TERKINI :

Saturday, January 23, 2016

DAP sanggah Presiden PAS bahawa mereka menyokong TPPA

Kenyataan media Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng pada hari Sabtu 23 Januari 2016:


Saya merujuk laporan The Malay Mail Online bertajuk: “Hadi: DAP backs TPP because Chinese control trade in Malaysia” (KLIK SINI) yang melaporkan dakwaan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa DAP menyokong TPPA kerana menurutnya hal ehwal perdagangan di dalam negara dikawal oleh orang Cina.

Dakwaan Ahli Parlimen Marang itu bukan sahaja tidak berasas, malah mengarut dan dangkal, serta tidak mencerminkan ketokohan dan keilmuan beliau sebagai pemimpin sebuah parti yang telah bertahun lama menjalin kerjasama erat dengan DAP malah kerap kali membela DAP ketika diserang Umno.

Kita kesal bagaimana dengan sekelip mata Hadi Awang boleh terus berubah lenggok bahasanya sehingga sanggup meniru skrip Umno dengan berfikir di dalam konteks politik perkauman, berbeza dengan aspirasi partinya yang beberapa tahun lalu giat menghindar daripada politik perkauman sempit dan mengadu domba.

Rancangan Singkir MUKHRIZ GAGAL?

Shahbudin Husin,

mukhriiz_kedah_rakyat_600 
Semuanya nampak serba tak menjadi. Jika dua hari lalu, gerakan menolak Mukhriz Mahathir yang diadakan di Alor Setar dipertikaikan oleh beberapa pemimpin UMNO dan wakil rakyat yang hadir di mana ada di antaranya merasakan seolah-olah diperdaya dan mereka tidak tahu tujuan sebenar perjumpaan itu diadakan, apa yang berlaku dalam perjumpaan Kuala Lumpur semalam lebih mendukacitakan lagi.

Kumpulan 14 Ketua Bahagian Kedah  diketuai oleh Ahmad Bashah Hanipah yang mengadakan pertemuan dengan Najib Razak bagi meneruskan desakan dan mencapai kata muktamad agar kedudukan Mukhriz ditukar, terus menemui jalan buntu.

Dalam pertemuan di PWTC semalam, selain dihadiri 14 Ketua Bahagian berkenaan, ia juga turut dihadiri oleh wakil-wakil rakyat, Exco Kerajaan negeri dan pimpinan UMNO empat peringkat yang lain.

Malangnya, difahamkan tiada kesepakatan dicapai dalam memutuskan  sama ada Mukhriz benar-benar perlu digantikan atau sebaliknya. Terdapat suara-suara yang bimbang bahawa penyingkiran Mukhriz akan memecah-belahkan lagi UMNO dan menidakkan sama sekali peluang mengekalkan penguasaan BN di negeri Kedah.

Sudahlah begitu, kehadiran dalam perjumpaan dengan Najib itu juga dilaporkan tidak menepati sasaran yang menggembirakan. Ada yang menyebut kehadiran tidak sampai pun 100 orang sedangkan jemputan dibuat untuk lebih 200 orang.

Budaya guling-guling MB untungkan siapa?


Oleh Ronasina

politik-malaysia
Tidak sukar untuk memikirkan aksi dan lontaran dialog watak-watak patung wayang kulit dari satu babak ke satu babak adalah kerana ia telah diaturkan oleh Tok Dalang di sebalik layar. Penonton yang asyik menikmati sesebuah persembahan itu pun tahu tanpa Tok Dalang watak-watak ini hanyalah patung yang kaku dan tidak ada upaya apa pun.

Begitulah dapat kita buat tanggapan apabila munculnya watak-watak wakil dari United Malays National Organisation (Umno) Kedah yang membuat kenyataan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Mukhriz Mahathir. Pastilah ada Tok Dalangnya.

Tetapi kita bukan mahu membincangkan isu ‘uji pasaran’ Najib itu untuk melihat berapa kuatnya pengaruh Mukhriz, atau cubaan watak wayang kulit ingin mengerat legasi Dr Mahathir yang sering mengganggu pentadbiran pusat. Mungkin juga itu suatu cubaan untuk mengajak Mahathir ‘berbincang’ agar tercapainya sebuah keputusan sama-sama menang. Sama ada usaha ini berjaya atau sebaliknya bukan persoalan kita di sini. Yang mahu kita fokuskan apakah maknanya budaya (atau gejala?) menggulingkan Menteri Besar, untuk siapa usaha penggulingan ini dan siapakah pula yang meraih untung?

Wanita Umno Bahagian Jerlun - Tangguh tukar MB sehingga PRU14

pru13

JERLUN – Wanita Umno Bahagian Jerlun menyarankan kepada pucuk pimpinan parti supaya menangguhkan pertukaran jawatan Menteri Besar Kedah sehingga PRU14

Naib Ketuanya, Rohani Mat Aris berkata, tindakan itu perlu dipertimbangkan supaya rakyat dan pengundi tidak marah kepada parti pemerintah.

“Bagilah peluang kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar Kedah, sebab ini juga sebahagian daripada manifesto BN pada PRU13 lalu, jika kedah berjaya merampas semula negeri ini.

“Bila jadi macam ini (iaitu tukar menteri besar), mereka akan patah hati. Tahulah kemungkinan akan jadi. Siapa nak tanggung risiko kalau ini semua terjadi,” katanya.

Menurutnya, Umno sudah tentu tidak mahu hidup sebagai pembangkang semula di Kedah seperti yang pernah berlaku pada 2008

“Kenapa baru sekarang nak tukar dengan alasan yang bermacam-macam, sedangkan semasa nak lantik dia (Mukhriz), kita pun tahu dia masih orang baharu,” katanya.

"Saya Bertuah kerana dapat menyertai skuad Helang Merah " - Fakri Saarani

MUKA baru Kedah, Ahmad Fakri Saarani menganggap dirinya bertuah kerana dapat menyertai skuad Helang Merah yang merupakan juara Liga Premier dan naib juara Piala Malaysia musim lalu.

Fakri yang dilahirkan di Pengkalan Chepa, Kelantan dan dibesarkan di Batu Gajah, Perak memulakan karier bola sepaknya bersama pasukan Piala Presiden Perak tidak menyangka akan diterima oleh  Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menerusi kontrak selama setahun.

"Saya tidak sangka dapat mewakili  Kedah yang berjaya menjuarai Liga Premier dan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu kerana barisan pemain mereka terdiri dari pemain muda yang begitu menonjol pada saingan musim lalu.

"Ketika dilamar KFA saya tidak berfikir panjang dan terus menerima tawaran mereka kerana saya mengetahui pasukan ini mampu menjadi kuasa bola sepak.

"Saya juga memerlukan cabaran baru dan yakin peluang untuk bersama barisan pemain muda serta tiga pemain import yang telah membuktikan kewibawaan mereka dan mampu meningkatkan prestasi secara peribadi," katanya kepada mStar Online.

Tambahnya, ketika pertama kali menghadiri sesi latihan bersama pasukan barunya, dia berasa agak kekok, namun keseluruhan pemain Kedah telah memberi layanan baik dan tindakan itu membuatkan dirinya cepat serasi.

"Kesemua pemain Kedah tidak kira muda atau yang dah lama bersama pasukan Hijau Kuning begitu serius ketika menjalani latihan kerana mahu memikat hati ketua jurulatih Tan Cheng Hoe bagi meletakkan diri mereka dalam kesebelasan utama.

"Saya mengetahui bukan mudah untuk berada dalam kesebelasan utama kerana saingan daripada kesemua pemain adalah begitu hebat dan cabaran beginilah yang mampu memastikan prestasi Kedah musim ini akan lebih mantap dan mencabar.

"Saya yakin pasukan Kedah mampu mencatatkan banyak lagi sejarah dengan barisan pemain yang dimilikinya tidak kira yang muda atau senior kerana kesungguhan dan komitmen yang tinggi dipamerkan  pada setiap sesi latihan," Jelas Fakri.

Fakri pernah mewakili Perak pada 2007 sebelum menyertai skuad  Harimau Muda. Dia kemudian mewakili Negeri Sembilan pada 2009 - 2012 sebelum berhijrah ke luar negara untuk menyarung jersi kelab Atletico Sports Club selama setahun.

Sebaik pulang ke tanah air pada 2013, pemain berkenaan menyertai  Kelantan sebelum bergelar pemain Kedah pada musim ini.
 

Helang Merah Pertaruh Empat Pemain Import Di Phuket

Pemain import Kedah Sandro (kiri), Kahe dan Liridon bergambar bersama sebelum bertolak ke Thailand.
 

PENGENDALI skuad Helang Merah, Tan Cheng Hoe akan mempertaruhkan empat pemain importnya buat pertama kali pada musim ini dalam perlawanan persahabatan pra musim menentang pasukan Phuket FC di Phuket, Thailand pada Sabtu.

Bekas penolong jurulatih skuad Harimau Malaya itu berkata, tindakan menurunkan kesemua pemain import tersebut bukan untuk mengejar kemenangan sebaliknya membentuk persefahaman di kalangan pemain.

Menurutnya, dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini melibatkan Felcra FC dan Kuala Lumpur, skuad tersebut hanya dibarisi pemain tempatan yang kebanyakkan adalah pemain muda.

"Perlawanan esok akan beri peluang pertama untuk saya menilai kombinasi empat pemain import kita iaitu Bang Seung Hwan, Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva dan Carlos Kahe.

"Dari situ kita dapat mengetahui kelemahan yang ada dan keserasian yang diperlukan supaya satu kesebelasan utama lebih mantap dapat disediakan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

"Saya yakin tiga pemain import kita iaitu Bang, Liridon dan Sandro tidak akan menghadapi masalah untuk memahami corak permainan dan juga aksi rakan sepasukan mereka tetapi bagi Kahe, ini adalah perlawanan pertama bersama kita dan dia pasti memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan dirinya.

"Kahe yang berpengalaman beraksi di Liga Turki dan Bundesliga diharap dapat menyesuaikan dirinya dengan pengalaman yang dimiliki. Semasa menjalani latihan dia tidak kekok  ataupun tidak memahami corak permainan yang diamalkan Kedah," jelasnya.

Cheng Hoe menambah, Kahe diharap dapat mempamerkan kemampuan dirinya dengan merobek gawang lawan selain menyesuaikan diri dengan rentak permainan bola sepak Asia.

"Setelah menjalani latihan selama seminggu, kesemua pemain import kita sudah mula menunjukkan peningkatan pada tahap kecergasan fizikal dan saya yakin mereka akan berada dalam keadaan terbaik sempena perlawanan sulung Liga Super musim ini iaitu pada 23 Februari depan.

"Barisan pemain tempatan kini hampir mencapai tahap kecergasan yang baik setelah memulakan latihan sejak 2 Januari lalu dan kesungguhan serta komitmen yang dipamerkan setakat ini memuaskan hati saya.

Katanya, selepas bertemu Phuket FC, Kedah bakal diuji oleh Krabi FC dan Songhkla FC.

Sebaik sahaja kembali, pemain pasukan Hijau Kuning akan bertemu skuad Perlis di Stadium Syed Putera, Kangar pada 1 Februari depan.

Tolak MB: Kumpulan anti-Mukhriz tutup mulut

Tolak MB: Kumpulan anti-Mukhriz tutup mulut
Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah (atas pentas) kelihatan berada diatas pentas di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN.

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim 'tutup mulut' dan enggan mengulas lanjut mengenai perjumpaan pemimpin Umno Kedah dengan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang meninggalkan Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini dalam keadaan tergesa-gesa kira-kira jam 6.40 petang tadi.

Bagaimanapun pergerakan Abdul Azeez dapat 'dihidu' petugas media ketika melalui pintu belakang PWTC yang menghubungkan Hotel Seri Pasific menuju ke kenderaan rasminya.

Biarpun beliau diasak beberapa kali oleh petugas media, namun beliau enggan memberi komen tentang perjumpaan itu.

"Tak ada komen, mesyuarat tadi Alhamdulillah," katanya kepada pemberita sebaik sahaja memasuki kenderaan rasminya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sik, Dr Mansor Abdul Rahman yang muncul di laluan sama selepas Abdul Azeez turut 'menutup mulut' dan terus meninggal petugas media.

"Saya tak boleh bagi komen," tegasnya

Terdahulu, 14 Ketua Umno Bahagian, Adun dan Ahli Parlimen Kedah mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung krisis Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, di PWTC, di sini, hari ini.

Ia susulan tindakan Umno Kedah diketuai Timbalan Pengerusinya, Datuk Ahmad Bashah mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz dalam satu sidang media di Alor Setar, Kedah, pada Rabu lalu.

Sidang media itu mendesak Perdana Menteri melakukan perubahan pucuk pimpinan Kedah yang menurutnya dilihat gagal menggerakkan jentera Umno serta menjana  ekonomi negeri.

Pokok Sena - SADA berjanji masalah bekalan air akan selesai

Masalah bekalan air akan selesai

POKOK SENA - Bekalan air yang terputus di Kampung Belukar Jambu Dalam, Jalan Naka sejak Disember tahun lalu bakal pulih dalam tempoh terdekat.

Pegawai Perhubungan Awam Sada, Rofedi Sulaiman berkata, loji air di kawasan itu terletak di Naka, Kuala Nerang dan kini sedang dibaik pulih bagi meningkatkan simpanan air di kawasan berkenaan.

Katanya, pertambahan penduduk di kawasan itu menyebabkan Sada terpaksa meningkat simpanan air di loji air Naka.

"Masalah itu akan selesai dalam masa seminggu lagi dan kerja membaik pulih itu bagi tujuan kegunaan pada masa hadapan.

"Bagi penduduk yang masih menghadapi masalah bekalan air mereka boleh menghubungi Sada supaya bekalan air dapat dihantar ke kampung terlibat," katanya.

Sementara itu, penduduk, Shazwani Shuhaida Elias, 26, berkata, sebelum ini penduduk di situ hanya mendapat bekalan air pada jam 5 hingga 8 pagi tetapi kini bekalan air terputus terus.

"Aktiviti harian penduduk terjejas hingga ada dalam kalangan penduduk terpaksa membeli air minuman di kedai. Ada  penduduk mengguna perigi usang untuk membasuh tetapi airnya berwarna kemerahan.

"Sebelum ini jika ada masalah air hanyalah sementara sahaja tetapi kali ini agak serius apabila bekalan air terputus langsung," katanya.

Alor Setar - Rumah urut ‘kegemaran’ diserbu

Rumah urut 'kegemaran' diserbu

ALOR SETAR - Sebuah rumah urut sekitar Jalan Putra, di sini, yang didakwa menjadi kegemaran penduduk tempatan dan warga asing, diserbu, kelmarin.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Yusri Hashim berkata, premis itu dilihat dikunjungi golongan terlibat sepanjang pemerhatian pihaknya selama enam jam bermula 4 petang.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, 15 pegawai diketuai Timbalan Penolong Pengarah Tinggi, Wan Fatonatunnor Abdul Rahim melakukan Ops Ikrar.

"Hasil pemeriksaan, dua wanita warga asing masing-masing berusia 42 dan 44 tahun dari China dan Thailand, bersama seorang lelaki tempatan ditahan.

"Dua wanita berkenaan ditahan kerana melanggar syarat pas lawatan dan disiasat di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.

Yusri berkata, lelaki tempatan berusia 36 tahun itu pula akan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana melindungi warga asing.

Sementara itu, katanya, beberapa warga tempatan lain yang berada di premis berkenaan turut diambil kenyataan mereka untuk membantu siasatan.

Mereka ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...