
Kemelut kepimpinan politik Terengganu kembali menjadi perhatian ramai apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah dengan resminya melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman berkuat kuasa pada Jumaat, 22 April.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu semalam.
Menurut kenyataan rasmi tersebut; "Pengisytiharan yang dibuat ini tiada kaitan dengan perkembangan-perkembangan lain yang berlaku di Negeri Terengganu”.
Pada awal bulan lalu, Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, telah cuba membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif di Dewan Undangan Negeri Terengganu sehingga mencetuskan khabar angin mengenai satu lagi pertukaran menteri besar.
Dengan perkembangan terbaru ini, kedudukan Umno sebagai parti yang memerintah di negeri Terengganu sedang berada didalam keadaan terumbang-ambing dan menjadi persoalan ramai kalangan rakyat Terengganu sendiri kerana kemelut dalaman kepimpinan Umno Terengganu yang tidak berkesudahan.