlepas pada malam Sabtu.

Menurut sumber, Ahmad Bashah sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi KMC.

"Beliau tiba di KMC kira-kira pukul 7.30 malam dan beliau menghadiri mesyuarat di Hotel Grand Alora pada pukul 7 petang," kata sumber.

Nazri Aziz - 'PAS kini akui perjuangan Umno'

Langkah PAS menonjolkan budaya Melayu dalam muktamar mereka di Kota Bharu yang berakhir semalam parti berkenaan kini mengikut jejak langkah Umno.

"Kalau mereka melakukan begitu (memaparkan unsur budaya Melayu yang ketara) maknanya PAS menyokong apa yang selama ini Umno katakan, iaitu kita memperjuangkan bangsa kita tetapi pada masa sama kita perjuangkan semua rakyat Malaysia," kata Datuk Seri Nazri Aziz.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu ditemui media di Sungai Besar hari ini.

Kata Nazri formula Umno dan BN sudah terbukti berjaya selama hampir 60 tahun.

Sebab itu katanya PAS dan pembangkang lain meniru Umno serta BN.

Dalam muktamar terbaru PAS parti itu mengejutkan ramai apabila tampil dengan ciri kemelayuan yang ketara, bermula dengan perasmian persidangan dewan pemudanya.

Pada majlis itu Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz dan beberapa pimpinan utama - selain Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man - hadir lengkap denganpakaian seperti pahlawan Melayu.

Pada perasmian muktamar pula Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghunus keris panjang sebelum menggunakan alat itu untuk upacara memotong pulut. 

Bukan Islam tak percaya Umno, Pas

ONG BOON TECK

SEJAK dua minggu lalu, sudah berbuih mulut pemimpin Umno dan Pas beri jaminan RUU Persendirian yang dibentangkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Parlimen 19 Mei lalu, bukan untuk pindaan melaksanakan undang-undang hudud.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri pun tampil berkata, parti-parti komponen dalam BN telah silap faham kerana RUU persendirian itu hanya untuk memperkasa Mahkamah Syariah.

Kata Umno, pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) tiada kaitan dengan pelaksanaan hukum hudud. Pelaksanaan hudud hanya ada kena mengena dengan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, kawan-kawannya seperti MCA, Gerakan, MIC dan SUPP perlu yakin dan percaya kata-kata ini.

Manakala kata Pas, DAP tidak perlu campur tangan dalam perkara yang melibatkan orang Islam kerana tidak menyentuh hal orang bukan Islam.

Jadi, soalnya apakah masyarakat bukan Islam percaya akan kata-kata pemimpin Umno dan Pas ini?

Jawapannya mudah, masih tidak percaya! Pemimpin MCA, Gerakan, MIC dan SUPP sepakat menegaskan tindakan Abdul Hadi itu adalah 'pembuka jalan' untuk membenarkan undang-undang hudud dikuatkuasakan di negara kita.

Malahan semua menteri dan timbalan menteri bukan Islam ini sanggup meletakkan jawatan masing-masing sebagai protes sekiranya hukum hudud berjaya dilaksanakan di negara kita.

Begitu juga dengan pemimpin DAP dan pemimpin-pemimpin pembangkang bukan Islam yang lain. Mereka mengutuk Umno demi untuk melaksanakan undang-undang Islam, sanggup bersekongkol dengan Pas tanpa memikirkan perasaan masyarakat bukan Islam.

Sehingga hari ini, masyarakat bukan Islam, sama ada pemimpin politik, persatuan mahupun dewan perniagaan masih lantang mengkritik dan terus mendesak agar kerajaan menarik balik RUU persendirian itu.

Di sebalik desakan demi desakan itu, timbul juga kemusykilan bagaimana boleh timbul RUU persendirian itu? Tanpa diduga oleh kebanyakan ahli-ahli parlimen, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu tiba-tiba dibenarkan bangun dan membawa RUU berkenaan. Beliau kemudian memberitahu akan membahaskan usul itu dalam sesi parlimen akan datang.

Ahli-ahli parlimen bukan Islam pada hari itu sememangnya terkejut dan tidak percaya apa yang didengar dan dilihat mereka. Apakah cubaan demi cubaan yang dilakukan presiden Pas itu untuk membentangkan hukum hudud dalam parlimen kini telah menjadi kenyataan?

Apa yang lebih mengejutkan lagi ialah pendedahan secara terbuka oleh Abdul Hadi kelmarin bahawa Pas sebenarnya telah lama mengadakan rundingan dengan kerajaan persekutuan pimpinan BN bagi membenarkan partinya membawa usul itu ke Dewan Rakyat.

Nampaknya Umno dan Pas cuba berselindung daripada pengetahuan parti-parti sekutunya.

Belum habis Umno dan Pas memberikan penjelasan kepada kalangan bukan Islam, pendedahan Abdul Hadi mengenai rundingan berkenaan sesungguhnya tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi bagi pemimpin-pemimpin bukan Islam dalam komponen BN.

Bagi pemimpin MCA, Gerakan, MIC dan SUPP, mereka anggap seperti diperdaya oleh Umno yang sanggup 'mengadakan rundingan sulit' dengan Pas.

Demi mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dikatakan sudah bersedia bertemu dengan perdana menteri dalam masa terdekat.

Namun, apakah hasil pertemuan itu, semua persoalan yang dibimbangi oleh kalangan bukan Islam boleh terungkai?

Apakah jika Liow boleh terima penjelasan Najib, masyarakat bukan Islam pun akan turut akur? Rasanya tidak. Selagi RUU persendirian ini belum secara hitam putih dibentangkan dalam Parlimen Oktober depan, selagi itulah kritikan demi kritikan terhadap RUU yang didakwa untuk melaksanakan hukum hudud akan terus didengar.

Apakah benar usul yang dibawa Abdul Hadi itu benar-benar untuk memperkasakan Mahkamah Syariah?

Bagi kebanyakan bukan Islam, mereka masih bersikap was-was. Mereka sudah tidak percayai dan sokong Pas lagi.

Kini selepas Pas, mereka  pula kena berhati-hati dengan Umno!

Isi Tanah Melayu di Penang - Tembelang PAS Terbongkar Sekelip Mata?

Tembelang PAS Terbongkar Sekelip Mata? 

DAP menyelar kenyataan Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Hafiz Aliasyang cuba menyemarakkan emosi perkauman dengan menuduh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinangtidak berlaku adil terhadap penduduk Melayu berhubung isu tanah di negeri tersebut.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang Syerleena Rashid, berkata dakwaan oleh ahli Pas itu seolah-olah cuba ‘meniru’ budaya Umno yang sentiasa mengaitkan sebarang isu melibatkan DAP dengan sentimen perkauman.

Tembelang PAS Terbongkar Sekelip Mata? Kenyataan Hafiz bahawa semua pihak perlu menuntut agar kerajaan negeri mengekalkan ‘tanah milik Melayu’ dengan meminta semua konstituensi di Pulau Pinang menentang dasar-dasar kerajaan negeri bercanggah dengan fakta dan bukti sedia ada.

Malah, Syerleena menegaskan, Pas ‘buat-buat lupa’ dengan segala perlakuan Umno selama ini yang telah banyak merampas tanah-tanah milik Melayu dengan harga murah melalui syarikat proksi dan kemudian menjualkannya dengan harga yang lebih tinggi.

"Contohnya seperti apa yang berlaku di Kampung Terang Balik Pulau. 31 pemilik tanah Melayu menjual tanah mereka kepada Maison Heights Sdn Bhd dengan jumlah kira-kira RM8.56 juta pada Januari 2012. Syarikat itu kemudiannya menjual tanah tersebut kepada Kay Pride Sdn Bhd dengan harga sekitar RM13.45 juta pada Mei tahun yang sama.

Tembelang PAS Terbongkar Sekelip Mata?

"Keuntungan sebanyak RM5 juta, hanya dalam masa 5 bulan. Ini secara terang-terangan merupakan satu eksploitasi terhadap sistem sedia ada dan eksploitasi terhadap penduduk Melayu dengan cara yang sangat jijik.

"Jangan kita lupa bahawa dua anggota Lembaga Pengarah Maison Heights pada masa itu adalah Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pengerusi Pilihanraya Barisan Nasional, Datuk Omar Faudzar," lapor Roketkini.com.

Menurut Syerleena yang juga ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP), kerajaan negeri di bawah pemerintahan DAP telah berusaha sedaya-upaya membantu menyelesaikan masalah penduduk dengan pemaju di negeri itu.

Tembelang PAS Terbongkar Sekelip Mata?

Katanya, perkara itu jelas dibuktikan dengan kerja keras kerajaan negeri menuntut agar hak rakyat dipelihara dan diberi pampasan oleh pemaju seperti dalam kes Kampung Permatang Tok Subuh di Bukit Mertajam dan Kampung Chetty di Bukit Feringghi sebelum ini.

Oleh itu tegasnya, Pakatan Harapan sentiasa mengambil langkah yang terbaik demi keadilan sosial bagi mempertahankan hak kemanusiaan setiap individu di negara ini tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

"Percaturan yang dimainkan oleh Pas dengan menuduh DAP dan Pakatan Harapan melalui dakwaan tidak berasas dan tanpa bukti kukuh hanya menunjukkan betapa gelabahnya Pas ketika ini untuk menawan hati sekutu politiknya yang baru," katanya.

Dari Kelanda Mujahid kepada adinda Nik Abduh : 'Mabuk ada bermacam mabuk...

ULASAN Ke hadapan adinda Nik Abduh Nik Abdul Aziz,

Kekandamu Mujahid Yusof Rawa menulis kerana khabarnya adinda merindui kekanda-kekanda dalam ucapan adinda di Muktamar tempoh hari. Kekanda turut merindui adinda-adinda dalam Dewan Pemuda kerana kekanda pernah berada di situ selama beberapa penggal sebelum tamatnya tempoh pemuda. Kemudian kekanda berada di Kepimpinan PAS Pusat menyumbang ide dan berbakti kepada nusa dan bangsa melalui wadah PAS. Itulah wadah kita dan ayahanda kita. Kekanda selalu diingatkan bahawa masa depan parti berada di tangan pemuda-pemuda seperti kami dan sekarang adinda-adindalah mencorakkan masa depan parti PAS. Kekanda-kekanda yang adinda rindui kini dalam wadah AMANAH dan bukannya PAN seperti yang disebut oleh pendokong parti adinda. Entahlah samada liat lidah mahu menyebut AMANAH atau sengaja memanggil orang dengan nama yang tidak betul untuk tujuan memerli.

Adinda Nik Abduh,

Kekanda sedia maklum adinda suka berpuitis dengan berbahasa kiasan. Kiasan itu amat indah malah ia menjadi sihir yang memukau kerana susunan kata yang dikarang. Memang begitu peradaban kata-kata dan yang menuturnya pasti seorang Adib (sasterawan) yang tinggi budi pekerti dan kata-katanya. Adinda akan bersetuju dengan kekanda bahawa ramai kita yang jahil tentang seninya kata-kata umpama sihir yang memukau penonton, mereka yang jahil seni sering salah anggap bahasa kiasan yang kita gunakan dan menganggapnya satu hakikat.

Usaha terkini adinda membuat kiasan ‘mabuk’ kepada bekas pimpinan PAS yang kemudian menubuhkan AMANAH dan dikaitkan pula dengan parti DAP yang bertanggungjawab 'memabukkan' mereka menjadi perbualan ramai. Kekanda sudah biasa dengan bahasa kiasan dan kekanda juga boleh dengan bahasa kiasan menjawab ‘mabuk’ dan dimabukkan oleh DAP yang adinda cuba tamsilkan terhadap AMANAH.

Tahukah adinda bahawa mabuk itu ada macam-macam. Mabuk dunia, mabuk harta, mabuk pangkat, mabuk cinta, mabuk wanita dan pelbagai mabuk yang membayangkan seseorang itu telah lupa pertimbangan yang waras hanya untuk mencapai habuan yang diinginkan. Ada juga mabuk cinta yang menjadikan seseorang itu gila umpama kisah Laila Majnun. Maqam mabuk bisa sahaja sampai ke maqam Majnun (gila). Orang yang ‘gila’ akan melihat orang yang waras sebagai ‘gila’ dan tak akan mengaku dia gila kerana dia berada dalam alamnya tersendiri serta terperangkap di dalamnya.

Mabuk cinta juga dikaitkan dengan perbuatan yang pelik-pelik dan kadang-kadang dipanggil angau. Ini adalah kerana mabuk cinta menagih korban demi membuktikan kesetiaan cinta. Adakalanya pakaian biasa yang dipakai tidak lagi dipakai ikut selera tuan tubuh tetapi cara pakaian orang mabuk cinta ialah dengan memakai pakaian yang disuka kekasihnya. Bagi yang mabuk dia berasa hebat kerana memenuhi selera kekasihnya namun bagi orang lain yang melihat, ia sungguh pelik dan kadangkali mendengkilkan. Seorang yang mabuk cinta juga mahu orang lain memenuhi selera kekasihnya, lebih ramai yang pakai ikut selera mabuknya, lebih berbanggalah dia apatah lagi kalau ayahnya pun terikut-ikut dengan selera mabuknya demi untuk si kekasih hati.

Adinda ku Nik Abduh,

Mabuk laut juga dipakai sebagai kiasan kepada keadaan terhoyong-hayang bahtera yang dipukul gelombang dan gelora lautan sehingga si mangsa pening termuntah-muntah umpama orang yang mabuk meminum arak. Bercakap tentang bahtera, tahukah adinda salah seorang ulama besar nombor dua di dunia, pernah membuat kiasan “jikalau rasa ada bahtera lain lebih baik silalah ke bahtera lain”. Kiasan itu amat menusuk kalbu kekanda kerana bukan soal berpindah ke bahtera lain tetapi bahtera yang kekanda pernah ‘tumpang’ satu ketika dahulu sudah mulai bocor teruk bukan kerana orang di bawah menebuk untuk minum air tetapi orang yang di atas menebuk lubang kerana marahkan orang yang memberi amaran bahtera akan tenggelam. Lagipun pengemudinya dan anak kapal lain berebut habuan harta rampasan sehingga yang menumpang diabaikan, setiap kali mereka bersuara mereka diminta diam dan ikut sahaja arahan dan ada yang diberi amaran nyah dari bahtera ini jika banyak mulut.

Nasib baik kekanda sempat berada dalam bahtera baru setelah memilih untuk menyelamatkan diri daripada bahtera yang sedang tenggelam semakin dalam dan jurumudinya masih mabuk dunia dan anak kapalnya masih pening-pening lalat sehingga tidak terasa bahtera sedang tenggelam.

Bukankah elok kalau kita tenggelam sekali dengan bahteranya tanda kesetiaan? Kekanda akan bertanya balik, bukankah lebih elok kita sampai ke Pulau Impian kita dengan bahtera lain? Adakah bahtera itu matlamat atau Pulau Impian kita itu matlamat akhir kita? Memilih wasilah sebagai matlamat adalah sama seperti kekeliruan kenyataan adakah kita makan untuk hidup atau kita hidup untuk makan? Biarlah si luncai tenggelam dengan labunya..

Adinda ku,

Mabuk ialah apabila segala pertimbangan sudah hilang dan akal sudah tidak waras, mabuk boleh membuatkan kita sudah tidak waras dan tindakan kita akan jadi kontras dengan diri kita sebenarnya. Kalau sebelum mabuk kita pemalu tetapi semasa mabuk hilang semua rasa malu. Kalau sebelum mabuk kita dapat kawal kata-kata kita tetapi bila dah mabuk segalanya dihamburkan. Mabuk dalam bahasa Arab “sukran” adalah daripada makna “tertutup” dan “hilang akal kewarasan”. Ia boleh membawa makna tertutup daripada melihat yang lain. Sakaratul Maut bukanlah bermakna mabuk mati tetapi ia membawa makna ia tidak melihat lain melainkan kematian kerana segalanya telah tertutup penglihatan alam fananya, yang dilihat ialah menuju ke alam baqa.

Kalaupun adinda masih mahu berkias perkataan mabuk kepada AMANAH angkara DAP, kekanda boleh terima dengan makna ‘mabuk prinsip’, ‘mabuk melawan rasuah’, ‘mabuk melawan perkauman sempit’ atau ‘mabuk memperjuangkan hak rakyat’ dan ‘mabuk menyatukan semua kaum di negara ini’. Memang betul kami ‘mabuk’. Untuk mabuk itu kekanda tiada masalah siapa sahaja yang mahu ‘memabukkan’ kami demi prinsip dan ya, memang kami tak nampak yang lain melainkan itu, maka mabuklah kami dengannya.

Adinda,

Sudah kekanda kiaskan apa yang perlu, kerana adinda suka kiasan yang ramai tidak memahaminya. Kekanda cuba memahaminya sebagaimana kekanda cuba memahami orang yang mabuk bercinta. Dengan siapakah adinda Nik Abduh bercinta? sehingga kata adinda sukar difahami, rindu yang diungkap kepada kekanda, sebelumnya perkataan ‘keluar dari sini’ disemburkan. Dulunya dinyahkan, sudah keluar dikatakan pengkhianat ditambah pula dengan laknat. Mabuk apakah ini?

Kata dua bersemangat terhadap rakan kekanda supaya membuat keputusan sama ada mahu bersama dengan adinda atau tidak datang daripada suara orang yang mabuk agaknya, kenapa tidaknya? Bukankah rakan kekanda itu yang diberi kata dua telah sepakat dengan kekanda dan bukan dengan adinda? Adinda ada rakan lain yang telah diikat dengan Ikatan bukan? Bermain matakah adinda dengan rakan kekanda? Rakan kekanda yang memabukkan kekanda juga sepakat dengan orang yang adinda bermain mata dengannya.

Akhir kalam, mabuk ada bermacam mabuk, terima kasih kerana adinda berkias-kias tentang mabuk kerana indahnya bahasa kias, ia membuka makna yang luas. Kita semua mabuk kepada perjuangan, mabuk kepada Islam sebagai Rahmatan Lil ‘Alamin, dan ianya lebih baik daripada mabuk Melayu dan perjuangannya yang sempit. Mabuk Melayu ialah Melayu yang kerisnya diusung ke mana-mana apatah lagi keris panjang dibuat memotong pulut kuning, suaranya pula memaki hamun orang lain wa imma pada bangsanya sendiri. Mabuk Melayu ialah tak kenal pengkhianat sebenarnya dan siapa musuhnya.

Keris Melayu ber’amanah’ disimpan dan diasah untuk membela keadilan dan berdiri atas prinsip harga diri dan kemanusiaan. Kekanda juga anak Melayu, tak perlu bertanjak dan berhias keris. Melayu kekanda adalah diri kekanda, keris kekanda adalah prinsip kekanda, kekanda sanggup membela nusa dan bangsa biar diri tertikam asal tanah bertuah ini ada maruah, ada harga diri.

Sekian, semoga bertemu lagi di warkah yang lain dan kekanda mendoakan agar legasi ayahanda kita dapat diteruskan melalui jati diri kita sebagai rakyat Malaysia Muslim Melayu yang Amanah, Progresif dan Peduli. Sehingga sampai kita ke Pulau Impian kita.

Yang Benar

Mujahid Yusof Rawa

MUJAHID YUSOF RAWA anggota parlimen Parit Buntar dan naib presiden parti AMANAH.

Akta 355 : Khalid Samad tuntut Berita Harian tarik balik berita memfitnah beliau

Surat Tuntutan Berita Harian (Letter of Demand)

Saya telah mengarahkan peguam saya untuk menghantar surat ‘Letter of Demand’ atau Surat Tuntutan kepada pihak Berita Harian (BH) berkaitan laporan muka hadapan BH pada 27 Mei 2016 yang lepas. Laporan itu menyatakan bahawa saya telah membantah pembentangan Usul Persendirian YB Marang berhubung RUU Mahkamah Syariah sedangkan ianya jelas bahawa saya telah tidak membantahnya dan pendirian saya berbeza sama sekali dengan DAP tentang perkara ini.

Perlu disebut bahawa ini berhubung kredibiliti dan nama baik saya. Ada niat jahat untuk menggambarkan saya ini sebagai ‘khadam’ pada DAP yang sekadar mengikut sahaja kehendak DAP.

Sedangkan pendirian saya pada ketika itu berbeza dari ahli Parlimen DAP. Mereka tidak setuju usul tersebut dibahaskan di atas sebab prosedur dan peraturan. Saya setuju ianya dibahaskan kerana mengikut fahaman saya ianya tidak bercanggah dengan prosedur mahu pun peraturan. Malah saya tekankan bahawa saya setuju ianya dibahaskan. Persoalan samada setuju atau tidak dengan usul itu sendiri belum timbul kerana ianya belum lagi dibahas. Apa sebenar kehendak di sebalik usul persendirian tersebut belum lagi dinyatakan oleh pembawa usul kerana ianya tidak dibentangkan untuk perbahasan. Sepertimana yang semua sedia maklum, ianya sekadar dibaca.

MENGAPA SAYA BANGUN BERTANYA?

Ada yang bertanya, mengapa saya bangun bertanya? Saya bangun bertanya kerana ingin memberi peluang kepada kerajaan untuk meyakinkan kami sebagai ahli Parlimen dan rakyat jelata bahawa usul persendirian tersebut telah diutamakan untuk dibahas bukan atas sebab perkiraan politik, tiada udang disebalik batu atau agenda tersembunyi. Sebaliknya kerajaan memberinya keutamaan kerana ianya penting dan segala urusan untuk merealisasikan apa yang terkandung di dalam usul berkenaan perlu dimulakan esok! Barulah logik bahawa ianya didahulukan dari segala hal.

Sepatutnya soalan saya itu dijawab dengan tenang dan jelas oleh pihak Kerajaan. Antara jawapan yang boleh diberikan, sebagai contoh, adalah “ianya perkara penting dan perlu didahulukan kerana perlaksanaan terhadap usul YB Marang mampu mencegah maksiat di kalangan ummat Islam. Ianya selari dengan kesimpulan kajian yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Negeri ‘Pasir Sebutir’ yang merumuskan bahawa sekiranya ianya dilakukan maka kadar kesalahan boleh dikurangkan sebanyak separuh”.

Atau, boleh juga dijawab, “sempena menjelangnya bulan Ramadhan maka dianggap amat sesuai usul sebegini didahulukan. Ianya sesuatu yang penting demi menjaga aqeedah dan akhlak ummat Islam.” Atau sebagainya. Takkanlah perkara seperti ini pun perlu saya ajarkan kepada pihak Kerajaan?

Tetapi mungkin ada baik juga soalan saya itu tidak dijawab. Kerana sekarang, bagaimana lagi boleh dipertahankan ianya penting untuk didahulukan apabila perbahasannya sendiri ditangguhkan? Sekiranya ianya penting, yang amat wajib sehingga ianya perlu didahulukan, maka mengapa perbahasannya telah ditangguhkan? Sekiranya ianya boleh ditangguhkan, maka mengapa ianya didahulukan! Tidak hairan, atas sebab ini, ianya dilihat sebagai hanya mainan politik atas sebab pilihan raya kecil SB dan KK. Atau mungkinkah bagi mereka ini urusan Parlimen bukanlah sesuatu yang penting dan boleh ditukar sesuka hati?

Maka siapakah akan bertanggung-jawab atas persepsi terhasil bahawa agama Islam ini khususnya syariatnya, hanya bahan mainan dan alat untuk kepentingan politik orang-orang tertentu, termasuk golongan agamawan?

TINDAKAN UNDANG-UNDANG

Sifat Sidiq sifat Nabi. Makna antara maksudnya ialah bercakap benar. Tidak menipu. Bagaimana sambil menggelar diri sebagai parti politik yang perjuangkan Islam, pimpinan mereka menipu?

Saya memberi notis melalui posting ini, bahawa saya akan menyaman semua yang menuduh saya membantah pembentangan usul persendirian YB Marang. Samada melalui facebook atau kenyataan media mereka, semuanya akan diambil kira. Kecuali mereka yang pernah saya anggap sebagai guru saya dan telah menyumbang terhadap kefahaman saya mengenai Islam, mereka ini saya lepaskan. Buat kali ini sahaja. Oleh itu saya nasihatkan mereka yang terlibat, sila padamkan posting mereka di facebook dan tarik balik kenyataan yang mereka berikan kepada pihak media sebelum operasi ini dimulakan.

KESIMPULAN

Tindakan menyaman tidak merupakan sesuatu yang saya suka lakukan. Namun dalam kes ini, saya rasa ianya keterlaluan. Saya melakukan ini atas niat ingin menyelamatkan mereka dari dosa memfitnah saya dan sebagai pengajaran bagi yang masih belum mula terlibat dalam budaya keji ini. Allah telah berfirman, “fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh”.

WaLlahu 'Alam 
KHALID SAMAD

PRK jadi tempat PAS dan AMANAH 'menguji' sokongan

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini dilihat lebih kepada pertembungan antara PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam 'menguji' sokongan pengundi terhadap mereka, kata pemerhati politik.

Dan menurut pemerhati politik, pertelagahan PAS dan AMANAH itu akan menyebabkan berlakunya perpecahan undi dalam kalangan penyokong parti pembangkang.

"Tidak saya nafikan calon AMANAH dan PAS cukup berwibawa namun ia bukan halangan besar kepada calon BN di Kuala Kangsar berdasarkan kepada rekod baik BN di kawasan itu," kata penganalisis politik Prof Madya Dr Jeniri Amir ketika dihubungi Bernama.

PRK itu diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lepas.

BN, PAS dan AMANAH telah mengumumkan calon mereka bagi PRK Kuala Kangsar.

BN menamakan Datin Mastura Mohd Yazid, isteri Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar sebagai calonnya.

Manakala PAS pula menamakan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad dan AMANAH mencalonkan bekas profesor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Ahmad Termizi Ramli.

Selain itu, anggota Pemuda Umno, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail turut mengumumkam di media sosial akan bertanding sebagai calon Bebas.

Nik Abduh rindui 'abang-abang AMANAH'

Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mengakui beliau "merindui abang-abang" yang kini menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) dan meminta mereka kembali semula kepada partinya.

Bagaimanapun Nik Abduh berkata, beliau akan meminta orang yang lebih tua dalam PAS untuk menjemput semula "abang-abang’ itu memandangkan beliau hanya seorang "adik".

“PAS memang merindui mereka. Kita mengharapkan semua bersatu balik dalam PAS dan perkara itu tidak pelik dalam sejarah PAS, orang datang balik (selepas tinggalkan PAS)

“Orang tua lebih mudah mengajak abang-abang ini. Kalau adik-adik tegur abang-abang ini, (mereka) tidak berapa nak dengar. Jadi kita serah soal jemput balik ini kita serah kepada orang tua,” katanya seperti dilaporSinar Harian.

Hari ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyudin Hassan memberitahu, jumlah anggota parti Islam itu kini berkurangan sebanyak 200,000 selepas proses "pemutihan parti".

Takiyudin berkata, pada tahun lalu beliau mengumumkan bahawa jumlah keanggotaan PAS mencecah sejuta orang.

Namun, setelah beberapa perkara yang berlaku termasuk anggota PAS yang meninggalkan parti, jumlah anggota parti itu semakin berkurangan.

Nik Abduh yang juga anggota parlimen Pasir Mas berkata bekas ahli PAS yang kini menyertai AMANAH perlu berfikir semula untuk kembali.

“Semua sudah melihat PAS bergerak bagaimana. AMANAH bergerak bagaimana. Kita harap abang-abang kita yang ambil sikap boleh fikir balik,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

ADUN Gurun masih EXCO - MB Kedah

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, menafikan dakwaan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Dr Leong Yong Kong, meletakkan jawatannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Ahmad Bashah sebaliknya berkata, Yong Kong kini hanya bercuti selama dua minggu dan dijangka akan menjalankan tugasnya sebagai EXCO seperti biasa mulai minggu depan. "Tak ada dia (Yong Kong) masih EXCO... sekarang dia bercuti sebab itu tak mai (datang) mesyuarat (EXCO).

Lepas bercuti nanti dia akan hadir macam biasa," katanya pada sidang media selepas menghadiri gotong-royong Muafakat Kedah di Masjid Kampung Teluk Junus, dekat sini, pagi tadi.

Jumaat lalu, Yong Kong mengumumkan keluar MCA, sekali gus meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi MCA Kedah.

ADUN Gurun itu bagaimanapun membuat pusingan U, kelmarin apabila mengumumkan menyertai MCA semula dan timbul ura-ura Yong Kong ingin melepaskan jawatannya sebagai EXCO.

Mengenai kemasukan Yong Kong ke MCA semula, Ahmad Bashah berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan parti berkenaan di peringkat negeri kerana ia adalah masalah dalaman.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/160354?m=1

PM Israel dikecam kerana isteri banyak skandal

BAITULMAQDIS: Belum reda kecaman yang diterima dari luar dan dalam negara, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bertambah pening kepala berhadapan kerenah isterinya, Sara, yang terbabit dalam pelbagai skandal.

Rentetan kes, termasuk siasatan polis mengenai perbelanjaan luar biasa Sara, sehingga menjejaskan reputasi tidak menyenangkan kerana menjalani kehidupan mewah.

Sara sudah lama dipalit kontroversi, daripada campur tangan dalam pentadbiran negara dan mempengaruhi Netanyahu, sehingga layanan buruk kepada kakitangan, malah membabitkan pemilihan pakaian.

Namun minggu lalu menjadi kemuncak kepada skandal membabitkan beliau. Pertama, pemerhati rasmi kerajaan menyiarkan laporan memberi butiran terperinci mengenai perbelanjaan perjalanan pasangan itu dan meningkatkan 'kebimbangan wujud unsur jenayah' berhubung dakwaan tuntutan berlebihan.

Polis juga mencadangkan Sara didakwa kerana salah guna dana kerajaan termasuk menyediakan hidangan mewah dan membayar gaji kepada penjaga bapanya yang sakit.

Skandal itu didedahkan pada waktu kritikal bagi Netanyahu yang berbalah dengan masyarakat antarabangsa kerana menggantikan Menteri Pertahanan dengan ahli politik celupar, Avigdor Lieberman. - Agensi

Petronas jual 10% ekuiti anak syarikat pada firma Jepun

Petronas memeterai perjanjian jual beli dengan JX Nippon Oil & Energy (JX NOE) bagi menjual 10 peratus pegangan ekuiti dalam Petronas LNG 9 Sdn Bhd (PL9SB), anak syarikat milik penuhnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata, kemasukan JX NOE ke dalam PL9SB menandakan pembabitan keduanya dalam projek gas asli cecair (LNG) Petronas, selain daripada 10 peratus kepentingan ekuiti sedia ada dalam MLNG Tiga Sdn Bhd.

"PL9SB memiliki kereta api pencairan LNG kesembilan dalam Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak dengan kapasiti pengeluaran 3.6 juta tan metrik setahun dan dijangka memulakan operasi komersil pada suku pertama 2017," katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, jualan itu menunjukkan komitmen berterusan Petronas untuk mengembangkan perniagaan LNG dengan sokongan rakan kongsi yang dipercayai.

"JX NOE telah memainkan peranan penting dalam pembangunan MLNG Tiga dan kami berharap sumbangan yang sama kepada PL9SB,” tambahnya.

Petronas berkata, dengan tambahan kilang pencairan canggih yang dimiliki PL9SB, Kompleks LNG Petronas kini mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan kira-kira 30 juta tan metrik LNG setahun.

Menurutnya, ia akan mengukuhkan lagi kedudukan Petronas sebagai pembekal LNG yang terkemuka dan boleh dipercayai.

Bernama





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...