TERKINI :

Tuesday, February 2, 2016

Nak tukar MB Kedah, 'jenguklah' Pahang dulu

Khairuddin Abu Hassan

PUTRAJAYA - Bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa,‎ pihak yang ingin menukar Menteri Besar Kedah harus melihat pimpinan di Pahang terlebih dahulu.

Khairuddin berkata, berbanding di Kedah keadaan di Pahang lebih bermasalah.

"Saya nak tanya Presiden Umno, kalau nak cakap soal pertukaran MB tengok dululah negeri beliau di Pahang. Pelbagai isu sedang menyelubungi Pahang, kenapa tak pertikai?

"Keadaan politik di Kedah cukup aman damai dan tenteram. Bukan sahaja rakyat jelata, orang Pas juga sayangkan (Datuk Seri) Mukhriz (Tun Dr Mahathir)," katanya pada sidang medianya di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini.

Menggulas lanjut, Khairuddin berkata tiada sebarang alasan yang kukuh untuk 'membuang' Mukhriz sebagai Menteri Besar.

"Apa alasan mereka nak tukar Mukhriz? Bagi saya tidak ada alasan langsung. Kalau nak kata Kedah dalam dilema mungkin mereka boleh bertindak sedemikian, tapi ini tidak berlaku.

Adakah MUKHRIZ akan dipecat dari UMNO..??

Mukhriz akan dipecat hari ini?

PETALING JAYA: UMNO dijangka memecat Datuk Seri Mukhriz Mahathir dari parti kerana ingkar keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang bersetuju dengan pertukaran beliau sebagai Menteri Besar Kedah, Jumaat lalu.

mukhriz_mykmu_kedah_600 

Perkara itu dinyatakan laman blog pro UMNO, MYKMU.NET menerusi satu artikel yang ditulis, UMNO sebagai parti yang mendapat kerusi terbanyak dalam Barisan Nasional (BN) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berhak menentukan pelantikan Menteri Besar.

Keengganan Mukhriz melepaskan jawatan walaupun telah diarah oleh parti dan diperkenan oleh Istana boleh menimbulkan krisis Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, penulis artikel itu tidak pasti sama ada upacara mengangkat sumpah Menteri Besar baharu menggantikan Mukhriz akan dilakukan hari ini.

Hudud tidak akan dilaksana serta-merta di Kelantan (1991)

HUDUD TIDAK AKAN DILAKSANAKAN SERTA-MERTA DI KELANTAN (2 FEBRUARI 1991)


PADA hari ini dalam tahun 1991, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mempertegaskan bahawa Kelantan tidak akan melaksanakan hukum hudud secara serta-merta, sebaliknya undang-undang syariat itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjelaskan hal demikian ekoran kritikan daripada pemimpin Umno dan juga oleh sesetengah pemimpin PAS yang mengatakan bahawa Kerajaan PAS Kelantan lebih mengutamakan perkara-perkara remeh dan PAS tidak mampu mentadbir.

Beberapa pemimpin PAS seperti Cikgu Musa Saleh, Yang Dipertua PAS Pasir Puteh dan Ustaz Omar Khalid, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Besut telah mengkritik Kerajaan PAS Kelantan yang didakwa mereka sebagai gagal melaksanakan syariat Islam dalam pentadbiran, mengutamakan hal-hal yang kecil dan tidak mampu mentadbir kerajaan.

ADUN DAP boleh dilantik jadi MB Selangor – Aziz Bari

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti DAP boleh dilantik menjadi Menteri Besar Selangor asalkan individu yang dipilih seorang yang berbangsa Melayu dan mendapat sokongan majoriti.

Abdul-Aziz-Bari
Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Dr Abdul Aziz Bari berkata, ia disebabkan undang-undang tubuh negeri tidak melarang individu daripada parti lain untuk menjadi Menteri Besar.

Bagaimanapun, Aziz menjelaskan, sekiranya ADUN Melayu itu tidak ada, berlakunya masalah majoriti dan pelbagai syarat lain tidak dapat dipenuhi, Sultan boleh melantik bukan Melayu sebagai Menteri Besar.

“Yang pertamanya dia mesti majoriti, yang keduanya dia Melayu dan Islam. Kalau ini tidak ada, kalau Melayu dan Islam ini tidak ada majoriti sebagai contoh, bukan Melayu boleh dilantik Menteri Besar oleh Sultan.

15 Adun pembangkang tidak setuju cara Umno cuba guling Mukhriz

Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang tidak bersetuju dengan cara Umno cuba menggulingkan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir sejurus selesai pertemuan dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.

Semua 15 Adun pembangkang yang menghadap ahli Jemaah Diraja Kedah di Wisma Darul Aman hari ini menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berdepan penentangan dalam Umno ketika ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 2 Februari, 2016.
Adun pembangkang daripada PAS, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) juga membidas tindakan sekumpulan pemimpin Umno yang mengambil langkah menyingkirkan Mukhriz secara tidak beradab dan dilakukan pada ketika sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah.

"Bagi kami, pada ketika ini, tindakan menukar menteri besar Kedah tidak menjadi keutamaan berbanding dengan keperluan menukar perdana menteri Malaysia yang banyak menyusahkan rakyat," kata Adun Alor Mengkudu Ahmad Yahaya semasa membaca kenyataan bersama yang dikeluarkan blok pembangkang sejurus berakhir pertemuan tadi merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Semua 13 Adun pembangkang hadir menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah selepas dipanggil semalam, sementara 2 Adun, Dr Krishnamoorthy (Bukit Selambau) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit) tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan di luar Kedah.

Kenyataan Media ADUN-ADUN Pembangkang Kedah

HENTIKAN SEGERA KRISIS, UTAMAKAN KEPENTINGAN RAKYAT

1. Kami menjunjung kasih ke atas Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang turut menjemput semua ADUN dari parti pembangkang bagi mendapatkan pandangan berhubung kemelut yang berlaku di negeri Kedah sekarang. Tindakan yang diambil oleh pihak Istana ini adalah merupakan satu langkah terpuji, menghormati prinsip demokrasi serta hak-hak rakyat.

2. Semua ADUN Pembangkang Kedah mengambil sikap bersama; membantah sekeras-kerasnya tindakan sebahagian pemimpin BN negeri ini yang cuba menurunkan Dato’ Seri Mukhriz Mahathir dari kedudukannya selaku Menteri Besar melalui cara yang tidak bertatasusila. Lebih mendukacitakan, tindakan tidak beradab tersebut dibuat sewaktu negeri ini sedang dalam tempoh meraikan Hari Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan Kedah.

3. Jika Dato’ Seri Mukhriz dinaikkan melalui laluan demokrasi maka proses menurunkannya juga mestilah dibuat mengikut amalan demokrasi, tidak gopoh, berperaturan serta menghormati kehendak rakyat. Tidak wajar hanya kerana mahu memenuhi kehendak politik individu tertentu maka semua pihak disusahkan; termasuk rakyat dan pihak istana.

4. Bagi kami, pada ketika ini, tindakan menukar Menteri Besar Kedah tidak menjadi keutamaan berbanding dengan keperluan menukar Perdana Menteri Malaysia yang telah banyak menyusahkan rakyat.

5. Kami menggesa agar masalah kepimpinan utama Kerajaan Kedah ini diselesaikan dengan segera, kerana krisis yang berlarutan akan membantutkan urusan pentadbiran negeri yang membawa kesan buruk terhadap rakyat. Jika kemelut menghadapi jalan buntu, maka pilihan terbaik ialah penyelesaian berasaskan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah iaitu menentukan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah kepada YAB MB melalui satu usul di persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah.

Sekian, terima kasih.

ADUN2 Pembangkang Kedah
Bertarikh: 2 Februari 2016

TERKINI : ADUN BN Kedah berkumpul di Hotel Grand Alora

ALOR SETAR: Sekumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Kedah, dilapor berkumpul di Hotel Grand Alora di sini, dipercayai untuk menghadiri perjumpaan khas berhubung krisis UMNO Kedah.

Berdasarkan maklumat, ketika ini seramai 17 daripada 21 ADUN mewakili BN negeri berada di hotel itu.

Empat yang tidak hadir ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga ADUN Ayer Hitam serta tiga EXCO kerajaan negeri yang diuar-uar cenderung menyokong Menteri Besar itu.

Mereka ialah ADUN Jitra, Datuk Aminuddin Omar; ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob dan ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Dua ADUN BN mewakili MCA iaitu Datuk Dr Leong Yong Kong (Gurun) dan Chua Tiong Ghee (Kulim), turut hadir.

Turut kelihatan memasuki pekarangan hotel sama ialah Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan timbalannya, Datuk Ghazali Ibrahim, selain Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Yusof Ismail.

Ketidakhadiran empat wakil rakyat itu menguatkan spekulasi mengenai status perjumpaan di Wisma Darul Aman, semalam, yang diuar-uar gagal mendapat suara sokongan majoriti ADUN BN, sehingga memaksa ADUN pembangkang dipanggil menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Sehingga kini, motif perjumpaan belum diketahui, tetapi sumber dalaman UMNO mengakui ia ada kaitan dengan perjumpaan 21 ADUN BN dengan anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, semalam.

Ketika ini, ADUN pembangkang dilihat mula memasuki Wisma Darul Aman selepas semua 15 wakil rakyat membabitkan lapan daripada PAS, empat Parti Keadilan Rakyat (PKR), dua DAP dan satu daripada Parti Amanah Negara (PAN), masing-masing dijemput menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah sebentar lagi.

Difahamkan, beberapa ADUN PAS Kedah dijangka mengadakan sidang media mengenai pertemuan itu sebaik majlis menghadap selesai.

2 lagi Adun Umno sokong Mukhriz, Adun pembangkang kini penentu, kata sumber

OLEH MD IZWAN

Tindakan 2 Ahli Dewan Undangan (Adun) Umno membuat “pusingan U” menyokong Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikatakan sebagai punca Jemaah Diraja Kedah tidak mengumumkan nama menteri besar baharu semalam, kata sumber.

Sumber mendedahkan kepada The Malaysian Insider, 2 Adun itu memberitahu Istana Kedah mereka masih mahu Mukhriz kekal sebagai menteri besar semasa perjumpaan tertutup di Wisma Darul Aman semalam.

"Dua Adun bertindak membuat ‘pusingan U’ apabila menyatakan sokongan kepada Mukhriz," kata sumber yang turut hadir dalam pertemuan dengan Istana Kedah semalam.

Perkara itu dimaklumkan sendiri pihak Istana selepas selesai pertemuan dengan 21 Adun Barisan Nasional (BN) semalam, bagaimanapun nama 2 Adun tersebut tidak didedahkan, kata sumber.

"Jemaah memaklumkan terdapat 2 Adun yang menyokong Mukhriz selepas ditolak Adun Jitra, Aminuddin (Datuk Aminuddin Omar)," kata sumber.

Dua Adun itu, termasuk Aminuddin dan Mukhriz sendiri menyebabkan kumpulan penentang hanya tinggal 17 daripada 21 Adun keseluruhan BN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Jika 4 Adun termasuk Mukhriz dicampur dengan 15 Adun pembangkang, bermakna menteri besar masih Kedah itu masih memiliki sokongan dalam DUN dengan majoriti mudah 19 kerusi.

Pembangkang memiliki 15 kerusi dalam DUN, dengan PAS memiliki 8 kerusi, 4 PKR, 2 DAP dan 1 Parti Amanah Negara (Amanah).

Sumber memberitahu walaupun dengan kedudukan itu, mereka masih yakin dapat menukar Mukhriz atas alasan terdapat Adun PAS yang tidak menyokong pentadbiran anak Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

"Kami yakin mendapat beberapa sokongan daripada wakil rakyat PAS yang tidak menyokong Mukhriz.

"Tunggu sahaja esok (hari ini) keputusan yang bakal dibuat jemaah," katanya.

Semalam, Jemaah Diraja Kedah memutuskan memanggil semua Adun pembangkang untuk menghadap mereka di Wisma Darul Aman hari ini.

Sebelum itu, spekulasi meluas mengatakan Mukhriz akan digantikan memandangkan Najib mengatakan sudah mendapat perkenan Istana Kedah untuk melantik menteri besar baharu.

Umno Kedah mahu Mukhriz, yang juga pengerusi badan perhubungan negeri itu disingkirkan sebagai menteri besar.

Sebelum ini, daripada 21 wakil rakyat BN, 19 dilaporkan menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyingkirkan Mukhriz daripada jawatan menteri besar Kedah.

Hanya Mukhriz dan Aminuddin tidak menandatangani SD itu. – 2 Februari, 2016.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...