SEBAB KERTAS SIASATAN DIPULANGKAN BERBEZA ANTARA SPRM DENGAN BNM, TAPI BOLEHKAH KITA MENARUH HARAPAN?

Rakyat mahu siasatan 1MDB diselesaikan segera supaya mereka boleh bergerak ke hadapan, kata Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
"Bukan hanya kami pihak berkuasa yang menyiasat. Terdapat (siasatan) berterusan," kata Zeti ketika di temu bual dengan saluran berita kewangan CNBC yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
"Semua orang mahu kesudahannya supaya negara boleh bergerak ke hadapan, supaya mata wang kami mencerminkan asas-asas (ekonomi negara), supaya kita boleh menangani isu-isu ekonomi negara."
Bagi bank pusat, yang telah selesai siasatannya ke atas 1MDB dan cadangan tindakan yang disyorkan, Zeti berkata beliau kini melihat penguatkuasaan tindakan itu terhadap firma pelaburan milik negara itu.
"Sekarang, ada beberapa tindakan yang diambil. Apabila ini dimuktamadkan, kita akan maklumkan keputusan itu," katanya tanpa menjelaskan tindakan terhadap 1MDB.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara telah membersihkan 1MDB daripada mana-mana salah laku.
Bank Negara mencadangkan supaya pendakwa raya mengambil tindakan penguatkuasaan yang bersesuaian terhadap 1MDB.
Kenyataan Akhbar oleh Raja Syarafina Raja Shuib, Pegawai Khas Undang-undang kepada YAB Lim Guan Eng pada 19.1.2016, KOMTAR
YAB Ketua Menteri Pulau Pinang telah menarik balik tuntutan saman fitnah beliau terhadap Ketua Penerangan PAS merangkap Ahli Parlimen Temerloh, YB Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi (“Defendan”) (Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Guaman Sivil No. 23NCVC-15-10/2014) berhubung dengan suatu artikel bertajuk ‘Apa Beza Kidex dan Terowong Pulau Pinang’ yang ditulis dan dimuatnaik oleh Defendan ke laman Facebook-nya pada 6.8.2014 (“Artikel tersebut”).
Penyelesaian damai antara pihak-pihak menerusi suatu Perintah Persetujuan (Consent Judgment) bertarikh 18.1.2016 di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Tuan Lim Chong Fong ekoran daripada permohonan penyelesaian dari Defendan dan persetujuan Defendan untuk:-
(a) Defendan menzahirkan kekesalan beliau di hadapan Hakim dan hadirin yang hadir dalam Mahkamah mengenai kandungan Artikel tersebut yang telah mengakibatkan salah faham terhadap YAB KM.
Kenyataan yang diutarakan oleh Defendan dan seperti yang direkodkan oleh pihak Mahkamah yang Mulia serta disahkan kembali oleh Defendan berbunyi seperti berikut -
“Menghadiri perbicaraan hari ini dan setelah meneliti dokumen yang dikemukakan ke Mahkamah, saya kesal artikel saya mencetuskan salah faham terhadap YAB Ketua Menteri Pulau Pinang. Pihak pihak bersedia untuk tidak memanjangkan kes ini dengan menarik balik artikel saya yang bertarikh 6 Ogos 2014 yang lalu yang didapati tidak mempunyai asas ke atas Ketua Menteri; dan
(b) Defendan membayar RM10,000 kepada YAB KM sebagai kos.
Memandangkan saya sendiri telah menyaksikan rentetan peristiwa yang membawa kepada penyelesaian damai tersebut di Mahkamah Tinggi semalam, pastinya ramai yang terkilan termasuk saya dengan tindakan YB Ustaz Nasrudin menulis suatu rencana susulan bertajuk ‘Catatan dari Mahkamah Tinggi Georgetown – Kes diselesaikan di luar mahkamah’ yang boleh diakses melalui laman web http://www.pas.org.my/arkib/ketua -penerangan/7338-catatan-dari-mahkamah-tinggi-georgetown-kes-diselesaikan-di-luar-mahkamah.
Samada rencana tersebut ditulis dalam kealpaan atau kecuaian yang disengajakan, YB Ustaz Nasrudin tidak seharusnya memutar-belitkan fakta dan/atau memperlekehkan kebenaran dalam usaha beliau untuk menegakkan benang yang basah. Harus ditekankan disini bahawa:–
(a) walaupun prosiding guaman terhadap YB Ustaz Nasrudin dijadualkan untuk berlangsung semalam dan hari ini, YAB KM masih menerima jalan penyelesaian damai yang dicadangkan oleh pihak Mahkamah. Dalam pada ini, YB Ustaz Nasrudin hanya perlu, antara lain, meminta maaf akibat tohmahan dan fitnah yang telah dilemparkan terhadap YAB KM dalam Artikel tersebut;
(b) meskipun YB Ustaz Nasrudin tahu dan/atau patut tahu dari dokumen-dokumen yang difailkan untuk tujuan perbicaraan bahawa Artikel tersebut sememangnya merupakan fitnah beliau terhadap YAB KM, YB Ustaz Nasrudin enggan memohon maaf daripada YAB KM. Malah, YB Ustaz Nasrudin juga sebenarnya enggan untuk menyuarakan kekesalan beliau terhadap salah-faham yang telah dicetuskan akibat daripada Artikel tersebut; dan
(c) andainya YAB KM mementingkan kepentingan dirinya semata-mata dan enggan menerima kenyataan ‘kekesalan’ daripada YB Ustaz Nasrudin, tidak mungkin penyelesaian damai boleh berlaku sama sekali.
Sekiranya YB Ustaz Nasrudin yakin bahawa Artikel tersebut bukan merupakan fitnah terhadap YAB KM, mengapa pula terdapatnya persetujuan beliau untuk menyuarakan kekesalan dan membayar kos kepada YAB KM? Fikirkanlah siapa sebenarnya yang berdusta.
Susulan daripada penjelasan di atas dan sekiranya masih ada putar-belit dalam mana-mana laporan media berhubung dengan penyelesaian damai tersebut, pihak YAB KM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.
RAJA SYARAFINA RAJA SHUIB
Pegawai Khas Undang-undang kepada YAB Ketua Menteri Pulau Pinang
Rumah siap pahat berbunyi.
Begitulah ibarat apa yang berlaku dalam kes Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng melawan pemimpin PAS Nasrudin Hassan yang selesai di luar mahkamah semalam.
Semuanya bermula selepas Nasrudin menulis artikel enam perenggan selepas kes itu, yang antara lain menegaskan tidak memohon maaf kepada Lim setelah didakwa memfitnahnya.
Tulisan itu bagaimanapun hari ini mengundang rasa tidak puas hati pegawai khas undang-undang ketua menteri Raja Syarafina Raja Shuib.
Dalam kenyataannya, Raja Syarafina berkata sama ada rencana itu ditulis dalam kealpaan atau kecuaian disengajakan, Nasrudin tidak harus memutar-belit fakta atau “memperlekehkan kebenaran dalam usaha beliau untuk menegakkan benang yang basah”.
“Sekiranya YB Ustaz Nasrudin yakin bahawa artikel tersebut bukan merupakan fitnah terhadap YAB KM, mengapa pula terdapatnya persetujuan beliau untuk menyuarakan kekesalan dan membayar kos kepada YAB KM?
“Fikirkanlah siapa sebenarnya yang berdusta,” tulisnya.
Beliau juga berkata Lim tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sewajarnya jika masih ada “putar-belit” berhubung penyelesaian damai tersebut.
Nasrudin, anggota parlimen Temerloh, menarik balik sebahagian daripada kenyataannya pada 6 Ogos 2014 yang menyebabkan Lim tersinggung.
Nasrudin berkata beliau kesal kerana artikel berhubung pembinaan terowong dasar laut itu telah menyebabkan salah faham dengan Lim.
Persetujuan bersama itu direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Lim Chong Fong di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Mahkamah juga memerintahkan Nasrudin membayar RM10,000 sebagai pampasan kepada Lim.
Lim menyaman Nasrudin kerana mendakwanya menggunakan rundingan terus untuk penganugerahan projek RM4.63 bilion kepada Konsortium Zenith BUCG Bhd walaupun Pakatan Rakyat menentang cara itu.
Ketua penerangan PAS itu juga mempersoalkan "perbelanjaan berlebihan" Lim sebagai tidak perlu apabila Pulau Pinang mencatatkan bajet defisit enam tahun berturut-turut.
Tulisan Nasrudin “Catatan Dari Mahkamah Tinggi Georgetown: Kes diselesaikan di luar mahkamah”, semalam menyebut beliau pada mulanya memutuskan tidak akan memohon maaf dan mengarahkan peguam meneruskan perbicaraan.
Sepuluh minit selepas itu, beliau berkata dipanggil sekali lagi untuk mediasi luar mahkamah tetapi tetap menegaskan tidak akan memohon maaf.
Beliau menegaskan, dalam rundingan selepas itu barulah penyelesaian dicapai tanpa beliau memohon maaf dan tidak memanjangkan kes, serta menarik balik pada sebahagian isi artikel yang menimbulkan salah faham.
KOTA BHARU - Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menghadiri program anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) di Kelantan dianggap menyanggah kepentingan Pas.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PKR adalah rakan politik (tahaluf siyasi) kepada Pas dan Kelantan adalah negeri yang diperintah Pas manakala program anjuran Amanah adalah untuk menghentam Pas.
"Jadi mana-mana pimpinan PKR yang hadir dalam program anjuran Amanah jadi ia dianggap satu tindakan yang menyanggah kepentingan Pas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dilaporkan berkata pemimpin PKR sebelum ini membuat perakuan untuk bersama Pas Kelantan namun akuan itu tidak dipenuhi apabila ada pemimpin PKR menghadiri beberapa majlis anjuran Amanah.
Ditanya mengenai kehadiran pemimpin PKR dalam program anjuran Amanah di negeri lain, Takiyuddin berkata isu itu hanya relevan bagi negeri Kelantan yang diperintah Pas. - Bernama
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Low Tiong Lai semalam dilaporkan sebagai berkata Kementeriannya akan menyambung semula perlaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bermula MAC 2016 serentak dengan penguatkuasaan semula Sistem KEJARA.
Minggu lepas Timbalannya Datuk Aziz Kaprawi berkata Kementeriannya juga akan membawa cadangan kepada Jemaah Menteri bagi memberikan diskaun 50% kompaun saman-saman AES yang masih belum dijelaskan. Cadangan pemberian diskaun tersebut bertujuan menyelesaikan masalah lambakan saman AES yang masih tertunggak berjumlah lebih kurang 1.91 juta saman. Aziz juga berkata Kerajaan sanggup kerugian hampir setengah bilion ringgit bagi tujuan tersebut.
Saya, ZULHAZMI SHARIFF dengan ini menyeru dan mengajak semua pengguna jalanraya yang menerima saman AES sejak September 2012 sehingga hari ini yang masih belum membuat bayaran agar TIDAK MEMBUAT BAYARAN saman-saman yang diterima.
Saya, ZULHAZMI SHARIFF mengajak semua penerima saman AES supaya mengabaikan sahaja saman-saman yang telah diterima.
Saya, ZULHAZMI SHARIFF menegaskan bahawa saman tidak diperlu dijelaskan. Tiada sebarang peruntukkan mewajibkan saman dijelaskan.
Saya, ZULHAZMI SHARIFF memberi aku janji akan bersama mempertahankan anda jika anda dibawa ke Mahkamah kerana tidak menjelaskan saman-saman AES.
Saya, ZULHAZMI SHARIFF mendesak Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Pengangkutan membatalkan dan melupuskan semua saman-saman yang telah dikeluarkan sejak September 2012 sehingga sekarang.
JANGAN PENAT MELAWAN PENINDASAN.
BERANI BERUBAH.
ZULHAZMI SHARIFF.
Sekretariat Protes AES (ProtAES)
19012016