TERKINI :

Monday, January 25, 2016

PAS amalkan politik kotor Umno fitnah DAP, kata Guan Eng

Bingung dengan kenyataan kononnya DAP menyokong perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), parti itu menyifatkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengamalkan politik kotor seperti Umno kerana membuat kenyataan fitnah.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, pihaknya mengulangi beberapa kali mereka menentang TPPA kerana kesan terhadap rakyat Malaysia dan perniagaan kecil-kecilan. Namun Hadi dalam sebuah video baru-baru ini mengatakan DAP menyokong perjanjian perdagangan itu kerana "perdagangan dikawal Cina di Malaysia".

"Bagi seorang pemimpin PAS untuk mengatakan perkara yang tidak benar dan tidak berasas itu menunjukkan PAS kini bukan sahaja bekerjasama dengan Umno tetapi juga mengamalkan politik kotor Umno, iaitu fitnah terhadap DAP."

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, TPPA bukan tentang kaum dan agama, tetapi kesan ekonomi ke atas rakyat Malaysia.

Lim berkata, PAS sepatutnya menumpukan kritikan terhadap Umno, kerana parti Melayu itu yang mahukan TPPA dilaksanakan di Malaysia.

Katanya, PAS, yang dikenali sebagai "penasihat" Barisan Nasional (BN), perlu menjelaskan mengapa gagal menasihatkan Putrajaya agar tidak menandatangani perjanjian itu.

"Menggunakan logik Hadi, mestilah Cina juga yang memulakan TPPA di Parlimen. "Mengapa tidak Hadi terus bekerjasama dengan Umno dan nasihat Kerajaan Persekutuan BN?" soal Lim.

Minggu lalu, Lim berkata, DAP akan menyertai ahli Parlimen Pakatan Harapan, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk menolak TPPA sekiranya dibahaskan di Dewan Rakyat. – 25 Januari, 2016.

Dua kem UMNO Kedah punyai kelebihan sendiri – Pahrolrazi

PETALING JAYA: Krisis politik membabitkan Menteri Besar di Kedah merupakan isu perpecahan besar bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Jelapang Padi itu.

Menurut Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Pahrolrazi Zawawi, dua kumpulan penyokong Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Bashah Md Hanipah masing-masing mempunyai pengaruh tersendiri.

Katanya, Mukhriz mendapat sokongan kuat daripada akar umbi, manakala Bashah mendapat sokongan padu daripada pimpinan parti.

“Kedua-dua kem ini mempunyai sokongan. Macam Datuk Seri Mukhriz dari segi peringkat kepimpinan parti mungkin dia tidak ada sokongan yang kuat, tetapi dari segi kumpulan menengah dan penyokong peringkat bawahan parti dia mempunyai kelebihan, kerana dia dilihat seorang pemimpin muda yang berkaliber.

“Malah berdasarkan kajian yang kita (pembangkang) buat sebelum Datuk Seri Mukhriz menjadi Menteri Besar, beliau mendapat sokongan yang tinggi dari anak muda. Rakyat melihat Mukhriz sebagai faktor yang berjaya mengembalikan kuasa BN pada PRU lepas, dan pada masa sama melihat penyingkiran Muhkriz ini satu kesilapan besar.

“Bagi kem yang dipimpin oleh Datuk Bashah ini, sokongan tetap ada cuma rata-rata daripada kalangan pimpinan, bahagian, sebahagian ADUN, dan sebagainya. Bila mereka berpecah dalam isu MB, ia akan memberi kesan yang besar kepada kedudukan UMNO dan BN Kedah,” katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut, Pahrolrazi yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara berkata, kemelut kepimpinan yang belaku di Kedah akan memberi kelebihan kepada pembangkang untuk merampas kembali tampuk pepimpinan kerajaan negeri pada PRU akan datang.

“Krisis penyingkiran Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah akan menjejaskan kedudukan BN pada PRU akan datang ditambah pula dengan isu nasional yang gagal diselesaikan. Ini isu berganda melibatkan BN,” katanya.

Pergolakan jawatan MB, apa sebenarnya yang berlaku di Kedah?

Isu yang melanda negeri Kedah mengenai jawatan menteri besar menjadi satu lagi topik perbincangan yang hangat dalam kalangan masyarakat sejak beberapa hari lalu.

Berita mengenai desas desus berkenaan usaha untuk menyingkiran Datuk Seri Muhkriz Tun Dr Mahathir hampir menutup keseluruhan isu yang sebelum ini menjadi tumpuan umum seperti kontroversi tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu derma RM2.6 bilion, SRC International, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA ) dan beberapa lagi perkara lain.

Memang sudah menjadi kelaziman di Malaysia ini apabila sesuatu berita besar yang disebarkan menerusi media-media massa akan dikupas oleh masyarakat sehingga ke akar umbi dan ia selalu berlaku mengikut musim.

Terkejut juga penulis apabila mendengar kemelut baharu yang berlaku dalam parti orang Melayu ini apabila ada usaha-usaha menjatuhkan pemimpin yang mungkin tidak bersefahaman dengan yang lain.

Bagaimanapun, isu mengenai penyingkiran Mukhriz dari jawatannya itu mempunyai elemen-elemen yang boleh dipertikaikan apabila ada pihak yang mengaitkan nasib Mukhriz dengan bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad yang kuat mengkritik, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan pemimpin UMNO dan Perdana Menteri.

Penulis percaya, rakyat di negeri jelapang padi ini sangat merasai dilema yang berlaku dan kasihan mereka kerana tiba-tiba terpaksa menuntut pembelaan bagi yang menyokong Mukhriz.

Seorang rakan penulis yang berasal dari Kedah dan kini menetap di ibu negara turut menyuarakan ketidakpuashatiannya apabila mengetahui berita ini.

Katanya, sebagai anak negeri Kedah yang akan balik kampung untuk mengundi setiap kali adanya pilihan raya umum, taktik mahu menjatuhkan Mukhriz dengan memberikan alasan kegagalan mentadbir negeri dengan berkesan adalah satu dakwaan yang tidak wajar.

“Apa yang tak betulnya Mukhriz buat..walaupun aku tak tinggal di Kedah tapi tak pernah pula dengar apa-apa kepincangan sejak dia (Mukhriz) ambil kerusi sebagai menteri besar yang sebelum ini dimiliki PAS. Memanglah rakyat tidak memilih menteri besar tetapi janganlah itu dijadikan pula alasan untuk senang-senang menyingkirkan pemimpin yang sudah diterima oleh rakyat di negeri kami.

“Secara peribadi memang aku tak boleh terima ini semua berlaku dan tunggulah nanti pilihan raya akan datang” katanya kepada penulis ketika bersembang di sebuah kedai kopi pada Ahad (semalam).

Menerusi perbualan itu, penulis dapat merasakan dirinya sangat kecewa dengan pergolakan politik yang berlaku di negeri kelahirannya itu. Soalnya sekarang, jika benar Mukhriz disingikirkan, siapa pula yang bakal menggantikan tempatnya nanti?

Menurut laporan The Star, pengumuman mengenai pertukaran jawatan Mukhriz itu akan dibuat pada hari ini. Namun, sebuah blog pro UMNO, MYKMU.NET pula menyatakan ia hanya akan diumumkan pada Rabu.

Tidak kiralah, bila pengumumannya hendak dibuat asalkan pengganti Mukhriz itu nanti adalah orang yang benar-benar boleh melakukan kerja lebih baik daripadanya jika penyingkiran ini benar-benar terjadi.

Tan Cheng Hoe Dalam Dilema untuk pilih pemain Kedah

DALAM dilema. Itu situasi pengendali pasukan Kedah, Tan Cheng Hoe selepas menyaksikan kesungguhan anak didiknya dalam tiga perlawanan persahabatan pra musim termasuk yang terbaru menentang Phuket FC pada Sabtu.

Dalam perlawanan di selatan Thailand itu, skuad Helang Merah terikat dengan kedudukan 1-1, selepas Cheng Hoe membenarkan kesemua pemain untuk mempamerkan kemampuan masing-masing.

Menurutnya, kesemua pemian yang didaftarkan untuk beraksi pada Liga Malaysia musim ini termasuk ke empat empat pemain import Liridon Krasniqi, Bang Seung Hwan, Sandro Da Silva dan Carlos Kahe telah diberi peluang untuk membuktikan kemampuan.

“Setelah menyaksikan kesemua pemain beraksi, kini saya berada dalam dilema untuk memilih kesebelasan yang akan beraksi pada perlawanan pembukaan Liga Super bertemu Felda United di Stadium Felda, Jengka pada 13 Februari.

“Bukan setakat kesebelasan utama malah saya kini menghadapi masalah untuk memilih 18 pemain yang bakal di bawa ke Jengka kerana kesemua pemain telah mempamerkan kesungguhan dan komitmen terbaik ketika diberi peluang.

“Walaupun berjaya seri 1-1 ketika bertemu Phuket FC tetapi saya berpuas hati dengan disiplin yang ditunjukkan. Cuma ada beberapa kelemahan di bahagian pertahanan dan serangan yang perlu diperbaiki sebelum bermula Liga Super," katanya.

Tambah Cheng Hoe, kesemua pemain diharap dapat meningkatkan lagi prestasi mereka pada baki dua perlawanan persahabatan bertemu Krabi FC (Isnin) dan Songkhla FC pada Rabu.

Jelasnya, tiga perlawanan pra musim di Thailand mampu memberi gambaran jelas mengenai keserasian dan kelemahan yang perlu diperbaiki segera.

“Saya lega kerana lima pemain Harimau Muda yang baru menyertai pasukan Kedah bersama penyerang import baru iaitu Kahe serta Fakri Saarani, Azmeer Yusof dan Amar Rohidan mampu memahami corak permainan kita dan mengadaptasikan di atas padang pada masa yang singkat ini.

“Apa yang penting ialah barisan pemain saya mengetahui bukan mudah untuk mereka berada dalam kesebelasan utama dan ini memaksa mereka beraksi dengan penuh kesungguhan dan memberi yang terbaik untuk persembahan masing-masing.

“Inilah keadaan yang akan memastikan pasukan Kedah mampu memberi prestasi konsisten yang diharapkan oleh jurulatih dan penyokong demi kita menjadi pencabar utama walaupun baru kita pendatang baru dalam Liga Super musim ini,” tegas Cheng Hoe.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...