TERKINI :

Saturday, December 10, 2016

Sokong KFA kekalkan harga tiket


KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengekalkan harga tiket RM10 bagi kawasan tidak berbumbung mendapat sokongan kelab gabungan badan induk negeri ini.

Pengerusi Kelab Belia Darul Aman, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, keputusan itu amat dihargai kerana ia merupakan kawasan utama menempatkan ramai penyokong skuad Helang Merah.

"Harga RM10 adalah amat rendah berbanding kadar di stadium lain dan pengekalan harga itu sangat dihargai. Ini kerana kawasan tidak berbumbung mampu memuatkan 70 peratus daripada keseluruhan kawasan penonton di stadium yang berkapasiti 30,000 penonton," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menyentuh mengenai kenaikan harga tiket di tempat berbumbung dan astaka utama, Syed Mohd Johan Rizal berkata ia sejajar dengan proses menaik taraf Stadium Darul Aman yang menelan kos RM10 juta sedang dilakukan agar suasana lebih kondusif.

"Untuk itu, kenaikan margin yang rendah harga tiket bagi kawasan berbumbung dan astaka utama akan disusuli dengan beberapa pelaksanaan termasuk memperkemaskan sistem penjualan tiket, keselamatan dan tempat duduk.    

"Selain itu, kenaikkan margin harga tiket itu juga diharap dapat membantu menampung kos biaya pasukan yang menelan belanja hampir RM28 juta bagi 2017 berbanding RM23 juta bagi musim 2016," katanya.  

Menyentuh mengenai agihan tiket, Syed Mohd Johan Rizal mahu KFA memastikan sistem jualan tiket dikemas kini termasuk kemudahan lain seperti surau, laluan khas bagi peminat wanita, Orang Kelainan Upaya dan kanak-kanak agar tidak timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat skuad Helang Merah.

Dalam pada itu, Syed Mohd Johan Rizal berharap barisan pemain bagi musim 2017 dapat mempertahankan kemegahan skuad Helang Merah seperti mana yang dicapai sepanjang 2016.

"Kami percaya, gandingan Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon, Sandro Mendonca dan Rizal Ghazali mampu memastikan kejayaan skuad hijau kuning sepanjang musim ini," katanya.

Pada 6 Disember lalu, KFA telah mengumumkan kenaikan harga tiket bagi menyaksikan semua perlawanan bola sepak di Stadium Darul Aman di sini iaitu antara RM4 hingga RM8 bermula musim depan.

Berikutan harga tiket baharu itu, harga bagi tempat duduk berbumbung dinaikkan daripada RM16 kepada RM20 manakala bagi tempat duduk di astaka utama dinaikkan daripada RM22 kepada RM30 sebelum ini. - Bernama


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...