TERKINI :

Wednesday, March 23, 2016

DAP : Adakah melawan bangsa lain selain Melayu lebih penting dari melawan rasuah dan penyelewengan.

DAP JAWAB TUDUHAN PAS DAN MAHU HADI JELASKAN KEPADA RAKYAT MANAKAH YANG MEMATUHI AJARAN ISLAM.

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu membuat pendirian adakah melawan bangsa lain selain Melayu lebih penting berbanding melawan rasuah dan penyelewengan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, Hadi perlu menjelaskan pendirian itu susulan seruan beliau supaya umat Islam bersatu menentang DAP.

“Adakah lebih penting Hadi melawan bangsa lain (bukan Islam) melawan isu rasuah, isu penyalahgunaan kuasa dan isu penyelewengan (oleh pemerintah), jadi Hadi kena pilih yang mana mematuhi ajaran agama,” katanya di Parlimen, hari ini.

Pua berkata, tuduhan Hadi bahawa DAP mahu menguasai negara ini tidak masuk akal kerana parti itu hanya bertanding tidak sampai 50 kerusi.

“Pertama DAP tidak dapat menjadi kerajaan Persekutuan, atas (kekuatan DAP) sahaja, DAP hanya bertanding tidak sampai 50 kerusi dan jumlah keseluruhan ada 222 kerusi, jadi macam mana nak jadi kerajaan kalau menang semua kerusi yang DAP bertanding itu pun tak mungkin kami dapat menjadi kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusof Raya berpendapat Presiden PAS itu sudah ketandusan isu untuk diketengahkan.

“Itu isu lama yang dibawa beliau ,” katanya ringkas. – FMT

Anwar: Saya tiada dendam peribadi dengan Mahathir, Najib

Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau tidak menyimpan ‘dendam peribadi’ terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mahupun dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya sudah maafkan semua orang lama dahulu.

"Pertarungan saya bukan bersifat peribadi; ia adalah mengenai pembaharuan institusi Saya tidak mempunyai dendam peribadi dengan Mahathir mahupun Najib," kata Anwar kepada Channel News Asia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam ketika beliau muncul sebagai peguam sendiri dalam kes saman fitnah .

Februari lalu, Anwar telah disabitkan dengan apa yang didakwanya sebagai rekaan tuduhan meliwat dan dihumban ke penjara Sungai Buloh untuk menjalani hukuman lima tahun.

Pada tahun 1998, ketika itu memegang jawatan timbalan perdana menteri, Anwar dipecat dan dipenjarakan selepas ‘bergeseran’ dengan Dr Mahathir yang adalah perdana menteri ketika itu.

Walau bagaimanapun, pada awal bulan ini, Anwar menyatakan sokongannya terhadap Dr Mahathir dan menggesa parti-parti pembangkang dan badan bukan kerajaan untuk bersama menjayakan Deklarasi Rakyat yang dipelopori oleh seteru politiknya.

Beberapa pemimpin utama, dari kedua-dua belah politik dan juga masyarakat awam memeterai deklarasi itu atas kapasiti peribadi masing-masing yang antara lain menuntut penyingkiran Najib sebagai perdana menteri dan pembaharuan institusi.

Najib terpalit dengan skandal kewangan sejak tahun lalu apabila syarikat pelaburan negara, 1MDB yang diilhamkannya sarat dengan hutang sedangkan dana M2.6 bilion didapati berada dalam akaun bank peribadinya.

Beliau secara konsisten menafikan sebarang salah laku dan mendakwa wang berkenaan adalah sumbangan politik.

Awal tahun ini, Peguam Negara mengumumkan bahawa beliau tidak akan meneruskan tuduhan terhadap Najib selepas mengkaji kertas siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung siasatan ke atas perkara itu.

Dr M heret Najib ke mahkamah, tuntut ganti rugi RM2.6b

Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain hari ini memfailkan saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi kemungkiran kewajipan fidusiari dan salah-laku tort misfeasance dalam jawatan awam.

Saman itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Selain Mahathir, plaintif lain adalah bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin dan bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Najib adalah defendan tunggal dalam tuntutan itu.

Ketiga-tiga plaintif adalah sebahagian daripada gerakan Deklarasi Rakyat untuk menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Najib melakukan tort misfeasans dalam jawatan awam dan tort kemungkiran fidusiari dengan menyalah-gunakan kedudukannya.

Menurut mereka, Najib sebagai perdana menteri, pengerusi BN, presiden Umno dengan niat jahat dan mala fide menghalang, mencampuri, menindas dan menyalah pintas pelbagai siasatan dan inkuiri berhubung skandal 1MDB berserta kemasukan dana dalam anggaran USD700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam akaun peribadi banknya.

Mereka juga memohon perisytiharan yang sama di mana Najib menyalah-gunakan kedudukan beliau untuk mengambil tindakan terhadap Anina dan Khairuddin.

Mereka juga menuntut RM2.6 bilion sebagai ganti rugi teladan dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM42 juta.

Mereka memohon mahkamah perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Najib mengambil tanggungjawab terhadap salah-laku tort misfeasance dalam jawatan awam dan atau kemungkiran

fidusiari dalam jawatan awam yang dilakukan olehnya.

KJ perlu bentang pelan KBS dapatkan semula RM100 juta

PETALING JAYA: Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mendesak Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin membentangkan pelan pengembalian semula RM100 juta yang diselewengkan.

Ketua Pemuda AMANAH, Sany Hamzan, berkata, Khairy tidak boleh bersikap lepas tangan dalam perkara berkenaan penyelewengan dalam kementeriannya adalah wang milik rakyat.

“Ini adalah wang rakyat dan Khairy tidak boleh ‘lepas tangan’ dengan hanya berselindung di sebalik (komitmen) ‘kerjasama’ terhadap siasatan SPRM semata-mata,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil berkata, Khairy perlu disiasat berhubung dakwaan skandal itu.

Katanya, siasatan itu perlu bagi memastikan sama ada Khairy benar-benar tidak mengetahui tentang perkara itu atau sengaja membiarkannya berlaku.

“Seksyen 25 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 menjadikan kegagalan melaporkan perbuatan rasuah sebagai satu kesalahan. Justeru, beliau boleh disiasat,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, ini bukanlah kali pertama isu penyelewengan melibatkan Khairy, apabila sebelum ini timbul isu tajaan RM1.4 juta untuk 191 EXCO Pemuda dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian mengerjakan umrah.

Sebelum ini SPRM menahan seorang pegawai tinggi KBS kerana didakwa menjadi dalang sindiket menipu KBS menyebabkan kerajaan rugi RM100 juta.

Pegawai tersebut dikatakan hidup mewah hasil rasuah dengan membeli kereta mewah, jam berjenama, barang kemas dan unit-unit saham, yang sebahagiannya turut dipamerkan dalam sidang media SPRM itu.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...