TERKINI :

Wednesday, January 20, 2016

Kenyataan Akhbar DS MUKHRIZ berkenaan desakan beliau meletak jawatan MB KEDAH

KENYATAAN AKHBAR

Saya mendengar kenyataan yang dikeluarkan oleh sebahagian daripada kepimpinan UMNO Negeri yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, YB Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Alor Setar petang tadi.

Kedudukan saya sebagai Menteri Besar adalah atas mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan juga atas perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah setelah dicadangkan oleh YAB Perdana Menteri.

Saya menyerah kepada Rakyat jelata untuk menilai prestasi dan keberkesanan kerja buat saya bersama kepimpinan parti seluruh negeri sejak hari pertama Barisan Nasional kembali mentadbir Kerajaan Negeri Kedah pada pilihanraya umum ke13.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, saya memegang amanah untuk berkhidmat dengan sebaiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat. Rakyat dan pengundi jua yang akan menilai kemampuan pentadbiran saya.

DATO’ SERI HJ MUKHRIZ TUN MAHATHIR

Alor Setar
20 Januari 2016

Lebih 1,000 penyokong Mukhriz hadir beri sokongan

ALOR SETAR - Lebih 1,000 orang hadir menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir seawal 8.00 malam.

Sekumpulan penyokong yang berhimpun di di Bangunan Tunku di sini, turut melaungkan "Kami Nak Mukhriz" beramai-ramai sejurus ketibaan Setiausaha Politik Mukhriz, Datuk Azmi Daim.

Difahamkan, sejurus selepas sidang media tergempar petang tadi oleh Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Hanifah, satu viral di Facebook dan WhatsApp mengajak orang ramai berkumpul menyatakan sokongan.

Umno Kedah hilang kepercayaan terhadap MB

SHAH ALAM - Pemimpin Umno Kedah hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Umno negeri, kata Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah

Sehubungan itu, katanya, seluruh kepimpinan Umno Kedah merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat perubahan segera terhadap kepimpinan tertinggi parti negeri dan jawatan Menteri Besar Kedah.

Ahmad Bashah berkata, Mukhriz yang juga merupakan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Kedah gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin di negeri tersebut.

“Beliau gagal dalam mengetuai dan menggerakkan jentera parti selepas mengambil alih kepimpinan parti di negeri Kedah.

“Sebagai menteri besar, beliau juga gagal mengurus tadbir kerajaan negeri secara berkesan,” katanya selepas perjumpaan tertutup pemimpin Umno negeri di Grand Alora Hotel, Alor Setar, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Mukhriz turut dituduh gagal menyatukan kepimpinan dan jentera parti di semua peringkat negeri.

“Beliau juga gagal membuat perancangan strategik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 14 nanti,” katanya yang dipetik laporan Bernama.

Tinggalkan Selangor, Abang Terlajak Laris Intai Kedah

PETALING JAYA: Selepas menarik diri daripada menaja pasukan Selangor, pemilik syarikat D’Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman kini mula mengintai untuk bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Menurut sumber, jutawan kosmetik itu akan mengadakan rundingan tertutup dengan Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi membincangkan mengenai tajaan berkenaan dalam masa terdekat.

"Datuk Aliff dan Datuk Seri Mukhriz sedang mencari masa yang sesuai untuk adakan pertemuan. Usahawan itu berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai syarat yang akan diletakkan pasukan Kedah," kata sumber itu kepada mStar Online.

Tambah sumber yang enggan didedahkan itu, Aliff Syukri terbuka hati untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan Kedah selepas menerima permohonan penajaan daripada pasukan naib juara Piala Malaysia itu.

"Tarikh dan masa belum ditetapkan lagi. Tapi ia ada akan diadakan secepat mungkin," katanya.

Sementara itu Aliff Syukri sendiri ketika dihubungi mStar Online berkata beliau terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak berhubung isu tajaan bola sepak bagi musim ini.

"Saya lebih suka untuk berbincang terlebih dahulu. Lebih baik berunding dan tahu apa yang kedua-dua pihak inginkan.

"Tak elok nak heboh awal-awal. Saya tak nak cetuskan kontroversi. Bila sampai masanya nanti saya sendiri akan umumkan kepada media," katanya.

Selain Selangor, usahawan muda yang terkenal dengan tagline 'Terlajak Laris' itu turut disahkan sudah mengadakan rundingan dengan pasukan Pahang dan Terengganu.

Menerusi komen di Facebook Aliff Syukri, penyokong skuad Kedah yang terkenal dengan jolokan Helang Merah itu merayu supaya Aliff Syukri mempertimbangkan untuk memberi tajaan kepada negeri berkenaan.

Antara hujah yang dinyakan netizen ialah imej berwarna hijau D'Herbs milik Aliff Syukri lebih sesuai dengan pasukan Kedah yang terkenal dengan warna hijau kuning.

Pas Kelantan nafi campur urusan PKR, Amanah

Che Abdullah Mat Nawi
KOTA BHARU - Pas Kelantan hari ini menegaskan parti itu tidak pernah mencampuri urusan antara PKR dengan Parti Amanah Rakyat (Amanah) dalam Pakatan Harapan.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli baru-baru ini adalah untuk menzahirkan rasa dukacita parti terhadap penyertaan PKR dalam majlis anjuran Amanah di Kelantan sahaja.

"Kami rasa tak campur apa-apa. Kami sebut perasaan (dukacita) dan apa yang menjadi kebimbangan kami, terutama perasaan anggota parti di peringkat akar umbi apabila mereka melihat bagaimana PKR yang ada tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan Pas, sama-sama membentuk kerajaan di Kelantan, tiba-tiba berada atas pentas Amanah yang nak jatuhkan kerajaan (Pas) Kelantan.

"Kami tak boleh halang (PKR nak buat majlis di Kelantan), cuma kami rasa dukacita bila (PKR) buat majlis bersama dengan Amanah di Kelantan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian usahasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan bersama-sama Jalur Saujana Sdn Bhd dan ICT Incubator Centre Sdn Bhd di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Datuk Vida jelas kenapa nak duduk kerusi pemain simpanan

Datuk Vida

DATUK Seri Dr Hasmiza Othman atau Datuk Vida mengatakan tujuan beliau meminta untuk duduk dikerusi pemain Kelantan adalah kerana ingin menyuntik semangat pemain itu ketika mereka berada disaat-saat genting.

Ujarnya, dengan cara itu ia akan lebih memberi makna kepada pemain, selain ingin menzahirkan perasaan ambil berat terhadap pemain-pemainnya.

"Kalau saya buat sesuatu, saya buat dengan jiwa saya, hendak suntik semangat saat genting, saya perlu dekat dengan pemain, saya perlu bersama mereka disaat itu, 'my' sayang-sayang pemain sedang berjuang," tulisnya di Instragamnya hari ini.

Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan Dr Vida meminta untuk dilantik sebagai pengurus eksekutif untuk skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW), bermula musim ini.

Dr Vida ketika mengesahkannya berkata, ia bagi membolehkan dia dapat berinteraksi dengan lebih dekat bersama seluruh pemain pasukan Kelantan itu.

Katanya, jawatan berkenaan itu adalah kali pertama diwujudkan dalam pasukan yang sebelum ini terkenal dengan panggilan The Red Warriors (TRW) itu.

Pas, Umno masih mempunyai pengundi Melayu terbesar

Umno Pas
SHAH ALAM - Pakatan Harapan khususnya Amanah dijangka melalui laluan sukar untuk mengekalkan sokongan pengundi Melayu kepada mereka susulan majoritinya merupakan penyokong tradisi Pas dan Umno.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata dasar Pakatan Harapan yang tidak jelas tidak membantu untuk meyakinkan pengundi Melayu terhadap mereka.

Beliau berkata, sokongan orang Melayu khususnya di luar bandar yang menjadi kubu kuat Pas dan Umno mungkin berubah sekiranya mereka sendiri menolak parti pra-kemerdekaan itu.

"Mustahil Pakatan Harapan dapat sokongan Melayu secara total orang Melayu ramai di kawasan pinggir bandar dan luar bandar yang masih dikuasai oleh Umno dan Pas.

"Saya tidak fikir mereka sudah sampai ke tahap itu, kerana Umno dan Pas itu kuat kerana ada pengundi tradisinya," katanya kepada Sinar Online.

Mengulas lanjut, Mohamed Mustafa juga berkata, Pakatan Harapan hanya mampu meraih sokongan undi Melayu di bandar dan pinggir bandar yang terdiri daripada Melayu liberal dan dalam kelas pertengahan.

YAN - Suami lari, isteri, bayi dibiar dalam sungai

Imigresen Malaysia
YAN - Seorang lelaki warga Myanmar sanggup meninggalkan isteri dan bayi perempuannya dalam sungai bagi mengelak ditahan anggota Imigresen yang melakukan operasi di sebuah tapak pembinaan di Tanjung Dawai, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, wanita dan bayinya yang berusia setahun itu gagal menyeberangi sungai yang terletak bersebelahan tapak pembinaan berkenaan disebabkan paras air yang agak dalam.

"Saya takut bila nampak Imigresen dan semua orang lari terjun sungai. Saya dukung anak dan ikut terjun dengan suami. Tapi saya tak berani nak berenang kerana bimbang keselamatan anak," kata wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Suda.

Wanita berkenaan yang masuk ke negara ini tanpa dokumen sah mendakwa telah tinggal bersama suami di negara ini sejak setahun lepas dan turut bekerja di tapak pembinaan itu.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...