
Jika baru-baru ini seorang pemimpin akar umbi UMNO mengeluarkan kenyataan supaya mengesyorkan pemindaan ganja daripada dadah terlarang, hari ini seorang pemimpin kanan parti Melayu itu pula mahu meng’halal’kan lumba haram.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pihaknya sedang berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, UMNO dan Barisan Nasional untuk melaksana program untuk ‘Mat Motor’ berlumba secara sah.
Berita itu menjadi johan segala berita pada hari yang suram ini.
Saya sendiri berasa terkejut dengan pengumuman itu. Menteri yang sepatutnya mencari penyelesaian mengurangkan aktiviti lumba haram tiba-tiba menjadi pejuang Mat Motor, jenama baharu yang diberikan kepada Mat Rempit.
Dalam berita yang sama, Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan menyatakan majoriti daripada Mat Motor ini bekerja dengan kerajaan sebagai PA (Pembantu Rendah Awam). Ia satu lagi fakta yang membuatkan saya, sekali lagi terkejut beruk!