TERKINI :

Sunday, December 25, 2016

Sikap PAS yang 'tak tentu hala' hingga menghilangkan kewibawaan PAS sebagai parti Islam

Kenyataan media.

*PAS AKAN TERSINGKIR DENGAN STERATEGI POLITIK MAKAN KELILING*.

1. Kenyataan rasmi terbaru yang dikeluarkan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan kemudiannya disokong oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat bahawa *"PAS bersedia untuk membentuk gabungan dengan mana-mana parti lain termasuk Barisan Nasional bagi membentuk kerajaan campuran selepas pilihanraya umum ke14* akan datang adalah suatu kenyataan yang mengelirukan.

Dalam kenyataan Datuk Dr Mahfodz Mohamad kepada FMT beliau berkata, *_"Sekarang ini PAS bersendirian dan PAS hanya dengan Ikatan dalam blok ketiga pembangkang, jadi kalau keputusan pilihan raya umum nanti gabungan itu yang menguntungkan PAS, mungkin boleh bentuk kerajaan dengan parti lain termasuk Bn."_*

2. Kenyataan terbaru ini merupakan lanjutan dari kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada 3 Dis 2015 di Masjid Pengadang Baru Kuala Terangganu yang membawa maksud yang sama dengan kenyataan Dr Mohd Zuhdi Marzuki menimbulkan persoalan besar di minda rakyat yang *_semakin hari semakin tidak jelas ke arah manakah sebenarnya haluan parti yang pernah dianggap sebagai parti pembangkang utama di negara ini_*.

3. Dalam keadaan rakyat Malaysia yang semakin mengharapkan perubahan kerajaan dan garis pertentangan politik yang semakin ketara dan tajam di antara BN dan Pakatan Harapan dan PPBM,  *_strategi PAS yang cuba 'makan keliling' akan hanya menyebabkan PAS dianggap sebagai parti yang oportunis, tidak berprinsip dan tidak boleh dipercayai_*.

*POLITIK TAK TENTU HALA DITOLAK RAKYAT DAN AHLI PAS*

4. Saya percaya Rakyat dan ahli PAS akan menjarakkan diri dari PAS apabila menyedari *_PAS hanya berkehendakkan undi mereka untuk dijadikan 'alat tawar menawar' dengan mana-mana pakatan politik yang menang_*. Saya juga merasakan baik BN mahu pun blok pembangkang PH dan PPBM setelah memperhalusi pengumuman 'strategi' dari PAS ini, tidak terlalu naif untuk merelakan diri mereka berada pada posisi lemah untuk bergantung kepada PAS bagi membentuk kerajaan. *_"Budaya politik tak tentu hala PAS sudah pasti akan dijadikan panduan kepada kedua-dua blok politik untuk menentukan apakah sikap mereka terhadap PAS dalam menghadapi PRU ke 14"?_*.

5. Dengan pengumuman sedemikan secara tidak langsung menunjukkan PAS telah mengakui bahawa ianya *_bukan lagi sebuah parti pembangkang yang selama ini menentang kebobrokan dan penyelewengan kerajaan UMNO/BN_*. Malah sudah sanggup dan bersedia untuk sama-sama membentuk kerajaan dengan UMNO/BN walaupun kenyataan Presiden PAS, YB Datuk Seri Hj Abd Hadi Awang yang PAS akan menentang Umno/BN dalam PRU14 nanti, tetapi kenyataan tersebut  *_tidak menafikan strategi makan keliling termasuk untuk  membentuk kerajaan campuran dengan UMNO/BN selepas PRU14 nanti_*.

"Saya yakin penerimaan *_majorati ahli dan penyokong PAS tidak menyenangi terhadap pernyataan sikap terbaru PAS_* ini sebagaimana yang diumumkan Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan disokong pula oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

6. Apa yang jelas, kenyataan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS dan Dewan Ulamak Pusat ini jelas menjadikan *_kenyataan Naib Presiden PAS,YB Ustaz Idris Ahmad bahawa PAS akan masuk bertanding PRU 14 sebagai pembangkang dan tidak akan membentuk kerajaan bersama UMNO/BN  sebagai satu kenyataan terpinggir dan pandangan minoriti di dalam PAS_*.

*_"Saya tidak pasti adakah sahabat saya YB Ustaz Idris Ahmad berani melawan arus untuk menyanggah kenyataan Zuhdi dan Ketua Dewan Ulamak ini"_*.

*PAS MENERIMA AMANAH DAN DAP PASCA PRU14*

7.  Seperkara lagi, jika PAS juga bersedia untuk membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan dan PPBM,kenapakah pada masa yang sama pemimpin-pemimpin PAS berulangkali menyatakan bahawa PAS tidak akan sama sekali sanggup bekerjasama dengan parti AMANAH dan DAP atau mana-mana parti lain yang bersekongkol dengan AMANAH dan DAP?

"Ini juga akan membentuk pesepsi menunjukkan *_sikap PAS yang 'tak tentu hala' hingga menghilangkan kewibawaan PAS sebagai parti Islam"_*.

8. Oleh sebab itu saya menyeru kepada pucuk pimpinan PAS supaya PAS *_menentukan sikap yang jelas dari sekarang_*, samada ingin *_bekerjasama dengan UMNO dan BN atau bekerjasama dengan PH dan PPBM_* atau hanya mengukuhkan kedudukan sebagai 'kuasa ketiga' melalui kerjasama dengan Parti Ikatan. *_Budaya Politik tak tentu Hala_*  dan *_Strategi politik 'makan keliling' ini, apatah lagi apabila ianya dihebahkan secara terbuka adalah satu langkah politik yang amat amatur_*, akan hanya menghakiskan keyakinan rakyat kepada PAS terutama sekali di kalangan rakyat yang menentang kepimpinan UMNO/BN di bawah Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak.

#RakyatTolakUmnoBn
#RakyatTolakPolitikOportunis
#RakyatTolakPolitikTakTentuHala
#RakyatMahuPolitikTerusTerang

*DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR*
Ahli Parlimen Pokok Sena
9:30am WAD Bunga Raya 7B,HSB
25 Dis 2016/25 Rabiulawal 1438H.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...