TERKINI :

Wednesday, April 20, 2016

Kepimpinan PAS masih berbelah bagi seruan Dr. Zakir Naik

Kepimpinan PAS berbelah bagi dalam menyambut seruan pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik supaya parti Islam itu bergabung dengan Umno dalam kerajaan campuran.

Sebahagian mereka berpegang kepada keputusan Majlis Syura Ulama PAS Januari lalu bahawa PAS tidak akan menyertai BN.

Bagaimanapun, Dewan Ulama PAS berpendirian berbeza apabila masih terbuka untuk berbincang dengan perdana menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) dalam kenyataan berkata mereka tetap dengan pendirian sebelum ini.

“PAS sentiasa berpegang kepada dasar Islam yang mana salah satunya adalah bekerjasama dan tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.

“PAS juga berpegang teguh kepada keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang telah bersidang pada 2 Januari 2016 yang mengesahkan perkara sebagaimana di atas di samping menegaskan bahawa PAS tidak akan menyertai BN,” kata Takiyuddin.

Dalam rakaman bual bicara TV AlHijrah semalam Dr Zakir berkata kerajaan campuran Umno dan PAS akan memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta mengukuhkan Islam.

Dr Zakir Naik berkata jika perkara itu menjadi kenyataan ia adalah sesuatu yang terbaik untuk Islam.

Idris: Pandangan orang luar

Sementara itu, Naib Presiden PAS Idris Ahmad (gambar) pula menyifatkan seruan Dr Zakir sebagai pandangan orang luar.

“Pendirian PAS jelas bahawa tidak timbul soal kerajaan campuran Umno-PAS dan ia tidak akan berlaku.

“Itu pandangan dia (Dr Zakir) sebagai orang luar dan terpulang kepada beliau"

Kenyataan Media PAS PUSAT : Berkenaan kenyataan kerjasama PAS-UMNO oleh Dr. Zakir Naik

KENYATAAN MEDIA PAS PUSAT

KENYATAAN DR. ZAKIR NAIK – KERJASAMA UMNO - PAS.

1.    Parti Islam SeMalaysia (PAS) sentiasa berpegang kepada Dasar Islam yang mana salah satunya adalah bekerjasama dan tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan. Hal ini adalah bersasaskan kepada Firman Allah yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu bekerjasama untuk melaksanakan kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bekerjasama pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”. (Surah Al Maidah: 2)

Begitu juga ianya berasaskan Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi. Lalu ditanya kepada Baginda, Ya Rasulullah s.a.w. kami tahu untuk menolong orang yang dizalimi tapi bagaimana pula kami akan menolong orang yang zalim, Baginda menjawab , elak dan cegah mereka dari melakukan kezaliman itulah erti menolong mereka”. (Riwayat Imam Bukhari)

2.    Berdasarkan kepada nas-nas di atas, maka PAS sentiasa tegas dan konsisten serta mengambil pendekatan meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan demi untuk memperkukuhkan Islam dan perjuangan. Hal ini adalah selaras dengan pendekatan yang sedang dilaksanakan oleh PAS iaitu “Budaya Politik Matang Sejahtera”. Ianya juga selaras dengan Fasal 6(6), Perlembagaan PAS (Usaha-usaha) yang memperuntukkan:

“Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bila mana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara”

3.    PAS juga berpegang teguh kepada keputusan Majlis Syura Ulamak PAS yang telah bersidang pada 2 Januari 2016 yang mengesahkan perkara sebagaimana di atas di samping menegaskan bahawa “PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional”.

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN, JP.
Setiausaha Agung.

Boleh beritahu tak...Bagaimana sebenarnya cara nak bebaskan Anwar..?

#BebasAnwar..... Aku sebenarnya dari dulu dok pikiaq mcmana nak buat untuk bebaskan Anwar.....

Sebagai seorang yang dididik dan mendapat pendidikan dalam bidang undang-undang serta beramal dalam sistem perundangan yang sedia ada, aku berpegang kepada prinsip "KEDAULATAN UNDANG-UNDANG".

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG merupakan rukun keempat dalam Rukunegara. Selain itu juga aku turut diajar dan sentiasa berpegang kepada prinsip asas sistem demokrasi yang memisahkan tiga cabang utama negara iaitu Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman. Ketiga-tiga cabang ini perlu dipisahkan antara satu sama lain bagi memastikan setiap tindakan masing-masing tidak diganggu, terganggu atau mengganggu yang akan mengakibatkan ketidakadilan.

Setinggi mana keyakinan aku bahawa sistem keadilan di Malaysia ini tidak sempurna dan ada kalanya tidak adil malah dicampuri dan dicaturi oleh tangan-tangan tersembunyi, aku "terpaksa" akur malah akan terus cuba memperbetulkan, melawan dan mengatasi unsur-unsur luar itu melalui apa yang ada mengikut kebijaksanaan dan peluang yang ada.

Kita mempunyai suatu Sistem Kehakiman yang perlu dipertahankan walau pun kita tahu adakalanya ia dicabul, tetapi pencabulan itu perlu ditentang mengikut garis undang-undang dan bukannya tanpa undang-undang.

Kes-kes melibatkan aktivis politik, pimpinan politik sering dikatakan ada campurtangan politik tetapi aku dan kawan-kawan tetap lawan melalui proses dan sistem undang-undang itu juga. Ada masa kita berjaya tetapi ada juga kita gagal. Tetapi ia tetap tidak memberikan kita hak untuk melanggar sahaja tanpa peduli undang-undang.

Kita lawan melaluinya sehingga kita mempunyai kuasa mengubahnya kepada yang lebih baik.

Sekarang Anwar disabitkan bersalah dan dipenjarakan oleh sistem kehakiman yang sama yang kita percaya tidak adil. Tetapi adakah dengan keyakinan kita bahawa Anwar dizalimi itu memberikan kita hak untuk membebaskan Anwar tanpa mengikut undang-undang? Anwar dibicarakan disabitkan dan dihukum melalui undang-undang dan hanya dengan saluran itu juga beliau boleh dibebaskan. Anwar memohon keampunan daripada Lembaga Pengampunan mengikut peruntukkan undang-undang. Anwar merayu dan membuat semakan mengikut perundangan. Itulah saluran yang ada walau pun kita tidak yakin dengan keadilannya.

Kita tidak boleh melanggar sesuka hati kita kerana prinsip "Kedaulatan Undang-Undang" hendaklah dipertahankan. Bagaimana suatu hari nanti jika ditakdirkan kita menjadi pemerintah dan ada pihak lain didakwa, dibicara dan dihukum dan mereka merasakan tidak adil dan melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang untuk bebas dari hukuman, apa yang kita nak kata waktu itu?? Mereka juga kata dulu kita juga tidak ikut undang-undang jadi sekarang kami juga nak begitu.

Jadi, aku cuma nak tanya, apakah ada cara untuk bebaskan Anwar tanpa perlu melalui sistem perundangan?

Soalan aku seterusnya, adakah jika nanti Dr Wan Azizah berjaya jadi PM, selepas angkat sumpah boleh terus tandatangan pembebasan Anwar?

Adakah jika Tun Dr Mahathir bersetuju menggesa Anwar dibebaskan maka Najib boleh dengan serta merta membebaskan Anwar?

Bagaimana sebenarnya nak bebaskan Anwar?

Zulhazmi Shariff
Berani Berubah

Zahid pengerusikan mesyuarat Kluster Politik dekatkan Pas - Umno hari in

20 April 2016 | BORHAN AHMAD

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan mempengerusikan mesyuarat Kluster Politik, Majlis Perundingan Islam (MPI) di sebuah hotel terkemuka hari ini di ibu negara yang bakal menggabungkan pemimpin Umno dan Pas serta pegawai kanan kerajaan dan pensyarah univesiti tempatan.

Menurut sumber, mesyuarat itu adalah untuk kesekian kalinya selepas beberapa kali mesyuarat telah diadakan sebelum ini yang bertujuan mendekatkan lagi kerjasama antara Umno dan Pas demi kepentingan orang Melayu dan Islam.

Selain Zahid sebagai pengerusi, timbalan pengerusi kluster politik ini adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub.

Mesyuarat terakhir sebelum ini iaitu pada 3 April lalu dipengerusikan oleh Zambry.

Ahmad dipercayai tidak akan menyertai mesyuarat hari ini kerana masih belum sihat selepas menjalani pembedahan di kepala di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) beberapa hari lalu.

Selain Ahmad, turut mewakili Pas dalam mesyuarat ini adalah Datuk Dr Khairudin Aman Razali, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas yang juga ahli parlimen Kuala Nerus dan Dr Zuhdi Marzuki, pensyarah kanan Universiti Malaya yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Pas.

Dua bekas pemimpin Pas iaitu Datuk Nasharudin Mat Isa (bekas timbalan presiden) dan Datuk Dr Hassan Ali (bekas naib presiden Pas) adalah anggota kluster ini.

Di samping mereka, beberapa mufti termasuk Mufti Wilayah Persekutuan dan Mufti Terengganu juga ahli kepada kluster ini di samping Presiden Isma, Abdullah Zaik dan pensyarah Universiti Pertahanan Nasional, Dr Redhuan Tee Abdullah.

Sebelum ini, makmal yang dijalankan oleh MPI menyarankan parti politik supaya bersama-sama dalam satu persefahaman ke arah membentuk kesepaduan ummah.

Zahid yang juga Pengerusi MPI, berkata dalam menghadapi cabaran semasa, parti politik harus berada dalam 'acuan yang sama' atas kepentingan Islam tanpa merendahkan agama lain.

Beliau berkata walaupun berat, perkara itu boleh dilakukan sekiranya kesedaran mengenai kepentingan penyatuan sesama Islam diberi keutamaan, bukannya latar belakang politik.

"Sudah tiba masanya untuk penyatuan ini dilakukan tetapi tidak semestinya hanya dalam bentuk tahaluf siyasi atau kerjasama politik.

"Sebaliknya, ia juga boleh dilakukan dalam bentuk persefahaman dan pemahaman terhadap tugas dan bidang masing-masing dengan cara haruslah tidak mengetepikan asas utama iaitu ke arah penyatuan ummah keseluruhannya," kata beliau pada sidang media selepas menghadiri lab kluster MPI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 12 April lalu.

Saranan itu, kata Zahid, dibuat oleh Kluster Politik iaitu satu daripada tujuh kluster yang membentangkan pandangan pada makmal tersebut.

Kluster lain yang terlibat dalam perbincangan tersebut ialah Kluster Dakwah, Ekonomi, Pendidikan, Sosial, Perundangan Islam dan Pemikiran Islam, katanya.

SAMM cetak 25,000 naskah booklet mengandungi dokumen dan fakta mengenai Skandal Balak Kelantan

Kenyataan Media
19 April 2016

Setelah tiada tindakan ‘konkrit’ dari pihak berkuasa SAMM cetak 25,000 naskah booklet mengandungi dokumen dan fakta mengenai Skandal Balak Kelantan.

1.       27 Oktober 2015, SAMM telah tampil mengiringi sekumpulan anak muda Kelantan untuk membuat laporan SPRM berkenaan Skandal Balak Kelantan. Laporan disertakan dokumen bukti sokongan.

2.       Saya mengajak untuk mengimbas laporan SPRM kononya Almarhum Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz menerima rasuah pakej haji. Hanya beberapa jam selepas laporan dibuat, SPRM mengumumkan wujud asas aduan dan SPRM telah membuka kertas siasatan rasmi. Malah Pemuda Umno terlibat membuat demonstrasi menghantar memorandum kepada SPRM.

Satu lagi kes, apabila laporan kononya Tan Sri Khalid Ibrahim melakukan ‘pecah amanah’ atau rasuah berkaitan agihan 46 lembu korban yang diagihkan di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak. Hanya dengan antara bukti selemah gambar agihan lembu yang mempunyai imej sebuah syarikat kaitan kerajaan negeri maka SPRM telah mengeluarkan kenyataan siasatan dijalankan dan hasil siasatan diserahkan kepada Peguam Negara.

3.       Malangnya dalam kes yang punya bukti sekukuh yang dilampirkan, SPRM kelihatan langsung tidak bertindak malah membisu. Tiada kenyataan dibuat. Yang ada saya disiasat berjam – jam berkenaan laporan yang saya buat. Nampaknya membuat laporan ke atas pemimpin Pas kini seolah membuat laporan ke atas pemimpin Bn sahaja.

4.       Maka SAMM telah mencetak edar sebahagian dari bahan bukti, fakta serta dokumen berkaitan untuk ditonton dan dihakimi rakyat. Bagi mendapatkan booklet terbaru ini boleh berhubung (whats app) 018 355 7923. Sehingga kini hampir 5,000 booklet sudah teredar. 24 April 2016 booklet ini akan dilancarkan di Kelantan.

5.       SAMM juga memaklumkan sudah ditangan kami beberapa dokumen termasuk salinan asal beberapa transaksi yang melibatkan ‘rasuah’ balak Kelantan yang akan kami dedah dalam masa terdekat.
Sekian

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Adakah motif utama Dr zakir Naik datang MALAYSIA adalah untuk menyeru perpaduan PAS-UMNO

Kerajaan Pas-Umno akan beri banyak kebaikan

Dr Zakir Naik

KUALA LUMPUR - Kerajaan campuran Umno dan Pas akan memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta mengukuhkan Islam, kata pendakwah Islam antarabangsa Dr Zakir Naik.

Katanya beliau bukannya mencadangkan dua parti politik Islam utama negara itu bergabung, tetapi adalah lebih baik jika kedua-dua parti politik berkenaan membentuk kerajaan campuran.

"Saya bukan hendak memberitahu kedua-dua parti (Umno dan Pas) perlu menjadi sebuah parti, tetapi jika mereka boleh berbuat demikian, Alhamdulillah...(jika tidak), mereka boleh mengekalkan parti dan identiti masing-masing.

"Namun, jika mempunyai kerajaan campuran, ia akan menjadi gabungan untuk orang Islam," katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu dalam rakaman program bual bicara TV Al Hijrah, 'Persepsi', di sini, hari ini.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...