TERKINI :

Monday, May 30, 2016

Saya akan saman malu: Timb Speakar DUN Kedah

ALOR SETAR - “Saya akan ambil tindakan saman malu kerana ada cubaan menjatuhkan reputasi saya," tegas Timbalan Speakar Dun Kedah, Datuk Azmi Che Husain berkenaan insiden di hadapan Aman Central melibatkan dirinya pada 15 Mei lalu yang kini menjadi viral di laman sosial.

Menurutnya, tindakan itu diambil terutamanya kepada pihak yang memfitnah dirinya mencederakan seorang wanita, iaitu teman kepada lelaki yang mendakwa dia dipukul oleh Azmi.

“Saya akan buat laporan kepada pihak berwajib selepas menerima pandangan peguam agar tindakan diambil kepada mereka yang terlibat memburuk-burukkan keadaan tidak benar di laman media sosial.

“Fitnah dan viral itu boleh menjejaskan reputasi saya sebagai timbalan speaker dan Adun, malah menjatuhkan maruah keluarga saya,” katanya kepada Sinar Harian di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Adun Bayu turut bersimpati dengan wanita yang terlibat dalam kejadian itu kerana dilayan buruk oleh teman lelakinya.

“Saya lihat apa yang berlaku kepada wanita itu. Masa dia dikasari, saya ada tegur sikap lelaki tersebut,” katanya.

Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 33 saat di hadapan Aman Central, Alor Setar memaparkan insiden pergelutan empat individu.

Dalam rakaman itu, Azmi didakwa mencederakan seorang wanita.

Dalam pada itu, dua individu tampil menjadi saksi kejadian berkenaan dan memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, malam kelmarin.

Azamuddin Mansor, 18, dari Kepala Batas, berkata, wanita berkenaan ditarik kasar sebelum ditolak masuk di tempat duduk belakang kereta.

Menurutnya, perkara itu berlaku selepas wanita berkenaan cuba menenteramkan lelaki berkenaan dari meneruskan pergaduhan.

“Saya hanya  sedar kejadian ketika wanita berkenaan menarik lelaki itu supaya tidak teruskan pergaduhan. Kemudian Datuk (Azmi) dan anak-anaknya menuju ke kenderaan mereka semula.

“Tetapi lelaki itu menarik teman wanitanya dengan kasar dan menolak dia ke dalam kereta di tempat duduk belakang. Selepas itu dua orang awam dilihat menghampiri lelaki itu untuk meredakan keadaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Azamuddin berkata, dia tampil memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa selepas menyedari ramai pengguna media sosial bertindak membuat tuduhan melulu biarpun tidak mengetahui kejadian sebenar.

Seorang lagi saksi, Siti Hajar Azmi, 25, berkata, insiden berkenaan bukan hanya berlaku dalam tempoh 33 saat seperti yang dirakam.

“Ia berlaku lebih panjang dari itu. Waktu kejadian saya ada di seberang jalan. Apa yang saya nampak lelaki berkenaan bertindak kasar kepada wanita itu apabila menarik dan menolaknya masuk dalam kereta. Sikap lelaki itu memang kasar, wanita itu hanya mahu leraikan keadaan,” katanya.

Rafizi lapor SPRM dakwaan 'rasuah wanita' di Selangor

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini membuat laporan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah wang dan wanita dalam kerajaan Selangor.

Beliau ditemani oleh Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah dan dua anggota parlimen, iaitu Wong Chen (Kelana Jaya) dan G Manivannan (Kapar).

Rafizi yang tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 11.45 pagi, menghabiskan kira-kira sejam sebelum meninggalkan bangunan itu.

Ditemui selepas laporan, beliau enggan mendedahkan maklumat lanjut laporannya, termasuk individu disebut dan sejauh mana serius kesalahan itu.

“Saya terikat dengan Akta SPRM, jadi saya tidak boleh dedah butiran lanjut,” katanya.

Beliau meminta orang ramai tidak membuat spekulasi dan membenarkan SPRM lakukan tugasnya.

Rafizi membuat dakwaan itu dalam perbualan dalam aplikasi pesanan WhatsApp yang bocor.

Beliau sebelum ini menggemukakan bukti itu kepada biro politik PKR dan diarah supaya membuat laporan SPRM.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali menolak dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai kempen memburuk-burukkan.

Kejadian berlaku dilihat pelbagai pihak sebagai petanda perpecahan dalam PKR.

Exco - Langkawi bakal jadi pulau pelancongan kosmetik

LANGKAWI: Langkawi bakal dijenamakan sebagai destinasi pelancongan kosmetik menerusi pembangunan Langkawi Cosmetic Island membabitkan pelaburan RM200 juta yang diilhamkan menyerupai Loire Valley di Perancis bagi menarik minat lebih ramai pelancong berpendapatan tinggi ke pulau ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, setakat ini tanah berkeluasan 243 hektar di Kampung Ulu Melaka telah dikenal pasti sebagai lokasi pusat penyelidikan dan pembangunan, kilang, pusat jualan serta pusat penanaman herba.

Melalui pewujudan pusat itu katanya, pengeluar pelbagai jenama kosmetik terkemuka dunia akan membuka cawangan dan menghasilkan produk mereka sepenuhnya di Langkawi bermula daripada proses mendapatkan bahan mentah seperti herba dan bunga sehingga ke produk akhir.

“Kami mahu wujudkan tempat memproses minyak wangi dan kosmetik kerana mereka sedar kebanyakan (minyak wangi dan kosmetik) menggunakan herba dari dunia tropika dan Langkawi oleh kerana ada sinergi pelancongan jadi ia adalah tempat terbaik (untuk mewujudkan pusat kosmetik),” katanya selepas menghadiri perasmian Hotel St Regis semalam.

Jangan tangkap, biar yang menghina bersemuka dengan saya - TMJ

Pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini bertitah agar pihak polis tidak menangkap mana-mana individu yang membuat kenyataan menghina baginda.

Dalam temuramah eksklusif yang dikongsi di laman Facebook Johor Southern Tigers, baginda turut mengusulkan agar pihak berkuasa menganjurkan pertemuan antara individu tersebut dengan baginda.

“Terus terang saya cakap yang saya tidak peduli apa sahaja orang mengatakan kerana saya amat bersyukur dengan apa yang Allah SWT berikan kepada saya,” titah baginda.

Tengku Mahkota Johor dalam temuramah tersebut turut mengingatkan para pembaca tentang pencapaian baginda dalam bidang sukan sejak kecil sehingga bergelar pemilik JDT.

“Nama saya dinyanyikan ribuan orang apabila saya memasuki stadium,” tambah baginda.

TMJ: Sistem pendidikan lemah, mudah kawal orang bodoh

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata seorang individu pernah memberitahu kepadanya taraf pelajaran di negara ini tidak boleh dipertingkatkan bagi memudahkan proses meraih undi dan mengawal pemikiran orang bodoh.

“Saya pernah mempersoalkan kepada seseorang individu (tidak menyebut nama individu tersebut) kenapa kita tidak boleh meningkatkan lagi taraf pelajaran, beliau menyatakan kepada saya kerana ada dua fakta.

“Fakta pertama untuk mendapatkan undi dan kedua adalah lebih mudah untuk mengawal pemikiran orang yang bodoh dan tanpa berpelajaran,” katanya dalam satu wawancara yang dimuat naik di Facebook Johor Southern Tigers.

Sehubungan itu, katanya pendidikan amat ditekankan kepada rakyat Johor supaya mereka tidak mudah dipermainkan oleh sistem yang memutarbelitkan perkara sebenar.

“Itulah sebabnya saya lebih memberi keutamaan kepada rakyat Johor dalam hal pelajaran kerana saya tidak mahu rakyat saya mudah dipermainkan oleh sistem yang memutarbelitkan perkara sebenar serta mengalih perhatian isu besar daripada rakyat,” katanya.

Tunku Ismail atau mesra digelar TMJ berkata terdapat laman di media sosial diupah sesetengah organisasi yang mempunyai kuasa supaya melaga-lagakan rakyat bagi mengalihkan perhatian daripada isu lebih besar dalam negara.

Katanya, tindakan itu membolehkan orang dan organisasi tertentu melaksanakan misi mereka tanpa disedari.

“Rakyat kena pandai menilai sendiri. Saya bertuah dengan kedudukan saya ini, saya dapat melihat dan mendengar dengan mata dan telinga saya sendiri tentang apa yang dirancang orang besar dan organisasi yang tidak akan dapat diketahui rakyat di luar sana,” katanya.

Singapura tempat ke 7 paling Islamik di dunia

Mungkin ramai yang tidak akan bersetuju dengan kajian yang dilakukan oleh Hossein Askari, seorang Profesor dari Universiti George Washington di Amerika Syarikat. Namun itulah hasil kajian beliau bersama seorang penulis indeks Islamicity Scheherazade S. Rehman.

Menurut beliau, kesemua negara dinilai melalui bagaimana mereka menggunakan pengajaran dari Al-Quran ke dalam kehidupan masyarakat.

Ramai yang menjangkakan Malaysia dan Arab saudi akan mengunguli tempat teratas, namun jangkaan mereka meleset kerana kajian bukan di nilai kepada rakyatnya beragama apa, tetapi perlakuan, kegiatan harian, urus tadbir negera menepati apa yang Al-Quran sarankan.

Singapura menduduki tempat ke 7 berbanding Malaysia yang berada di tangga ke 33. Tahap kebersihan, isu rasuah pemimpin, kebajikan rakyat lebih terjamin di singapura berbanding Malaysia yang majoritinya umat islam yang membaca Al-Quran setiap masa. Arab saudi yang mempunyai Mekah dan Madinah terus tidak tersenarai dalam 50 negara paling islamik.

Tempat pertama di rangkul oleh Negara Ireland yang mana kadar jenayah, keamanan, kebajikan, kebersihan di negara itu jauh lebih baik berbanding negara berjenama Islam.

Isu Salah Guna Kuasa Dan Penguasaan Ilmu Al-Quran Yang Sangat Lemah Adalah Antara Punca Negara Islam Berada Di Kedudukan Bawah Dalam Senarai

"Ada orang yang menggunakan agama sebagai alat kuasa. Mereka tidak mengambil berat tentang orang Islam. Mereka tidak menerapkan nilai-nilai Al-Quran ke dalam kehidupan seharian dan tidak menggalakkan orang untuk mempelajari ilmu Al-Quran," jelas Hossein.

Dalam Al-Quran ada mengatakan bahawa kemakmuran ekonomi adalah baik untuk masyarakat dan negara. Tetapi laporan Profesor Hossein Askari mendapati kemakmuran jarang sekali diterapkan dalam ekonomi negara-negara Islam.

Laporan ini telah menemplak negara-negara islam, dan sewajarnya dijadikan cabaran bagi pemimpin negara islam agar lebih memahami kandungan agama supaya Islam tidak dipandang lemah oleh dunia...





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...