TERKINI :

Friday, December 23, 2016

Rugi kalau Hadi ke Iran sekadar untuk ‘glamor’, kata Ibrahim

Faiz Zainudin


KUALA LUMPUR: Lawatan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Iran seharusnya digunakan sebagai landasan penyatuan kepada umat Islam bukan sekadar ingin “glamor”, kata Datuk Ibrahim Ali.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu berkata beliau berharap lawatan itu menjadi medan yang boleh memberi hasil kepada negara.

Katanya, tetapi jika presiden PAS menghadiri persidangan itu semata-mata untuk menunjukkan kehebatan tanpa sebarang hasil, ia akan menjadi satu pembaziran.

“Kalau dia pergi semata-mata untuk tunjuk glamor saja, maknanya presiden PAS menghadiri persidangan ini nak tunjuk hebat, keluar gambar macam selebriti tapi hasilnya tak ada, memang membazirlah.

“Canang kehadirannya ke Iran tapi pergi sana tak cakap apa, diam saja jadi tukang angguk apa yang mereka kata, tak ada faedahnya,” katanya pada sidang media Mesyuarat Dewan Tertinggi Perkasa kali pertama sesi 2017\2019 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyertaan Hadi ke Muktamar Tahunan Perpaduan Ummah di Iran yang mengumpulkan pemimpin gerakan Islam, NGO dan aktivis mewakili mazhab Sunni dan Syiah.

Susulan itu, ramai pihak mengecam lawatan berkenaan kerana Iran didakwa sebagai sekutu kuat Presiden Syria Bashar al-Assad yang dikatakan bertanggung jawab terhadap tragedi pembunuhan beramai-ramai di Aleppo.

Antaranya ialah Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Syeikh Prof Dr Yusuf Al-Qaradawi yang terkejut dengan kehadiran Hadi dan kini menunggu penjelasan presiden PAS itu.

Bagaimanapun, setiausaha politiknya Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa kunjungan Hadi atas permintaan wakil Ittihad Ulama Muslimin Iran, Dr Abdurrahman Bayraan.

Ibrahim berkata lawatan Hadi menimbulkan pelbagai reaksi sehingga ada pihak mendakwa Ahli Parlimen Marang menyokong Syria dalam isu di Aleppo.

“Daripada segi interaksi bertukar pendapat, berdebat dan berdialog tentang isu berkaitan kepentingan umat Islam, saya rasa ada kebaikannya.

“Tapi ada pihak melihat, kerana Iran jadi tuan rumah penyertaan itu memberi gambaran seolah-olah kita merestui tindakan Iran di Aleppo,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...