TERKINI :

Thursday, January 21, 2016

Mukjriz - 'Mereka tidak sokong saya sebab lain...'

JERLUN – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahatir beranggapan tindakan 14 daripada 15 Ketua Umno Bahagian Kedah tidak menyokongnya bukan kerana alasan empat perkara, tetapi akibat kelantangannya bersuara.

Katanya, ia mungkin disebabkan beliau pernah mencadangkan supaya kadar cukai barangan dan perkhdimatan (GST) dikurangkan daripada enam peratus kepada tiga peratus yang disifatkan membebankan rakyat. “Saya lihat tekanan ke atas rakyat sudah sampai tahap yang teruk apabila makanan semakin mahal, baju sekolah dan susu pun naik harga.

“Itu sebabnya saya terpaksa beranikan diri walaupun boleh dituduh ingkat atau tidak menyokong dasar kerajaan persekutuan,” katanya semasa ucapan pada program himpunan menyatakan sokongan kepada kepimpinannya di Wisma Umno Bahagian Jerlun, di sini, hari ini.

Menurutnya, perkara itu hanyalah cadangan yang boleh dipertimbangkan pucuk pimpinan atasan selain memberi penjelasan kepada rakyat sekiranya perkara itu tidak boleh dilaksanakan.

“Rupanya apabila saya keluar kenyataan macam ini, timbul rasa tidak puas hati. Menteri Besar ini tidak sehati sejiwa seperti yang diharapkan. “Kemudian dikaitkan pula dengan anak bapa. Bapa dia macam itu, dia pun macam itu juga,” katanya.

'95 peratus rakyat Kedah sokong saya' - Mukhriz

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa 95 peratus rakyat negeri itu menyokong kepimpinannya dan tiada sebab untuk menggantikan beliau.

Malah, Muhkriz berkata, gambaran diberikan media bahawa semua bahagian Umno di Kedah berpaling menentang beliau tidak benar kerana Jerlun yang diketuainya masih teguh menyokong.

Tetapi, kata Mukhriz, apa yang lebih penting adalah sokongan dua juta rakyat Kedah kepada beliau.

Menurut anak bekas perdana menteri itu, jawatan menteri besar yang disandang beliau sejak memenangi pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu adalah atas lantikan sultan.

"Letaklah siapa pun (calon MB) tapi sultan tidak perkenan, orang itu tidak akan dapat menjadi menteri besar," katanya dalam ucapan di Jerlun hari ini.

Kira-kira 500 hadir menyatakan sokongan mereka kepada Muhkriz yang kini menghadapi krisis kepimpinan di Kedah.

Ucapan Mukhriz juga sesekali diselangi laungan "Pecat Ahmad Bashah" dan "Kita lawan!" daripada penyokongnya.

Semalam Timbalan Ketua Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanafiah mendakwa parti itu tidak lagi mempunyai keyakinan kepada kepimpinan Mukhriz.

Justeru Ahmad Bashah berkata, perdana menteri wajar campur tangan dengan menggantikan menteri besar dengan tokoh lain.

Rakyat tanya Mukhriz jawab

Mukhriz berkata, beliau akan kekal sebagai menteri besar selagi itu yang dimahukan rakyat dan sultan.

"Bukan cara saya untuk memohon atau melutut bagi mendapatkan jawatan ini kerana seseorang pemimpin mesti bermaruah. Saya dibesarkan dengan cara itu.

"Apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi datang melawat saya baru-baru ini, saya memberitahu beliau, jika rakyat tidak lagi menyokong saya, saya sendiri akan meletakkan jawatan.

"Tetapi mereka masih mahukan saya. Tolong berikan saya sokongan anda kepada saya," katanya dalam ucapannya di Jerlun.

Dalam ucapannya itu juga Muhkriz mendedahkan mengapa beliau diserang oleh kepimpinan Umno.

Mukhriz berkata ia bukan disebabkan cara kepimpinan beliau lemah sebaliknya didorong oleh tindakannya mempersoalkan kepimpinan tertinggi Umno dalam beberapa isu kontroversi.

"Ada yang berkata, ia juga adalah kerana bapa saya," katanya merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah mendesak supaya Najib dilantik sebagai perdana menteri sebelum menukar sikapnya menjadi pengkritik lantang tokoh berkenaan.

Bagaimanapun, kata Mukhriz, isu yang dibangkitkannya itu terus diperkatakan kerana ia ditanyakan oleh rakyat ke mana saja beliau pergi.

Ditanya sama ada beliau sudah bertemu dengan Dr Mahathir sejak krisis semalam terdedah, jawapan Mukhriz ialah: "Saya belum bercakap dengan beliau lagi."

POLEMIK KEDAH: PEMUDA AMANAH FOKUS USAHA BELA RAKYAT SUSAH

www.amanah.org.my

Konflik kem Najib dan Mahathir yang melatari cubaan menukar Menteri Besar Kedah menjadi bukti jelas UMNO semakin jauh daripada nadi kesusahan rakyat. Ketika ribuan rakyat Kedah terhimpit mahu meneruskan hidup, UMNO hanya berfikir dan bertindak menurut survival politik masing-masing, bukan kepentingan rakyat terbanyak.

Berapa ramai lagi rakyat khususnya di kampung-kampung Melayu Kedah yang perit mahu meneruskan hidup? Berapa ramai pula yang masih bergelut meneruskan hidup dengan pendapatan kasar hanya RM100 sebulan? Pernahkah UMNO mengambil kira keadaan payah rakyat sebelum menggerakkan 'stunt' politik yang langsung tidak menguntungkan rakyat ini?

Lantas Pemuda AMANAH menggesa untuk UMNO berhenti bertindak seolah-olah rakyat boleh lupa penyelewengan dan pengkhianatan UMNO terhadap rakyat dan negara. Perdana Menteri, Najib Tun Razak sendiri masih berhutang besar dengan mahasiswa apabila menghentikan biasiswa JPA ketika pada masa yang sama peruntukan bawah Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM20.3 billion tidak dikurangkan langsung!

Kata kuncinya, fokus. Jentera Pemuda AMANAH khususnya di Kedah diarah untuk fokus kepada usaha membela rakyat susah di kampung-kampung. Perlu ditanam di minda rakyat, siapa pun bakal menjadi Menteri Besar, jika asalnya UMNO, tetap tidak akan mengubah kesusahan rakyat.

''Harapan Baru"

SANY HAMZAN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional

21 Januari 2016

Pakatan Harapan Kedah : Kesal dgn krisis di ketika rakyat sedang menghadapi kepayahan

Sidang Media di Alor Setar pd 21 Januari 2016, jam 2 ptg.

Ketiga-tiga parti Pakatan Harapan Kedah:

1) Kesal dgn krisis di ketika rakyat sedang menghadapi kepayahan ekonomi yg teruk, kos kehidupan meningkat, Ringgit turun, harga getah turun, pendapatan petani turun dll.
Dalam rakyat susah, Umno berebut kuasa dan ini menyusahkan rakyat.

2) Krisis ini adalah kesan langsung dari pertarungan Najib - Tun M berkaitan isu 1MDB. Ini satu lagi bukti 1MDB ini telah menyusahkan setiap rakyat Malaysia.

3) Penyelesaian krisis ini yg tuntas ialah dgn DS Najib meletakkan jawatan dan dinaikkan satu kepimpinan baru yg peka dgn kesejahteraan dan kebajikan semua rakyat.

4) Akhir sekali, penyelesaian krisis hendaklah dengan mengambil kira segala kehendak undang-undang dan perlembagaan tanpa menyusahkan rakyat.

- Dr Azman Ismail,
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Keadilan Kedah.
- Dato Dr Ismail Salleh,
Pengerusi Parti Amanah Negara, Kedah.
- YB Tan Kok Yeu,
Pengerusi DAP Kedah.

Kenyataan Media Timb Presiden Umno : Singkir Mukhriz - kepentingan peribadi atau rakyat?

KENYATAAN MEDIA YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN, TIMBALAN PRESIDEN UMNO

Saya mengikuti episod politik yang berlaku di negeri Kedah yang amat membimbangkan. Tindakan beberapa pemimpin UMNO Bahagian Negeri Kedah yang mendesak YAB Dato' Seri Mukhriz Mahathir disingkirkan daripada jawatan Ketua Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar adalah amat mendukacitakan.

Mukhriz adalah seorang pemimpin UMNO yang berkaliber dan disenangi oleh ahli-ahli parti dan rakyat. Malah, antara faktor kemenangan BN di negeri Kedah adalah ketokohan Mukhriz sebagai pemimpin pelapis UMNO sehinggakan YAB Perdana Menteri sendiri sewaktu kempen PRU 13 menjanjikan Mukhriz sebagai MB Kedah sekiranya BN berjaya memenangi negeri itu.

Sebagai seorang MB yang baru mentadbir kerajaan negeri untuk tempoh yang singkat, beliau tentunya memerlukan sokongan semua pihak, terutamanya wakil-wakil rakyat dan pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian untuk memimpin badan perhubungan negeri dan mentadbir kerajaan negeri dengan berkesan. Saya percaya, Mukhriz sepatutnya diberikan peluang untuk terus memimpin kerajaan negeri Kedah.

Apatah lagi beliau adalah seorang Menteri Besar yang bersih, disenangi oleh rakyat dan tidak terpalit dengan sebarang tuduhan salah laku moral, pecah amanah dan rasuah yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap parti dan kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau.

Sekiranya desakan supaya Mukhriz disingkirkan daripada jawatan Menteri Besar dan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Kedah dibuat atas kepentingan politik peribadi pihak-pihak tertentu, dan bukannya atas kepentingan rakyat negeri Kedah, maka ini adalah sesuatu yang amat malang bagi rakyat negeri Kedah dan UMNO yang sedang berhadapan dengan krisis kepercayaan rakyat yang parah.

Saya khuatir sekiranya desakan supaya Mukhriz berundur dilayan oleh pucuk pimpinan parti, maka UMNO akan semakin kehilangan hormat rakyat dan akan menghadapi cabaran yang semakin getir pada hari-hari yang mendatang. Kebimbangan saya yang paling besar ialah perpecahan di dalam UMNO akan bertambah ketara dan parti UMNO akan menjadi semakin lemah.

Saya amat kesal dalam keadaan rakyat dan negara berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi yang cukup getir serta keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan BN semakin terhakis, rakyat khususnya di negeri Kedah dibebankan lagi dengan krisis politik yang jelik dan memalukan.

Krisis yang melanda UMNO Negeri Kedah mesti diselesaikan secara penuh hikmah dan berhemah dengan meletakkan kepentingan rakyat dan parti mengatasi kepentingan peribadi.

YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Timbalan Presiden UMNO

21 Januari 2016

Mukhriz minta rakyat Kedah bertenang

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir meminta semula rakyat Kedah supaya bertenang dan bersabar serta mendoakan yang terbaik.

"Selagi rakyat Kedah mahukan saya, selagi itulah saya akan terus berkhidmat," katanya sebelum meninggalkan perkarangan ibu pejabat Umno Kedah di Bangunan Tunku selepas mengadakan mesyuarat tertutup dengan beberapa pemimpin Umno bahagian Jerlun di Alor Setar malam tadi.

"Allah akan bersama kita selagi kita ikhlas dengan perjuangan. Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada kita. Apa juga kejadian yang berlaku tentunya ada hikmah untuk kita.

"Percayalah sesuatu yang baik akan sampai kepada kita," katanya ketika berucap di hadapan lebih 1,000 penyokongnya yang berkumpul sejak 8 malam tadi.

Petang tadi hampir kesemua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Parlimen Umno Kedah telah menyuarakan hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan Umno negeri.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...