TERKINI :

Saturday, February 6, 2016

Peguam Negara diminta senaraikan transaksi kewangan ‘bukan rasuah’

PETALING JAYA: Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali disaran menyenaraikan transaksi kewangan, terutamanya yang melibatkan ahli politik yang tidak lagi dianggap satu jenayah rasuah.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, definisi rasuah yang diperbaharui ini akan menjimatkan masa dan tenaga pihak polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasauah Malaysia (SPRM).

“Selain itu, ia juga menjimatkan masa timbalan-timbalan pendakwaraya beliau sendiri daripada menyiasat dan mendakwa orang yang tidak sepatutnya.

“Malah, perlu ada pindaan undang-undang terhadap statut dan buku-buku teks supaya tidak berlakunya ketidakadilan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lim berkata demikian ekoran tindakan Mohamed Apandi yang memutuskan derma RM2.6 bilion, skandal keluarga berbilang jawatan di Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) serta komisen ratusan juta untuk konsultasi pembelian kapal selam bukan satu kesalahan.

Mengulas lanjut, pemimpin DAP itu juga mempersoalkan yuran konsultasi yang diterima Abdul Razak Baginda iaitu sebanyak €30 juta (RM137 juta) untuk pembelian 2 kapal selam Scorpene dari Perancis.

“Adakah Abdul Razak Baginda layak untuk mengemudi dan merupakan pakar peralatan ketenteraan laut?” soalnya.

Selain itu, turut ditanya ialah sebab jabatan perolehan tentera laut tidak digunakan untuk membuat rundingan terhadap pembelian ketenteraan bernilai ASD1.2 bilion itu dan jikalau bayaran konsultasi itu dibincangkan di peringkat kabinet.

“Adakah para pembayar cukai menanggung bayaran konsultasi setiap kali kerajaan membeli peralatan canggih dan mahal. Berapa pula bayaran konsultasi setiap kali negara membeli jet pejuang, kereta kebal, kenderaan kalis peluru untuk para VVIP dan sebagainya?

“Bagaimana pula dengan jumlah cukai yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri terhadap bayaran €30 juta euro yang diterima oleh Abdul Razak itu. Adakah wujud sebarang rekod percukaian?” soal beliau lagi.

Ada pemimpin negara khianat amanah – Muhyiddin

Muhyiddin
PETALING JAYA: Rakyat kini semakin tidak mempercayai pemimpin negara kerana orang yang diamanahkan untuk memimpin mengkhianati amanah yang diberikan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketika rakyat sedang bergelut dengan masalah kos sara hidup, beban Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kejatuhan nilai ringgit dan hilang kerja, ada pemimpin yang disahkan menerima berbilion ringgit dan dimasukkan ke akaun peribadi dan digunakan untuk kegunaan sendiri.

Tambahnya, lebih menyedihkan apabila antara sumber wang itu adalah daripada syarikat yang mendapat dana daripada tabung awam.

“Namun, amat pelik apabila penerimaan wang yang bersumberkan dana awam oleh seorang pemimpin negara tidak dianggap sebagai satu kesalahan.

“Malah, siasatan ke atas laporan salah laku dan rasuah melibatkan orang berkenaan diarahkan ditutup,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun Najib bukan derma

Adel al-Jubeir najib
PETALING JAYA: Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir menyatakan wang AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang dimasukkan ke akaun Datuk Seri Najib Razak bukanlah satu satu derma politik, sebaliknya ia disalurkan untuk ‘pelaburan di Malaysia’.

Bahkan, beliau turut menafikan bahawa wang RM2.6 bilion bukan disumbangkan Kerajaan Arab Saudi atau satu sumbangan derma politik, lapor The New York Times.

“It is a private Saudi citizen, I believe, and the funds went to an investment in Malaysia (Ia adalah warga Saudi, saya percaya, dan dana itu diberi kepada satu pelaburan di Malaysia),” katanya dalam satu temu bual dengan NYT disiarkan, semalam.

Mengulas lanjut, akhbar tersebut turut memetik kenyataan seorang kerabat diraja yang enggan mendedahkan identitinya berkata, wang tersebut diberikan oleh seorang putera Saudi namun mengesahkan wang itu bukannya derma, tetapi satu bentuk perjanjian bisnes.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...