TERKINI :

Tuesday, May 10, 2016

Seolah-olah wujud dua UMNO sekarang, Team A & B

PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tampil menjelaskan desas-desus berhubung kemunculan Team A dan Team B dalam UMNO.

Beliau mendakwa kini seolah-olah wujud dua UMNO, tetapi ia bukannya Team A dan Team B.

“Tapi UMNO (Datuk Seri) Najib (Razak) dengan UMNO perjuangan, iaitu UMNO asal yang perjuangkan alif ba ta. Itu semua dah ditinggalkan. Tidak diberi keutamaan lagi dah.

“Yang sekarang ini yang jadi keutamaan ialah pertahankan Presiden Parti tak kira apa. Dia buat salah pun tak apa. Tuduh orang lain semua bersekongkol dengan pembangkang untuk menghalalkan kemungkaran yang berlaku oleh kepimpinan dalam parti.

“Dilema orang Melayu UMNO ini ialah dia sayang pada parti, dia jentera parti tapi macam mana kalau dia buat kerja untuk menangkan parti dan yang dapat nama ni ialah Datuk Seri Najib walhal mereka-mereka ini pejuang yang setia dan ikhlas kepada parti ini tidak menyokong dia sebagai Presiden,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik ke blog Mukhriz Mahathir FC.

Sehubungan itu, ADUN Ayer Hitam itu berharap Deklarasi Rakyat boleh menyelesaikan dilema yang dihadapi ahli UMNO itu.

“Saya harap dengan Deklarasi Rakyat masalah itu boleh diselesaikan bila kita tuntut supaya dia berundur sebagai Presiden UMNO,” katanya.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Mukhriz kembali menggunakan gelaran Team B dalam tweetnya yang mengimbau kembali perpecahan UMNO sekitar 1987.

Team B wujud bagi mewakili kumpulan lantang bersuara dalam UMNO, membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Artikel fitnah: Mahkamah sahkan Utusan perlu bayar Pua

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menolak rayuan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya ia membayar ganti rugi RM200,000 kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee berkaitan artikel bersifat memfitnah.

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh membenarkan permohonan Pua supaya rayuan itu ditolak atas alasan notis rayuan penerbit akhbar itu yang dikemukakan kepada mahkamah adalah tidak kompeten.

Peguam Pua, Guok Ngek Seong sebelum itu berhujah bahawa Utusan Melayu dikehendaki terlebih dahulu memfail permohonan mendapatkan kebenaran Mahkamah Rayuan bagi membolehkannya mengemukakan rayuan, menurut seksyen 68 (1) (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Seksyen itu menyebut rayuan tidak boleh dikemukakan ke Mahkamah Rayuan bila amaun atau nilai perkara pokok tuntutan kurang daripada RM250,000 kecuali dengan kebenaran Mahkamah Rayuan.

Beliau (Guok) berkata rayuan Utusan Melayu ditolak kerana ia tidak mendapat kebenaran merayu oleh itu notis rayuan tidak kompeten.

Bagaimanapun, peguam Utusan Melayu Azhar Arman Ali berhujah bahawa kebenaran itu tidak diperlukan kerana nilai perkara pokok tuntutan bagi tujuan menentukan sama ada kebenaran diperlukan, harus diasaskan pada masa saman sivil difailkan dan bukan pada anugerah diberikan Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata tuntutan saman sivil yang difailkan di Mahkamah Tinggi adalah tidak kurang dari RM1 juta.

Hakim Zawawi yang bersidang bersama Hakim Vernon Ong Lam Kiat dan Harmindar Singh Dhaliwal, berkata amaun itu hendaklah pada masa mahkamah memberi anugerah berkenaan.

Beliau juga memerintahkan deposit RM1,000 bagi rayuan yang dibayar oleh Utusan Melayu, diberikan kepada Pua sebagai kos guaman.

Pada 17 Sept tahun lalu, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menilai kerugian dalam saman sivil itu dan menganugerahkan RM200,000 kepada Pua selepas Utusan Melayu menerbitkan pada 23 Mei, tahun lepas permohonan maaf berhubung penerbitan artikel itu yang Pua dakwa memfitnahnya.

Guok memberitahu pemberita berikutan keputusan hari ini, perintah Mahkamah Tinggi agar Utusan Melayu membayar RM200,000 kepada Pua sekali lagi disahkan.

Sementara itu, Azhar mengesahkan bahawa anak guamnya telahpun membayar kepada Pua.

Beliau juga berkata, beliau menunggu arahan dari anak guamnya sama ada membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

- Bernama

Mufti Perlis komen berkenaan isu Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan 1MDB

Sejak saya memegang jawatan Mufti Negeri Perlis dan ahli jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bermula pada 1 Februari lepas, saya tidak pernah hadir dan tiada apa-apa mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan tentang pelaburan 1MDB. Itu sahaja yang dapat saya beritahu kepada pihak-pihak yang email saya tentang hal ini.

Ustaz Mohamad Asri Zainal Abidin

Veteran PAS cadangkan supaya jawatan PM antara NAJIB & HADI digilirkan 6 bulan sekali

Lidah rasmi PAS, Harakah Daily mencadangkan supaya sistem penggiliran jawatan perdana menteri digunakan jika mahu menjayakan kerajaan campuran PAS dab Umno demi menyatukan kembali orang Melayu.

Dalam tulisan pengarangnya Subky Latif dalam Harakah, Umno tidak perlu terlalu bersikap berkira untuk tidak mahu berkongsi jawatan dengan presiden parti Islam itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Bahkan demi perpaduan dan masa depan orang Melayu, Umno jangan kira sangat tentang Perdana Menteri. Apalah Perdana Menteri dibandingkan dengan masa depan orang Melayu. Mungkin tidak adil PAS menuntut jadi Perdana Menteri.

“Tetapi tidak ganjil kiranya Perdana Menteri itu digilirkan. Enam bulan Hadi jadi Perdana Menteri, Najib (Datuk Seri Najib Razak) jadi Timbalan Perdana Menteri. Lepas enam bulan Najib jadi PM semula dan Hadi pula jadi TPM begitulah seterusnya disambung hingga PRU 14,” kata beliau dalam tulisan terbaharu hari ini.

Beliau juga mencadangkan beberapa syarat untuk pertimbangan Umno jika mereka bersungguh-sungguh untuk menjayakan kerjasama tersebut.

“Justeru Umno nampaknya hendak sangat, apa kata PAS bersetuju dengan syarat-syarat yang boleh diterima oleh kedua pihak. Pertama apa yang Umno hendak beri kepada PAS?

“Tentulah yang pertamanya tentang kabinet. Orang PAS yang jadi Anggota Parlimen sekarang jadi menteri, timbalan dan setiausaha parlimen jika jawatan itu ada lagi. Jika hendak sama banyak mungkin semua MP PAS berjawatan belaka.

“Umno tidak keberatan.

“Tapi siapa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri? Kalau Perdana Menteri Najib juga, setujukah TG Haji Hadi jadi Timbalan Perdana Menteri? Tak acilah kalau Zahid juga TPM.

“Maka menjadikan orang PAS TPM adalah kewajaran yang amat minima. Bukan suatu keterlaluan juga dikira hendak harga perpaduan yang dicadangkan tadi. Umno menjunjung sangat perpaduan, maka ia perlu sedia memberi kerana PM itu amat kecil dibandingkan dengan perpaduan,” tulis beliau lagi.

Ia bukan kali pertama cadangan kerajaan campuran PAS-Umno ini disuarakan, malah pada 1973 kerajaan campuran PAS dan Perikatan pertama kali dibentuk Almarhum Tun Razak dan Almarhum Datuk Asri.

Ia berakhir dengan berkecai tapi cadangan itu dilontarkan sekali lagi.

Selain itu, Subky juga berkata Umno tidak boleh menentang pelaksanaan hudud jika mahu menjayakan kerjasama antara kedua-dua parti.

“Umno jangan bantah pula jika PAS mahu kuatkuasakan hudud di Kelantan. Najib jangan banyak takwil hal itu,” katanya.

PAS sebelum ini menjadi rakan komponen dalam gabungan pembangkang Pakatab Rakyat, ia bagaimanapun berpecah berpunca daripada isu pelaksanaan hudud ekoran rakan mereka, parti DAP tidak bersetuju dengan langkah itu.

Gabungan tersebut berkecai dan tidak berjaya diselamatkan.

Kemudiaan, gabungan pembangkang baharu dibentuk dikenali sebagai Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan parti serpihan PAS, parti Amanah.

Sebelum ini, Hadi dan Najib juga sedondon berpakaian duduk sepentas bagi membincangkan mengenai isu berhubung Islam dab kaum Melayu.

Pemerhati melihat PAS kini semakin cenderung memihak kepada parti pemerintah itu, terutamanya mempertahankan Najib yang terlibat dalam wang derma RM2.6 bilion. – The Malaysian Mirror





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...