TERKINI :

Sunday, May 8, 2016

PILIHAN RAYA SARAWAK : JANGAN LUPA SUMBANGAN RTM

Profesor Mohammad Agus Yusoff

Penganalisis memberikan pelbagai faktor yang menyumbang kepada kejayaan besar BN dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Tiga yang utama ialah faktor Adenan, kecelaruan pembangkang, dan janji pembangunan BN.

Faktor lain yang lupa dilihat oleh penganalisis ialah keberkesanan peranan RTM dalam memujuk rakyat untuk menerima tawaran pembangunan, kemakmuran dan kestabilan politik BN.

Pemerhatian saya mendapati cara liputan RTM kali ini berubah.  RTM lebih banyak memberi penerangan tentang kejayaan BN dari menyiarkan berita yang menunjukkan kebencian mereka kepada pembangkang.

Temu bual saya dengan pengundi di daerah pedalaman juga menunjukkan hal yang sama.  Pengundi lebih suka mendengar gaya laporan RTM dari media elekronik yang lain.

Apakah RTM benar-benar telah berubah gaya laporan mereka?  Bolehkah pengaruh RTM terhadap pengundi ini dikekalkan dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar?

Saya sendiri teruja untuk melihat perkembangan gaya laporan RTM seterusnya.  Semoga RTM boleh bertindak terus sebagai agensi penerangan kerajaan, bukannya agen proganda parti.

Elak kepartian sempit, teruskan berjuang- Wan Azizah

PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa agar parti-parti komponen pembangkang supaya mengatasi isu kepartian sempit demi perpaduan nasional.

Ini kerana pihaknya menghadapi pelbagai cabaran dan halangan yang sekali gus menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini pilihan raya yang paling sukar bagi PKR.

“Pelbagai cabaran dan halangan mengingatkan kami untuk terus istiqamah dalam perjuangan mendesak pilihan raya yang lebih bebas dan adil sebelum pilihanraya umum yang akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menambah akan terus mengangkat suara rakyat tanpa rasa takut kerana percaya masih banyak yang perlu diusahakan demi membina masa depan yang lebih baik untuk semua.

“Kami berjanji untuk terus berkhidmat dan mempertahankan kepentingan rakyat Sarawak, sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen,” katanya lagi.

PRN SARAWAK MENANG TAPI KOSONG BAGI NAJIB

oleh Shahbudin Husin

Walaupun Najib Razak berkampung hampir dua minggu di Sarawak, mengerahkan menteri-menteri turun ke negeri itu dengan mengadakan mesyuarat kabinet di sana dan pelbagai peruntukan pembangunan dicurahkan, tetapi selepas menang 72 daripada 82 kerusi, semua orang mengatakan kemenangan BN adalah disebabkan oleh kepimpinan Ketua Menterinya, Adenan Satem.

Beliau bukan saja sosok baru yang diterima baik oleh rakyat Sarawak, malah boleh dikata belum terpalit dengan apa-apa skandal setakat ini. Imejnya yang bersih itu disertakan dengan laungan “Sarawak for Sarawakians” menyebabkan sokongan kepada kepimpinannya mudah diterjemahkan dengan undi.

Dalam pilihanraya Sarawak kali ini juga tiada poster Najib dibenarkan dipasang di mana-mana, yang ada hanya gambar Adenan dan lain-lain pemimpin peringkat negeri. Tidak mustahil jika ada gambar Najib di mana-mana, jumlah kemenangan itu mungkin kurang daripada 72.

Adenan dengan tegas mengatakan beliau akan meletakkan jawatan jika UMNO dibenarkan masuk ke negeri itu. Ia jelas merupakan “tamparan ke muka” Najib dan semua pemimpin UMNO yang hadir berkempen di Sarawak.

Dengan tiada gambar Najib dan menolak keras kehadiran UMNO, Adenan tidak lain memberi isyarat kepada pengundi Sarawak bahawa pemimpin-pemimpin Semenanjung hanyalah alat dan untuk dipergunakannya saja dalam pilihanraya kali ini.

Slogan kempen yang digunakan pula “Beri Peluang Kepada Team Adenan” yang jelas bukan untuk sesiapa berkongsi saham kemenangan dengannya.

Lantaran itu tidak ada sesiapa, termasuk Salleh Said Keruak dan Abdul Rahman Rahman, yang berani mengatakan kemenangan cemerlang BN kali ini disebabkan faktor Najib.

Ditambah dengan ia turut disaluti duka berikutan tragedi helikopter terhempas yang menyebabkan enam penumbangnya terbunuh, kejayaan BN kali jelas kosong maknanya kepada Najib.

Tidak ada apa-apa yang dapat dibawa Najib daripada kemenangan di Sarawak itu untuk mengukuhkan lagi kedudukannya di Semenanjung. Najib secara relatifnya tetap tenat di Semenajung berikutan isu 1MDB dan derma bilion-bilion ringgit yang diterimanya serta asakan berterusan daripada Tun Mahathir Mohamad terhadapnya.

Sokongan pengundi Cina dan bandar di Sarawak kepada BN yang menyebabkan DAP kali ini hanya mampu menang 7 kerusi berbanding 12 pada pilihanraya 2011 juga tidak terpakai untuk orang Cina di Semenanjung.

Di Sarawak, keyakinan itu selain kerana Adenan, turut disebabkan oleh SUPP, parti Cina di negeri.

Adakah pengundi Cina di Semenanjung sedia berubah selagi ada Najib atau mampukah MCA dan Gerakan memainkan peranan seperti SUPP?

Dengan awal-awal semua orang mengatakan kemenangan di Sarawak kerana faktor Adenan, Najib dan pemimpin-pemimpin UMNO bukan saja terasa malu untuk menumpang kejayaan itu, bahkan akan terus bergelut dengan ketidakyakinan dan kehilangan kepercayaan daripada rakyat.

PKR muhasabah, DAP mahu bedah siasat

Sehari selepas berlangsung pilihan raya negeri Sarawak, dua parti pembangkang yang bertanding di negeri itu - PKR dan DAP- nampaknya akur dengan keputusan diumumkan malam semalam.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pihaknya akan mengkaji kekalahan di kerusi yang ditandinginya, selain terus konsisten dengan perjuangan mereka.

“Kami akan bermuhasabah diri, serta mempertingkat dan memperbaiki keupayaan pakatan politik ini dalam mempersembah program bersama yang memperjuangkan keadilan sosial dan ekonomi demi rakyat.

“Kita perlu mengatasi kepentingan kepartian yang sempit demi perpaduan nasional. Ini amat penting untuk menzahirkan masa depan yang lebih baik demi Sarawak,” kata anggota Parlimen Permatang Pauh itu dalam kenyataannya hari ini.

Mengucapkan tahniah atas kejayaan BN, ADUN Kajang itu juga mengakui pilihan raya negeri Sarawak adalah paling sukar bagi mereka dengan menempuh pelbagai cabaran dan halangan.

“Amatlah penting untuk ingat bahawa pilihan raya negeri kali ini merupakan pilihan raya negeri yang paling susah bagi kami, dengan pelbagai cabaran dan halangan yang mengingatkan kami untuk terus istiqamah dalam perjuangan mendesak pilihan raya yang lebih bebas dan adil sebelum pilihan raya umum yang akan datang,” tambah Wan Azizah.

Tangani kekecewaan penyokong

Sementara itu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula berkata parti itu akan melakukan bedah siasat selepas mengalami kehilangan lima kerusinya kepada BN.

“Parti akan menjalankan bedah siasat dan menunggu laporan penuh daripada pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen atas kekalahan kami, termasuk kegagalan kita untuk membawa sebarang kemajuan di kerusi Dayak di luar bandar,” kata Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang dalam kenyataan.

Lim juga berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan kedua-dua rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan iaitu PKR dan AMANAH.

“Kita perlu menangani kekecewaan penyokong kita, bukan hanya sebagai sebuah parti politik, tetapi juga sebagai Pakatan Harapan.

“Terdapat keperluan untuk mengukuhkan mekanisme dalaman di dalam Pakatan Harapan supaya perjanjian yang dibuat mesti dihormati dan dipertahankan. Pakatan perlu memulihkan keyakinan orang ramai terhadap keupayaan kita,” tambah Lim.

Kedua-dua parti itu sebelum ini dilihat tidak sehaluan dalam menentukan pembahagian kerusi apabila bertembung sesama sendiri di enam kawasan DUN pada pilihan raya negeri Sarawak.

PKR tewas di 37 kerusi namun mengekalkan kesemua kerusi dimenanginya pada pilihan raya Sarawak 2011 iaitu di Batu Lintang, Krian dan Ba’kelalan.

DAP yang bertanding di 31 kerusi hanya mengekalkan tujuh kerusinya iaitu Pelawan, Pujut, Bukit Assek, Padungan, Kota Sentosa, Pending dan Tanjong Batu.

Parti itu kecundang di semua enam kerusi yang menjadi rebutannya dengan PKR di Batu Kitang, Ngemah, Mambong, Simanggang, Murum dan Mulu.

Azmin ajak PAS bersama Pakatan Harapan

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengajak PAS untuk kembali bersama DAP dan PKR sebagai satu pasukan bagi menghadapi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata semua parti pembangkang perlu bermuhasabah diri atas kekalahan teruk pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak semalam, yang jelas menunjukkan rakyat negeri itu menolak pertelingkahan sesama mereka.

"Justeru, Amanah (Parti Amanah Negara) dan PAS haruslah terus mara bersama PKR dan DAP. Kita perlu bergerak ke hadapan secara bersama bagi menghadapi PRU-14 sebagai satu pasukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan PRN Sarawak ke-11 menyaksikan Barisan Nasional (BN) mencatatkan kemenangan besar dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri termasuk dua kerusi yang dimenangi tanpa bertanding.

DAP yang sebelum ini menguasai 12 kerusi hanya menang di tujuh kerusi daripada 31 kerusi yang ditandinginya manakala PKR hanya menang tiga daripada 41 kerusi yang ditandingi. PAS dan Amanah tewas di semua kerusi yang ditandingi.

"Pencapaian kita mungkin lebih baik jika sejak awal lagi kita bersatu hati dan bekerjasama seperti kelaziman kita.

"Kita harus akur yang rakan-rakan sekutu kita akan terus berbeza pendapat dalam isu tertentu pada masa hadapan namun keyakinan yang didorong semangat kebersamaan selama ini akan terus membantu kita melangkaui perbezaan ini," kata Azmin.

PAS sebelum ini memutuskan untuk tidak lagi bersama pakatan pembangkang.

Beberapa bekas pemimpin kanan PAS turut menubuhkan Amanah dan bekerjasama dengan DAP dan PKR, manakala PAS pula menubuhkan satu lagi pakatan pembangkang bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

-Bernama





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...