TERKINI :

Friday, January 1, 2016

Negara ini bukan kau punya, Najib! – Rara

KUALA LUMPUR: Anak muda diseru supaya terus mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak demi rakyat Malaysia yang dibelit kos sara hidup yang menekan.

“Saya berharap anak muda mulai hari ini dan seterusnya akan bangkit melawan. Malaysia adalah milik anak Malaysia, dan bukan milik Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan BN,” kata aktivis DAP, Young Syefura Othman, sewaktu berucap di tunjuk perasaan aman #ShutdownSungaiBesi, pada Khamis malam.

Syefura atau lebih mesra dipanggil Rara berkata pada 2016 anak muda tidak lagi boleh berdiam diri dan bersama menuntut pemimpin supaya peduli desakan rakyat, dan membebaskan politik negara daripada penyelewengan.

“Pelbagai janji telah dibuat. Tetapi, janji hanya tinggal janji. Kos kehidupan kita semakin tinggi. Saya sebagai orang muda rasa sakit, apatah lagi keluarga yang memiliki anak yang ramai.

“Saya mewakili diri sendiri dan anak muda Malaysia menyatakan Malaysia sedang sakit tenat kerana korupsi dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan juga Barisan Nasional (BN)!”

Ahmad Maslan lagi layak ganti Najib – Anina

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan dilihat sesuai menjadi Perdana Menteri daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sindiran itu dibuat oleh bekas Ahli UMNO, Anina Saadudin berikutan kegagalan pentadbiran Najib dalam menyelesaikan beberapa masalah negara.

Katanya, kerana kelemahan Najib mentadbir negara maka dirasakan jawatan itu lebih baik diserahkan kepada Ahmad Maslan.

“Sekiranya Najib cuba menyelesaikan masalah kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan menjual segala harta syarikat yang diperolehi secara ehsan dan mudah dari usaha pentadbiran negara yang terdahulu atau tanah-tanah kerajaan, saya berpendapat Ahmad Maslan juga layak menjadi Perdana Menteri.

“Kemungkinan besar Ahmad Maslan akan lebih berjaya berbanding Najib kerana isterinya bukan Rosmah Mansor,” katanya dalam kenyataan dibuat pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Anina mendakwa masalah yang wujud dalam negara ini adalah berpunca daripada Najib sendiri.

Katanya, satu-satunya jalan untuk menyelesaikan masalah dalam negara ini adalah dengan Najib meletakkan jawatan.

“Berapa banyak penipuan lagi yang DS (Datuk Seri) Najib nak lakukan? Penipuan demi penipuan ini tidak akan sedikitpun membawa negara ke arah lebih baik. Sampai kiamat pun DS Najib akan terus menipu.

“DS Najib adalah akar segala masalah. Akar yang mati tidak akan menghasilkan pucuk-pucuk atau ranting-ranting baru malah semua nya akan turut mati.

“Percayalah, DS Najib tidak akan dapat menyelesaikan sebarang masalah yang diciptanya kerana dirinya sendiri tidak tahu apa yang sedang dilakukannya. Dia hanya mengikut arus umpama layang-layang terputus talinya,” katanya.

Kedah Ikat Amar Rohidan, Fakri Saarani Setahun

PASUKAN Kedah memilih untuk mengikat Amar Rohidan dan Ahmad Fakri Saarani menerusi kontrak selama setahun pada Jumaat sebagai persediaan awal menempuh aksi Liga Malaysia tahun ini.

Kedua-dua pemain berpengalaman itu merupakan tonggak terakhir yang menandatangani kontrak selepas lima pemain muda daripada skuad Harimau Muda.

Pengurus skuad Helang Merah, Datuk Jeffery Low Han Chow berkata, hanya dua pemain tempatan sahaja akan menyertai pasukan Kedah dan selebihnya adalah anak negeri ini yang beraksi bersama pasukan Harimau Muda dan Liga Simpanan.

“Hanya Amar dan Fakri sahaja pilihan kita, selebihnya adalah mereka yang telah membantu Kedah menjuarai Liga Premier musim lalu bagi mengharungi Liga Super.

“Carlos Kahe akan mengantikan tempat Chidi Edeh sebagai pemain import keempat Kedah. Dia dijangka tiba di Alor Setar selewat-lewatnya 15 Januari depan bagi menyesuaikan dirinya dengan keadaan di sini.

“Pada 2 Januari (esok) latihan akan dimulakan oleh Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe dan pembantunya di Stadium Mini Peremba dan bukan di Stadium Darulaman kerana padang di situ sedang dibaikpulih," jelas beliau.

Tambahnya, setelah mencapai kejayaan terbaik dalam tempoh enam tahun, pastinya harapan peminat dan pegawai Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) meletak harapan tinggi dan ia merupakan cabaran besar pemain.

“Saya yakin dengan kahadiran Liridon Krasniqi, Bang seung Hwan, Sandro Da Silva, Kahe, Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon, Farhan Roslan, Fakhri, Amar, Khairul Helmi Johari serta beberapa muka baru dari skuad Harimau Muda... kita mampu untuk mengharungi Liga Super musim depan.

“Ditambah dengan peningkatan prestasi Badddrol, Syazwan Zainon, Farhan Roslan, Syazwan Tajudin, Syafiq Ahmad serta Osman Yusof pasti harapan kita semakin cerah untuk mencabar lawan di pentas Liga Malaysia," katanya. Mstar

Visi Amanah 2016 : Sasar setiap keluarga ada ahli Amanah

Amanah sasar setiap keluarga ada ahli Amanah
MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) sedang merancang secara teliti agar setiap keluarga di negara ini mempunyai ahli Amanah.

Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub berkata, rancangan itu antara visi Amanah pada tahun 2016.

"Parti Amanah Negara (Amanah) menyeru setiap kepimpinan di semua peringkat supaya menjadikan tahun baru 2016 sebagai 'Tahun Merakyatkan Amanah',

"Oleh itu antara visi Amanah ialah mensasarkan setiap keluarga sekurang-kurangnya seorang menjadi ahli Amanah" katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Dalam pada itu Salahuddin berkata, Amanah akan menampilkan pendekatan politik Islam yang progresif, inklusif dan peduli bagi mendekati rakyat.

"Ini perlu diagendakan dalam setiap segmen kehidupan rakyat di negara ini, oleh itu adalah terlalu penting bagi Amanah sepanjang tahun 2016 untuk menjenamakan dirinya dalam ingatan dan sanubari rakyat melalui seluruh ruang dan kesempatan yang terbentang luas di persada politik negara ini," katanya.

Apa hubungan Zuhdi, PAS dan Umno?

– Muammar Qaddafi

Apabila Pengarah Penyelidikan PAS Pusat Zuhdi Marzuki memetik kembali kenyataan Muhammad Razali yang mendakwa wujudnya hubungan DAP dan Israel seolah-olah cuba bermain emosi rakyat Malaysia agar membenci DAP berdasarkan sentimen Palestin-Israel.

Walaupun artikel Zuhdi yang diterbitkan portal Harakah Daily ditarik balik,namun artikel tersebut masih boleh dibaca di portal rasmi PAS, setakat jam 11 malam, 31 Disember, 2015.

Kalau Zuhdi mempersoalkan jika DAP benar maka kenapa tidak saman saja Razali maka wajarlah kita persoalkan juga jika Zuhdi benar mengapa ditarik balik artikel tersebut yang pertama kali diterbitkan portal lidah rasmi PAS itu.

Dakwaan tanpa sebarang bukti bertulis mahupun audio itu bagaimanapun tersebar luas sekali lagi melalui Whatsapp dan laman sosial Facebook sekali gus berjaya bermain dengan emosi masyarakat Melayu terutamanya Melayu PAS dan Umno. Kerosakan sudah berlaku dan berjayalah saraf PAS dalam memainkan isu Israel dalam menghasut orang Melayu untuk membenci DAP.

Maka persoalan besar yang bermain di minda saya adalah, adakah wujud hubungan intim antara PAS/Zuhdi dan Umno sehinggakan Zuhdi memainkan kembali serangan blogger Umno kepada DAP 4 tahun lepas? Adakah dengan bertindak menyambung kembali tuduhan ini maka Zuhdi berjaya menyelamatkan Malaysia daripada diperintah Cina DAP yang bertanding 51 kerusi Parlimen ini?

Adakah PAS turut termakan dengan propaganda Umno DAP bakal memerintah Malaysia sekiranya Umno tewas lalu turut dimainkan perkara serupa oleh PAS terhadap DAP, bezanya Umno memainkannya sebelum PRU13 manakala PAS mengguna pakai senjata lama blogger Umno ini menjelang PRU14.

Sebagaimana dakwaan yang mengatakan wujudnya hubungan DAP dan Israel, begitulah asas kepada dakwaan DAP akan perintah Malaysia, asasnya menuduh tanpa asas, namun begitu berjaya memainkan emosi sebilangan orang Melayu yang enggan menerima angka dan fakta sebagai hujah, sebaliknya sebarang isu yang boleh menyentuh emosi walaupun tidak berasas akan ditelan bulat-bulat sehinggakan tidak lagi mahu mendengar dan menerima hujah pembelaan pihak yang dituduh.

Sejak kemenangan besar besaran kumpulan pro Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar lepas, saya masih tidak dapat melihat serangan sekeras yang dilakukan terhadap DAP dan Amanah oleh PAS kepada Umno, sedangnya yang jelas melakukan kemungkaran di pihak Umno, dalam isu 1MDB, akandal Yapeim, TPPA, PAS hanyalah sekadar menegur dengan nada rendah untuk cukup syarat "PAS menjalankan tanggungjawab menegur Umno BN".

Alangkah malang nasib rakyat Malaysia, dibebani kos sara hidup tinggi, cukai membebankan, pendapatan isi rumah tidak meningkat bahkan kadar pengangguran tinggi namun yang menjadi keutamaan politikus berserban adalah DAP mahu memerintah Malaysia. – 1 Januari, 2016.

TMI

Tren shuttle komuter Butterworth-Padang Besar bermula

JUMAAT, 1 JANUARY 2016 - 12:05PM TREN shuttle Keretapi Tanah Melayu (KTM) komuter bagi laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth mula beroperasi hari ini

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren shuttle Keretapi Tanah Melayu (KTM) komuter bagi laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth mula beroperasi hari ini dengan kadar tambang bermula RM1 membabitkan 13 stesen perhentian.

KTM Berhad dalam kenyataannya berkata, tiga koc disediakan menawarkan enam perjalanan sehari secara keseluruhan bagi laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth, yang mengambil masa perjalanan satu jam 45 minit sehala.

"Kadar tambang bagi perkhidmatan ini amat berpatutan iaitu serendah RM1 hingga RM11.40 bagi perjalanan sehala untuk dewasa. "KTMB turut menawarkan tiket konsesi dengan tambang separuh harga bagi warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak berumur empat hingga 12 tahun, manakala kanak-kanak di bawah empat tahun adalah percuma," menurut kenyataan itu.

Menurut KTMB, perkhidmatan KTM Komuter itu akan berhenti di 13 stesen iaitu Butterworth, Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Tasik Gelugor, Sungai Petani, Gurun, Kobah, Alor Setar, Anak Bukit, Kodiang, Arau, Bukit Ketri dan Padang Besar. Jadual perjalanan setiap hari dari Butterworth akan bermula pada jam 5.45 pagi, 10.45 pagi dan jam 3.30 petang, manakala perjalanan dari Padang Besar akan bermula pada jam 8 pagi, 12.50 tengah hari serta jam 6.30 petang.

Sementara itu, KTMB memaklumkan perkhidmatan tren elektronik (ETS) EG9501 dan EG9502 dari Butterworth-Padang Besar-Butterworth ditamatkan perkhidmatan bermula hari ini. "Penumpang yang sudah membeli tiket boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh di mana-mana kaunter tiket KTM Antarabandar dan ETS," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang KTMB di www.ktmb.com.my atau menghubungi pusat panggilan KTMB di talian 0322671200 atau layari twitter @ktmkomuter. - BERNAMA

Katakan tidak kepada AGAMAWAN ASAL BUNYI

AGAMAWAN 'ASAL BUNYI'
(Ulasan 'kuliah' Ustaz Masjid An Najah, Padang Serai).

Sejak 3 hari yang lalu, ruang maya diviralkan dengan 'kuliah' (kalaupun boleh dinamakan kuliah atau mungkin sekadar berhimpun mendengar labun antara maghrib dan isyak) yang disampaikan oleh seorang Ustaz (saya tak dapat mengenali nama Ustaz tersebut, lalu saya nisbahkan Ustaz Masjid An Najah, Padang Serai - kerana kuliah itu disampaikan di Masjid tersebut -), saya mendengar kuliah tersebut beberapa kali, kesimpulan saya 'inilah AGAMAWAN ASAL BUNYI', iaitulah sekelompok agamawan yang 'tanpa usul periksa' dan 'kerja rumah', mereka hanya seronok menghentam musuh (dalam konteks kuliah ini adalah AMANAH - atau disebut sebagai PAN - dan DAP), 'ASAL jumpa bahan' mereka terus 'tutoh' tanpa kaji tentang keaslian 'bahan' tersebut mahupun rujukannya.

Dalam 'kuliah' tersebut, ada beberapa kesalahan yang cukup nyata; cukup kalau kita teliti 4 kesilapan besar, yang pasti akan kita simpulkan banyakannya AGAMAWAN ASAL BUNYI dalam medan dakwah kita sekarang ini.

ISU ASAS
Ustaz tersebut merujuk kepada sebuah 'hadith' dengan tidak membaca matannya (hanya baca terjemahan), tanpa menyebut sanad, bahkan tanpa menyebut RAWInya, dan disebut bahawa ia bersandarkan kepada sebuah kitab..... perhatikan kesalahan yang berlaku :

1. Beliau menyebut nama kitab sebagai ناصح العباد (yang membawa maksud PENASIHAT HAMBA HAMBA), apabila diteliti nama kitab yang dirujuk sebenarnya adalah نصائح العباد (yang membawa erti NASIHAT NASIHAT UNTUK PARA HAMBA), sebuah hasil karya dalam bahasa Indonesia. (Berkaitan buku ini TIADA kepentingan di sini untuk di bahaskan). Dalam hal ini, membuktikan betapa beliau tidak teliti (atau mungkin TIDAK berupaya untuk memahami kaedah bahasa Arab yang berkaitan dengan tajuk dan istilah tertentu).

2. 'Hadith' tersebut  hanya ditemui riwayatnya dalam kitab بحار الأنوار (sebuah rujukan mazhab syiah), apakah Ustaz tersebut ingin mengajak para pendengar supaya mengikut mazhab syiah atau sudah mula toleran antara mazhab atau sememangnya 'tak tahu pun' ASAL 'hadith' itu dari mana?.

3. Apabila 'hadith' (kalau diterima sebagai sohih) menyebut tentang ULAMA' dan FUQAHA, maka yang dirujuk sebagai ULAMA dan FUQAHA oleh Ustaz tersebut adalah Ulama Pas, benarkah cara 'berdalil' seumpama itu. Apakah yang dirujuk dalam semua hadith berkaitan ulama adalah Ulama Pas? Dan adakah semua Ulama Pas sebenarnya Ulama atau ada sebahagian mereka hanya para penyamar ulama?.

4. Ustaz tersebut juga menyimpulkan 'Allah hanya akan tolong apabila ada berkat' dan umur mana mana parti hanya boleh panjang apabila ada 'berkat', betulkah dakwaan ini? Apakah semua pihak yang diberikan 'kemenangan' oleh Allah maka secara automatik mereka sebenarnya adalah golongan yang diBERKATI. Perkara yang asas macam barakah pun tak boleh difahami oleh Ustaz tersebut, maka sudah tentu syarahan yang lebih lanjut, amat amat bertentangan dengan asas kefahaman Islam.

Kepada Dewan Ulama Pas

Telitilah gejala Agamawan ASAL Bunyi ini kerana nama baik ISLAM akan tercalar (bukan hanya nama baik PAS, kalau nama pas sahaja saya pun tak kisah).

Katakan tidak kepada AGAMAWAN ASAL BUNYI

Ridzwan Abu Bakar
Pengarah Media & Komunikasi
AMANAH Kedah

AMANAH@2016 : Jangan Terus Biarkan Tikus Membaiki Labu

BismillahirRahmanirRahim
Assalamualaikum wr. wb.

Semoga seluruh rakyat Malaysia menyambut tahun baru 2016 dengan satu azam dan tekad untuk tidak lagi membiarkan "Tikus Membaiki Labu".

Pepatah Melayu, tikus membaiki labu adalah satu pepatah yang menggambar keadaan tikus-tikus kelihatan sedang bertungkus lumus seolah-olah sedang membaiki labu, tetapi sebenarnya sedang memenuhkan perut masing-masing dengan isi labu yang manis dan seterusnya merosak buah labu tersebut.

Inilah gambaran yang berlaku dalam pengurusan politik, ekonomi, budaya, pembangunan, pentadbiran, sukan, hiburan, tabung awam, keselamatan dan berbagai segmen yang membina Malaysia yang tercinta ini akibat terus di biarkan tikus-tikus biru putih berlogo dacing  yang kononnya cuba membaiki Malaysia sebaliknya telah merosakkannya secara total.

Kami dari Parti Amanah Negara (AMANAH) sebuah parti baru namun dipimpin oleh mereka yang senior dalam.politik serta pengurusan menyeru agar seluruh rakyat peka dan sedar bahawa negara sekarang diurus oleh mereka yang diibaratkan sebagai tikus yang mengaku membaiki negara ini, namun keadaan negara semakin teruk dan yang paling terjejas ialah rakyat terbanyak sedang menteri, isteri-isteri dan sanak saudara serta kroni mereka semakin montel melahap khazanah negara tanpa segan silu.

Jika ditegur atau dikritik, maka akan adalah juak lama dan baru mereka akan memainkan sentimen agama, bangsa dan kedaulatan negara demi membolehkan mereka meneruskan keserakahan yang tidak kunjung padam.

Semoga tahun 2016 akan benar-benar memberi kesedaran dan keazaman kepada majoriti rakyat untuk menghalau tikus-tikus biru putih dari terus merosakkan negara Malaysia yang tercinta ini.

Selamat Menyambut Tahun Baru 2016

Datuk Dr. Ismail Salleh
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH)
Negeri Kedah.
1 Januari 2016

Amar Rohidan, Shakir Shaari Sah Milik Kedah

AMAR Rohidan dan Shakir Shaari merupakan antara tonggak baru yang akan menyarung jersi pasukan Kedah pada saingan Liga Malaysia musim 2016.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Jurulatih pasukan Helang Merah, Tan Cheng Hoe ketika dihubungi mStar Online selepas tersebar khabar angin mengenai penghijrahan dua pemain berkenaan.

Menurutnya, dua pemain berpengalaman itu adalah sebahagian daripada muka baru, selain lima pemain Harimau Muda yang akan didaftarkan sebagai tonggak skuad Helang Merah.

“Rohidan dan Shakir akan bersama kita bagi musim 2016. Mereka dengan lima pemain Harimau Muda akan turut serta dalam latihan pasukan Helang Merah yang akan bermula pada 2 Januari di padang yang belum di tetapkan lagi.

“Kita tidak dapat menggunakan Stadium Darulaman kerana kerja baik pulih stadium sedang dilakukan oleh pengurusan stadium dan saya hanya akan mengetahui padang latihan kita pada Sabtu ini.

“Pengalaman Rohidan dan Shakir pasti akan dapat membantu meningkatkan lagi bahagian tengah yang dikemudi oleh Liridon Krasniqi dan beberapa pemain seperti  Syazwaan Tajudin, Hanif, Sandro Da Silva, Farhan Roslan, Syazwan Zainon dan Baddrol Bakhtiar,” katanya.

Cheng Hoe menambah, penjaga gol pasukan kebangsaan yang beraksi dalam saingan Sukan SEA di Singapura, Farhan Abu Bakar bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Firdaus Mohamed.

Firdaus kembali bersama majikannya iaitu Persatuan Bolasepak Pinang (PFA) setelah dipinjamkan kepada Kedah selama dua musim.

“Kehadiran pemain muda daripada skuad Harimau Muda serta beberapa pemain pasukan Liga Simpanan Kedah  membolehkan saya membuat perancangan untuk menghadapi Liga Super musim depan.

"Setelah melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini dan menjuarai Liga Prmeir musim 2015, sudah pasti harapan KFA dan juga ribuan peminat amat tinggi.

“Saya yakin dengan kehadiran penyerang baru dari Brazil, Carlos Kahe akan dapat memantapkan bahagian serangan yang sebelum ini dikemudi oleh Chidi Edeh kerana Kahe pernah berganding dengan Sandro ketika beraksi di Liga Turki sebelum ini.

“Kahe perlu pastikan dia  tiba di Alor Setar seawal mungkin bukan pada 15 Janurai seperti yang dijadualkan sebelum ini kerana kita mempunyai sebulan sebelum Liga Super bernula pada 13 Februari depan.

“Bukan setakat Kahe malah saya juga berharap Bang Seung Hwan, Liridon Kraasniqi dan Sandro mamapu kembali ke Kedah seawal mungkin untuk  menjalani latihan bersama rakan sepasukan lain," jelas Cheng Hoe.

Beliau turut mengesahkan mengenai perubahan jurulatih penjaga gol bagi musim depan, namun pendedahan individu yang akan dilantik ke jawatan itu belum dibuat ketika ini.

Hutang 1MDB berkurangan sebanyak RM40.4 bilion

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata paras hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kini telah berkurangan sebanyak RM40.4 bilion berikutan pemeteraian beberapa perjanjian oleh syarikat itu setakat ini.

Dalam perutusan tahun baharu beliau hari ini, Najib turut menyuarakan rasa puas hati dengan perkembangan yang dijanjikannya sebelum ini bahawa isu hutang 1MDB berkenaan akan dapat diselesaikan menjelang akhir tahun. "Pada Jun lepas, saya berkata bahawa cabaran yang dihadapi 1MDB itu dapat diselesaikan menjelang akhir tahun.

"Oleh itu saya ingin mengesahkan yang syarikat itu sudah menandatangani perjanjian yang menyaksikan hutangnya berkurangan sebanyak kira-kira RM40.4 bilion. "Angka ini mewakili sebahagian besar daripada hutang 1MDB," katanya.

Laporan sebelum ini menyatakan paras hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion, berdasarkan akaun kewangan yang diaudit setakat 31 Mac, 2014. Perjanjian terbaharu ditandatangani hari ini antara 1MDB dengan konsortium usaha sama Iskandar Waterfront Holdings (60 peratus) dan China Railway Engineering Corp (40 peratus), melibatkan penjualan 60 peratus pegangan ekuiti dalam Bandar Malaysia yang membabitkan pengurangan hutang sebanyak RM7.1 bilion.

Menurut Perdana Menteri, apa yang jelas adalah cabaran besar yang dihadapi 1MDB sebelum ini sudah berlalu sepertimana yang dijanjikannya, sebelum ini. "Apa yang tinggal adalah untuk semua perjanjian itu dimuktamadkan dan langkah akhir bagi pelan rasionalisasi 1MDB itu dapat diselesaikan," katanya.

Selain penjualan Bandar Malaysia, 1MDB juga bersetuju untuk menjual segmen tenaganya, Edra Global Energy Bhd kepada China General Nuclear Power Corp pada harga RM9.83 bilion, November lepas. Ia turut memeterai perjanjian dengan International Petroleum Investment Co (IPIC) yang menyaksikan syarikat Abu Dhabi itu mengambilalih obligasi bon bernilai AS$3.5 bilion. - Bernama

IGP: Hak pertahan diri bukan maksud boleh bunuh orang

Hak dan had orang awam mempertahankan diri ketika berdepan dengan kes jenayah bukan sesuatu yang mutlak sehingga ke tahap membunuh penjenayah sewenang-wenangnya, tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata orang ramai perlu memahami hak dan had itu seperti termaktub dalam undang-undang yang diperuntukkan mengikut Seksyen 99 Kanun Keseksaan.

"Seksyen berkenaan menjelaskan hak dan had mempertahankan diri yang termaktub, bukan sahaja untuk orang awam malah juga anggota polis sendiri.

"Saya lihat ramai orang tidak tahu had dan hak mempertahankan diri itu, maka Seksyen 99 Kanun Keseksaan menjelaskan dengan jelas setakat mana tahap mempertahankan diri yang boleh digunakan oleh mereka (orang ramai)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir majlis serah terima tugas jawatan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, di Putrajaya hari ini.

"Kami polis pun ada hadnya. Hak mempertahankan diri itu bukan mutlak. Jika ada orang nak curi atau samun, kita tidak boleh bunuh mereka sewenang-wenangnya," katanya.

Khalid mengulas isu Zulkifli Ismail, 50, dari Terengganu, yang ditahan reman berhubung dakwaan membunuh perompak yang cuba masuk ke rumahnya.

Isu itu diviralkan menerusi laman sosial Facebook Parti Sosialis Malaysia dengan menggunakan tajuk "Selamatkan Zulkifli" dan satu gerakan atas talian untuk menyelamatkan lelaki itu yang berdepan hukuman mati makin mendapat perhatian ramai.

Dalam satu kenyataan mengulas lanjut perkara itu, Khalid berkata Seksyen 99 (4) akta sama pula menjelaskan yang hak pertahanan persendirian tidak sekali-kali termasuk menggunakan kerosakan yang lebih daripada yang perlu dikenakan bagi maksud pertahanan.

Khalid berkata pihaknya telah menjalankan siasatan dengan penuh profesional berhubung kes Zulkifli dan dua lagi kes yang hampir sama, iaitu mempertahankan diri, yang diviralkan di laman sosial.

"Tiga tertuduh dalam kes berkenaan telah dihadapkan ke muka pengadilan sebagaimana arahan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Peguam Negara," katanya.

Oleh itu, beliau berkata orang ramai dinasihat berhenti menyebarkan dakwaan berhubung kes tersebut tanpa meneliti dan memahami fakta kes sebenar lebih-lebih lagi tanpa mengetahui implikasi perundangan.

-Bernama





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...