TERKINI :

Friday, December 2, 2016

Sungai Petani - 50,000 pakaian bakal dilelong


SUNGAI PETANI - Lebih 50,000 pakaian baharu dan terpakai akan dilelong sempena program Econsave Sinar di Hati yang berlangsung di Econsave Bandar Puteri Jaya pada 3 Disember nanti.

Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, pihaknya menyasarkan lebih 10,000 pengunjung dan sesi lelongan dijangka selesai dalam tempoh beberapa jam berikutan menerima sambutan memberangsangkan.

Menurutnya, hasil jualan akan disumbangkan kepada pembangunan Maahad Al Iman Li Ulumil Quran di Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil, yang memerlukan dana berjumlah RM950,000 untuk membina prasarana di sekolah berkenaan.

"Kita memulakan jualan amal pakaian terpakai dengan harga RM2 sehelai pada awal November lalu. Baki pakaian yang masih belum terjual termasuk hasil pemberian orang ramai akan dilelong melalui konsep bida pada 3 Disember ini.

"Lebih istimewa, kita akan lelong juga pakaian baru dengan harga terbaik," katanya.

Zamzuri berkata, pihaknya sudah mempunyai jumlah pakaian lebih daripada mencukupi, sehubungan itu orang ramai diminta mengehadkan penghantaran.

"Kita galakkan sumbangan barangan elektrik, keperluan harian dan perabot terpakai untuk dilelong. Hasil keuntungan 100 peratus akan dihantar ke maahad," katanya.

Tambah Zamzuri, program bertemakan membeli sambil menderma itu bermula jam 9 pagi hingga 5 petang, sementara lelongan pula akan bermula jam 10 pagi.

Katanya, antara yang terlibat ialah Persatuan Peniaga Kecil Melayu Daerah Kuala Muda, Hati Emas Daerah Kuala Muda, Skuad Muda 1JPJ, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk, kelab permotoran dan Sinar Harian.

"Turut diadakan pameran Agensi Antidadah Kebangsaan, kempen derma darah, kaunter bergerak JPJ, jualan amal, pengenalan produk makanan dan minuman serta pertunjukan dan pertandingan kereta.

"Pengunjung juga boleh menikmati harga terbaik sempena Jualan Kembali Ke Sekolah Econsave," katanya.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...