TERKINI :

Sunday, January 3, 2016

Tahniah Najib : 1MDB Jual Tanah Bayar Hutang

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2015/12/malaysia_china_1mdb_twj_600.jpg

1. Tahniah 1MDB dan tahniah Najib dalam tempoh enam bulan berjaya mengurangkan hutang sebanyak RM40 bilion melalui plan rasionalisasi. Kejayaan ini selepas pelbagai penafian awal dibuat oleh kerajaan tiada apa masalah yang dihadapi oleh 1MDB.

2. Semalam 31 Disember 2015 tempoh akhir enam bulan membuktikan Najib Janji Ditepati dengan hutang 1MDB hanya berbaki RM2 bilion saja lagi. Ini satu kejayaan besar Najib melabuh tirai tahun 2015 dan membuka tirai 2016.

3. Sudah tentu 30 juta rakyat Malaysia berbangga dan bergembira di ambang tahun baru 2016 atas kejayaan Najib dan kerajaan Umno Bn sebagai acara sambutan dengan berselawat dan percikan bunga api. Tentulah tepat detik 12.00 tengah malam seluruh rakyat bertempik sorak melangkah gagah ke tahun 2016 setelah bebas daripada beban hutang 1MDB dengan JUAL SYARIKAT DAN PROJEK JANAKUASA EDRA ENERGI DAN YANG TERBARU JUAL TANAH PROJEK BANDAR MALAYSIA KEPADA SYARIKAT YANG ADA KEPENTINGAN ASING DARI CHINA.

Jangan kamu Jual Melayu Dan Umno

Oleh Zaharin Mohd Yasin

Malam tadi saya tak meraikan perayaan tahun baru, kecuali isteri yang melayan anak remaja saya. Saya ada dirumah dan tidur awal.

Kenapa? Saya tidak menipu orang atau bersikap haipokrit, berpura-pura. Di tulisan saya dalam facebook, saya sampaikan perasaan simpati yang mendalam dengan keadaan rakyat yang menderita dengan kenaikan kos hidup yang tiba-tiba mendadak naik dalam alam kehidupan mereka, tanpa persediaan dan juga bertambah pendapatan.

Bagi mereka yang tidak buat kerja sosial saperti saya, mungkin tidak sampai kelubuk hati penderitaan rakyat ‘kelas rendah’ ini. Saya pekerja sosial dan tempat mereka mengadu, samada berjumpa, menalipon dan pesanan dalam whatsap. Kesemua meminta pertolongan bukan sahaja kewangan tetapi perkara lain, saperti mohon sewa rumahnya dilepaskan dari di sita. sokongan untuk hajatnya dengan jabatan kerajaan.

Kesemua ini berlaku ialah pendapatan mereka lebih rendah dari perbelanjaan hidup. Sama saperti kata pendahulu ibu bapa kita.. besar periuk, besarlah keraknya.. Maka jika saya punya gaji berangka belas ribu pun, sejumlah 60% dari pendapatan di belanjakan bagi menguruskan kehidupan bulanan. Sewa rumah, bayaran ansuran dua kereta, letrik, air, astro,unifi, pembantu rumah dan bayaran lain, bagaimana yang mempunyai pendapatan bawah RM3ribu sebulan dan tinggal di rumah pangsa?

Rayani Air bakal lantik mursyidul am PAS sebagai penasihat

Rayani Air yang berazam meluaskan pengaruh mereka sebagai syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang berlandaskan konsep patuh syariah bakal melantik Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din sebagai penasihat.

Sekiranya veteran PAS itu bersetuju, beliau akan berperanan menasihati Rayani Air tentang bagaimana melaksanakan konsep patuh syariah yang sebetulnya mengikut lunas Islam, kata pengarah urusannya Jaafar Zamhari.

"Kami bercadang, apabila beliau sudah cukup rehat, maka kami akan berjumpa dengannya untuk menjadikan beliau sebagai penasihat," katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan The Malaysian Insider.

"Beliau akan menasihati kami, seperti bagaimana hendak melaksanakan konsep patuh syariah ini, dan ia meliputi segala segi," katanya yang juga bekas timbalan pengarah pengangkutan udara Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Beliau mengakui, cabaran dihadapi Rayani Air dalam mengangkat konsep patuh syariah agak sukar kerana industri penerbangan belum pernah melaksanakan pensijilan yang mengikut garis panduan ajaran Islam itu.

"Kami yang pertama melaksanakan idea itu kerana dalam industri penerbangan tidak ada lagi sijil pengiktirafan garis panduan syariah. Itu yang kita cuba hendak lakukan," katanya.

Kerajaan perlu putuskan semua hubungan dengan Israel

ROMPIN - Bantahan kepada Israel oleh kerajaan hendaklah dilihat secara keseluruhan dan konsisten iaitu bukan sekadar dalam isu atlet sukan luncur angin Israel semata-mata hingga Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin boleh menafikan dua visa atlet berkenaan.

Pengerusi Aspirasi Rakyat Marhaen (ARM), Muhammad Syafiq Azmi, berkata, jika tindakan tegas sedemikian mampu dilakukan, beliau juga dilihat mampu untuk menasihati pihak berkaitan bagi meneliti hubungan dagang antara Malaysia dan Israel.

Beliau turut mendesak agar ketegasan terhadap Israel itu bertitik mula disini dengan kerajaan bertindak memutuskan semua urusan dengan Israel kerana ia bukan sahaja mengguris hati umat Islam di Malaysia, malah telah melukai ramai rakyat Palestin kerana sikap bermuka-muka.

“Mengikut rekod semakan melalui kenyataan dari sebuah akhbar, kerajaan mengakui wujud hubungan dagang dengan Israel. Alasan yang diberikan ialah amat sukar untuk mengasingkan perdagangan dengan negara luar termasuk Israel. Selain itu juga, pada Mei 1994 melalui Parlimen telah meluluskan Akta Larangan Import (pindaan bil. 7) dengan Malaysia menarik balik sekatan import terhadap barangan Israel dan Afrika Selatan.

“Menurut laporan rasmi akhbar Times of Israel bertarikh pada 14 September 2014 pula, Biro Pusat Perangkaan Israel mendedahkan secara rasmi hubungan perdagangan Malaysia dan Israel cukup besar serta memberangsangkan namun tidak begitu menonjol sehingga Israel menggambarkan jumlah perdagangan antara Israel dengan Malaysia adalah sesuatu "kegembiraan yang mengejutkan",” katanya kepada Sinar Harian.

Sebuah laman sesawang www.worldrichestcountries.com telah menyenaraikan Malaysia ditangga ke-19 dalam senarai antara negara yang mewakili dalam memperluaskan peluang eksport Israel sekitar tahun 2010 hingga 2014.

Laman sesawang itu turut menyenaraikan Malaysia berada di tangga kedua dalam mengimport alatan elektronik dari Israel di belakang Amerika Syarikat yang menduduki tangga pertama.

Berdasarkan laporan berkenaan, beliau yang bertugas sebagai Setiausaha Politik Pengerusi Amanah Melaka itu turut menggesa rakyat Malaysia perlu bersama meneliti sejauh mana kesungguhan kerajaan dalam menunjukkan pendirian sebenar mereka terhadap Israel.

“Benar dalam urusan pasport kita menunjukkan penolakan terhadap kewujudan negara Israel, tidak kurang dengan tiada kedutaan Malaysia di Tel Aviv dibuka dan begitu juga dengan kedutaan Israel di sini.

“Namun ia tidak melambangkan kesungguhan kita kerana terus menjalinkan hubungan ekonomi sekian lama. Janganlah kita bersikap selektif dalam membuat kenyataan atau pendirian. Bukan untuk menidakkan usaha YB Menteri, tetapi di sana ada lagi solidariti yang lebih penting perlu ditunjukkan Malaysia terhadap Israel,” katanya.

PAS lawan Umno dengan ilmu, iman, kematangan, kata Nik Abduh

PAS akan berhenti "melawan" Umno dengan perasaan emosi dan amarah, sebaliknya menggantikannya dengan ilmu, iman dan kematangan, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Menulis posting di laman Facebook beliau, anak bekas mursyidul am PAS itu berkata, perubahan tersebut merupakan penambahbaikan dalam parti Islam itu, selaras dengan tuntutan Islam.

"Berakhir dalam PAS era melawan Umno dengan emosi dan amarah. Bermulalah melawan Umno dan semua pemuka kemungkaran dengan ilmu, iman dan kematangan.

"Itulah penambahbaikan dalam PAS melalui proses tajdid yang dituntut ugama. Dengannya, PAS akan lebih kuat dan lebih bersedia memimpin negara," kata Nik Abduh semalam.

Bagaimanapun, posting ahli Parlimen Pasir Mas itu dilihat banyak menerima komen negatif daripada orang ramai yang mempertikaikan kenyataannya itu.

Pengguna Facebook, Siti Fauziah Sh Ali menulis:"Tapi dengan Mat Sabu, dengan Salahuddin Ayub, dengan Khalid Samad, takda pula guna ilmu dan kematangan ya," merujuk beberapa nama bekas pemimpin PAS yang kini menganggotai Parti Amanah Negara.

Abdul Razak Nordin pula menulis:"Jangan lupa tuntut royalti minyak. Jangan kerana gencatan senjata sampai lupa nak tuntut royalti minyak. Hudud dah kena tipu. Jangan sampai kena tipu lagi. All the best."

Faeez Azahar pula menulis:"Mustahil sebelum ini, sejak penubuhan, PAS lawan Umno sebab emosi. Sekarang baru dengan iman ya?"

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan menegaskan, parti itu bersedia berperanan sebagai penasihat bagi membantu kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara dengan sebaik-baiknya demi kepentingan rakyat.

Kerjasama antara PAS dan Umno rancak diperkatakan akhir-akhir ini dengan yang terbaru, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga presiden Umno menawarkan kerjasama dengan parti Islam itu di Perhimpunan Agung Umno pada November.

Najib sekali lagi mengulangi tawarannya kepada PAS pada Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar bulan lalu. – 3 Januari, 2016.

PAS dakwa PKR khianati Tahaluf Siyasi

KUALA LUMPUR: Tahaluf siyasi antara PAS dan PKR dilihat semakin meruncing apabila PAS mendakwa PKR cuba mengkhianati parti itu, berikutan kenyataan kepemimpinan tertinggi yang membayangkan untuk tidak menjalinkan kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, berkata berdasarkan kenyataan terbaharu Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, PKR sudah mula menunjukkan tanda-tanda akan mengkhianati PAS di masa depan.

Katanya, walaupun sehingga hari ini PAS masih tidak memutuskan hubungan tahaluf dengan PKR sebagaimana terputusnya hubungan antara PAS dan DAP, PKR secara jelas sudah mula mahu mengetepikan PAS untuk bertanding di Sarawak.

"Pusat Penyelidikan PAS mengalu-alukan keputusan itu kerana PAS kini lebih bebas untuk bertanding mana-mana kerusi yang difikirkan perlu termasuk kemungkinan bertembung dengan PKR. "Sekiranya dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu, PAS hanya bertanding di lima kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri).... dengan keputusan Dr Wan Azizah, PAS lebih bebas menentukan kerusi yang mahu ditandingi kerana tidak lagi terikat dengan PKR," katanya kepada BH.

Isnin lalu, Dr Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang membayangkan untuk tidak bekerjasama dengan PAS dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak atas alasan parti sekutu mereka itu tidak mempunyai pengaruh kuat kerana tidak memiliki sebarang kerusi di negeri itu, selain komitmen pimpinan PKR Sarawak yang lebih kepada Pakatan Harapan. Kenyataan Dr Wan Azizah itu mendapat reaksi daripada pimpinan PAS di Sarawak yang menyifatkannya sebagai kenyataan tidak demokratik dan tidak cermat.

Kelmarin, Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee dalam satu kenyataan menegaskan bahawa parti itu akan bertanding sekurang-kurangnya di 11 kerusi DUN, tambahan enam kerusi berbanding pilihan raya lalu termasuk kerusi bandar yang biasa ditandingi DAP.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/107771?m=1

Amanah: Ambo tidak terlibat, kata Nik Omar

KOTA BHARU - Nik Omar Nik Abdul Aziz menafikan penyertaan beliau dalam‎ Parti Amanah Negara (Amanah) seperti mana yang dilaporkan portal berita.

Anak kedua bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu enggan mengulas lanjut mengenai perkara  itu, namun  tidak‎ menolak kewujudan kepelbagaian parti, termasuk kehadiran parti Amanah dalam sistem politik tanah air.

Menurutnya, beliau lebih suka kepada gagasan penyatuan ummah dengan masing-masing membawa pendekatan meraikan satu sama lain.

“Ambo (saya) tidak terlibat, ambo bawa pandangan masing-masing, kena terima kewujudan dan menghormati satu sama lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam majlis makan malam Amanah Kelantan di Petaling Jaya semalam,  Pengarah Komunikasi Amanah Kelantan Nordin Hussin‎ mengumumkan Nik Omar dilantik sebagai Pengerusi Panel Syariah Amanah Kelantan.

Ditanya kenyataan itu bermaksud beliau menolak perlantikkan itu, Nik Omar yang juga Pengetua Mahaad Tahfiz Darul Annuar di Pulau Melaka‎ berkata, beliau sama sekali tidak terlibat.

Dalam masa yang sama, Nik Omar turut enggan mengulas ketika ditanya dakwaan mengatakan beliau telah menyertai parti itu dengan menggunakan nama samaran.

Nik Omar sebelum ini seringkali dikaitkan dengan Amanah setelah beberapa kali hadir dalam majlis anjuran parti serpihan Pas itu‎ beberapa bulan lalu.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu.

Kedah sasar 5 juta pelancong tahun ini - MB KEDAH

ALOR SETAR: Kedah yakin sasaran untuk menarik sebanyak lima juta pelancong ke negeri berkenaan pada tahun ini, tidak akan terjejas walaupun negara kini mengalami kejatuhan nilai ringgit.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata keadaan itu sebenarnya memberi banyak kebaikan terhadap industri pelancongan negara apabila rakyat memilih destinasi tempatan untuk melancong.

"Ada baiknya, ..pelancong tempatan umpamanya akan memilih lokasi dalam negara untuk dilawati pada masa ini termasuk juga pelancong luar negara.

"Bagi pelancong luar negara yang ekonomi mereka masih baik, mungkin memilih Malaysia termasuk Kedah untuk dilawati," katanya selepas majlis pelancaran 'Discover Kedah 2016' di Dataran Menara Alor Setar di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammd Taiyab Beg dan EXCO kerajaan negeri.

Mukhriz berkata, pemain industri pelancongan Kedah perlu giat mempromosikan negeri berkenaan kepada pelancong dalam dan luar negara bagi menarik kedatangan mereka.

Beliau berkata, pada masa ini, pihaknya akan menggiatkan usaha menarik pelancong untuk melawat tanah besar Kedah berbanding Langkawi yang sudahpun terkenal.

"Langkawi sudah terkenal serta popular dan pulau itu kini mengalami masalah penginapan yang tidak mencukupi, tetapi masalah itu sangat baik sebenarnya," katanya.

Beliau berkata antara lokasi menarik di tanah besar Kedah adalah Sungai Sedim Canopy Walk, Air Panas Ulu Legong, Taman Rimba Ulu Muda dan Pantai Merdeka.

Selain itu, Mukhriz berkata, keenakan makanan negeri itu juga boleh dijadikan tarikan kepada pelancong.

Dalam pada itu, beliau berkata, agensi pelancongan juga disaran mempromosikan kepada pelancong yang datang ke Langkawi agar turut memilih tanah besar Kedah untuk dikunjungi.

Bagi merealisasikan hasrat itu, beliau meminta peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan barangan sewenang-wenangnya kerana ia ia tidak baik terhadap industri pelancongan tempatan. - BERNAMA

BANDARAYA MELAKA - Satu forum terbuka membabitkan kerajaan, pihak berkepentingan dalam bidang undang- undang serta orang ramai perlu diadakan bagi melerai kontroversi mengenai hak mempertahankan diri ketika berlakunya sesuatu kejadian jenayah.

Ketika mengusulkan cadangan ini, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, forum terbuka ini perlu diadakan dalam masa terdekat ini berikutan kontroversi yang timbul ekoran kejadian di Terengganu di mana seorang lelaki ditahan reman berhubung dakwaan membunuh perompak yang cuba masuk ke rumahnya.

Menurutnya, forum berkenaan perlu melibatkan semua pakar dalam bidang perundangan termasuk pihak kerajaan, Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam, orang ramai serta mana-mana pihak berkepentingan untuk membincangkan bagaimana seseorang boleh mempertahankan diri dan tidak sehingga dianggap sebagai satu tindakan keterlaluan dan tidak munasabah.

Menurutnya, menerusi forum ini, kerajaan boleh mendengar pandangan serta kebimbangan pelbagai pihak, termasuk orang ramai, selain memberi peluang kepada pihak berkuasa memperjelaskan undang-undang sedia ada kepada mereka.

"Mungkin menerusi forum ini, satu rumusan dapat dibuat dan sekiranya dianggap sesuai, mungkin boleh dibuat pindaan kepada undang-undang sedia ada bagi mententeramkan semua pihak supaya tidak akan ada mana-mana pihak yang menganggap ia tidak adil.

"Apa yang kita mahu adalah keadaan menang-menang untuk semua, di mana keselamatan rakyat diberi perhatian dan pada masa sama, memastikan tiada sesiapa yang bertindak melampaui undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Mesra Bersama Media anjuran MCPF Melaka, yang turut dihadiri Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye, di sini, hari ini.

Menurut Lam Thye, isu berkenaan telah menimbulkan banyak keraguan dan ketidakpastian dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi selepas ia dihebahkan menerusi media sosial.

Menurutnya, walaupun Seksyen 96 dan 97 Kanun Keseksaan memperuntukan hak mempertahankan diri, namun masyarakat perlu dimaklumkan sejauh mana hak mereka di bawah peruntukan ini supaya ia tidak dianggap sebagai menyalahi undang-undang.

"Dalam isu ini, mungkin ada yang merasa bahawa ia adalah susah untuk tentukan apa yang boleh disifatkan sebagai tindakan mempertahankan diri yang
munasabah dan apa pula yang dianggap keterlaluan sehingga boleh menjadi satu pembunuhan.

"Sebab itulah forum terbuka ini perlu diadakan dalam masa terdekat untuk menghentikan kontroversi ini," katanya. SH





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...