TERKINI :

Tuesday, May 31, 2016

BN belum buat keputusan terima atau tolak RUU

KUALA LUMPUR: Pemimpin BN masih belum membuat sebarang keputusan berhubung isu Rang Undang Undang (RUU) Persendirian Akta 355 Mahkamah Syariah.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata soal keputusan itu tidak timbul dan ia hanya akan diputuskan apabila tiba masanya.

“Tidak timbul soal kita tergesa-gesa dalam soal ini.

“Di peringkat BN kita belum mendapat apa-apa arahan daripada parti dan pendirian kita mengenai perkara itu belum lagi diputuskan dan keputusan akan hanya dibuat bila sampai masanya,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata setakat ini BN masih mempunyai banyak pilihan berhubung Akta 355 yang memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Kita ada banyak pilihan, kita boleh menerima secara ‘read and block’ berasaskan writ, kita juga boleh menolak berdasarkan ‘read dan unblock’,” katanya.

Katanya, ahli Parlimen BN juga boleh mengundi mengikut naluri hati masing-masing.

“Kita juga boleh membiarkan ahli parlimen BN mengundi mengikut isi hati, kita juga boleh mengambil sikap berkecuali,” katanya.

Khamis lalu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul RUU persendirian berkenaan selepas dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Rashid Shirlin.

Tindakan Hadi itu menyebabkan beberapa pemimpin parti komponen BN mahu meletakkan jawatan di dalam Kabinet jika undang-undang berkenaan diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Antara pemimpin yang membantah ialah Presiden MIC Datuk S Subramaniam, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong.

'Pahlawan Melayu' di muktamar Pemuda PAS hari ini

Muktamar Pemuda PAS di Kelantan hari ini menyaksikan kelainan apabila pemimpin kanannya tampil dengan pakaian seperti pahlawan Melayu.

Penampilan ketuanya Nik Abduh Nik Mat yang sebelum ini selalu tampil berkopiah hari ini nyata berbeza.

Angota parlimen Pasir Mas itu bahkan bertanjak dan menyelit keris di pinggang.

Keadaan ini berbeza dengan sebelumnya apabila pemimpin PAS lebih selesa dengan imej biasa mereka berkopiah putih, berserban dan berjubah.

Ini muktamar pertama PAS selepas meninggalkan gabungan dengan PKR dan DAP dan membentuk blok baru dengan parti kecil Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

Muktamar ini berlangsung menjelang dua pilihan raya kecil bulan depan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang ditandingi mereka.

Kedua-dua kawasan itu mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Ibu dua anak dipenjara 4 hari curi susu formula

Gara-gara mencuri pelbagai jenis barang termasuk susu formula bayi di sebuah kompleks beli-belah, ibu dua anak dihukum penjara empat hari oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.
   
Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan hukuman itu ke atas Norlelawati Ibrahim, 28, selepas dia mengaku bersalah mencuri 12 jenis barang bernilai RM462.96 termasuk dua susu formula bayi milik Aeon Mid Valley, Kuala Lumpur pada 10.15 malam, 28 Mei lepas.
   
Mahkamah memerintahkan surirumah itu menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 28 Mei lepas.
   
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda dan bagi kesalahan kedua atau kemudian hendaklah dihukum dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
   
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhammad Faizal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal  mengambil kira faktor kepentingan awam supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.
   
Norlelawati yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia  dan suami masing-masing tidak bekerja serta mempunyai dua anak berumur 10 tahun dan tiga tahun.

-Bernama

CheGuBard akan dipenjara 6 bulan jika gagal bayar denda sehingga jam 3 ptg nanti

Saya dan 14 yg lain sdg proses dimasukkan ke lokap polis di Mahkamah jika kami gagal bayar denda hari ini akan dibawa ke penjara...

10 org di denda rm6k termasuk saya dan 5 org didenda rm2k....

Kami dalam keadaan semangat tinggi .... insyaAllah perjuangan utk mendapatkan pilihanraya bebas dan adil tidak akan berhenti ....

"Perjuangan Adalah Pelaksanaan Kata - Kata"

cheGuBard

Sudah ada calon BEBAS dalam PRK Kuala Kangsar

Syed Rosli umum jadi calon Bebas Kuala Kangsar

PETALING JAYA: Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Jamalullail hari ini mengumumkan dirinya akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Kuala Kangsar.

Keputusan itu diambil kerana Syed Rosli kecewa dengan tindakan BN menurunkan Datin Mastura Mohd Yazid di Parlimen berkenaan pada 18 Jun nanti.

“Saya selaku ahli UMNO berasa amat kecewa dengan kepimpinan parti kerana gagal meletakkan calon anak tempatan yang jauh layak daripada Mastura yang dicalonkan.

“Saya selaku anak jati Kuala Kangsar merasakan kedua calon dari PAS dan BN yang bukan anak tempatan, ini sudah semestinya gagal memahami apa kehendak dan keperluan rakyat Kuala Kangsar,” tulisnya menerusi Facebooknya hari ini.

Semalam, Syed Rosli menggesa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menukar calon PRK Kuala Kangsar kerana merasakan pemilihan Mastura hanya memberi kelebihan kepada PAS.

Beliau turut memuat naik beberapa status agak keras di laman Facebooknya yang dilihat sebagai tanda protes terhadap pemilihan Mastura sebagai calon BN di Kuala Kangsar.

“Kelebihan calon PAS (Dr Najihatussalehah Ahmad) boleh berbahasa Mandarin. Ini memberi sedikit kelebihan untuk menarik pengundi Cina.

“Selain itu, calon BN (Mastura) juga yang tidak dapat turun berkempen kerana dalam iddah menyebabkan pengundi beralih kerana tidak mengetahui tentang perancangan untuk membangunkan Kuala Kangsar dan manfaat kepada pengundi di sana,” jelasnya semalam.

BN sudah ketandusan pemimpin kah sampai sanggup angkat Mastura jadi calon

'Sepatutnya cadang nama lain bukan Mastura'

SHAH ALAM - BN seharusnya mencadangkan nama lain dan bukannya Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon PRK Parlimen Kuala Kangsar.

Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, dalam konteks calon BN, parti itu sepatutnya mencadangkan nama lain, agar memudahkan Mastura, seorang balu menjalankan kewajipannya menuruti ajaran Islam.

Katanya, berdasarkan Surah Al-Baqarah ayat 234, waktu edah bagi seorang wanita adalah empat bulan 10 hari.

“Menurut hadis sahih, wanita yang dalam tempoh edah tidak boleh, keluar rumah kecuali hajat seperti untuk mendapatkan rawatan, bekerja (sumber rezeki diri dan anak-anak) dengan syarat wang simpanan tidak mencukupi.

“Dalam tempoh edah ini juga, wanita tersebut tidak boleh keluar rumah melainkan dalam keadaan ketakutan dan keseorangan di rumah. Beliau juga tidak boleh memakai pakaian yang terang warnanya, bersolek dan berhias,” katanya.

Mengulas mengenai berkempen melalui aplikasi Skype atau video, Zaharuddin berkata, ia mungkin boleh tepati hukum larangan keluar rumah, tetapi tetap boleh melanggar larangan mendedahkan diri tanpa keperluan kerana masih ada orang lain yang boleh menjadi calon.

BN melawak letak calon untuk raih simpati

PETALING JAYA: Keputusan Barisan Nasional (BN) mencalonkan Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon BN bagi PRK Parlimen Kuala Kangsar dilihat sebagai satu lawak jenaka pucuk pimpinan parti itu.

Bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman berkata demikian selepas mendapati ramai akar umbi parti itu sendiri tidak bersetuju dengan pencalonan Mastura, balu bekas Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang meninggal dunia dalam nahas helikopter baru-baru ini.

Katanya, pencalonan Mastura hanyalah untuk meraih undi simpati rakyat, sekaligus sanggup mengadai perjuangan asal BN sebelum ini yang sentiasa mengetegah calon berkaliber dan mampu berkhidmat untuk rakyat.

“Saya pun tak faham apa strategi BN dengan meletakkan Datin Mastura sebagai calon.

“Strategi meraih simpati itu sudah lari daripada strategi asal UMNO dan BN yang mahu meletakkan calon yang mampu berkhidmat untuk rakyat dan menyumbang tenaga.

“Ia menunjukkan UMNO dan BN sudah tenat sehingga terpaksa guna elemen simpati untuk menarik undi,” katanya yang turut menegaskan Mastura masih tidak cukup pengalaman dalam bidang politik.

Tambahnya lagi, proses berkempen adalah penting untuk calon mengambil tahu dan melihat sendiri permasalahan rakyat demi melakukan perubahan selepas dipilih menjadi Ahli Parlimen.

“Namun, halangan (temph edah) Mastura tidak turun berkempen dikhuatiri akan menjadi kekurangan. Saya juga tidak yakin rakyat akan mengundi calon BN atas dasar simpati.

Ini bukan medan mencari simpati dan keadaan Mastura sebagai balu sepatutnya diberi sokongan bukan digunakan sebagai strategi menang pilihanraya,” katanya kepada FMT.

Ekoran itu, Hamidah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng turut menjangkakan pengundi Kuala Kangsar akan berubah angin menolak BN dan memilih calon PAS yang dilihat mampu membawa suara rakyat berbanding BN.

“Sokongan rakyat kepada calon pembangkang (PAS) bukan kerana mereka suka pembangkang tetapi mereka tidak suka calon BN. Selain itu, mereka juga tiada pilihan. Situasi dan isu semasa seolah-olah membolehkan calon PAS berpeluang untuk menang.

“Ini ditambah dengan isu Datuk Seri Najib Razak yang semua sedia maklum diikuti kemarahan penduduk Kuala Kangsar yang kebanyakannya penoreh getah dan menanam kelapa sawit di mana harga getah dan kelapa sawit turun sehingga menekan hidup mereka.

“Akar umbi BN juga tidak bersetuju dengan pencalonan Mastura dan mengajak penduduk mengundi calon yang tidak ada edah (pembangkang),” katanya.

Terdahulu, Mastura tampil membuat permohonan maaf kepada seluruh jentera parti kerana tidak dapat menyertai kempen yang dijadual bermula 5 Jun depan.

Mastura, 55, berkata beliau mengambil keputusan itu kerana masih berada dalam tempoh edah selama empat bulan 10 hari sebagaimana yang ditetapkan hukum Islam bila seseorang wanita kematian suami.

Posted & copy by RAKYAT MARHAEN at 3:05:00 PTG





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...