TERKINI :

Monday, March 14, 2016

Akhirnya Ahli Majlis Tertinggi Umno akui yang Deklarasi Rakyat jejaskan kedudukan mereka

Shahidan akui Deklarasi Rakyat jejaskan kedudukan Umno

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak menolak bahawa kedudukan parti Melayu itu terjejas susulan pengwujudan Deklarsi Rakyat yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, bagi memastikan kedudukan UMNO kembali kuat, pemimpin tertinggi perlu mengambil tanggungjawab menjelaskan kepada rakyat berhubung kemelut yang berlaku.

Malah, penyertaan Timbalan Presiden UMNO yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal menambahkan lagi keyakinan rakyat terhadap deklarasi yang dibentang itu.

“Kalau kata (UMNO) tak terjejas tak betul. Dia mesti ada kesan. Kita (MT) harus jelaskan pada rakyat bahawa langkah terbaik menukar pemimpin adalah melalui proses demokrasi yang ada sekarang, melalui Parlimen atau Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

“Yang boleh menentukan turun bangun Perdana Menteri adalah di Parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa, Dr Mahathir telah diperkudakan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk memecah-belahkan ahli-ahli UMNO.

Tengku Adnan turut menggambarkan ia sebagai perbuatan gila, sekaligus melontarkan persoalan bahawa puak-puak pembangkang, khususnya DAP sudah pun memecah-belahkan UMNO.

Husam perlu dikenakan hukuman setimpal - Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan

KOTA BHARU: Dewan Ulama PAS Kelantan mendesak parti itu mengenakan tindakan terhadap Datuk Husam Musa yang mengeluarkan kenyataan mendakwa pentadbiran PAS negeri ini pincang disebabkan individu tertentu.

Ketuanya, Datuk Hassan Mahmood, berkata kenyataan yang dikeluarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor dan bekas Naib Presiden PAS itu bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah mendatangkan kemarahan hampir keseluruhan rakyat Kelantan.

"Saya tidak tahu apa motif beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian, sedangkan perkara itu tidak benar. Apa yang jelas, parti perlu kaji dan hukuman setimpal perlu dikenakan.

"Beliau perlu jelas, sebarang keputusan membabitkan pentadbiran negeri Kelantan dibuat secara bersama, bukannya individu. Justeru, tidak timbul isu Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah lebih menonjol dan menjadi punca kepincangan dalam pentadbiran PAS Kelantan.

"Husam sepatutnya menyokong pentadbiran Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob serta timbalannya, kerana pelantikan mereka dibuat parti. Malah, semasa Husam menjawat jawatan naib presiden pun, kami semua sokong beliau tanpa ragu-ragu," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Husam tidak mempedulikan tindakan yang bakal dikenakan Jawatankuasa Tatatertib PAS terhadapnya apabila terus berkongsi pentas dengan Parti Amanah Rakyat (PAN) untuk menyerang PAS.

Beliau juga secara terbuka mendakwa segala kepincangan yang berlaku dalam kerajaan Kelantan sebenarnya berpunca daripada Mohd Amar dan menyarankan ADUN Panchor itu meletak jawatan.

Hassan berkata, Dewan Ulama PAS Kelantan bersama Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (BBC) menyokong penuh pentadbiran Menteri Besar dan timbalannya kerana apa yang dilakukan kini adalah kesinambungan usaha Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Katanya, Ahmad dan Mohd Amar layak menerajui Kelantan dan tidak perlu gentar dengan desakan Husam.

Blok Pas penyebab perpaduan Melayu semakin parah

KUALA LUMPUR – Sebarang usaha untuk mewujudkan blok politik baharu dalam kalangan parti pembangkang hanya akan merugi dan memecahbelahkan perpaduan orang Melayu jika ia tidak berteraskan kepada kepentingan negara.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, walaupun blok politik itu tidak melibatkan parti pemerintah, perpecahan orang Melayu sedia ada akan bertambah parah selepas pembentukan gerakan baharu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi Deklarasi Rakyat.

“Apa saja blok-blok (politik) yang kita nak tubuh, mesti mengambil kira gambaran lebih besar. Kalau tidak, akhirnya kita akan terjerumus dalam semua pihak seperti yang dibuat oleh Mahathir.

"Dia nak buat blok politik sendiri, (namun) tapi ia hanya memecahbelahkan masyarakat Melayu. Sepatutnya kita tak melihat dari sudut blok-blok Melayu ini lagi. (Tapi) kena melihat dari sudut perpaduan negara.

"Perpecahan orang Melayu tidak akan mendatangkan faedah dan kebaikan kepada sesiapa pun, (kerana) tujuan negara itu lebih penting daripada tujuan politik itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian di lobi bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pada Khamis lalu bahawa pihaknya akan membentuk satu pakatan baharu dengan sebuah parti politik bagi menghadapi PRU14 akan datang.

Takiyuddin bagaimanapun berkata blok pembangkang baharu itu tidak akan melibatkan Umno dan Pakatan Harapan dan perkara itu akan diumumkan pada 16 Mac ini (Rabu).

Blok politik ketiga Pas hanya pecah undi - Pensyarah UNIMAS

SHAH ALAM – Penganalisis politik melihat tindakan Pas membentuk blok politik ketiga di negara ini hanya akan memecahkan undi dan sokongan rakyat ketika pilihan raya umum kelak.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir juga berpendapat, ikatan baharu itu tidak akan dapat membantu Pas mengukuhkan imej dan pengaruhnya.

“Malah tindakan Pas untuk mewujudkan blok politik ketiga ini melemahkan lagi Pas dan seluruh pakatan pembangkang.

“Sepatutnya sebagai pembangkang, Pas itu menjalinkan kerjasama dengan parti-parti pembangkang yang lain, bukan mengambil inisiatif menubuhkan blok pembangkang ketiga kerana tindakan terbaharu ini jelas akan memecahkan lagi undi,” katanya kepada Sinar Online.

Khamis lalu, Pas mengumumkan parti itu akan membentuk blok baharu pembangkang pada 16 Mac ini menjadikan kumpulan tersebut blok pakatan pembangkang yang ketiga di negara ini namun sehingga hari ini Pas masih belum menamakan parti berkenaan.

Dalam pada itu, Jeniri berkata tindakan Pas itu akan menyulitkan Pas lagi usaha untuk mewujudkan sistem dua parti yang menjadi hasrat pembangkang selama ini.

“Tindakan ini akan memberi imej yang tidak bagus kepada Pas dan harus diingat ini bukan pertama kali Pas menjalinkan kerjasama dengan parti-parti lain sebelum ini. Ternyata semua usaha Pas itu gagal.

“Jadi, persoalan rakyat sekarang adalah, siapa sebenarnya yang bermasalah? Masalahnya adalah Pas tidak dapat mengendalikan diri, tidak tahu hala tuju dan kemudian akan memerangkap diri sendiri. Sepatutnya Pas mengukuhkan asas dan pengaruh,” katanya.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian yang turut senada namun mengakui masih terlalu awal untuk mana-mana pihak menjangkakan sejauh mana keberkesanan pakatan baharu itu.

“Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia kita akan melihat tiga gabungan. Ada BN, Pakatan Harapan dan satu lagi yang baharu.

“Masih terlalu awal untuk melihat sejauh mana keberkesanannya cuma, dari sudut demokrasi, ia sesuai...seolah-olah kita tidak menyekat pembentukannya tapi dari segi kelemahan, ia akan memecahkan undi. Memecahkan lagi sokongan,” katanya.

Menurutnya, kemungkinan Pas membentuk ikatan baharu itu dengan parti-parti lain yang bersesuaian dengan aliran perjuangannya selama ini dan semua pihak juga perlu mengakui bahawa sesebuah parti politik itu memerlukan  sokongan parti lain untuk meraih sokongan rakyat.

“Kalau DAP kata Pas lemah, kenapa DAP menubuhkan ikatan dengan parti lain? Sama saja. masing-masing memerlukan gabungan dengan beberapa parti untuk meraih sokongan. Kalau bertanding secara bersendirian mungkin tidak akan mendatangkan manfaat ataupun keuntungan.

“Sebab itu Pas pun memilih parti pelbagai etnik untuk meraih sokongan mungkin juga pengundi bukan Melayu. Bukannya pilih parti yang sama ideologi,” katanya.

Namun katanya, masih terlalu awal sekiranya Pas menguji kemampuan pakatan baharu itu dalam Pilihan raya Negeri Sarawak akan datang.

Hadi disenarai 500 muslim paling berpengaruh

PETALING JAYA : Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disenarai antara 500 muslim paling berpengaruh di dunia oleh sebuah pusat kajian Islam antarabangsa.

The Royal Islamic Strategic Studies yang berpangkalan di Amman, Jordan, menerusi penerbitan edisi ketujuh, The Muslim 500 2016 memberi pengiktirafan kepada Hadi bagi kategori Pendakwah dan Pembimbing Rohani.

Hadi antara tiga muka baharu yang diberi penghormatan menduduki senarai dalam kategori itu.

Pemilihan individu termasuk Hadi berdasarkan pengaruh kepada dunia dan masyarakat Islam.

Seorang lagi wakil Malaysia, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim telahpun berada dalam senarai itu.

The Muslim 500 diterbitkan setiap tahun dengan kerjasama Pusat Pemahaman Muslim-Kristian Putera Al-Waleed bin Talal di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat.

Penerbitan itu mengiktiraf 50 muslim paling berpengaruh di dunia manakala 450 muslim lain dipecahkan dalam 15 kategori.

Raja Jordan, Raja Abdullah ll diiktiraf muslim paling berpengaruh di dunia, diikuti Imam Masjid Al-Azhar, Sheikh Ahmad Muhammad Al-Tayed dan ketiga, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...